Kadangkala mak ayah sukar nak memahamkan tingkah laku anak yang tiba-tiba bertukar bila mereka meningkat usia. Si kecil jadi ‘mood swing’ dan masalah tingkah laku ini memeningkan kepala mak ayah.
Mak ayah kena bertenang, sebab ada cara lebih cool yang boleh bantu mak ayah tangani masalah tingkah laku si kecil. Inilah yang dikongsikan pleh Occupational Therapist, Puan Maryam Jamadi.
Contoh Masalah Tingkah Laku
Di bawah ini adalah contoh masalah tingkah laku yang biasa muncul sekitar umur anak 18 hingga 3 tahun.
1. Pukul
2. Gigit
3. Tendang
4. Hantuk kepala
5. Baring di lantai
MAK AYAH FAHAMI FISIOLOGI ANAK
Masalah tingkahlaku memang normal bagi anak berumur 18 bulan hingga 3 tahun kerana fasa ini mereka dah ada kehendak sendiri walaupun kehendak tersebut susah nak ditunaikan dan kadangkala “merepek” seperti nak makan cicah sambal, tarik mak ayah ke pintu untuk keluar rumah di tengah malam, nak minum air panas menggelegak dan sebagainya.
Sebelum ini anak cuma tahu menangis atau ketawa sahaja. Perasaan gembira, kelakar, bahagia dan geli di geletek semua diluahkan dengan cara senyum dan ketawa. Emosi yang tak “best” pula seperti lapar, haus, bosan, cemburu, sakit perut, marah atau panas diluahkan dengan cara menangis.
Mereka belum “pandai” marah lagi semasa bayi disebabkan bahasa yang terhad. Sebenarnya “pandai” marah juga adalah salah satu perkembangan emosi bagi anak ya, jangan risau.
Disebabkan keterujaan dengan emosi baru iaitu marah, mereka jadi pelik dan cuba berlatih meluahkan perasaan marah seterusnya memerhati respon mak ayah. Macam “orang yang baru dapat kaki”, sentiasa nak berlatih. Pantang ada “point” sikit, ada sahaja yang nak dimarahnya, sikit-sikit nak baring di lantai, sikit-sikit nak mengamuk baling barang, semua benda tak kena dan menangis tak tentu pasal.
Anak yang dulunya comel, “behave” dan penyayang, tiba-tiba jadi pemarah apabila masuk umur 18 bulan. Mereka mengalami “mood swing” kerana mereka baru sedar yang banyak cara sebenarnya nak luahkan perasaan bukannya dengan cara menangis dan ketawa. Sebab itu mereka akan cuba pelbagai cara asalkan mereka dapat apa yang dikehendaki.
7 CARA MENANGANI TINGKAH LAKU ANAK
Ada banyak cara sebenarnya nak atasi masalah tingkahlaku sebab setiap mak ayah ada caranya tersendiri untuk mendidik anak. Dibawah ini adalah tips mengatasi masalah tingkahlaku daripada saya:
1. AUTONOMI
Mak ayah perlu faham keadaan anak, cuba bayangkan kita di tempat anak di mana situasi kita di negara asing yang perlukan bantuan tetapi semua orang tak faham apa kita cakap. Puas kita menjerit dan buat pelbagai “body sign”, orang lain masih buat muka “blur” dan kadang-kadang buat tak endah. Mesti rasa nak tumbuk dinding kan?
Sama juga seperti anak, mak ayah yang tidak memahami kehendak anak akan menyebabkan anak cenderung mengalami masalah tingkahlaku. Kena faham, anak umur 18 hingga 3 tahun adalah fasa autonomi vs malu/sangsi dalam perkembangan emosi dan sosial. Satu sahaja yang mereka mahukan semasa fasa ini, iaitu autonomi.
Kebebasan untuk bermain sendiri, makan sendiri, pakai baju dan seluar sendiri, pilih baju sendiri, pakai kasut sendiri, makan lauk yang mereka mahu sahaja dan sebagainya. Masa ini anak dah ada makanan kegemaran, warna kegemaran, patung kegemaran dan watak kegemaran mereka. Perlu faham situasi mereka, baru boleh bertindak dengan betul.
Jangan sesekali menghukum sebelum menyiasat kerana ia akan menyebabkan anak menjadi malu/sangsi tak ada keyakinan diri kelak.
Ads
2. MINDSET
Walau cuba pelbagai cara, mindset mak ayah masih tak ke jalan yang benar memang semuanya tak akan jadi. Mak ayah perlu tegas yang “NO MEANS NO” semasa menangani tingkahlaku yang tidak diingini.
Contoh situasi:
A) Anak mengamuk tak mahu kemas mainan walaupun sudah pandai kemas, semakin disuruh semakin mengamuk baling mainan.
Kalau sekali mak ayah layankan amukan anak, disuakan handphone, dipeluk, dibuatnya muka kesian malah siap cakap “sorry” dengan anak. Maka, maksudnya mak ayah dah di “manipulate’ dengan anak. Lain kali bila berdepan dengan situasi sama, anak akan buat “trick” sama dan benda ini akan berulang sampai anak jadi “kebal” tak kemas mainan.
Ditambah lagi bila ada “penyelamat dunia”, lagilah anak bertambah “kebal” tak kemas mainan. Mereka akan letak mindset yang “aku tak salah, mama papa yang salah”. Bila anak dah mindset sebegitu dari umur 18 bulan, cuba bayangkan betapa “kebal”nya anak bila dah umur 5 tahun kelak.
B ) Anak baring di lantai atau pukul apabila tak dapat apa yang dia nak.
Abaikan dia, jangan dipujuk, jangan dipandang atau dialihkan perhatian kerana anak akan belajar dan mindset yang “kalau nak sesuatu, baring di lantai/pukul”. Maka, situasi ini akan berulang dan berulang lagi. Apabila anak dah reda dan bangun, beritahu yang perbuatannya salah. Mulakan seawal anak “belajar” cara sebegini bagi membendung masalah tingkahlaku yang semakin serius.
Ads
Untuk mengatasi masalah tingkahlaku anak, mak ayah perlu mindset “Kita tak salah, anak yang salah” dan “kita yang bentuk dia, bukan dia bentuk kita”. Jika betul anak buat salah, tak perlu buat muka kesian atau sedih dan tak perlu cakap “sorry” sebaliknya ajar anak minta maaf. Kalau belum pandai sebut “sorry”, ajar anak salam dan cium tangan setiap kali buat salah.
Saya selalu berjumpa kes masalah tingkahlaku dimana mak ayah yang “takut” anak, takut anak nangis, takut anak sedih, takut anak marah, takut anak mengamuk dan sebagainya. Tolong buang perasaan “takut” kepada anak jika mahu menangani masalah tingkahlaku. Jadilah pemimpin anak, bukan dipimpin anak.
3. PERKATAAN KERAMAT
Nak marah anak pun ada caranya. Kalau anak yang umur 2 tahun cukup sekadar guna 1 perkataan keramat seperti “NO” sambil reaksi muka berkerut dan suara yang tinggi sedikit tetapi bukan menjerit atau menengking.
Perkataan keramat ini juga perlu dihadkan penggunaannya, hanya gunakan semasa terdesak sahaja demi memastikan keberkesanan perkataan ini. Kalau setakat anak minum air tumpah sikit ataupun makan tumpah sikit kita dah marah tinggi suara sebut perkataan keramat, lama kelamaan teknik ini dah tak berkesan.
Anak bawah 3 tahun ini bila kita membebel panjang laju-laju pun mereka tak faham, makin membebel makin mereka “mute” suara kita sebab malas nak dengar. Maka, ckap bahasa mudah dan jelas sudah mencukupi.
4. “CRY IT OUT”
Biarkan mereka menangis bila berdepan dengan keadaan di atas sebab menangis adalah cara untuk anak luahkan perasaan. Mereka perlu belajar terima yang tak semua yang kita nak kita akan dapat. Ia dipanggil “frustration tolerance” iaitu ketahanan anak untuk terima kekalahan. “Frustration tolerance” sangat penting dalam perkembangan emosi dan sosial anak contohnya semasa bermain, hubungan sosial dan sebagainya.
Biarkan anak rasa “frust” sekarang supaya mereka dapat hadapi “frust” di masa akan datang tetapi janganlah pula berlebih-lebihan. Risau pula saya, takut ada mak ayah gunakan alasan ini untuk membuli anak.
Ads
Dalam ketegasan kita, perlu juga ada kelembutan. Penerimaan “frust” anak juga ada tahapnya, kalau anak umur 18 bulan beri 10 minit “frust” dah mencukupi selepas itu peluklah anak sambil nasihat jangan lakukan perbuatan itu lagi.
5. ALIHKAN PERHATIAN
Sebenarnya teknik ini memang selalunya berkesan, cuma kadangkala anak akan lupa tentang kesalahan yang dilakukan dan cenderung melakukannya lagi. Terutamanya jika alihkan perhatian dengan gadget. Anak tak “feel” rasa bersalah yang telah dilakukan. Tak ada minta maaf mak ayah dah tarik perhatian dia ke arah tempat lain.
6. PUJUK
Kalau anak menangis sebab benda kecil, boleh dipertimbangkan kaedah pujuk. Pujuk dengan cara peluk seluruh badan anak sambil usap-usap kepala anak.
Tapi kalau dah sampai tahap masalah tingkahlaku mencederakan orang lain dan diri sendiri, TAK PERLU PERTIMBANGKAN kaedah memujuk kerana ini maksudnya masalah tingkahlaku anak dah semakin ‘tebal”.
Pujuk bila anak dah reda dari tangisan dan minta anak minta maaf. Salam dan cium tangan sebagai tanda mereka terima kesalahan yang dibuat. Masa ini adalah masa yang paling sesuai untuk mak ayah buat “sosial story” tentang perbuatan baik dan tak baik.
7. “BUSY BAG”
Normal anak bawah 3 tahun memang suka bermain, bila tak dapat main memang mereka akan meragam dan mengundang masalah tingkahlaku yang tidak diingini. Maka, sangat penting untuk mak ayah kenalpasti punca anak meragam. Kalau sebab nak bermain, memanjat tapi tak dapat seeloknya mak ayah bawa bekal mainan kemana-mana. Boleh google atau cari di pinterest untuk idea busy bag.
Kesimpulannya, pokok pangkal untuk mengatasi masalah tingkahlaku adalah mindset mak ayah untuk menjadi pendidik anak dan bukannya “dididik” oleh anak. Tanamkan niat untuk membesarkan anak yang mendengar kata bukannya dengan niat menghambakan anak kepada mak ayah tetapi belajar menghambakan diri kepada Tuhan juga.
Terima kasih, semoga bermanfaat.
NOTA:
*Anak yang mempunyai masalah tingkahlaku yang serius selalunya mempunyai masalah sensori sama juga dengan kes anak terlewat percakapan. Kalau nak tahu lebih lanjut tentang ini memerlukan penilaian sensori dan tingkahlaku daripada occupational therapist bertauliah.
MW berjaya menghubungi Sharifah Maidin yang merupakan anak sulung kepada pelakon komedi legenda tanah air; Allahyarham Maidin Ibrahim. Selepas satu status yang dimuat naik di facebooknya mendapat perhatian ramai. Kata Sharifah lagi, walaupun bapanya artis dan dikenali ramai, arwah mendidik anak-anak supaya jangan hidup meminta-minta. Biar tak mewah dan bermula dari bawah.
Tambah Sharifah lagi waktu sekolahnya tidak seindah anak artis lain. Dimewahkan dengan pelbagai benda. Sebaliknya dengan duit lakonan yang diterima, abahnya menyara lima anak dan seorang isteri dengan membeli lembu dan kambing. Anak-anak diajar berkebun dan menjaga lembu sambil membaca buku serta mencari rezeki menggunakan tulang empat kerat.
Susah macam mana pun, semuanya dilalui sendiri. Melihat sendiri bagaimana abahnya pernah ditipu dalam pada masa yang sama berkongsi rezeki dengan orang susah (melalui duit bayaran lakonan). Sharifah bersyukur diasuh sebegitu walaupun waktu kecil dulu dia selalu berkecil hati dengan layanan abahnya yang serba kekurangan tak seperti kawan-kawan lain.
Tetapi berkat asuhan orang tuanya, Sharifah dan tiga lagi adiknya hari ini merupakan seorang guru manakala seorang lagi adiknya bertugas sebagai anggota tentera. Betul kata Sharifah dan arwah orang tuanya, hanya pelajaran mampu mengubah kehidupan seseorang.
Allahyarham Maidin Ibrahim pernah popular dengan lakonan filem Anak Mami The Movie, Nana Tanjung dan Mami Jarum Junior meninggal dunia pada 13 Ogos 2014. Allahyarham meninggal dunia akibat serangan jantung di rumahnya di Kampung Pokok Tai, Gurun,Kedah ketika sedang solat Zohor .
Perkongsian dari anak pelakon komedi terkenal Allahyarham Maidin Ibrahim, Cikgu Sharifah Maidin ❤️
Aku layak ckp kot? Aku anak artis juga. Takda la glamer macam depa sangat. Abah aku pelakon komedi ja. Tapi abah ada la dapat award! Takat berlakon 8 ke 9 filem (kot!). Bayaran artis sekarang tak mcm dulu. La ni kemaih! Abah aku dari program realiti juga…Bintang RTM kot. Tapi abah aku besarkan kami lima beradik tak da minta-minta. Minta tolong adalah. Lepas tu bayaq balik. Abah aku kayuh basikal walau artis. Mula dari bawah. Senang sikit naik motor Yamaha ja.
Jiran kata, rumah kami macam padang bola. Kosong! Kereta mula-mula abah aku bukan second hand, tapi fourth hand. Lepas kami kerja, baru abah beli keta baru. Dengan kereta Kelisa tu lah abah pi show sana sini. Tu pun abah selalu kena tipu. Hampa tau abah aku kata apa? Halailah, Allah bagi kat abah balik nanti. Abah aku tak tunggu pendapatan artis saja. Abah aku guna duit lakonan dan berlawak tu beli lembu dan kambing. Kami la manager dia. Kami la drebar dia.
Mak abah ajar kami anak-anak kerja kebun dan tanam jagung. Aku dan adik aku baca buku sambil jaga lembu dalam kebun getah! Kadang-kadang kawan-kawan aku gelak … Betoi ka hang anak artis? Ada aku kisah? Mak abah ajaq kami adik beradik mengadap dunia dengan berani. Hasilnya anak abah dan mak, empat orang guru dan seorang tentera.
Kami dulu kecik hati kat abah sebab abah jarang bawak kami jalan-jalan. Tapi la ni aku faham. Dulu kecik hati nak pakai baju macam artis, mak tak bagi beli. Semua mak jahit sendiri. Mana nak jd artis kalau mak jahit sendiri? Bila lepas SPM mak hantaq aku pulak belajar jahit baju dan belajar komputer. Mak ni, semua benda nak ajar anak dia buat sendiri. Bakat seni memang turun pada aku. Kecik hati bila dapat course Art & Design UITM, tapi mak tak bagi. Kalau tak…kompom aku lawan Rizalman! Mak tau aku nak jadi macam artis. Nasib baik nooo. Orang tua dia tau kita macam mana..
Aku menyanyi di SM Ibrahim, abah tak berapa benarkan. Menyorok-nyorok aku menyanyi. Tapi dia tauu. Cikgu Rahman, cikgu aku pecah rahsia kat dia. Bila dah jadi cikgu baru dia kata kalau boleh nak jadi artis, jadi mcm Siti Nurhaliza, takpa la masa tu nak kawin dah. Buat kena jeling. Boleh jadi artis..tapi kena ada disiplin. Abah kata kena layan macam buat bisnes. Kecut perut aku. Aku menyanyi, berteater dan menari hanya di Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan. Ibu kandung dalam dunia pendidikan aku.
Memangla, jadi artis ni ada masa adalah rezeki abah. Masa dapat banyak offer, abah kongsi kat masjid-masjid dan orang susah. Mak aku pula faveret dia beli periuk belanga. Kami selalu buat kenduri atau jamuan dulu-dulu. Kalau raya, mihun sup gear box mak aku seperiuk besaq…nak habaq! Abah aku buat kenduri untuk peminat dia. Macam artis la ni la, Fan Club. Tapi dulu tak da benda mcm tu.
Barang kemas tak beli sangat..tapi beli periuk yang macam standard nak buat katering! La ni kalau rindu kat mak…tengok ja la periuk mak tu. Memang mak tak suka bergambar sangat. Tapi mak tinggalkan periuk dan pinggan mangkuk. Mak…pah rindu mak! Kami tak di ajar mewah dengan percutian, tapi kami di ajar cara cari duit sendiri. Usaha dengan tulang empat kerat. Ada masa jatuh juga. Tapi jangan ajar diri meminta-minta. Beringat ketika senang. Kerana kita tak tahu bila kita perlukan.
Abah dan mak sangat pentingkan pelajaran, tanpa pelajaran, kita takan dapat mengubah nasib kita. Dan itulah aku pesankan pada anak-anak didik aku yang malas belajar dan bagi alasan sebab miskin. Aku tau, sebab akulah watak si miskin di sekolah dulu.
Dulu tak dak RMT dan bantuan macam sekarang. Kami anak orang susah berdikari ketika kecil, hujung minggu naik bukit mencari ubi dan kayu untuk bantu mak abah. Sedari kecik di ajar bertanggungjawab pada famili. Mak abah kami tak tunggu bantuan turun dari langit dan tak mahu miskin jadi alasan untuk gagal.
Hebat abah dan mak mengatur kejayaan kami. Salute kat depa.
Al Fatihah buat arwah abah dan arwah mak. Rinduuu.
.
Kredit: Farhaan Rahmat
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), isterilah menjadi barisan hadapan di rumah. Dari pagi menyiapkan juadah berbuka, petang pula sibuk menyediaka, juadah berbuka. Mengejar terawih lagi, bukan sesuatu yang mudah buat seorang isteri.
Jadi apa salahnya suami memberi isteri peluang untuk mereka hilangkan stres dengan membeli apa yang mahukan secara online. Keluarkan sedikit bajet dan beri kelonggaran untuk isteri bershopping.
Kalau bukan isteri, siapa lagi nak habiskan duit suami kerana dalam rezeki suami ada bahagian isteri. Tetapi isteri jangan pula keterlaluan. Barulah isteri bahagia, suami pun turut bahagia.
Ikuti perkongsian Dr Taufiq Razif ini dan fahami sedalamnya :
“Buat apa beli selipar ikan ni sayang ku oii”
Mula-mula rasa geram juga. Sebelum ini isteri saya kata hendak shopping barang yang penting-penting saja di Shopee itu tapi eh sampai kat rumah selipar ikan macam ini.
Penting dekat mana selipar ikan macam ini?
Tapi rasa geram itu tiba-tiba bertukar jadi rasa sayu pula bila saya teringat balik ekspresi wajah si dia yang penuh ceria bila abang posmen bagi bungkusan itu dekat dia.
Sebiji macam ekspresi wajah budak-budak yang dapat mainan paling dia idamkan! Boleh rasa macam hati si dia melompat-lompat gitu.
Terapi Stres Uruskan Rumahtangga
Selama PKP di rumah mertua ini jarang si dia berehat sebenarnya. Sudahlah menantu sulung keluarga pula tu. Ada mertua hendak dijaga dan ada anak dan suami yang selalu mintak perhatian daripadanya.
Sedikit sebanyak stres itu tetap ada. Jadi jika pembelian ini boleh buat si dia happy, saya sebagai suami tutup sebelah mata sajalah kerana saya tahu ianya adalah Stress-Reliever bagi si dia. Saya ingat lagi pesan Ustaz Azhar Idrus dalam satu ceramahnya, katanya ” benda ni mainang puang. Doh nok wat guane ke dia “
Saya ingat juga pesan sorang sahabat saya yang juga seorang Jutawan. Katanya begini “kalau bukan isteri kita, siapa lagi nak habiskan duit kita”. Tapi saya tengok tak habis-habis pun duit dia. Makin bertambah jutawan ada lah. Sebab mungkin dia tahu rahsia bahawa dalam pendapatan suami, ada bahagian rezeki untuk si isteri.
Belilah sayang. Masukkan apa pun dalam ‘cart’ shopeemu sayang. Asalkan tak keterlaluan, asalkan ia membuatmu bahagia dan ceria akan abang tutup sebelah mata sahaja.
Kita tak tahu, kadang benda simple di mata suami ni, boleh jadi benda yang paling membahagiakan di mata isteri.
Taufiq Razif
Suka pura pura tidur jika isteri ajak tengok akaun Shopee dia
MW: Kadangkala benda remeh-temeh di mata suami menjadi perkara yang paling membahagiakan buat isteri. Oleh itu, jangan berkira dengan isteri kerana itulah satu-satunya terapi dia setiap kali berdepan dengan tekanan. Jangan lupa izinkan mak-mak shopping ya ayah-ayah sekalian.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Berkebun merupakan terapi buat Siti Mariah Alias, 49 dan suaminya Abdullah Muji, 57. Bukan itu saja malah dengan cara ini juga merupakan salah satu riadah selain dapat mewujudkan jalinan kasih sayang, cinta dan rindu sesama ahli keluarga. Selain itu dengan berkebun dapat merapatkan lagi hubungan dengan anak-anak.
Inilah antara konsep yang digunakan oleh Siti Mariah dan suaminya dalam merealisasikan taman herba di laman belakang rumah. Walaupun tinggal di rumah teres lot tengah tetapi Siti Mariah dan suami tetap berjaya merealisasikan taman herba di belakang rumahnya. Lebih menggembirakan lagi taman di rumahnya pernah diiktiraf sebagai tempat pertama (Juara) di dalam pertandingan Landskap anjuran Majlis Perbandaran sepang, Kategori Rumah Teres Lot tengah 2015.
“Pada masa sama saya turut berinteraksi dengan alam dan menyedut udara segar setiap hari. Ia terapi bagi saya,” katanya yang sangat mengagumi mereka yang memiliki taman yang hebat dan penuh kehijauan.
Tetapi tidak semua orang mempunyai minat berkebun terutama individu yang tinggal di kawasan kediaman teres lot tengah kerana beranggapan ruang yang ada terlalu kecil untuk bercucuk tanam.
“Saya amat mengagumi sebuah rumah yang memiliki sebuah taman yang hebat dan penuh dengan kehijauan. Tidak semua orang mempunyai minat berkebun dan sudah pasti barang siapa yang memilikinya pasti dia juga seorang yang hebat. Apa yang saya suka tentang taman telah lahir dalam diri secara semulajadi,” sambung Siti Mariah.
Tanam Lebih 30 Jenis Tumbuhan Herba
Kadangkala dilihat, mereka yang menetap di rumah teres lot tengah sering mengabaikan halaman rumah di belakang rumah kerana beranggapan ruang sekecil itu tiada daya tarikan jika dihias cantik sekalipun kerana hanya sebuah ruang kosong yang sempit. Tetapi sungguh mengkagumkan dan berlainan sekali dengan rumah Siti Mariah dan suaminya ini mereka menggunakan sepenuhnya bahagian belakang rumah. Usaha pemilik yang menjadikan back line yang sering dijadikan ruang yang terbiar (abandoned space) sebagai sebuah taman herba. Terdapat hampir 30 jenis tumbuhan herba yang ditanam di dalam bekas seperti, pasu yang berbeza saiz.
“Ada antaranya adalah spesis yang jarang ditemui seperti buah ajaib, mahkota dewa, belalai gajah dan sebagainya. Pada saya taman herba ini juga umpama platform meditasi bagi saya sekeluarga merehatkan minda dan fizikal serta mendekatkan diri dengan alam semulajadi. Oleh kerana rumah berada di lot tengah, saya mengambilnya sebagai cabaran apabila bersama suami menggunakan sepenuhnya bahagian belakang rumah dengan menukar 100 peratus ruang terbiar kemudian dihiasi hampri 30 jenis tumbuhan herba yang ditanam di dalam pasu yang pelbagai saiz. Ada antaranya adalah spesis yang jarang ditemui seperti buah ajaib, mahkota dewa, jerangau dan buah letop. Pada saya taman herba ini juga umpama platform meditasi saya sekeluarga merekehatkan minda dan fizikal serta mendekatkan diri dengan alam semulajadi, katanya yang turut menanam herba popular seperti mas cotek jantan, mas cotek betina, bangun2, sabung nyawa, senduduk putih, senduduk ungu, kunyit hitam dan halia bentong,” tambah Siti Mariah lagi.
Wanita ini turut berkongsi mengenai keunikan buah ajaib yang dapat menghilangkan sebarang rasa asal contoh pedas dan menghadirkan rasa manis ketika mengambilnya. Selain herba Siti Mariah turut menanam tumbuhan untuk kegunaan harian dalam masakan seperti, selom, limau purut, limau nipis, lengkuas, cili padi, ulam raja, tomato, rosemary, basil dan lain-lain lagi yang hidup subur kerana diberikan penjagaan rapi.
“Jika hendak masak atau makan ulam-ulaman saya hanya tinggal petik sahaja di belakang rumah, jadi saya boleh jimat belanja selain menyahut seruan kerajaan untuk menanam sayur sendiri. Tanaman kontan ini mudah sahaja penjagaannya. Saya juga turut memberikan hasil kebun herba dibelakang rumah pada rakan-rakan sepejabat dan jiran berdekatan. Ini dapat juga mengeratkan silaturrahim. Pokok terbaru yang saya tanam ialah pokok letup-letup. Pokok ini digunakan dalam perubatan sebagai ubat pening, sakit pinggang dan kanser. Buahnya yang muda boleh dijadikan ulam. Buahnya yang masak boleh dijadikan jus boleh untuk merawat sakit kerongkong,” ujar Siti Mariah yang akui berkebun sama saja dengan kerja-kerja lain di mana perlu jujur, ikhlas dan disertai minat mendalam.
Perlu Konsisten
Dalam konsep penjagaan tanaman di taman herba Siti Mariah juga menerangkan seseorang itu perlulah konsisten.
“Saya dan suami selalunya akan membuang rumput, membaja, menanam yang baru dan mencantas pada hari minggu. Supaya tidak terlupa untuk membaja saya akan setkan dalam telefon bimbit tarikh yang sesuai untuk membaja. Ada sesekali anak-anak juga membantu. Di taman herba ini jugalah saya dan keluarga selalu membuat barbeku atau pun minum-minum petang sambil bersantai dan melihat anak-anak pokok herba membesar dengan sihat cukup menjadi kepuasan pada diri saya dan suami. Saya berbangga kerana mempunyai seorang suami yang memang rajin berkebun, kerana suami banyak membantu. Suami saya bukan sahaja menjaga tanaman yang berada di dalam kawasan halaman rumah tetapi turut mengambil berat ruang diluar kediaman saya. Contohnya ada kawasan tanah lapang dihujung pejalan kaki berhadapan rumah saya. Suami ada menanam pucuk ubi, serai, nenas, keladi, pisang, pandan untuk kegunaan seharian,” kongsinya.
Ditanya tentang rujukan dalam menjaga laman belakang rumahnya, Siti Mariah menerangkan, “Untuk mendapatkan ilmu-ilmu tentang penjagaan pokok-pokok herba ini pula saya selalu membaca blog-blog, membeli majalah dan di media sosial tentang penjagaan pokok. Saya juga ada memberi sedikit tip seperti cara-cara penanaman, penjagaan pokok bersama-sama kawan di media sosial. Pada saya inilah salah satu cara untuk memberikan ilmu dan sedekah secara tidak langsung. Menjaga pokok ini sebenarnya tidak susah kerana bukan membaja semata-mata menjadikan pokok kita hidup gemuk dan subur.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Pemergian Roslina Yusof, isteri peniaga air balang yang tabah melawan diabetes, menyentuh hati ramai. Suami setia, Ah Yauddin Ahmad, reda isteri pergi selepas sempat mengucapkan kata cinta terakhir.