Sebelum ini tular video ketika Aliff Aziz makan biskut raya bersama ahli keluarganya dan netizen ternampak frame gambar wajah bekas isterinya, Bella Astillah ditutup.
Aliff Aziz Jelaskan Isu Gambar Dalam Frame Ditutup
Hal ini menjadi komen dan persoalan kepada sesiapa sahaja yang melihat, namun apabila ditanya penyanyi dan pelakon lelaki ini, dia memilih untuk tidak mencampuri urusan hiasan dalaman kediaman ibu bapanya.
Memilih untuk tidak mengulas lanjut berkaitan isu tersebut selain mempertahankan ibunya, Siti Hafiza Basharahil dengan menyatakan bahawa visual tersebut muncul tanpa disengajakan ketika sedang merasa kuih raya.
Sekali lagi, ini adalah perkara yang saya rasa tak sesuai untuk dikongsi. Itu adalah rumah mak ayah saya, terpulanglah kepada mereka apa hiasan yang mereka nak letak dalam rumah.
Ads
“Umi (ibu) saya bukan sengaja, masa itu tengah buat reviu makan dan mungkin ramai orang yang ada masa untuk ‘freeze frame’ dan sebagainya.
“Saya tak boleh komen banyak sebab dalam rumah mak ayah saya,” katanya.
Fokus Baiki Diri
Ads
Pelantun lagu Sayang Sayang itu menegaskan enggan membiarkan komen negatif mengganggu fokus utamanya ketika ini.
“Setiap orang ada persepsi masing-masing. Kalau saya nak buat sesuatu dalam hidup mengikut kata orang, maka saya akan berada di tahap itu sahaja.
“Saya sudah melakukan banyak perkara bodoh dalam hidup saya. Jadi sekarang ini saya perlu fokus untuk perbaiki diri,” ujarnya.
Ads
Sebelum ini, tular sebuah video memaparkan beberapa keping foto keluarga di kediaman ibu bapa Aliff di Singapura yang didakwa menutup bahagian wajah Bella Astillah.
Perkara tersebut mencetuskan rasa tidak puas hati dan berang dalam kalangan peminat Bella yang menyifatkan tindakan Hafizah sebagai keterlaluan.
Untuk rekod, Aliff sebelum ini pernah mendirikan rumahtangga dengan Dayang Nabellah Awang Astillah pada 9 September 2016 namun bercerai pada 13 Jun 2024 selepas mendakwa bekas suaminya itu curang sebanyak 11 kali.
Berkait isu lawatan anak Fattah Amin dan Fazura semalam, masih ramai yang kurang jelas tentang prosiding komital apabila salah seorang daripada pasangan memilih untuk bertindak sedemikian.
Sebelum pergi lebih jauh dalam isu ini dan mengelakkan daripada anda salah faham, jemput baca perkongsian daripada Peguam Syarie Syuhada Zulkifli..
Sejak semalam, saya hanya memerhati “kepakaran” netizen yang begitu pantas mengulas sesuatu isu.
Tanpa memahami hujung pangkal, hanya membaca tajuk “menang kalah”, terus membuat kesimpulan dan berpihak. Untuk berpihak kepada mana-mana pihak itu tidak salah. Namun, fahamilah dahulu asas sesuatu permohonan – khususnya apabila melibatkan prosiding komital.
Permohonan komital bukanlah sesuatu yang difailkan secara sewenang-wenangnya. lni bukan berlaku hanya kerana dua atau tiga kali pelanggaran, terus dibawa ke mahkamah. Tidak semudah itu.
Komital merupakan satu permohonan yang kompleks – lazimnya difailkan setelah satu pihak melalui proses yang panjang dan mencabar hanya untuk mendapatkan hak mengambil atau bertemu anak.
Di pihak peguam pula, setiap permohonan perlu disokong dengan pliding yang terperinci serta penghujahan yang kukuh bagi meyakinkan mahkamah.
Ini bukan tindakan terburu-buru, tetapi merupakan langkah terakhir setelah pelbagai usaha lain tidak berhasil.
Apa itu komital?
Komital ialah suatu prosiding mahkamah untuk menghukum pihak yang ingkar terhadap perintah mahkamah – biasanya melibatkan ketidakpatuhan yang jelas dan berterusan.
Dalam konteks Mahkamah Syariah, komital sering timbul apabila:
– Hak lawatan anak tidak diberikan
– Hak bermalam dinafikan
– Atau perintah mahkamah langsung tidak dipatuhi.
Secara mudah, apabila mahkamah telah mengeluarkan perintah tetapi satu pihak sengaja mengingkari atau – maka tidak mengendahkannya – komital adalah tindakan untuk memastikan perintah tersebut dipatuhi.
Pihak yang ingkar akan dipanggil ke mahkamah dan mahkamah akan menilai sama ada benar berlaku pelanggaran.
Sekiranya sabit, tindakan boleh dikenakan seperti denda atau penjara.
Namun, penting untuk difahami tujuan utama komital bukan untuk menghukum, apatah lagi untuk memenjarakan.
lni adalah satu bentuk peringatan tegas supaya perintah mahkamah dihormati dan dipatuhi.
Permohonan ini boleh difailkan:
⚫ secara sebelah pihak (ex parte) sekiranya terdapat keperluan mendesak, atau
⚫ secara kedua-dua pihak (inter partes).
Dalam kes Fazura-Fattah, satu sahaja ulasan saya:
– Permohonan tersebut difailkan secara ex parte, namun telah ditolak. Justeru, ini akan diteruskan secara inter partes, di mana kedua-dua pihak akan diberi ruang untuk didengar dan diadili dengan sewajarnya.
Dalam banyak keadaan, komital menjadi satu “wake-up call” kepada pihak yang ingkar supaya kembali mematuhi perintah mahkamah – terutamanya dalam isu melibatkan anak. Di sesetengah negeri, sebelum memfailkan komital, kebenaran mahkamah perlu diperoleh terlebih dahulu.
Justeru, apabila permohonan kebenaran atau komital ditolak, itu bukan bermaksud tiada pelanggaran berlaku.
Boleh jadi:
Terdapat alasan munasabah mengapa anak tidak dapat diserahkan, atau dalam tempoh prosiding berjalan, pihak yang ingkar telah kembali patuh setelah dinasihati peguam.
Apabila Yang Arif melihat keadaan telah kembali kepada asal, maka permohonan tersebut wajar ditolak.
Ketika keputusan dibacakan, Yang Arif bukan sekadar menolak atau membenarkan permohonan tetapi turut memberikan peringatan kepada pihak yang mempunyai hak jagaan penuh mengenai akibat mengingkari perintah mahkamah.
Sekali lagi ditegaskan – prosiding komital bukan semata-mata untuk menghukum.
lni adalah satu peringatan yang tegas. Jika benar tiada pelanggaran, permohonan ini tidak akan melepasi peringkat untuk difailkan sekalipun.
Ditolak bukan bererti tiada kes.
Apabila sesuatu perkara telah sampai ke mahkamah dan difailkan, itu menandakan adanya hak yang didakwa telah dinafikan dan dalam kebanyakan keadaan, ia melibatkan hak seorang ibu atau bapa untuk bertemu anak.
Ini bukan soal siapa – bukan Fazura atau Fattah.
Hanya mereka yang melalui sendiri akan benar-benar memahami.
Hak tetap hak.
Apabila nafkah anak diberikan, adalah tidak munasabah untuk menafikan hak seorang bapa melihat anaknya sendiri.
Saya sendiri sedang mengendalikan satu kes komital yang masih berjalan – melibatkan seorang ibu yang dinafikan hak lawatan.
Bukan seminggu. Bukan sebulan. Tetapi dua tahun.
Dua tahun tidak dapat bertemu anak yang disembunyikan.
Pelbagai rundingan telah dibuat. Pelbagai usaha telah diusahakan.
Namun tiada hasil.
Akhirnya, mahkamah menjadi jalan terakhir untuk menuntut hak seorang ibu – hanya untuk bertemu anaknya sendiri.
Bagi yang tidak melalui, mudah untuk berkata:
“Move on.”
Namun cubalah duduk sehari di Mahkamah Syariah.
Lihat sendiri berapa ramai yang berjuang hanya untuk satu perkara – hak bertemu anak.
Barulah difahami, ini bukan sekadar soal emosi.
Ini soal hak.
Apabila seseorang itu layak, berhak, dan diiktiraf oleh undang-undang atau syarak untuk memiliki sesuatu – maka orang lain wajib menghormatinya.
Daripada terus mengecam, lebih baik kita mendoakan agar kedua-dua pihak menemukan jalan perdamaian dan komunikasi yang lebih harmoni.
Walaupun hubungan sebagai suami isteri telah berakhir, hubungan sebagai ibu dan ayah tidak pernah terputus.
Demi anak, semoga yang tinggal bukan sengketa tetapi kematangan dan tanggungjawab.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Anak penjual goreng pisang raih 11A+ SPM & Hafiz Quran ditawar program MARA ke Jordan.
Seorang anak kepada penjual pisang goreng, Fakhrul Iman Zainudin yang mencatat pencapaian luar biasa meraih 11A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 semalam menerima rezeki tidak disangka-sangka apabila ditawarkan mengikuti pengajian melanjutkan pengajian ke luar negara melalui tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Telok Kemang, Port Dickson yang juga merupakan seorang hafiz Al-Quran 30 juzuk ditawarkan berita gembira ini oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Haji Dusuki mengikuti pengajian ke Jordan di bawah tajaan MARA ketika hadir bersama ibu bapanya ke Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai peluang pembiayaan pendidikan MARA.
jelas Pengerusi MARA ini pencapaian cemerlang Fakhrul melayakkan dirinya dipertimbangkan untuk menyertai program khas MARA ke Jordan yang dikhususkan kepada pelajar tahfiz berprestasi tinggi.
“Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk mendalami bidang Syariah dengan pengkhususan dalam Ekonomi dan Kewangan Islam, selaras dengan keperluan semasa negara,” katanya.
Menurut beliau, Malaysia sebagai antara peneraju global dalam industri kewangan Islam memerlukan lebih ramai tenaga pakar yang bukan sahaja mahir dalam Syariah tetapi turut mempunyai kepakaran dalam bidang ekonomi dan kewangan moden.
Dalam pertemuan tersebut, Dr. Asyraf turut berkongsi pengalaman beliau dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam serta menggalakkan Fakhrul memperluaskan skop pengajian bagi menghadapi cabaran masa depan.
Beliau turut menitipkan pesanan agar Fakhrul tidak melupakan jasa ibu bapanya yang membesarkan beliau dengan hasil jualan pisang goreng.
“Dengan ilmu, insya-Allah kehidupan keluarga dapat diubah. Jangan sesekali lupakan pengorbanan ayah dan ibu,” katanya.
Fakhrul merupakan anak kepada peniaga kecil yang dikenali sebagai “Abang Din Goreng Pisang” dan kejayaannya dilihat sebagai contoh bagaimana latar belakang sederhana bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.
Pertemuan itu turut diserikan dengan suasana santai apabila Dr. Asyraf sempat menguji hafazan Al-Quran Fakhrul secara berseloroh, sebagai tanda keyakinan terhadap kemampuan pelajar tersebut.
Kisah kejayaan Fakhrul mencerminkan bahawa usaha, disiplin dan pendidikan berkualiti mampu mengubah masa depan sekali gus memberi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Itulah realiti yang dilalui oleh Su’aidah Syakirah Suhaimi, 21 tahun, pelajar malaysia tahun kedua jurusan Usul Fiqh yang kini menetap di Algiers, Algeria.
Berasal dari Dungun, Terengganu, Suaidah sudah hampir tiga tahun berjauhan dengan keluarga. Bila tiba Syawal, rasa itu lain. Sunyi, tapi dalam masa sama membentuk dirinya menjadi lebih kuat.
Bagi Suaidah, pagi raya di Algeria tidak sama seperti di Malaysia. Tiada suara ibu mengejutkan pagi raya, tiada hiruk-pikuk di dapur, dan tiada tradisi bergambar bersama keluarga.
“Kadang-kadang tu menangis juga masa video call dengan family,” kongsinya jujur.
Sebagai wanita di perantauan, momen seperti ini menjadi antara cabaran emosi paling besar, menahan rindu dalam diam.
Walaupun jauh, Su’aidah dan rakan-rakan pelajar Malaysia cuba mencipta suasana raya mereka sendiri.
Daripada membuat kuih raya seperti almond London dan kuih Dahlia, sehinggalah mencuba membuat lemang menggunakan cawan kertas. Semuanya dilakukan bersama sebagai satu komuniti kecil.
Malah, mereka turut menghias kediaman dengan barang dari Malaysia bagi menghidupkan suasana Syawal. Inilah cara pelajar Malaysia di perantauan bertahan, mencipta “rumah” walaupun jauh dari kampung halaman.
Selain rindu keluarga, Su’aidah juga perlu menyesuaikan diri dengan budaya tempatan. Bahasa harian menggunakan Perancis dan dialek Arab, manakala makanan pula jauh berbeza daripada Malaysia.
Tiada bazar Ramadan seperti di tanah air, dan kebanyakan makanan berbuka adalah roti serta hidangan tempatan seperti sherbah dan burek. Namun, pengalaman ini juga membuka peluang untuk mengenali budaya baru, termasuk dijemput berbuka puasa bersama keluarga Algeria yang sangat menghargai tetamu.
Di sebalik semua cabaran, Su’aidah belajar satu perkara, iaitu kekuatan diri.
Menurutnya, wanita yang berada jauh dari keluarga perlu bijak mengisi masa dan tidak memendam perasaan sendirian.
“Sibukkan diri dengan kawan-kawan, join aktiviti, masak sama-sama… itu yang buat kita rasa tak terlalu sunyi.”
Kisah wanita di perantauan seperti Su’aidah bukan sekadar tentang rindu, tetapi tentang keberanian mengejar impian walaupun terpaksa berkorban emosi.
Temubual ini adalah eksklusif untuk Mingguan Wanita. Sebarang penggunaan semula kandungan tanpa kebenaran adalah melanggar hak cipta dan tindakan sewajarnya boleh diambil.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!