Anak bertarung nyawa retak tempurung kepala ditolak di sekolah, ibu rayu doa orang ramai. Seorang murid perempuan dilaporkan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas mengalami kecederaan parah di kepala akibat dipercayai ditolak rakan ketika berada di sekolah.
Mangsa, Aisyah Sofia Binti Rohaizan kini tidak sedarkan diri selepas disahkan mengalami retak pada tempurung kepala, berlaku pendarahan dalam kepala dan tidak sedarkan diri. . Hal ini dikongsikan ibunya, Zalinda Lin di media sosial yang meminta doa dari orang ramai untuk keselamatan anak perempuannya itu.
Menurut ibunya, kejadian tragis ini berlaku secara tiba-tiba dan dia sendiri tidak dapat membayangkan kekuatan tolakan yang menyebabkan anaknya mengalami kecederaan sebegitu serius.
“Saya tak tahu dan tak dapat fikir sekuat mana kawan dia tolak sampai jadi begini. Namun saya redha dan cuba berlapang dada atas apa yang berlaku,” katanya.
Ibu kepada Aisyah turut merayu orang ramai, ahli keluarga dan kenalan untuk bersama-sama mendoakan kesembuhan anak ketiga dari empat beradik ini untuk kembali sembuh.
“Semoga Allah mengurniakan kesembuhan yang sempurna, memudahkan urusan rawatan, melindunginya dari sebarang komplikasi, serta mengembalikan senyum dan cerianya seperti dahulu. Semoga ada di antara kalian yang doanya diangkat Allah. Amin,” ujarnya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Maut dirempuh kereta, peserta Rumah Ngaji rebah dalam keadaan memeluk Al-Quran. “Allahyarhamah Hamizah rebah dalam keadaan masih mendakap al-Quran yang diterimanya.”
Demikian kata Rohana Husin, 58, sahabat rapat kepada Hamizah Ahmad, 55, yang meninggal dunia selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta ketika melintas di simpang tiga Felda Air Tawar 4, awal pagi Rabu.
Kejadian berlaku sekitar jam 4 pagi, sejurus arwah tiba di Felda Air Tawar bersama rombongan Pertubuhan Pendidikan Rumah Ngaji Negeri Johor (PPRNNJ). Mereka baru pulang daripada menghadiri Konvensyen Rumah Ngaji Malaysia 1.0 yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan pada Selasa.
Menurut Rohana, sepanjang menghadiri konvensyen tersebut, arwah dikenali sebagai seorang yang sentiasa ceria dan bersemangat. Malah, arwah sempat menghafal surah As-Saff serta turut bersama rombongan membaca surah Al-Mulk pada malam terakhir sebelum kembali ke rumahnya di Felda Air Tawar 5.
“Allahyarhamah dilihat memeluk al-Quran yang diberikan pihak penganjur dengan penuh rasa syukur dan gembira.
“Kejadian menimpa Allahyarhamah Hamizah dirempuh kereta itu turut disaksikan suaminya sendiri yang berada tidak jauh dari lokasi kejadian,” jelas Rohana.
Tambahnya lagi, arwah merupakan seorang yang sangat aktif mengikuti majlis ilmu dan begitu teruja menyertai rombongan PPRNNJ ke konvensyen tersebut.
“Hamizah cukup bersemangat untuk ke Konvensyen Rumah Ngaji walaupun baru pulang dari Hari Peneroka di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur pada Ahad.
“Dia dan suami tiba di Air Tawar 5 pada tengah malam Ahad dan Hamizah bertolak menaiki bas bersama peserta lain ke Konvensyen Rumah Ngaji pada jam 7.30 pagi, Isnin.
“Walaupun rakan-rakan sudah cadangkan Hamizah untuk tidak sertai kami dan seeloknya berehat, namun dia tetap hendak ke Konvensyen Rumah Ngaji,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Penyelaras PPRNNJ, Rodziah Kamal, menyifatkan pemergian Hamizah sebagai kehilangan besar kerana arwah merupakan antara ahli yang aktif dalam program Rumah Ngaji, khususnya di kawasan Felda di Kota Tinggi.
Gegaran gempa bumi lemah di Segamat, kerajaan Johor nasihat elak struktur tidak kukuh. Kerajaan Johor menasihati orang ramai agar menjauhi struktur-struktur tidak kukuh dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa, susulan gegaran gempa bumi lemah yang dikesan berlaku di Segamat pada jam 6.13 pagi tadi.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz berkata, beliau telah berhubung dengan Pegawai Daerah Segamat, Mohd Ezzuddin Sanusi dan dimaklumkan bahawa setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan.
“Kerajaan Negeri Johor sedang memantau keadaan ini dengan teliti bersama agensi berkaitan. Nasihat saya kepada rakyat, jauhi struktur-struktur tidak kukuh dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa.
“Pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan terus membuat pemantauan rapi dan mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa,” katanya dalam hantaran di laman Facebook pagi ini.
Beliau turut mengajak rakyat sama-sama berdoa agar negeri Johor serta seluruh negara sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon dalam hantarannya berkata MetMalaysia telah mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian gempa bumi itu.
Beliau berkata, berdasarkan data yang direkodkan, gegaran tersebut berkekuatan 4.1 magnitud di daerah yang jaraknya terletak kira-kira 180 kilometer dari ibu negeri itu dan turut dirasai di kebanyakan kawasan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan selatan Pahang.
“Jabatan Meteorologi akan membuat pemantauan lanjut dan mengeluarkan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” katanya.
Kes Zara Qairina: Pelajar SMKA TDML trauma diejek ‘pembunuh’ dan ‘pembuli.’ Rentetan kes kematian pelajar SMKA Tun Datu Mustapha Limauan (TDML), Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, warga sekolah kini mendakwa berhadapan tekanan emosi yang semakin meruncing.
Seorang guru sekolah berkenaan, Amit Hamid, melalui satu hantaran di Facebook menceritakan bagaimana pelajar-pelajar sering menjadi sasaran ejekan. Katanya, ada kenderaan yang melalui kawasan sekolah menjerit perkataan “pembunuh” dan “pembuli”, seolah-olah keseluruhan komuniti sekolah dipersalahkan. Kejadian itu jelas memberi kesan mendalam kepada emosi pelajar.
Situasi tersebut turut menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan ibu bapa. Amit menjelaskan, ada sebahagian pelajar yang sudah membuat keputusan untuk berpindah ke sekolah lain kerana tidak sanggup menanggung tekanan perasaan.
Beliau tidak menolak kemungkinan jumlah pelajar yang mengambil langkah sama akan bertambah sekiranya keadaan ini berlarutan. Warga sekolah juga gusar dengan sentimen negatif di media sosial, termasuk kempen boikot yang boleh menjejaskan imej institusi pendidikan Islam berkenaan.
Dalam kenyataan sama, Amit menegaskan bahawa seluruh warga SMKA TDML juga mahukan keadilan untuk arwah Zara Qairina. Beliau menafikan dakwaan bahawa sekolah berusaha menutup apa-apa fakta berkaitan kes tersebut.
Jelasnya lagi, pihak berkuasa telah menjalankan siasatan sejak awal kejadian, manakala pihak sekolah sentiasa memberikan kerjasama penuh.
Berikut catatan penuh Amit Hamid:
Hakikatnya Allah akan mengangkat doa-doa mereka yang di zalimi. Warga TDML tidak pernah diam atau membisu. Buat Masa ini hanya mampu merayu dan memohon pada Yang Maha Esa. Suara kecil kami warga TDML tidak akan mampu mengawal/melawan Racun yang telah tersebar di luar sana, HANYA KEPADA ALLAH KAMI BERSERAH.
Rentetan Kes Viral SMKA TDML, ramai pelajar TDML tertekan dan emosi mereka sangat-sangat terganggu. Beberapa kali anak-anak TDML yang sedang beriadah/menunggu giliran berwuduk mendengar jeritan PEMBUNUH & PEMBULI daripada kereta lalu-lalang di hadapan sekolah.
Inikah suara Keadilan yang ditegakkan oleh netizen seolah-olah semua warga sekolah ini adalah PEMBUNUH & PEMBULI. Hari demi Hari berlalu… kerisauan & tekanan pelajar serta ibu bapa semakin meningkat.
Beberapa orang pelajar terpaksa memilih untuk melangkah berpindah ke sekolah Lain. Mungkin jumlah ini bakal bertambah. Sedar tak sedar, kesah ini bakal menghancurkan Institusi Pendidikan Agama Islam. Malahan kempen perhimpunan BOIKOT SEKOLAH di hadapan sekolah ini mendapat sambutan ramai di media Sosial.
Saya sangat-sangat sedih, terdapat golongan agamawan turut terpengaruh dengan FITNAH yang tersebar. Satu perkara netizen perlu tahu, kami warga sekolah juga mahukan keadilan untuk Almarhumah Zara.
Kami juga tidak pernah sembunyikan apa-apa tentang kisah ini. Pihak berauthoriti telah jalankan tugas dengan baik sejak hari pertama kejadian. Warga sekolah juga memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan berlangsung. Yakinlah pada ALLAH YANG MASA BERKUASA.
Berilah ruang untuk kami Warga TDML dapatkan ketenangan. Berilah kesempatan untuk anak-anak kami fokus dalam pelajar untuk menghadap peperiksaan SPM & STPM yang semakin hampir.
KAMI MERAYU DAN MEMOHON JANGAN GANGGU ANAK2 KAMI YANG TIDAK BERSALAH. KAMI SAYANGKAN SEKOLAH INI.
Moga urusan kes Zara Qairina dipermudahkan. Sama-samalah kita berdoa.