“Arwah lambang kasih sayang pertama saya.” Jelas ibu Zulfarhan alami katarak yang serius akibat kerap menangis setelah pemergian anak sulungnya.
Pilunya bila membayangkan apa yang dilalui oleh ibu dan keluarga allahyarham Zulfarhan ini. Kehilangan anak yang menjadi harapan keluarga bukanlah sesuatu yang mudah diterima. Apatah lagi cara pemergiannya cukup menyayat hati, semoga keluarga ini kuat!
Arwah Lambang Kasih Sayang Pertama Saya
Ibu kepada Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain, Hawa Osman, 58, dilihat menangis teresak-esak ketika membacakan kenyataan impak di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah.
Hawa sebelum itu dilihat beberapa kali menahan sebak dan berhenti menangis sebelum meneruskan bacaan kenyataan impaknya.
“Arwah anak sulung yang mana sepatutnya jika masih hidup, beliau yang akan membantu keluarga dengan membiayai adik lain menyambung pelajaran di universiti kerana suami saya telah bersara dan kini menyara hidup dengan memandu teksi manakala saya hanya kerani di sebuah sekolah menengah.
“Kehilangan arwah beri kesan kepada saya dan suami kerana kami menanam impian arwah akan menjaga kami ketika usia tua.
“Saya juga mengalami kesedihan berpanjangan apabila nama arwah disebut. Arwah adalah lambang kasih sayang pertama saya dan suami dalam membina rumah tangga,” katanya.
Ibu Zulfarhan Alami Katarak Serius Akibat Kerap Menangis
Menurutnya, kejadian menimpa anaknya empat tahun lalu itu menyebabkannya mengalami trauma, katarak serius dan penyakit darah tinggi.
“Saya mengalami katarak serius akibat kerap menangis yang melampau serta mengalami darah tinggi kerana tidak dapat tidur malam.
“Kejadian ini menyebabkan saya trauma untuk melepaskan anak-anak sendirian menyambung pelajaran di peringkat tertinggi kerana bimbang kejadian sebegini akan berulang kembali.
“Kejadian ini memori perit untuk saya terima kerana arwah anak yang menceriakan suasana rumah dan mesra dengan ahli keluarga lain.
“Walaupun pemergiannya hampir empat tahun, saya rasakan seperti baru semalam terjadi,” katanya.
Membantah Hukuman Ringan
Dalam kenyataan impaknya itu, Hawa berkata, dia sekeluarga membantah hukuman ringan dicadangkan untuk tertuduh.
Ads
“Saya mahukan hukuman setimpal terhadap tertuduh yang menyebabkan saya kehilangan insan yang amat bermakna dalam hidup saya dan hukuman ini menjadi contoh kepada masyarakat yang lain supaya lebih berhati hati-hati dalam bertindak.
“Hukuman ini diharap dapat membuka mata dan minda masyarakat supaya kejadian sebegini tidak berulang kepada ibu bapa lain dan merasai keperitan kehilangan anak yang disayangi dan merupakan harapan keluarga,” katanya.
Tertuduh Dipenjara 18 Tahun
Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan enam tertuduh dipenjara 18 tahun mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana disabit bersalah menyebabkan kematian kepada Zulfarhan tanpa niat.
Keputusan itu diubah hari ini daripada Pertuduhan Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas peguam bela membuktikan tertuduh tiada niat membunuh.
Semua tertuduh kecuali tertuduh kelima, Mohamad Shobirin bersama 12 lagi rakan dihukum penjara tiga tahun mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Semua mereka yang kini berumur 25 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di dalam dua bilik di Kem Perdana, Sungai Besi pada 21 dan 22 Mei 2017.
Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.
Mingguan Wanita : Budaya buli sebegini tidak boleh dijadikan kebiasaan kerana mangsa buli tidak kiralah buli fizikal atau mental akan mengalami trauma berpanjangan. Mak , ayah perlu terapkan kepada anak-anak sejak kecil agar menjauhi perbuatan buli kerana kesannya amat besar terhadap orang lain.
Tanniah diucapkan buat Ummi Nazeera yang telah berkongsi berita gembira bakal menimang cahaya mata kedua apabila kini sedang hamil empat bulan.
Bintang utama filem Bisik Pada Langit itu mendirikan rumah tangga bersama suami, Dr. Mohd Izzar Anwari pada 23 Julai 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Ayra Aneesah yang kini berusia dua tahun.
Hamil Anak Kedua, Ummi Minta Doakan Yang Terbaik
Ummi menerusi laman Instagramnya, turut meminta orang ramai agar mendoakan yang terbaik buat dirinya dan bayi dalam kandungan.
“Alhamdulillah saya nak kongsi di sini bahawa saya telah dianugerahkan rezeki untuk mengandung kali kedua dengan Izin Allah SWT.
“Saya minta tolong semua untuk doakan kesihatan kandungan saya yang kini berusia hampir empat bulan dan juga saya sihat walafiat.
“Semoga perjalanan kami dipermudahkan. Amin,” tulis Ummi.
Terkejut Positif Hamil
Difahamkan juga Ummi pada awalnya tidak dapat mengesan dia sudah hamil, selepas minggu keenam barulah dia ketahui.
“Pada awalnya berlaku perubahan karakter pada diri yang mana banyak makanan saya tidak boleh makan sehinggakan tidak boleh hidu bau ayam.
“Kalau bau mesti nak muntah. Malah, ketika di lokasi penggambaran siri Kerana Corona, pembantu peribadi saya ada cakap mungkin saya mengandung. Tapi saya cakap tak mungkin.
“Malah, saya dan suami pun cakap perkara sama. Selepas seminggu pun saya masih lalui perkara sama. Sehinggalah masuk minggu keenam saya datang haid lambat.
“Jadi, saya ambil keputusan untuk buat pemeriksaan dengan membeli alat ujian kehamilan. Terkejut sebab bacaan positif.
“Sejujurnya, saya dan suami merancang nak mendapatkan anak kedua pada hujung tahun hadapan. Apatah lagi anak sulung kami Ayra Aneesah baru berusia dua tahun pada Ogos lalu.
“Cuma, pada Julai dan Ogos saya ada cakap pada mama yang mana seronoknya kalau ada anak lagi.
“Betullah cakap-cakap itu satu doa dan Allah makbulkan. Alhamdulillah, ini adalah rezeki,” ungkapnya seperti mana dipetik menerus portal Harian Metro.
Mak mak paling berdebar, bila sedang tenang memandu, tiba-tiba ada sekatan jalan raya. Ada juga mak-mak yang jenis panik, berhenti dahulu di tepi. Ambil nafas tenang-tenang baru jalan.
Sungguh cara itu bahaya, sebab polis trafik atau JPJ akan fikir pemandu sedang menyembunyikan sesuatu. Sebaiknya apa yang pemandu perlu buat?
Tip mudah lepasi sekatan jalanraya yang dikongsikan, Hayati Abu Hassan, Penolong Pegawai Keselamatan Jalan Raya, JKJR Pahang ini antara panduan yang mak-mak boleh cuba. Moga lepas ini tak perlulah panik sampai serabut perut dibuatnya.
Teruslah memandu dengan tenang, walau dalam hati tuhan je yang tahu betapa berdebarnya bila terserempak dengan sekatan jalan raya.
7 Tip Mudah Lepasi Sekatan Jalan Raya JPJ Atau Polis
“Hati kita asyik berdebar. Serabut perut bila nampak kon JPJ atau Polis. Kadang tak ada silap pun tetap terketar-ketar nak melalui kawasan sekatan jalan.”
Saya kongsi tip untuk memudahkan dan takkan membuatkan kita berlama-lama di hadapan pegawai JPJ atau Polis Trafik seperti di bawah:
Jangan cuba-cuba lari dari sekatan jalan. Depa ada pegawai yang tunggu di lorong-lorong tikus tau. Jarang boleh lepas.
Sediakan dokumen secukupnya. Kad pengenalan, lesen memandu. Roadtax juga!
Jika waktu malam, nyalakan lampu dalam kereta.
Turunkan tingkap.
Senyum dan beri salam bagi yang beragama Islam. Jika bukan Islam, ucapkan selamat malam atau siang.
Tunjukkan dokumen-dokumen tadi walau tanpa diminta.
Apabila selesai dan diarahkan jalan, ucapkan terima kasih. Teruskan tersenyum.
Ha, senang tak? Tak perlu gelabah sampai berpeluh-peluh.
Pegawai yang bertugas pun akan senang hati saja lepaskan kita sebab nampak kita bersedia dan yakin.
Kadang-kadang roadtax mati pun mereka tak perasan kalau confident macam ni.”
“Saya Berharap Hari Ini Akan Bermula Buku Baharu Dalam Hidup,” Puteri Sarah. Kemelut krisis rumahtangga Puteri Sarah dan Syamsul Yusof hampir menemui titik nokhtahnya. Hari ini kes perceraian yang telah difailkan sebelum ini, akan dimuktamadkan keputusannya di mahkamah.
“Saya sudah lama reda.”
Demikian kata pelakon Puteri Sarah ketika ditanya perasaan dirinya yang bakal berdepan kes perceraian dengan suami juga pengarah terkenal Syamsul Yusof, di Mahkamah Syariah, di sini, pagi ini.
Lebih Tenang & Mendapat Sokongan Keluarga
Puteri Sarah, 38, atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berkata, dia juga lebih tenang selain mendapat sokongan daripada keluarga dan ibu bapa mentua.
“Hari ini saya berpuasa dan sebelum keluar rumah tunaikan solat sunat dua rakaat. Saya berharap hari ini akan bermula buku baharu dalam hidup saya.
“Kalau nak ditanya soal perasaan, sejujurnya hari ini saya lebih tenang. Saya percaya Allah sudah tulis dan aturkan yang terbaik buat saya dan anak-anak. Apa pun yang terjadi hari ini, ia adalah ketentuan Allah SWT.
“Kedua ibu bapa saya tak datang hari ini begitu juga kedua mentua. Saya tahu mereka sedih. Tapi, jauh di sudut hati mereka tetap mahukan saya gembira dan membahagiakan diri sendiri,” katanya.
Lebih Setahun Tak Jumpa Suami
Ditanya apakah perasaan untuk berjumpa Syamsul hari ini, Puteri Sarah berkata dia biasa-biasa saja.
“Sejujurnya, saya sudah lebih setahun tak berjumpa dengannya,” katanya ringkas.
Media sebelum ini melaporkan Puteri Sarah nekad untuk memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu apabila tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua pada awal tahun ini.
Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.
Mingguan Wanita: Semoga dipermudahkan segala urusan dan diberikan keputusan terbaik pada hari ini setelah sekian lama bersabar. Semoga dapat membuka lembaran baru dan kehidupan lebih baik hendaknya.
Ibu ayah risau keselamatan di sekolah. Susulan kejadian pagi tadi tiada siapa menyangka hari persekolahan biasa itu akan berakhir dengan tragedi yang meragut nyawa...