Kasih ibu tiada penghujungnya. Sanggup berkorban apa saja demi anak-anak. Seorang ibu mampu menahan apa juga rintangan dan dugaan yang melanda, asalkan anak tersayang dapat pulih sepenuhnya.
Ikmal Amiliah bt Mhd Isa, 38, sesungguhnya mampu menjadi inspirasi buat ibu-ibu lain. Ketabahan dan kecekalannya membuatkan hati tersentuh saat berbicara dengan wanita muda berjiwa kental ini. Malah kekentalan dan ketabahannya turut diwarisi oleh Adi Harris yang terus kuat melawan penyakitnya. Malah melihatkan penampilan Adi yang sentiasa ceria, pasti ramai tidak menyangka derita yang sedang ditanggung anak kecil itu.
Dilahirkan Sihat
Ikmal Amiliah atau mesra dipanggil Amie, diduga saat anak bongsunya, Adi Harris, didiagnosis dengan penyakit kanser Neuroblastoma Stage 4 High Risk. Hati ibu mana yang tak remuk tika menerima perkhabaran tersebut. Namun sebagai hamba-Nya, Amie sedar ini adalah ujian Allah untuknya.
“ Adi Harris bin Rosidin, lahir pada tanggal 31 Jan 2015. Dilahirkan sihat dan cukup bulan. Adi mempunyai empat orang abang iaitu Adam Harris,14 tahun, Aiman Harris, 12 tahun, Azha Harris, 10 tahun, Akmal Harris, 7 tahun.
“ Adi membesar dengan sihat sehinggalah pada usia 7 bulan, bahagian belakang tapak tangannya membengkak hingga ke siku. Risau dengan keadaan itu, saya dan suami bawa dia ke hospital. Setelah x-ray, doktor kata tiada yang merisaukan dan kami tunggu temu janji seterusnya.
“ Ketika umur Adi 1 tahun 2 bulan, dia batuk-batuk dan kami bawa ke klinik. Tapi doktor masih sama. Kali ketiga ke klinik baru doktor dapat kesan kelainan pada hatinya. Hati Adi telah membengkak dan terus dirujuk ke hospital.
Ads
“ Mac 2016, Adi disahkan menghidap kanser Neuroblastoma Stage 4 High Risk. Kanser saraf yang tumor utamanya di adrenal sebelah kanan dan telah merebak ke beberapa bahagian dalam tubuh badannya seperti hati, tulang, saraf utama.
” Adi menjalani rawatan di HKL. Dia telah menjalani beberapa fasa termasuk pemindahan sum-sum tulang. Kini telah memasuki fasa keenam: Ubat makan CisRetinoic Asid yang perlu dimakan selama setahun.
“ Tetapi setelah masuk bulan keenam, Adi tak mampu lagi meneruskan rawatan kerana badannya telah membengkak dan mengalami alahan terhadap ubat tersebut. Doktor telah mengarahkan pemberhentian serta merta segala ubatan bagi memberi peluang dirinya menerima rawatan penyembuhan alahan sahaja,” ujar Amie membuka bicara.
Cuti Tanpa Gaji
Demi memberikan sepenuh perhatian pada anak bongsunya, Amie telah mengambil cuti tanpa gaji.
Ads
“ Setelah doktor diagnosis Adi menghidap kanser, saya telah mengambil cuti tanpa gaji dan sepanjang rawatan Adi lebih kurang dua tahun, saya sentiasa ada di sisinya. Keputusan itu saya ambil kerana ia membolehkan saya fokus dengan rawatan Adi manakala suami akan bekerja dan menjaga empat orang anak lain.
“ Memang rasa kasihan pada anak-anak yang terpaksa ditinggalkan namun terpaksa saya kuatkan hati demi melihat Adi sembuh. Saya berterima kasih pada anak-anak. Besar pengorbanan jiwa anak-anak yang ditinggalkan. Mengurus diri mereka sendiri tanpa ada pembantu rumah. Hanya ada ayah untuk memantau. Setiap hari hanya doa yang saya kirimkan buat suami dan anak-anak. Semoga mereka sentiasa dalam lindungan rahmat dan kasih sayang-Nya.
“ Saya kini telah mula kembali bertugas pada Feb 2018.Keadaan Adi juga nampak bertambah baik. Cuma Adi masih belum boleh pergi ke taska sebab masih belum menerima suntikan vaksin. Adi memerlukan pengulangan suntikan vaksin seperti bayi yang baru lahir kerana Adi telah menjalani pemindahan sum-sum tulang pada Jan 2017,” tambah Amie lagi.
Kos Rawatan
Ketika ini, akui Amie, Adi sudah semakin kurang ulang alik ke wad dan tidak memerlukan peralatan sokongan. Maka kos rawatan tidak sebesar sewaktu masih dalam rawatan dulu.
Ads
“ Banyak duit simpanan yang dikeluarkan bagi menampung kos sara diri, kos ulang alik hospital, kos anak yang ditinggalkan, kos ubatan dan hospital dan kos-kos sampingan. Tapi itulah pengorbanan yang perlu dibayar demi melihat Adi sembuh.
“ Kini Adi masih dalam pemantauan pihak hospital. Cuma sudah tidak lagi menerima rawatan kansernya. Setiap tiga bulan Adi akan ke Klinik Pakar Onkologi di Institut Pediatrik HKL bagi melakukan ultrasound dan pemeriksaan yang berkaitan bagi tujuan pemantauan kesihatannya. Adi juga telah mula menerima vaksin pertama pada Oktober 2018,” kongsi ibu cekal ini.
“ Selain itu, anak kedua saya pula seorang Mild Autisme + Mild Disleksia. Diagnosis ketika umurnya 3 tahun dan memulakan rawatan di Hospital Putrajaya pada 2009 sehingga tahun 2013. Manakala suami saya pula seorang kanser survival (leukemia) tapi masih perlu menjalani pemeriksaan rutin kerana disahkan menghidapi Cronic Hepatitis B ketika masih dalam rawatan sebelum ini,” Kongsi Amie.
Cari Kekuatan Diri
Amie juga mengakui, sebagai manusia biasa, pasti akan ada ketikanya jiwa rasa terlalu rapuh. ” Bila kita di dalam wad, memandang keadaan sekeliling yang mana anak-anak lain yang diuji kesakitan sebegini setiap hari berperang untuk hidup. Mereka sangat kental, kuat semangat.
” Sebagaimana mereka setiap hari berjuang untuk terus hidup, berusaha untuk terus melihat esok, begitu juga saya akan sokong Adi untuk terus melihat dunia. Adi sendiri memiliki semangat juang yang tinggi. Sentiasa tersenyum dan ceria walau diduga dengan penyakit kronik. Ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk melihat dia sembuh sepenuhnya. Saya serap semangat juang Adi agar saya juga tidak sesekali mengalah.
“ Ketika anak sakit, suami jarang di sisi kerana hospital jauh dan perlu jaga anak-anak lain di rumah. Tapi Allah hadirkan sahabat-sahabat yang selalu datang membantu. Saya sangat berterima kasih pada kumpulan perubatan dan sokongan hospital, ibu bapa, kawan-kawan, jiran, guru-guru anak saya dan orang-orang sekeliling yang sangat baik. Walaupun sebenarnya ada ketika saya juga lemah, hampir tersungkur menyembah bumi, tapi saya pilih untuk kuat dan terus kuat menghadapi hari depan, demi orang-orang yang saya sayang,” akhiri Amie menutup bicara.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Dalam satu hari mesti ada saja anak yang akan buat ‘perangai’. Itu kalau seorang, kalau anak ramai, macam-macam peel ada. Gaduh dan marah dengan adik-adik yang lain. Sampai satu tahap, mesti salah seorang yang akan menangis.
Kadang-kadang, anak yang suka marah sebab dia perlukan perhatian daripada mak ayah. Namun, mak ayah jangan pula biarkan anak terus dalam keadaam seperti itu. Kena ada cara untuk mengajar atasi kemarahan anak-anak itu.
Macam mak ayah sendiri, memang marah kalau anak buat perangai. Begitu juga dengan anak-anak, sifat ini berlaku kerana terikut-ikut cara mak ayah. Jadi, lepas ini, mak ayah kena ada cara yang betul untuk ajar anak ye. Jangan biarkan anak terus dalam keadaan marah, bimbang timbul masalah lain.
Perkongsian daripada Faizatul Iman ini, boleh membuka mata mak ayah di luar sana untuk mengajar kaedah terbaik dalam mengatasi anak yang suka marah-marah.
Rupanya marah pun ada peraturan. Ini lah yang perlu kita aplikasikan dan ajar kepada anak-anak. Ilmu baru yang saya dapat daripada Puan Maznah Ibrahim. Katanya marah itu tidak salah kerana ia adalah satu perasaan spontan apabila sesuatu dirasakan ancaman.
Ajar anak-anak untuk melabelkan perasaan mereka, sehingga mereka dapat meluahkan perasaan marah, kecewa, dan kecewa. Isi penting untuk diingatkan kepada anak-anak. “Marah adalah okey” “Tidak apa-apa untuk merasa marah namun;”
Tidak boleh cederakan diri, cederakan orang lain, rosakkan barang di sekitar dan tidak boleh menyerang secara lisan atau fizikal
Contoh ayat untuk kita yang sedang marah, dan perlu untuk kita ambil masa untuk redakan kemarahan.
“Ummi juga sangat marah macam adik. Ummi pergi ke dalam bilik dulu untuk tenangkan diri sebab ibu tak nak cederakan sesiapa. Adik boleh teruskan keluarkan marah adik disini. Bila dah selesai, datang pada ibu.”
Katanya lagi, dengan ini anak tahu
1. Apa yang anak boleh buat
2. Dimana ibu dia berada
3. Anak tahu ibu dia mahu dia selamat
4. Ibu ada masa untuk bertenang
Kadang kala, tingkah laku agresif berpunca dari pelbagai perasaan tidak selesa, seperti kesedihan atau rasa malu. Oleh itu, bantulah anak kita meneroka kenapa mereka berasa marah.
Contohnya:
Mungkin mereka merasa sedih kerana janji tidak ditunaikan, tetapi mereka bertindak balas dengan marah kerana lebih mudah atau menutup rasa sakit yang mereka rasakan.
Kaedah terbaik untuk mengajar anak-anak bagaimana menangani kemarahan dengan bermula macam mana cara marah yang betul ditunjukkan oleh ibu bapanya:
1. Menunjukkan kepada mereka bagaimana kita menangani emosi anda ketika anda merasa marah.
Apabila anak-anak memerhatikan kita hilang sabar, mereka mungkin akan melakukan perkara yang sama. Tetapi, jika mereka melihat kalian mengatasi perasaan dengan cara yang lebih lembut, lebih lembut, mereka juga akan mencontohinya
2. Nyatakan masa-masa ketika kita merasa kecewa sehingga anak faham bahawa orang dewasa kadang-kadang marah juga. Tidak apa-apa untuk mengatakan,
“Ayah kecewa dan marah apabila abang memukul ayah tanpa sebab.“ Melafazkan perasaan kita akan mengajar anak-anak untuk membincangkan emosi mereka.
3. Bertanggungjawab atas tingkah laku kita ketika kita kehilangan ketenangan di hadapan anak-anak . Minta maaf dan bincangkan apa yang seharusnya di lakukan.
“Ibu minta maaf kerana abang terpaksa melihat ibu berteriak hari ini ketika ibu marah. Ibu sepatutnya berjalan-jalan untuk menenangkan diri ketika ibu marah dan bukannya menaikkan suara. “
Kanak-kanak perlu mengetahui cara yang sesuai untuk mengatasi kemarahan mereka. Daripada diberitahu,
“Jangan pukul kawan,”
Jelaskan apa yang dapat anak lakukan ketika mereka merasa kecewa atau marah dengan lafazkan menggunakan kata-kata bahawa kita marah atau kecewa atau jauhilah kawan tersebut ketika merasa marah.
Bincang dan buat anak berfikir “Apa yang dapat abang lakukan selain daripada memukul untuk redakan kemarahan abang ni?” Ianya dapat membantu anak kita mengenal pasti strategi yang mungkin bermanfaat.
Kita juga boleh membuat alat penenang yang dapat digunakan ketika mereka marah. Isi kotak dengan barang-barang yang dapat menenangkannya, seperti buku mewarnai dan krayon untuk menconteng, losyen yang berbau harum, atau muzik yang menenangkan. Melibatkan pancaindera anak dapat menenangkan fikiran dan badan.
Begitulah,
Marah is okey, namun jangan jadi tabiat suka marah marah.
MW: Marah itu perasaan spontan. Ajar anak kawal marah dan mak ayah pun kena kawal diri juga.
40 tahun hidup bersama tiba-tiba suami ‘pergi’. Allahu sedihnya luahan dari seorang wanita yang suaminya ‘pergi’ menghadap Ilahi.
Rindu yang paling sakit adalah merindui orang yang telah tiada. Apatah lagi selepas 40 tahun tinggal sebumbung sebagai suami isteri.
40 Tahun Hidup Bersama Tiba-Tiba Suami ‘Pergi’
Sememangnya perkongsian dari Ustaz Hanafi Malek menerusi akaun Facebooknya mengenai seorang wanita yang kehilangan suami begitu syahdu. Wanita berkenaan sukar melupakan arwah suaminya walau arwah sudah meninggalkannya setahun yang lalu.
“Ustaz, dulu setiap pagi saya buat kopi untuk suami saya. 40 tahun hidup dengan dia, tiap-tiap hari saya buat kopi untuk dia.
“Sekarang ni, walaupun dah lebih setahun dia pergi, saya tak boleh lupa. Saya tak boleh tengok kopi, saya kan teringat pada suami saya.”
Saya tengok kain pelikat dia, saya teringat dia lagi. Saya tak boleh ustaz. Saya tak tahu macam mana nak hilangkan rasa sedih ni.”
Ada seorang wanita, datang jumpa saya. Cerita kesedihan yang dia alami selepas suaminya meninggal dunia.
Dia tanya, macam mana nak hilangkan sedih bila suami tercinta pergi menghadap Illahi?
Saya tanya dia balik,
“Anak-anak balik ziarah tak?”
“Ada ustaz. Anak-anak ada juga balik ziarah.” Jawab wanita ni.
Alhamdulillah..
Ujian Paling Besar Adalah Kehilangan Orang Tersayang
Tuan puan,
Ujian paling besar yang menimpa manusia adalah ujian kehilangan orang tersayang. Boleh jadi suami atau isteri, mak ayah atau anak-anak yang pergi meninggalkan kita.
Saya juga pernah alami pengalaman yang sama beberapa kali.
Emak saya telah meninggal dunia. Begitu juga dengan dua anak perempuan saya yang meninggal dunia ketika usia 1 tahun 4 bulan dan 7 bulan.
Sedih tu payah nak cerita. Rindu yang tak dapat nak diungkapkan dengan kata-kata.
Apa yang saya boleh kongsi. Bila rindu dan teringatkan orang yang telah pergi, ada beberapa perkara yang kita boleh buat.
Pertama, tenang
Usaha untuk tenang, tuan puan. Tenang bila hadapi apa-apa ujian.
Bila hati tenang, kita mampu kawal emosi dan bertindak melulu. Tak salah nak bersedih dan menangis, tapi jangan berlebih-lebih.
Cara nak tenang, kena banyakkan zikrullah. Banyak ingat Allah.
Yakin setiap apa yang kita ada adalah pinjaman dan Allah berhak mengambil bila-bila masa saja yang Dia kehendaki.
Kedua, tingkatkan amal ibadah.
Bila sedih, banyakkan ibadah kepada Allah. Banyakkan baca Al-Quran, bersedekah, solat terutamanya qiamulalail.
Salah satu cara nak kuatkan jiwa adalah solat malam.
Ketika kita bersendiri, mohonlah pada Allah dengan sesungguh hati. Mohon Allah kuatkan jiwa kita dalam menghadapi ujian. Allah swt pemilik hati kita, dan padaNya jua kita minta kekuatan.
Ketiga, banyakkan sedekah dan amalan baik dan diniatkan untuk orang yang lebih dulu meninggalkan kita.
Ada tiga talian hayat bagi orang yang dah meninggal dunia.
Sedekah jariah,
ilmu yang bermanfaat,
dan anak soleh yang selalu mendoakan.
Jika si dia yang telah pergi ada meninggalkan harga, infaqlah sebahagiannya di jalan yang Allah redhai.
Sebarkan ilmu bermanfaat yang diajarkan si mati, dan didiklah anak-anak yang tinggalkan dengan ajaran agama yang sebaiknya.
Keempat, sibukkan diri dengan menuntut ilmu.
Hanya dengan ilmu agama yang benar, banyak rahsia-rahsia kehidupan akan tersingkap. Iman dan keyakinan kita kepada Allah swt juga akan bertambah.
Ini menjadikan kita lebih tenang dan lapang menghadapi pemergian insan yang tersayang.
Tuan puan, setiap yang hidup pasti akan melalui kematian.
Jika hari ini, insan yang kita sayang telah pergi menghadap illahi, entah esok lusa kita pula yang menyusul.
Tuan puan, kematian bukanlah pengakhiran dan titik akhir hidup kita. Ada perjalanan panjang dan destinasi abadi yang menanti setiap manusia.
Moga Allah kumpulkan kita dengan keluarga tercinta di syurga sana,” kongsi Ustaz Hanafi.
Hidup kita tak pernah lari daripada berdepan masalah dan adakala mak,ayah terasa begitu letih apabila kerap diuji. Selepas satu masalah, diikuti masalah lain hingga satu saat mak, ayah buntu dan tidak tahu apa yang harus dilakukan.
Sebaiknya setiap kali mak, ayah berdepan dengan masalah, bagi ruang secukupnya pada diri sendiri. Kemudian ambil masa untuk bertenang dalam mencari penyelesaian. Barulah keputusan yang diambil tidak mengikut emosi dan membawa kebaikan untuk semua orang disekeliling.
Tempoh bertenang ini adalah masa untuk kita mewaraskan kembali fikiran dan menstabilkan semula emosi…
Berapa ramai yang menggunakan tempoh bertenang apabila menghadapi masalah? Apabila menghadapi kesulitan? Ada yang terus buat keputusan ikut perasaan…
Sebaiknya, ambillah masa bertenang terlebih dahulu atau lalui tempoh bertenang ini sebelum memutuskan untuk melakukan apa-apa keputusan yang melibatkan diri kita ataupun orang lain…
Bagi Peluang Pada Diri Sendiri
Sesekali itu, bagilah ruang dan peluang untuk diri sendiri…
Jangan fikir tentang masalah, jangan fikir tentang penyelesaian, jangan fikir tentang apa-apa… lalui sekejap hidup seperti biasa tanpa perlu memikirkan apa-apa yang melanda jiwa…
Kita perlukan waktu untuk diri sendiri… Untuk menilai akan apa yang terbaik yang harus kita buat, untuk diri sendiri… Tanya diri kita sendiri:
“Apa yang aku nak sebenarnya… Apa yang terbaik untuk aku…”
Listen to yourself… Selama ini, kita mungkin hanya memenuhi keinginan orang lain sehingga terlupa akan apa yang kita sendiri inginkan dalam hidup kita…
MW: Sebelum membuat satu-satu keputusan, ambil masa sebaiknya dan beri ruang pada diri sendiri. Barulah mak, ayah tidak tertekan dan dapat hadapi masalah dengan lebih tenang.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...