Mulanya ibu ini tak dapat terima apabila anaknya yang seorang ini tak cemerlang akademik. Lagi-lagi, beliau dan suami, masing-masing bergelar pendidik.
Resah hati ibu makin berganda-ganda apabila anak yang semakin membesar memilih ke sekolah vokasional. Bagaimana nanti masa depan anaknya? Selepas melalui satu peristiwa, Allah membuka ruang hati ibu ayah ini untuk melihat kebesaranNya.
Inilah pengalaman yang dikongsikan ibu bernama Ezatul Marini tentang anaknya yang bernama Syamil. Sayu di hujung cerita buat kita lebih sedar setiap anak itu Allah ciptakan dengan anugerah istimewa dalam diri mereka.
Allah Lebih Tahu
“Ishhh, takkan macam itu je keputusannya? Kata anak pensyarah, anak cikgu.”
“Hai takkan mak ajar English, ayah ajar Matematik, anak tak boleh score dua subjek ni?”
Biasa. Dah terlampau selalu dan biasa kami dihenyak dengan terjahan sebegitu. Bukan sekali dua juga kami disindir perli dek kerana tidak direzekikan anak yang cemerlang akademik.
Syamil, sebaik pandai bertutur sudah saya sediakan dengan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira. Tidak lupa juga asas ilmu agama yang dipertanggungjawabkan kepada kami untuk diajarkan kepada anak-anak.
Namun, segalanya seolah tidak menurut perancangan asal kami. Syamil tidak berkembang menjadi anak yang bijak, pencapaian akademiknya hanya sederhana.
Beliau selalu diletakkan di kelas kedua hujung kalaupun tidak di kelas paling belakang. Saya tidak dapat membayangkan apa perasaan Abahnya bila terpaksa menelan perasaan terkilan kala menerima keputusan UPSR yang diumumkan.
Biarpun tidak berkata apa-apa, dari riak wajahnya saya pasti sang Abah menyimpan rasa kecewa namun berjaya disorokkan dengan terus-terusan memberi semangat dan dorongan kepada si anak.
Berbeza sekali dengan saya yang menangis hiba hingga tidak mampu memandang wajah anak dek rasa sedih dan terkilan. Bertubi-tubi saya mengasak anak yang tentu sekali juga sedang sedih dengan pertanyaan dan kecaman yang bila difikirkan semula tidak sepatutnya saya hamburkan sama sekali kepadanya.
Tamparan, ‘Kepandaian Itu Bukan Boleh Diwariskan’
“Rupanya untuk reda itu tidak mudah sama sekali. Meminta orang untuk reda dan sabar itu sangat mudah tetapi bila ia terjadi kepada diri sendiri…nyata sebaliknya”
Seorang rakan baik memujuk saya yang akhirnya sudah mula mampu menerima tamparan pertama cabaran “kepandaian itu bukan boleh diwariskan”.
Melepasi pendidikan menengah rendah, Syamil masih menunjukkan prestasi yang sederhana. Namun, anak ini ada kelebihan dalam bidang sukan, kepimpinan dan beliau menyerlah dalam aktiviti kokurikulum hingga mampu mewakili sekolah dan daerah.
Anak ini juga punya daya tarikan paling istimewa…beliau tertib dan beradab.
Kejamnya saya sebagai ibu, saya masih belum mampu mengiktiraf kebolehannya yang bukan berasaskan pencapaian akademik. Jarang saya menunjukkan sokongan pada sebarang pencapaian bukan akademiknya.
Pengumuman keputusan peperiksaan PT3 seolah menjadi tamparan kedua kepada kami. Harapan saya untuk menghantar Syamil ke sekolah yang lebih berprestij nyata buntu. Apalah ikhtiar saya untuk memberikan sokongan dan dorongan pada anak ini.
“Syamil nak minta masuk Kolej Vokasional, Abah”.
Abahnya sedikit tidak membantah malah dengan senang hati mengaturkan temujanji untuk berbincang dengan kaunselor sekolah si anak.
Kami maklum, Syamil sangat meminati bidang perikanan…dari kecil, apa sahaja yang ada kaitan dengan bidang itu amat disukainya.
Saya hanya menurut apabila beliau nyatakan keinginan memohon bidang Akuakultur di KV biarpun kurang pasti apakah prospek dan potensi bidang tersebut.
“KV? Ada masa depan ke tu kalau masuk ke situ?” Saya seolah hendak jeritkan pada mereka yang masih bertanya, sekiranya kami sebagai ibu bapa sedang mencuba sedaya upaya menyetujui dan menyokong, tidakkah mereka mampu untuk membantu kami dengan menunjukkan sokongan yang sama?
Edar Tempahan Ikan Keli Kepada Pelanggan
Hari ini, Syamil sudah di semester akhir Pengajian Diploma Akuakultur. Semasa cuti semester Disember 2017, beliau nyatakan hajat pada Abahnya.
“Abah boleh tak modalkan Syamil untuk beli tangki dan benih ikan keli? Syamil nak mula ternak ikan keli di rumah, besar nanti boleh jual”
Melihatkan semangatnya, kami bersetuju sumbangkan sedikit dana untuk beliau mulakan usaha kecilnya.
“Wah! Bagus Syamil, banyak ni ikannya. Kalau macam ni habis belajar nanti bolehlah mula ternak komersial” seronok benar dia bila Atok Baiknya memberi komen spontan semasa melawat kami pada penghujung Disember lalu.
Dan Alhamdulillah, pada petang 15 Ramadan lalu, dalam hujan lebat, Abahnya dan saya bantu mengedarkan tempahan ikan keli siap siang dan cuci hasil ternakan kecil-kecilan anak kami kepada rakan-rakan yang telah membuat pesanan.
Dengan ilmu dan kemahiran yang dikutipnya selama di kolej, dia mulakan usaha awal di rumah. Sesungguhnya di penghujung petang separuh Ramadan itu, sambil menantikan waktu berbuka, saya termenung panjang mengenangkan selama 2 tahun pengajian sijil dan lebih setahun pengajian diplomanya, saat ini memberikan saya rasa yang amat berlainan.
Hari ini Allah berikan saya peluang mengutip pengajaran dari setiap satu bentuk ujian yang telah dikirimkan melalui pengalaman anak kami.
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui”
Terima Kasih Allah Atas Kurniaan Ini
Pada suatu masa dahulu saya pernah merasa teramat kecewa kerana anak yang seorang ini nyata tidak mampu untuk memenuhi apa sahaja impian dan perancangan saya mengenai dirinya, dan akhirnya saya terpaksa menerima untuk menitipkan beliau di ladang ilmu dan kemahiran yang tidak pernah tersenarai dalam institusi pilihan.
Anak ini juga mengajarkan saya tentang hakikat anak yang baik bukan diukur hanya pada kecerdasan minda. Pelik kan? Sebagai seorang guru seharusnya saya maklum tentang perkara itu. Ya, saya amat maklum namun jauh di sudut hati pada suatu masa dahulu masih tersemat ilusi tidak realistik tentang hakikat itu.
Hari ini saya melihat betapa bangga seorang Abah tatkala menghulurkan bungkusan ikan keli yang dipesan pembeli.
“Wahhh bagus Syamil, belum habis belajar tapi dah praktikkan apa yang dia belajar. Muda lagi dah ada minda usahawan”
Sesungguhnya dari senyum lebar sang Abah, saya pasti beliau amat berbangga. Terima kasih Allah, kurniakan kami pengajaran bermakna melalui anak ini.
Terima kasih anak, memberi Abah dan Ummi pengalaman belajar banyak ilmu hidup yang tidak dituliskan dalam mana-mana buku. Alhamdulillah…
Sumber/Foto : Ezatul Marini
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sakit hati kan bila diri dianiaya, dikhianati malah dilemparkan fitnah pada satu hal yang tak pernah sekalipun dilakukan. Boleh jadi dendam kesumat, bila si pelempar fitnah itu tak sudah-sudah mengata, memberi kata nista. Jadi tak mudah untuk kita maafkan.
Sudahnya, diri sendiri pun sakit juga. Tak bahagia sebab terlalu derita dengan perbuatan jahat orang lain. Ada caranya bagaimana mahu memperoleh kembali rasa bahagia itu. Hadamkan pesanan Ustazah Hannan Alias ini.
Ujian Fitnah Itu Bersebab
Orang buat jahat kepada kita. Fitnah kita. Pecah belahkan hubungan kita dengan pasangan. Huru harakan circle yang kita ada. Semua ini pasti bersebab. Dan punca itu pasti dari diri kita.
Baik.
Cuba renung sejenak.
Kenapa seramai-ramai orang, kita yang kena? Kenapa sebanyak manusia kat atas muka bumi ni, tapi kita yang Allah pilih untuk rasa semua kesakitan ini?
Jawapannya ialah, mungkin ada dari sikap dan perbuatan kita yang mengundang fitnah dan kesakitan itu hadir kepada kita.
Mungkin ada yang jawab. Tapi, dia mula dulu. Saya tak kacau hidup dia. Dia sebar cerita buruk itu.
Saya tak salah.
Ok.. baik. Shhh..
Hening diri seketika.
Lihat terus ke dalam diri.
Baca sini : Kalau mudah sentap belajarlah memafkan, ubah hati untuk mudah menerima
Walau Sebesar Zarah Pun Akan Dapat Balasan Allah
Aku ni mulia sangat ke sampai tak pernah buat silap? Ya, aku ni hebat sangatkah sampai orang tak boleh petik aku? Aku ni pasti masuk syurga ke sampai semua orang kelihatan hina dipandangan ku saat ini?
Kadang-kadang, kita lupa, yang kita juga manusia yang masih busuk kentutnya. Masih penuh najis di perut. Maka, di mana mulia dan hebatnya kita?
Allah izin orang buat kita pasti kerana silap kita. Kita membuka ruang untuk orang salah faham dengan kita dan akhirnya, timbullah cerita yang tidak enak. Dan perkara yang menyakitkan kita.
Benar. Mereka fitnah kita. Mereka buat kita macam-macam. Tapi ingat, kita tetap menjadi penyumbang kenapa mereka begitu.
Bukan kah Allah kata, walau sebesar zarah, semuanya akan dapat balasannya. Jadi sekarang, mungkin kesilapan kita sebesar zarah itu. Namun, itulah yang perlu kita selesaikan. Jangan kerana sebesar zarah itu, kubur kita menjadi sebahagian dari lubang neraka. Nauzubillah..
Jaga Diri Agar Tak tersentuh Api Neraka
Dia nak buat apa ke kita. Itu dia punya pasal. Allah ada untuk nilai dan hukum mereka. Sekarang yang paling penting adalah diri kita! Ya! Kita! Jaga diri kita dari tersentuh dari api neraka. Jaga diri kita dari terus diazab oleh Allah.
Lebih baik kita rasa azab sakit hati di dunia. Dari kita menanggung azab sengsara di akhirat kelak.
Sakit di dunia, kita masih ada peluang untuk bertaubat. Back to Allah. Dan Allah bersihkan kita.
Bayangkan kalau kita sama naik berlawan dengan mereka. Dia kutuk kita. Kita maki dia. Sedar-sedar, dah meninggal. Tak sempat bertaubat dan minta maaf. Akhirnya tanggung la kesakitan itu dai’man abadan abada.
Allahu..
Maafkan Bukan Kerana Mereka Layak Dimaafkan
Sebagaimana yang selalu dipesan oleh bu guru kepada saya..
Hannan, kita maafkan bukan kerana mereka layak untuk kita maafkan. Tapi kita maafkan sebab untuk jaga diri kita. Untuk kebahagiaan kita. Maka lepaskan dan ikhlaskan atas setiap kejadian.
Nak buat tak mudah. Tapi boleh dibuat! Ia bermula dari dalam!
Dunia dalaman menentukan dunia luaran anda.
Jelas?
Moga dapat sesuatu. Moga lebih kuat selepas ini ya.
Terima kasih Allah menghadirkan guru-guru yang mulia.
Sumber/Foto : Hannan Alias
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Memang tak mudah menjadi suri rumah. Apatah lagi jika sebelum ini pernah bekerja, boleh jumpa kawan-kawan di pejabat dan ada duit sendiri untuk beli apa yang disukai. Bergelar suri rumah sering dipandang ‘sebelah mata’ oleh masyarakat walaupun memiliki pendidikan tinggi dan tugas yang mulia berkorban demi anak-anak serta keluarga.
Perkara sebegini membuatnya wanita yang menjadi suri rumah sering berperang dengan emosi sendiri.Malah ada malu untuk mengaku diri hanya seorang suri rumah, berkhidmat untuk keluarga.Ia membuatkan diri mudah murung, rasa sedih, hilang keyakinan diri dan sebagainya.
Buat para suri rumah hilangkan keresahan ini dan bangkitlah lawan emosi tersebut.Pujuk hati dan belajar berdamai dengan ketentuan Allah.
Jemput baca perkongsian oleh Puan Nurul Hanisah Ahmad ini untuk memberi semangat buat para suri rumah.
JANGAN MALU MENJADI SURI RUMAH
Pergi menemani suami ke mana-mana, pasti ada makcik-makcik (biasa di masjid) akan bertanya, Ustazah kalau kerja anak sapa jaga, saya tersenyum dan kata saya jaga sendiri, tak kerja?
Macam-macam feedback dapat hehe.
“ohh rugilah tak kerja”
“oh mudahlah, senang gitu, laa ni payah nak cari pengasuh”.
Kadang bila tengok muka makcik yang tanya berubah, saya akan sambung juga,
“Sambil-sambul duk sambung belajar”
“Oh yaa ka..”...muka depa bercahaya kembali tak tipu hehe
Mula-mula tak nafi, ada terdetik di hati, lintas sahajalah tak masuk ke hati sangat, malulah tak kerja, belajar habis degree tapi bila orang tanya macamtu, ehh tak ada usaha ke nak bina kerjaya sendiri.
Saya pernah masuk ke alam kerja, itupun chambering ja hampir setahun, tapi saya tak dapat bayangkan kemana anak saya jika saya bekerja ketika itu jika saya sudah ada anak, balik pun maghrib masih di atas bas. Dunia peguam memang sibuk, kawan-kawan saya yang kuat memang saya salute (ramai classmate saya yang dah jadi lawyer dan dah ada keluarga) memang power!
Jadi saya belajar berdamai dengan ketentuan, Allah meletakkan saya ditempat yang paling indah buat saya, di masa depan belum tahu, paling diperlukan keluarga atau masyarakat.
Jadi suri rumah jangan MALU!
Anda suri rumah yang berniaga online, atau anda tidak berniaga pun, jangan MALU, yang penting anda tahu apa yang anda buat.
“Meniagalah,tak adalah melangut ja kat rumah tunggu duit suami”
Nop, bagi saya berniaga atau tidak, awak lebih tahu situasi awak, jangan rasa bersalah jika awak tak berniaga, boleh jadi awak dah berbincang dengan suami awak, untuk fokus pada anak-anak sahaja untuk beberapa tahun ini, JANGAN MALU dengan keputusan itu.
Jangan Malu, bila balik kampung, adik beradik semua kerja, awak tak kerja jangan malu!sebab banyak kelebihan yang Allah beri pada awak.
Situasi kita semua lain-lain, kita yang tahu apa yang terbaik untuk keluarga kita.
Suri rumah sekarang semua cantik-cantik, mengalahkan wanita bekerja hehe, tandanya stigma wanita suri rumah kotor, busuk, minda tertutup, semua dah tak boleh guna, bahkan ramai suri rumah sudah lebih produktif, menulis buku,banyak membaca,buat aktiviti homeschool dengan anak-anak,bahkan lebih bahagia.
Berdamailah dengan ketentuan Allah.
Masa saya kecil, saya gembira bila balik dari sekolah kebangsaan, bau masakan mak di dapur, rasa bahagia sekali, makan kenyang-kenyang, kemudian bersiap ke sekolah agama pula, memori yang sangat indah, walaupun saya tak tahu di masa depan Allah takdirkan saya bekerja atau tidak, semoga saya dapat wujudkan nemori indah-indah semuanya untuk anak-anak,amin.
Umm A’yyash❤
Semoga perkongsian ini bermanfaat!
MW: Jadi buat wanita yang menjadi suri rumah, jangan sesekali rasa malu dengan amanah dan tanggungjawab ini.Pedulikan apa yang orang lain kata, kita lebih mengetahui apa yang terbaik buat keluarga kita.
Sumber: Nurul Hanisah Ahmad
Makluman: Artikel yang diterbitkan ini telah mendapat keizinan daripada penulis asal.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mendidik anak-anak merupakan tanggungjawab bersama mak dan ayah. Namun seringkali peranan mendidik dan menjaga anak-anak tersebut diserahkan bulat-bulat, sepenuhnya kepada kaum mak-mak. Luahan rasa hati yang dikongsikan oleh Puan Zulaika Harun, mungkin mewakili keluhan perasaan yang ramai mak-mak alami. Semoga perkongsian ini, membuka mata kaum ayah dan suami agar lebih menghargai isteri dan turut sama membantu dalam mendidik dan membesarkan anak-anak.
Berikut antara perkongsian beliau;
“Awak yang nak berhentikan dia minum botol kan. Saya tak nak dengar apa-apa”
Wahai suami, kenapa lidah tu tajam sungguh bila bersuara. Tak terfikirkah terguris hati isteri?
Hanya kerana rengekkan anak, mengganggu tidur malam suami. Tugas yang menyusahkan dan melecehkan diserah bulat-bulat pada isteri.
Kenapa? Sebab isteri suri rumah? Apa-apa yang berkaitan rumah semua awak tak nak ambil tahu termasuk mendidik anak-anak? Kalau anak dihantar ke pengasuh pula, perihal anak-anak pengasuh pula yang kena settlekan.
Hellooo, buat anak nak, jaga anak tak nak!
Tugas jaga anak bukan sekadar belikan baju, belikan susu, belikan mainan, bayar pengasuh.
Bukan duit, duit, duit!
Duit tu baru satu.
Kalau duit tu dah bertimbun sangat, hal anak semua nak serah kat orang. Give up lah jadi bapa.Siapa cakap anak-anak ni nanti dia retilah bila dah besar.
Nanti sampai masa pandailah.
Plisss lah, anak kalau tak dididik, tak diajar. Tang mana nak pandai sendiri? Kalau susu badan, 2 tahun pun ibu-ibu nak stop dah. Sama je kalau susu botol.
Tak kan tiba-tiba anak awak tu pandai sendiri.Ini baru isu botol susu.
Belum ajar anak ke toilet. Nak tunggu anak pandai sendiri buka pampers, tiba-tiba ke toilet buang air. Siap pandai cuci sabun dan flush! Perghhh, Albert Eistein yang genius pun tak cenggitu.Tinggi sangat imaginasi awak wahai bapa-bapa.
Anak Perlu Diajar Satu Persatu
Anak perlu diajar, satu – satu. Ya, memang leceh. Memang menguji kesabaran. Buang botol susu anak tu, seminggu dua merengek. Lepastu dah tak minta dah. Boleh minum pakai cawan.
Ajar anak ke toilet. Buka pampers dia. Pakai seluar tanpa pampers. Seminggu dua. Pandailah ke toilet. Tak perlu pakai pampers lagi dah.
Dengar macam senang kan. Tapi prosesnya, para ibu lah yang merasa azab sorang-sorang kalau dah si ayah tak nak ambil tahu. Bersabar dengan rengekkan anak. Nangis kuat-kuat menjerit nak susu, nak susu. Tak boleh tidur tak ada botol kat mulut. Terbangun tengah malam minta susu, tak dapat nangis lagi.
Kalau toilet training, setiap 10 minit ibu tanya nak kencing tak? Nak berak tak?
Setiap 30 minit bawak anak ke toilet, suruh kencing. Kadang terlupa, habis basah rumah anak kencing. Kene bersihkan. Belum lagi part kita dah shhhh shhhh kat toilet sampai 20minit tak kencing-kencing. Keluar je toilet, sarung seluar. Basah pula dia kencing. Kene bersihkan lagi.
Penat. Ya, PENAT. LETIH. Menguji emosi dan fizikal. Tapi ibu-ibu ni sabar. Tak lama. Seminggu dua pandailah anak aku ni. Tapi ayah??
Dahlah tak menolong, dia DOWN kan lagi si ibu ni.
Nak bicara tentang tidur malam yang nyenyak? Dari pregnant ibu tak tidur nyenyak. Sakit-sakit dalam pantang pun tak tidur nyenyak. Anak dah dua tiga tahun pun masih tak dapat nak tidur nyenyak.
Belum part anak sakit. Anak demam. Boleh jadi satu malam dia tak tidur. Dan awak ayah-ayah pertikai tentang tidur awak?? sungguh tak adil!
Sama-Sama Laksanakan Tugas
Kami ibu-ibu bukan merungut. Tapi soal mendidik anak biarlah sama-sama kita laksanakan tugasnya. Bertolak ansur dan bertoleransi. Siang isteri dah berhempas pulas sendirian menjaga anak dan mengurus rumah. Ayah balik kerja paling-paling sejam dua je layan anak awak tu. Pukul 10 anak2 ngantuk nak tidur dah.
Pejam je lah mata tu, dan tutup mulut tu. Tolong je lah isteri awak. Bukan anak orang lain. Anak awak juga. Awak kerja esok. Isteri pun ada kerja esok. Duduk rumah dengan anak-anak bukan tak de kerja nak buat.
Sekali isteri tak nak peduli dah tentang rumah dan anak-anak. Jangan terkejut awak balik rumah, anak tak mandi, pampers penuh dan anak berak tak cuci. Rumah macam tongkang karam. Anak nangis lapar. Baru awak tahu kenapa dunia awak selalu indah.
Isteri tak minta pun awak amik cuti, ajar anak benti botol.
Isteri tak minta pun awak cuti, ajar anak pergi toilet.
Tak, mereka buat sendiri.
Awak hanya perlu sokong dan tolong sikiiit je.
Jadi, tutup mulut dan tolong tanpa persoal.
Fikirlah tentang mereka, kasihani mereka dan sayangi mereka.
Balik tu amik masa peluk dan ucaplah terima kasih pada isteri.
Pelukan awak tu powerfull wahai encik suami.
Ia boleh hilangkan rasa penat lelah isteri seharian.
Ia bole padam api kemarahan isteri.
Ia boleh hilangkan rajuk dan kecil hati isteri.
Iya. Peluk jerr.
Tak payah bagi bunga, bagi coklat. Bagai.
Tak payah sampai nak bawak naik helikopter pusing satu Malaysia.
Peluk sahaja. Dan say thank you.
Tak susah pun, isteri hepi. Anak hepi. Awak pun hepi.
#tolerate
#SalamKeluargaBahagia
Pliss share with love.
Sumber: Zulaika Harun
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI