“Aman Graseka bukan dipaksa, dia sendiri mahu temankan saya berniaga.” Itulah yang dijelaskan oleh isteri kepada pelakon veteran iaitu Reena Arina yang tampil menafikan dakwaan segelintir pihak kononnya dia memaksa suaminya yang sedang uzur untuk bekerja dan berniaga.
Reena berkata, segala tuduhan itu tidak berasas kerana suaminya sendiri memilih untuk menemaninya berniaga atas dasar tanggungjawab dan kebimbangan terhadap keselamatannya.
“Kerja memasak dan semua urusan lain saya buat bersama mak dan keluarga. Abang Aman hanya risau saya keluar berniaga seorang diri, jadi dia temankan.
“Saya tak boleh buka payung, dia tolong buka payung. Dia susun makanan sedikit sebanyak sahaja, bukannya angkat kayu balak pun,” katanya menerusi video penjelasan di TikTok.
Reena Arina Cerita Hal Sebenar
Menurut Reena, dia terkilan apabila wujud dakwaan kononnya suaminya tidak mendapat rehat secukupnya sehingga terpaksa bekerja dalam keadaan tidak sihat.
Sebaliknya, kata Reena, Aman yang menghidap diabetes sendiri mahu berada di sisi bagi memberi sokongan moral serta mengelakkan persepsi negatif masyarakat.
“Dia sendiri risau kalau orang kata dia ada isteri tetapi biar isteri berniaga seorang diri. Dia tak mahu orang tuduh dia makan hasil titik peluh saya.
“Jadi dia pilih untuk temankan saya, bukan sebab dipaksa,” jelasnya.
Reena turut menafikan dakwaan kononnya dia mengerah suaminya sehingga tidak mendapat rehat mencukupi, termasuk membangunkan Aman pada waktu pagi untuk ke pasar.
Kalau Tak Kerja, Siapa Nak Bagi Makan
Sebaliknya, jelasnya, rutin itu dilakukan secara berasingan bagi menjaga keadaan kesihatan aktor berkenaan.
“Dia bukan tak cukup tidur. Kalau saya ke pasar, saya pergi seorang diri. Saya tak kejut dia, saya bagi dia rehat cukup sebab dia perlu memandu.
“Waktu malam pula saya yang memandu. Dia pun tak larat nak buat kerja berat, jadi saya yang uruskan,” katanya.
“Kalau tak bekerja, siapa nak cari makan?”
Mengulas isu usia dan keadaan kesihatan suaminya, Reena berkata, seseorang tidak seharusnya berhenti berusaha selagi masih mampu mencari rezeki.
“Tak kira umur berapa pun, kalau Allah nak uji dengan sakit, Dia akan uji juga. Hidup mesti diteruskan.
“Di kampung saya pun ramai yang masih bekerja walaupun sudah berusia. Kita tak boleh bergantung sepenuhnya kepada anak-anak,” katanya.
Terdahulu, Reena membuat penjelasan itu selepas menerima pelbagai komen netizen yang mendakwa Aman sepatutnya berehat kerana faktor usia dan kesihatan.
Sebelum ini, Reena turut berkongsi keadaan Aman yang mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani selepas mengalami batuk, demam dan sakit kepala, selain disyaki mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.
Isu itu turut menjadi perhatian selepas anak Aman, Nurul Dayini Ashiqah, meluahkan rasa tidak puas hati di Threads mendakwa bapanya dipaksa bekerja meskipun sedang sakit teruk.
Nurul Dayini ialah hasil perkahwinan Aman bersama bekas isterinya, penyanyi Mas Idayu.
Bagi penggemar makanan pedas, cili padi memang antara bahan wajib yang sentiasa ada di dapur. Sama ada untuk sambal belacan, masakan tumis, sup mahupun lauk kampung, kehadiran cili padi mampu menaikkan rasa dan aroma masakan dengan lebih menyelerakan.
Namun satu masalah yang sering dihadapi ramai suri rumah ialah cili padi cepat rosak selepas disimpan beberapa hari di dalam peti sejuk. Ada yang menjadi lembik, bertukar warna, berair malah ditumbuhi kulat sebelum sempat digunakan sepenuhnya.
Lebih menyedihkan apabila cili padi dibeli dalam kuantiti banyak ketika harga murah, tetapi akhirnya terpaksa dibuang kerana rosak.
Sebenarnya terdapat satu kaedah mudah yang boleh membantu menyimpan cili padi dalam tempoh yang sangat lama tanpa menjejaskan rasa pedas dan kesegarannya.
Petua yang dikongsikan oleh Mazeline Soning ini menggunakan bahan yang sangat mudah didapati di rumah iaitu garam, gula dan cuka makan.
Menariknya, kaedah ini bukan sahaja membantu mengekalkan kesegaran cili, malah boleh membuatkan ia tahan sehingga bertahun-tahun jika disimpan dengan betul.
Ramai tidak menyedari bahawa kelembapan berlebihan merupakan punca utama cili padi cepat berkulat dan lembik.
Apabila cili disimpan dalam keadaan masih basah atau bekas yang tidak bersih, bakteria dan kulat akan lebih mudah membiak.
Selain itu, penyimpanan dalam bekas yang tidak kedap udara juga menyebabkan kualiti cili semakin menurun dalam tempoh singkat.
Disebabkan itu, cara penyimpanan memainkan peranan penting bagi memastikan cili padi kekal segar untuk tempoh yang lama.
Berikut langkah-langkah mudah yang boleh diamalkan:
Mula-mula, cuci cili padi menggunakan air bersih bagi membuang kotoran dan sisa racun yang mungkin melekat pada permukaannya.
Selepas dicuci, pastikan cili ditoskan sehingga benar-benar kering.
Langkah ini sangat penting kerana air yang berlebihan boleh mempercepatkan proses kerosakan.
Seterusnya, potong sedikit bahagian hujung tangkai cili padi.
Tujuannya adalah untuk memudahkan cili menyerap bahan perapan yang akan digunakan nanti.
Selain itu, ia juga membantu proses fermentasi berlaku dengan lebih baik.
Masukkan cili ke dalam bekas yang bersih dan kering.
Kemudian taburkan sedikit garam dan gula secukupnya sehingga meliputi keseluruhan cili.
Gabungan kedua-dua bahan ini membantu mengawal pertumbuhan bakteria serta mengekalkan tekstur cili.
Biarkan bekas tersebut pada suhu bilik selama antara 12 hingga 24 jam.
Dalam tempoh ini, proses fermentasi semula jadi akan mula berlaku.
Inilah rahsia yang membantu cili tahan lebih lama berbanding penyimpanan biasa.
Selepas tempoh tersebut, tuangkan cuka makan sehingga semua cili padi tenggelam sepenuhnya.
Pastikan tiada bahagian cili yang terdedah kepada udara kerana ia boleh menyebabkan kulat terbentuk.
Kemudian tutup rapat bekas tersebut dan simpan di dalam peti sejuk.
Apabila mahu memasak, ambil cili padi secukupnya tanpa perlu mengambil cuka yang digunakan untuk merendam.
Menariknya, rasa pedas dan aroma cili masih kekal walaupun telah disimpan dalam tempoh yang lama.
Kaedah ini sebenarnya menggunakan konsep fermentasi semula jadi.
Garam membantu mengawal pertumbuhan bakteria berbahaya manakala gula menjadi sumber makanan kepada bakteria baik yang membantu proses pengawetan.
Pada masa sama, cuka bertindak sebagai agen antibakteria semula jadi yang menghalang pembentukan kulat dan kerosakan.
Sebab itulah cili padi yang disimpan menggunakan kaedah ini mampu bertahan lebih lama berbanding cara biasa.
Satu lagi tip penting ialah memilih bekas simpanan yang sesuai. Untuk hasil terbaik, gunakan balang atau bekas kaca yang bersih dan kering.
Bekas kaca lebih tahan lama serta tidak mudah menyerap bau berbanding bekas plastik. Ia membantu mengekalkan kualiti cili dalam tempoh penyimpanan yang panjang.
Selain menjimatkan wang, kaedah ini juga memastikan stok cili sentiasa tersedia untuk digunakan pada bila-bila masa.
Tragedi berulang di Simpang Renggam, laluan yang selalu ‘ambil nyawa’ kerana berlaku kemalangan. Kali ini empat orang maut dalam eksiden ngeri melibatkan lima buah kenderaan.
Kejadian berlaku kira-kira jam 1.16 tengah hari, mangsa yang maut ialah pemandu Toyota Vios, Mohd Aiman Mohd Rashid, 36, Nur Airish Syifa Sidek, 10, Nor Azlina Abd. Latif, 33, dan Semek Mat Soh, 73.
Kesemua mangsa menaiki Toyota Vios yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah Perodua Alza, Proton Wira, Mercedes E240 dan sebuah BMW.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Ismail Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.16 tengah hari.
Menurutnya, sebuah jentera bersama lima anggota dikejarkan ke lokasi dan tiba kira-kira sembilan minit kemudian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Setibanya di lokasi, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan lima buah kenderaan dengan beberapa mangsa terperangkap di dalam Toyota Vios.
“Pasukan bomba bertindak menjalankan kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas,” katanya.
Beliau berkata, tiga mangsa dalam Toyota Vios ditemui meninggal dunia di dalam kenderaan tersebut, manakala seorang lagi mangsa wanita warga emas tercampak keluar dan ditemukan di atas sebuah Mercedes yang terlibat dalam kemalangan itu.
Katanya, mayat kesemua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke hospital bagi tujuan bedah siasat.
Sementara itu, pemandu Perodua Alza, Husnizam Hisamudin, 38, mengalami kecederaan dan menerima rawatan lanjut, manakala beberapa mangsa lain dilaporkan selamat.
Pemandu Proton Wira berusia 22 tahun bersama empat penumpang Mercedes E240 dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius, manakala pemandu BMW telah dibawa ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak polis dan operasi menyelamat di lokasi kejadian selesai selepas semua mangsa berjaya dikeluarkan serta keadaan berjaya dikawal.
Berita yang dinanti orang ramai, akhirnya pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang ketika mendaki di kawasan Gunung Batu Putih di Ipoh, Perak sejak 15 hari lalu ditemui selamat petang ini.