
Kalau nak ajar anak solat, mak ayah dulu kena tunjuk contoh yang baik-baik. Yang boleh buat anak rasa betapa bahagianya bila dapat solat.
Tak susah pun, yang penting mak ayah boleh mulakan dengan curi hatinya dan terus ikut tip yang dikongsi ini.
1. Ajar anak dengar azan
Sewaktu azan, suruh anak diam, dengar dan menghayati sama-sama. Kuatkan suara ketika menjawab azan supaya anak dapat dengar.
Jelaskan kepada anak anda tentang azan iaitu panggilan untuk solat. Waktu nak solat, suruh anak yang azan atau iqomah. Ini dapat menaikkan semangat mereka untuk solat.
2. Ajak anak cara berwuduk
Sebaik sahaja azan, cepat-cepatlah ajak anak anda berwuduk bersama-sama.
Lagi bagus kalau tampalkan poster wuduk yang menarik minat anak anda di bilik air. Boleh sahaja gunakan karakter animasi yang digemari anak anda. Pasti hari-hari mereka mahu lihat dan belajar untuk wuduk.
Ajar anak sejak dari kecil. Biasakan solat depan anak. Latih anak anda pergerakan solat ketika mereka bermain. Contohnya ajak mereka bersenam tetapi dengan gaya bersolat.
“Ya Tuhanku, Jadikanlah Aku Dan Anak Cucuku Orang-Orang Yang Tetap Mendirikan Solat. Ya Tuhan Kami, Perkenankanlah Doaku.” Surah Ibrahim Ayat 40
4. Memberi pujian
Tingkatkan kecintaan anak anda tentang solat dengan memberi pujian.
“Alhamdulillah, hari ini abang solat. Bagus anak mama ini. Mama dan abah sayang abang. Allah lagi sayang abang.”
Tambahkan lagi dengan pelukan kasih sayang agar anak anda rasa lebih dihargai.
5. Dengarkan bacaan dalam solat
Lafazkan bacaan ketika solat dengan sedikit kuat dan dapat didengari dengan jelas oleh anak anda. Ayat-ayat al-Quran sememangnya boleh memberi ketenangan dan perhatian untuk anak lebih fokus mengikuti setiap pergerakan solat.
Tapi perlu diingatkan, pilihlah ayat-ayat yang lebih pendek agar anak anda mudah fokus dan tidak mengganggu perhatian mereka.
6. Solat Berjemaah dan ajak ke masjid
Biasakan diri untuk solat bersama-sama. Dan paling terbaik jika ajak anak anda ke masjid.
Tanamkan perasaan cintakan masjid dan menjaga tingkah laku ketika berada di dalam masjid. Jika mereka sukar untuk mengawal diri, jangan marah. Nasihat dengan lemah lembut.
7. Sediakan ruang solat khas di rumah
Tampal poster-poster solat berwarna-warni yang dapat menarik minat anak anda untuk selalu masuk ke ruangan solat.
8. Hadiahkan kelengkapan solat
Alangkah seronoknya anak anda apabila menerima hadiah kelengkapan solat yang cantik dan berwarna-warni. Ia dapat mendorong anak anda lebih bersemangat dan seronok untuk solat setiap hari.
Ajak anak anda untuk beli kelengkapan solat mengikut pilihan kesukaan mereka. Semoga usaha mendidik anak akan lebih berkesan jika anak anda menggunakan pakaian solat kegemaran mereka sendiri.
9. Betulkan cara solat anak
Tegur dan ajar cara solat anak anda dengan berlemah lembut dan berhemah.
Sentiasa perbetulkan dan ajar cara solat anak anda untuk dia solat dengan betul.
10. Doa untuk anak
Jangan pernah berhenti berdoa untuk mendapatkan anak-anak yang soleh dan solehah yang mudah diajak solat dan cintakan solat.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Unik Cara Lelaki Ini Simpan DUIT, Lepas Setahun Hasilnya LUAR BIASA

Setiap orang ada style sendiri simpan duit. Ada yang masuk dalam sampul, simpan dalam dompet letak di pejabat dan buat-buat lupa dan macam-macam cara sebenarnya.
Lelaki ini, Eiyoi Amer ada cara unik buat simpanan peribadi. Tapi dia ada target dalam setiap duit yang dikumpulkan. Boleh rujuk gambar agar lebih jelas. Memandangkan ini awal tahun, mak-mak boleh cuba teknik ini. Hujung tahun nanti mak-mak pecah tabung, tengok hasilnya.. luar biasa ke tak luar biasa jumlahnya.

Hasil Simpanan Selama Setahun
“Hari ni saya nak kongsikan hasil simpanan saya selama setahun. Bermula 1hb Januari 2017 dan sekarang dah genap tempoh simpanan (status ini dimuat naik pada 30 Disember lalu).”
“Sebelum ni saya ada sharekan cara saya menyimpan. Kalau nak tengok boleh view album picture saya yang lepas (dalam facebook beliau).
“Dan hari ni saya nak sharekan hasil simpanan tu. Kepada sesiapa yang tak senang dengan perkongsian ini harap maaf. Tak ada niat untuk riak atau menunjuk-nunjuk, simpanan bukan hasil sekali gus.
“Ianya adalah usaha berterusan. Jadi tak ada sebab saya nak bersikap riak. Jika anda nak berdebat dengan saya berkenaan buat pelaburan lebih baik, sila hadam dua-dua tu perkara berbeza.”
“Saya sharekan untuk memberi inspirasi kepada sesiapa yang nak cuba menyimpan dalam tabung macam saya. Atau jika rasa cara saya ni boleh ditiru dan boleh jada panduan kepada anda dapat juga pahala pada saya.”
View satu-satu gambar untuk melihat jumlah terkumpul dan cara menyimpan.
Diharap dapat memberi inspirasi kepada anda. Nak seribu daya.
Panduan Simpan Duit Ikut Nilai

Jumlah tabung yang penuh.

RM 5.00
Matlamat : masukkan setiap kali ada RM5.00
Disiplin : wajib ( anggap RM5.00 tak ada nilai)
Jumlah tabung penuh : 3
Jumlah wang terkumpul : RM1490

RM10.00
Matlamat : masuk jika RM10 lebih 4 keping dalam dompet
Disiplin : wajib
Jumlah tabung penuh : 1
Jumlah wang terkumpul : RM820

Tabung Pendidikan Anak RM1.00
Matlamat : RM1.00 setiap hari plus cuti
Disiplin : wajib
Jumlah tabung penuh : 6 tabung
Jumlah wang terkumpul : RM800

RM1.00
Matlamat : masukkan RM1.00 sebanyak mana mampu sahaja.
Disiplin : jika ada
Jumlah tabung (tin) penuh : 1
Jumlah wang terkumpul : RM320

RM5 = RM1490.00
RM10 = RM820.00
RM1 anak = RM800.00
RM1 = RM320.00
Syiling RM0.10 – RM0.20 = RM 81.00 ( tiada dalam gambar)
Syiling RM0.50 = RM510.00 (tiada dalam gambar)
Jumlah semua = RM4021.00

Nak seribu daya.
Sumber/Foto : Eiyoi Amer
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Cerai Kerana Tak Mahu Dimadu, Akhirnya Jatuh Cinta Dengan Suami Orang

Cerai adalah jalan terakhir apabila suami isteri tiada lagi jalan penyelesaian terhadap kemelut rumah tangga mereka. Misalnya wanita itu tidak ingin dirinya dimadukan.
Cerai dimohon wanita itu daripada suami. Tapi akhirnya dia jatuh cinta pula dengan suami orang lain. Apakah bermakna dia sudah bersedia dimadukan? Ikuti luahannya.
Mohon Cerai
Assalamualaikum puan. Saya merupakan janda berusia 39 tahun. Saya mempunyai tiga orang anak yang sudah remaja.
Yang sulung berada di kolej, kedua menduduki SPM tahun ini dan yang bongsu tingkatan dua. Saya berpisah dengan bekas suami lima tahun lalu apabila dia ingin berkahwin lain. Saya tidak rela diri dimadukan dan memaksa suami ceraikan saya.
Perniagaan
Saya memiliki spa kecantikan yang dikongsi bersama seorang rakan, Zai, dan spa kami itu mendapat sambutan menggalakkan. Hasil daripada itu saya dapat membesarkan anak-anak dan memberikan sedikit kesenangan buat diri mereka.
Bekas suami juga tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak dan nafkah tidak pernah dilupakan setiap bulan. Tidak dinafikan, sepanjang berkahwin dulu, dia melayan saya dengan baik dan bertanggungjawab. Malah dia meminta izin saya apabila hendak berkahwin lagi walau pun mungkin dia boleh bernikah secara diam-diam.
Tercalar Ego
Saya sedar tidak salah berpoligami di dalam Islam tapi saya tak dapat terima poligami. Apatah lagi saya rasa saya tiada kurangnya. Masih cantik pada usia 30-an dan sudah memberi zuriat kepadanya. Isteri baru bekas suami saya itu pula serba sederhana dan janda anak dua. Ego saya tercalar dengan pilihan bekas suami dahulu. Lagi pun saya tak nak berkongsi kasih dengan wanita lain. Itu prinsip yang saya pegang.
Empat bulan lepas, saya didatangi oleh seorang pelanggan di spa saya. Seorang wanita berusia 40-an, Puan Maz, yang baik dan lemah lembut orangnya. Setiap kali datang, pasti dihantar oleh suaminya, Z. Satu hari, Z tiba-tiba menelefon saya kerana hendak membatalkan temu janji isterinya yang tidak sihat. Pertama kali berbual di telefon, saya tertarik dengan Z. Sejak itu, dalam diam saya sering menghantar whatsapp dengan Z.
Terjalin Hubungan Lepas Cerai
Maka, terjalin perhubungan antara saya dan Z sehingga saya anggap dia kekasih. Saya seolah ‘lupa’ bahawa Z itu sudah ada isteri dan sangat menyayangi isterinya. Kami sudah beberapa kali berjumpa dalam tempoh ini. Setiap kali itu juga, saya akan bercakap dan memberi dia ‘hint’ soal kahwin dan melahirkan hasrat untuk memiliki suami yang dapat menjaga saya dan anak-anak.
Saya tahu Z mampu kerana dia seorang ahli perniagaan yang berjaya. Z tidak pernah memberikan kata putus tentang hubungan kami. Tidak pernah memberi apa-apa harapan buat diri saya. Semakin hari, semakin saya rasa tertekan kerana saya ingin memiliki Z dan sanggup membuang prinsip saya yang tidak ingin bermadu. Bagi saya, Z seorang lelaki sempurna untuk saya.
Apakah silap saya berterus terang dengan Z tentang soal hati? Apakah saya terlalu gelojoh sedangkan usia perkenalan kami baru beberapa bulan. Tapi saya betul-betul sukakan dia dan tak ada salahnya jika saya yang memulakan langkah pertama? Saya tak paksa dia cerai isterinya. Lagi pun usia saya bukan muda lagi. Apa yang patut saya lakukan?
Ain, Setapak
SARANAN KAUNSELOR
Poligami ialah satu mekanisme yang dibenarkan dalam Islam agar setiap wanita akan terbela nasibnya, maruahnya, martabatnya serta kehormatannya sekiranya amalan poligami ini tidak disalah gunakan. Keperluan berkasih sayang dan berkongsi kasih dalam keluarga merupakan amalan poligami yang berjaya dan dirahmati Allah SWT.
Igauan Ngeri Wanita
Namun perkataan poligami menjadi satu igauan ngeri bagi kebanyakan wanita yang dimadukan kerana pengalaman yang zalim serta tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh suami juga isteri yang mencacatkan keistimewaan ini yang sepatutnya merupakan anugerah terindah dalam kehidupan manusia.
Konsep poligami diamalkan atas dasar perkongsian secara harmoni serta meletakkan cinta Allah SWT sebagai cinta utama dan menjadikan suami sebagai pemimpin yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Keharmonian dalam berkongsi kasih ini merupakan satu arahan minda kita yang menyatakan bahawa perkongsian kerana Allah SWT dan segala amanah yang dilaksanakan merupakan ibadah bukan tuntutan nafsu semata-mata.
Berpunca Daripada Niat
Poligami ialah persetujuan untuk memikul amanah yang lebih dan berjanji untuk bertanggungjawab kepada lebih daripada satu keluarga. Namun hasil daripada pemerhatian dalam persekitaran sekarang menunjukkan masalah yang dihadapi oleh pasangan yang berpoligami berpunca daripada niat awal kepada poligami itu sudah terpesong, masing–masing sudah ada persepsi kepada poligami, tidak berterus terang, takut untuk bertanggungjawab, takut kepada konflik serta membiarkan pasangan menanggung semua masalah setelah berlaku poligami.
Lebih serius lagi bila para suami yang hanya tahu berpoligami tetapi sangat takut untuk mengaku atau bertanggungjawab kepada perkahwinan tersebut. Akhirnya isteri yang mengalah dan tidak mahu konflik akan ditinggalkan serta isteri yang banyak mengugut atau memberi ancaman akan berjaya menguasai suami sehingga meninggalkan amalan poligami.
Tolak Poligami Tuntut Cerai
Dalam kes yang puan paparkan ini menunjukkan puan tidak mahu berpoligami dan minta diceraikan suami atas alasan tidak mahu berkongsi suami tetapi setelah puan hidup sendiri, puan merasakan perlu berpoligami kerana kesunyian dan perlukan teman dalam kehidupan puan.
Kekeliruan ini menunjukkan puan banyak memikirkan tentang diri puan tanpa melihat keperluan persekitaran. Namun apabila semua terkena kepada puan, maka puan dengan sendiri bersetuju untuk berpoligami tanpa puan memikirkan pula perasaan isteri pertama kepada kekasih puan itu. Puan juga mempersoalkan adakah puan terlalu mendesak dan gelojoh dalam perhubungan ini dalam memastikan kekasih puan akan bersetuju berpoligami.
Tiada Kepastian Dalam Hubungan
Puan juga takut harapan puan untuk memiliki kekasih puan dan berpoligami akan berkubur kerana masih tidak ada kepastian dalam hubungan puan dan kekasih puan.
Apa yang perlu puan buat adalah cuba untuk memperbetulkan niat puan untuk berpoligami ini dan serahkan kepada takdir akan jodoh puan bersama kekasih puan setelah puan berusaha untuk menyatakan kesungguhan puan untuk berpoligami. Seterusnya puan perlu berbincang secara baik dengan bakal suami puan berserta bakal madu puan bagi mendapatkan kesepakatan untuk hidup bersama dalam satu keluarga.
Paksaan Satu Penderaan
Perkara yang membantutkan dan mendatangkan masalah jika berpoligami adalah “penipuan”, merahsiakan, tidak berterus terang dan mengandaikan bahawa jika semuanya timbul setelah berkahwin maka isteri pertama terpaksa menerima perkahwinan ini. Namun peratus kebahagiaan itu amat sedikit atau terpaksa berpisah di tengah jalan atau berlaku keadaan tidak adil bagi perjalanan hubungan keluarga seterusnya.
Paksaan terhadap penerimaan poligami adalah satu hukuman dan penderaan bagi wanita kerana mereka rasa ditipu dan dianiayai, maka berterus terang akan membantu mempercepatkan penerimaan ini walaupun berlaku konflik pada awalnya.
Sukarnya Poligami
Jarang ada wanita yang mahu berkongsi apa pun terutama berkongsi suami, namun berbahagialah sesiapa yang sanggup bermadu dan berkongsi suami dalam keadaan harmoni dan berkasih sayang. Matlamat utama adalah keredhaan Allah SWT serta memburu cinta Allah SWT tanpa terlalu lalai dengan cinta manusia.
Dalam masa yang sama poligami akan membantu wanita-wanita yang memerlukan perlindungan dan kasih sayang untuk menumpang kasih serta menjauhkan diri daripada zina. Maka puan perlu berusaha sebaik mungkin untuk memenangi hati kekasih puan untuk berkahwin dengan puan dalam keadaan diterima oleh bakal madu puan agar puan dalam mengecap kebahagiaan dunia dan akhirat.
Sumber: Persoalan ini dijawab oleh Puan Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis di dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Isteri Berusahalah Memenangi Hati Suami Bukan Asyik Banding Dengan Lelaki Lain

Isteri sentiasalah berusaha untuk memenangi hati suami. Jangan sesekali membandingkan suami dengan lelaki lain. Bila tengok pasangan lain yang cukup romantik dan bahagia, mulalah kita bandingkan dengan pasangan sendiri.
Dalam fikiran, mulalah hati ‘berkata-kata’ kenapa suami sendiri tidak seperti suami si polan si polan. Bukan setakat bandingkan dengan orang lain, lebih teruk lagi bila isteri mula merendahkan pasangan dan cari kelemahan sehingga boleh menjadi satu masalah yang lebih teruk.
Isteri Berusahalah Memenangi Hati Suami
Tak perlu nak bandingkan dengan orang lain, sebab pasangan kita adalah yang terbaik untuk kita. Dialaha yang dapat menerima kelemahan dan kekurangan kita. Paling penting, jangan cari kelemahan suami sehinggan dirinya rasa rendah diri.
Ada cara nak jampi dan menangi hati suami dan bukan bandingkan dengan pasangan lain. Jangan ingat, hanya suami saja perlu menjaga hati isteri. Sepatutnya kena ada ‘give and take’, barulah rumah tangga bahagia. Seperti yang dikongsikan oleh Puan Diyana Tahir, Pakar Perhubungan & Keintiman, Ehati International Sdn Bhd ini.

AWAS! JANGAN RENDAHKAN SUAMI ANDA
Alam rumahtangga sering digambarkan indah pada setiap pasangan bercinta, sehingga ada yang terlupa tiada satu pun hubungan perkahwinan yang sempurna dan “happily ever after”.
Masing-masing melangkah ke alam perkahwinan dengan harapan yang ianya akan membawa kebahagiaan abadi. Tapi, excited mana pun kita untuk melayari bahtera perkahwinan ni, terdapat banyak perkara lagi yang masih belum tahu tentang pasangan.
Bila sudah berkahwin, tinggal serumah, tidur sekatil, barulah akan nampak personaliti sebenar pasangan kita. Ketahuilah bukan sahaja pasangan kita ada kelemahan bahkan kita sendiri juga ada kelemahannya.
Namun apabila kita tak dapat apa yang diharapkan dalam hubungan, mulalah kita nak mempersoalkan segalanya, terutamanya bagi isteri.
Isteri selalu ada ‘expectation’ terhadap suami. Kalau merajuk, harapkan suami pujuk dengan bunga lah, pujuk dengan kata-kata cinta dan sebagai. Ada juga isteri sentiasa inginkan sesuatu dan si suami mesti penuhinya.
Malah, isteri sentiasa mengharapkan suaminya untuk faham apa yang mereka rasa, seolah-olah suami ini dapat baca fikiran mereka. Ini adalah kesilapan yang besar isteri sering lakukan kerana isteri perlu sedar bahawa suami ni tak ada superpower pun nak baca fikiran. Kadang-kadang suami sendiri tak tahu pun apa yang isteri mahukan dan harapkan.
Keadaan akan jadi lebih rumit apabila isteri tak dapat apa yang mereka nak, mulalah dia nak tarik muka macam tak ada hari esok dah. Dalam tak sedar, isteri meragam ni mula nak merendah-rendahkan suami dengan kata-kata yang dilontarkan tanpa fikir.
Bukan Asyik Banding Dengan Lelaki Lain
Perbuatan ini boleh melukakan hati suami, bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Bila meroyan dan menghamburkan macam-macam kemarahan baru nak berfikir, malangnyai semuanya sudah terlambat. Kalau anda tak ambil tindakan untuk mengubah tabiat ini, lama kelamaan perkara ini akan memberi impak kepada rumahtangga kita. Nampak remeh, tapi tak semudah itu anda nak memperbaiki kembali hubungan yang retak.
Sebelum keadaan menjadi lebih keruh, para isteri perlu ketahui perkara yang membuatkan suami rasa rendah diri dan apa yang harus anda lakukan untuk mengembalikan keyakinan suami di dalam rumahtangga. Komunikasi anda bersama suami akan menjadi penentu kepada bahagia atau derita di dalam rumahtangga anda.
TIGA SEBAB SUAMI RASA RENDAH DIRI
Ketahui tiga fakta membuatkan suami anda rasa dirinya tidak layak dan tiada keyakinan diri apabila bersama dengan anda. Awas berhenti dari lakukan tiga perkara ini. Jangan sampai suami anda dah bercinta dengan perempuan lain, baru anda nak sedar.
1. Sentiasa Mengungkit-ungkit
Setiap kali bergaduh, anda akan ungkit semua kesilapan lama suami walau dah berpuluh tahun berlalu. Tindakan ini akan buat suami rasa rendah diri dan secara tak langsung anda akan trigger keegoan suami. Selain kesilapan lama suami, si isteri akan sentiasa ungkit perkara-perkara yang mereka inginkan tapi masih tak tertunai oleh suami.
“Abang, kenapa saya tak dapat lagi apa yang saya nak dulu, abang tek pernah pun bagi?”
“Itulah abang sibuk dengan perempuan lain dulu sampai saya ni abang biar je.”
Ketahuilah, suami anda rasa malu sebenarnya apabila anda mengungkit kembali kesilapan lama mereka ataupun apa yang mereka tak dapat bagi kepada anda. Suami malu yang dia tak dapat nak memberi sepenuh kebahagiaan kepada isterinya.
Inilah yang akan membuatkan suami rasa lebih rendah diri. Suami akan rasa dirinya loser. Tapi, isteri susah nak faham perkara ni. Bagi isteri, dia mengungkit dengan tujuan nak memberi kesedaran kepada suami. Kalau tak pun, nak menegur suami tentang apa yang masih tak kena di dalam hubungan mereka.
Buang persepsi ini dari dalam fikiran dan hati anda. Ini tandanya anda tak menghargai pun apa yang suami anda lakukan. Bila mengungkit, suami akan rasa sia-sia sahaja pengorbanan mereka dalam perkahwinan selama ini. Suami akan rasa dirinya tak dihargai. Berhati-hati bila suami anda dah timbul rasa tak dihargai ni. Bina kepercayaan terhadap suami anda agar suami anda rasa yakin diri bahawa dia sebenarnya seorang suami yang mampu membahagiakan isterinya yang tercinta.

2. Cuba Mengajar Suami
Kalau kita lihat trend sekarang, ramai isteri yang mempunyai kerjaya dan pendidikan yang lebih tinggi daripada suami. Tak ada salahnya isteri mempunyai kerjaya dan pendidikan lebih baik dari pasangannya, tetapi, ada juga sesetengah daripadanya yang suka mengajar-ajar suami tanpa disedari. Kalau anda tergolong di dalam kategori isteri begini, sebaiknya anda segera baiki diri anda. Ketahuilah si suami akan merasa dirinya terhina dan rendah diri bila diajar-ajar oleh isteri.
“Abang, ni salah lah bang. Sepatutnya macam ni”
“Eh betul ke ni? Kalau saya lah kan bang, saya buat ni dulu.”
“Apa ni bang, ni patut letak kat sini barulah jadi.”
Ini adalah beberapa situasi yang menyebabkan suami akan rasa dirinya tidak berguna dalam perkahwinan. Sebab apa? Sebab isterinya mengambil tempatnya sebagai seorang superhero di dalam rumahtangga. Kadang-kadang, anda tak sedar pun suami rasa insecure bila dia tak mampu nak berada di level yang sama dengan anda. Lagi-lagi bila anda ada pendapatan yang lebih tinggi daripada suami. Ini yang akan membuatkan suami rasa dirinya loser.
Mungkin niat di hati anda adalah untuk menjadikan suami lebih baik daripada yang sebelumnya. Tidak salah kalau anda nak upgrade suami anda namun penting juga untuk anda hormati suami anda selayaknya. Hormatinya sebagai ketua keluarga. Jangan sampai anda mengambil title suami tu. Mungkin suami nampak okey, nampak tenang je bila anda buat macam tu. Tapi, dalam hati siapa yang tahu.
3. Membanding-bandingkan
Mustahil anda tak pernah membuat perbandingan terhadap suami anda dengan orang lain. Tak kata depan-depan, tapi mungkin pernah terdetik di dalam hati. Kalau kat dalam hati je, tak apa. Tapi, kalau anda suarakan perbandingan anda di depan suami, anda sebenarnya sedang trigger keegoan suami dan membuatkannya rasa lebih rendah diri. Kalau anda bandingkan perkara yang baik, tak menjadi masalah pun. Kalau perkara yang negatif, suami mana yang suka.
“Kenapa orang lain boleh, abang tak boleh?”
“Abang tengok ni, suami akak ni dah makin handsome.”
“Ayah saya dulu selalu beri je apa yang saya nak.”
Selain daripada percakapan anda, ada juga situasi di mana suami dibandingkan di dalam media sosial. Nampak je suami orang lain buat surprise kat isteri, anda pun tag suami dengan niat nak suami berbuat macam tu juga.
Lama kelamaan, suami pun akan rasa pressure bila anda asyik membandingkannya. Anda sendiri pun semestinya tak suka bila dibanding-bandingkan, apatah lagi suami. Bila anda membanding-bandingkan suami anda, suami akan rasa dirinya tak dihargai dan tak disayangi oleh anda. Ini umpama anda tak boleh nak terima kekurangan suami. Tak semuanya yang anda nampak pada suami orang lain adalah yang manis semata-mata. Mereka juga ada kekurangan kerana mereka juga manusia.
Menangi Hati Suami
Ada beberapa ‘jampi’ yang boleh kita amalkan untuk memulihkan keyakinan diri suami anda. Dalam erti kata lain, anda boleh menggunakan jampi ni untuk membuatkan suami rasa dirinya hero di dalam rumahtangga.
Pertama, suami akan rasa dirinya hero bila anda hargai suami anda seadanya dan tidak memaksa dirinya untuk berubah seperti yang anda mahukan. Berhenti menyenaraikan dan mengungkit kesalahan suami. Jika anda nak berkomunikasi dengan suami, jangan pernah condemn suami sampai suami rasa dirinya loser. Katakan kepada suami anda perkara yang membuatkannya anda rasa hebat dan bahagia bila bersama dengannya. Ini akan membuatkan suami anda rasa lebih dihargai oleh anda.
Kedua, suami akan rasa dirinya hero bila anda menyatakan keinginan dan keperluan anda perlukan dengan cara yang positif. Maksudnya, berhenti mengungkit-ungkit dan membanding-bandingkan dirinya dengan orang lain apabila anda tak dapat lagi apa yang anda nak. Ingat, suami anda tak dapat pun nak baca fikiran anda. Anda boleh beritahu secara spesifik apa yang anda perlukan. Tapi, sampaikan dengan cara positif.
Sebagai contoh, “saya suka ketika abang buat…”, “saya rasa bahagia bila abang…”. Berterus terang dengan suami dengan betul dan bukan merendahkannya.
Amalkan dua jampi ni secara konsisten. Anda akan rasakan perbezaan dalam hubungan dengan suami. Tiada lagi adegan sindir menyindir, Kesilapan lalu dimaafkan dan dilupakan.
Ketahuilah jika masih merendahkan suami anda, suami akan lari.Sedar tidak sedar anda menolak dan menghantar suami anda kepada orang lain yang mungkin lebih memahaminya
Jadi ingat, seorang suami ingin menjadi HERO dalam hubungan rumahtangganya. Elakkan dari terus membuatkannya rasa dirinya loser. Cintai dan terima dia seadanya, sama-sama berubah ke arah lebib baik untuk kebahagiaan bersama.
Artikel ini adalah olahan daripada artikel asal Mingguan Wanita
Artikel berkaitan: Isteri Patut Beri Peluang Kedua Atau ‘Tak Payah’ Bila Suami Kantoi Curang
Isteri Akan Rela Keluar Duit Bila Suami Tak Kedekut Belanja Keluarga
Isteri Masaklah Walau Seminggu Sekali, Berbunga-bunga Hati Suami Makan Hasil Air Tanganmu
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!


