Wahai Isteri, Sebelum Tuntut Cerai Semak Dulu Perkara Ini!

Perceraian tak diharamkan dalam Islam sekiranya dengan sebab yang munasabah. Bahkan isteri boleh tuntut cerai, tapi ada beberapa perkara perlu diteliti agar tak  jatuh murka Allah terhadapnya.

Dikongsikan penulisan daripada Puan Suzana Ghazali,  perunding Psikologi Kekeluargaan & Guaman Syarie, yang juga penulis ruangan Resipi Hidup di dalam majalah Mingguan Wanita.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Mana-mana perempuan yang memohon cerai daripada suaminya tanpa sebab yang munasabah maka haram ke atasnya bau syurga.” – hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad.

Cerai Tak Haram Dalam Syariat Islam

Persoalannya, apakah sebab yang dikira sebagai munasabah dan tidak munasabah untuk perceraian? Sebelum saya jelaskan dengan lebih lanjut mengenai perkara tersebut, sekali lagi saya ingin tegaskan bahawa cerai atau talak bukan haram atau dilarang di dalam syariat Islam. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Perbuatan halal yang paling dibenci oleh Allah ialah talak yakni cerai.” – hadis riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Baihaqi.

Meneliti kedua-dua hadis yang saya kongsikan pada awal perbincangan, tiga perkara utama yang kita boleh ambil pengajaran ialah:

1. Allah SWT tak sukakan perceraian tetapi dihalalkan sebab cerai adalah jalan penyelesaian terakhir dalam menangani masalah dalam perkahwinan;
2.Cerai atau talak dibenarkan menurut syarak hanya jika terdapat alasan munasabah;
3.Perceraian tanpa sebab munasabah menurut syarak masih disabitkan sah berlaku tetapi perlakuan tersebut mengundang dosa hingga diharamkan menjejak syurga malah tidak mampu mencium bau syurga idaman setiap manusia yang mempercayai kewujudan hari pembalasan.

IKLAN

Hikmah Perkahwinan

Bila membicarakan mengenai masalah dalam perkahwinan, kita tidak dapat lari daripada membincangkan mengenai hikmah perkahwinan disyariatkan iaitu untuk suami dan isteri menikmati bahagia malah hikmah paling utama ialah untuk suami dan isteri melaksanakan peranan dan tanggungjawab yang tersendiri. Kebahagiaan hidup bersuami isteri tidak akan berhasil jika wujud pengabaian dan kegagalan dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab sebagai suami atau isteri.

Sinonim dengan sifat seorang manusia yang terdedah kepada kesilapan dan kekurangan malah dalam kehidupan hari ini tika ramai yang sengaja gagal dan enggan akui kesilapan, perkahwinan berada bak telur di hujung tanduk; memberikan tekanan kepada individu yang terlibat.

Pastinya masalah jawapannya adalah penyelesaian tetapi penyelesaian takkan wujud jika tiada perubahan malah tiada lagi kepercayaan. Kesannya bukan saja penderitaan tetapi juga dosa kerana ingkar amanah ijab dan kabul perkahwinan. Lantas, bila ada individu tertentu tak kira suami atau isteri berdepan dengan situasi ini, jalan keluar ialah perceraian.

IKLAN

Wahai Isteri, Sebelum Tuntut Cerai Semak Dulu Perkara Ini!

Alasan

Penting untuk difahami, penderitaan atau tiada lagi kepercayaan bukan alasan yang munasabah untuk perceraian. Alasan yang dianggap munasabah dibenarkan bercerai menurut syariat ialah apabila ada pihak yang sengaja gagal atau mengabaikan segala peranan dan tanggungjawab wajib di dalam perkahwinan.

Secara ringkasnya, tanggungjawab seorang suami yang menjadi hak isteri atau isteri-isterinya ialah melayani isteri dengan baik , memberi nafkah zahir yang sempurna mengikut kemampuan, menyediakan rumah dan keperluan berkaitan, melayani keperluan seks isteri, bersikap romantik terhadap isteri, bergurau dengan isteri, meluangkan masa bersama isteri, mewujudkan suasana ibadah di dalam rumah tangga, sentiasa tunjukkan wajah ceria, menjaga penampilan diri dan bersabar melayani kerenah isteri.

IKLAN

Tanggungjawab isteri yang menjadi hak suaminya pula ialah taat kepada suami selagi tidak bercanggah dengan syariat, melayani kehendak seks suami, menjaga harga diri, suami dan keluarga, hormatkan suami dan menyenangkan hati suami. Terdapat dua perkara yang menjadi tanggungjawab bersama suami dan isteri iaitu menjaga, membesarkan dan mendidik anak-anak serta menguruskan rumah tangga.

Ingkar

Apabila ada individu yang sengaja ingkar daripada melaksanakan segala tanggungjawab ini walau telah ditegur, didesak dan diasak hingga memberikan tekanan hebat kepada mental menyebabkan wujudnya pertengkaran, permusuhan dan kebencian hingga mengundang dosa kerana masing-masing gagal untuk menghormati hak pasangan, perceraian boleh dipilih sebagai jalan akhir dan ia adalah alasan munasabah. Penting! Perlu ada usaha untuk menyedarkan pasangan yang bersalah atau tersalah. Tanpa usaha, alasan perceraian masih tidak munasabah walau wujud kegagalan dalam pelaksanaan tanggungjawab. Tidak munasabah bererti perceraian boleh berlaku tetapi memberikan anda dosa dan diharamkan menikmati syurga.

Tanggungjawab yang juga penting untuk sama-sama diusahakan oleh kedua suami dan isteri ialah melaksanakan komunikasi yang positif. Malangnya, kebelakangan ini terutama sejak media sosial menjadi pasangan utama, pasangan realiti makin dipinggirkan.

Ingatlah! Perkahwinan bukan semata-mata kata sepakat membuktikan kasih sayang sebaliknya adalah permulaan peranan besar memikul tanggungjawab sebagai suami dan isteri. Niatkan dengan ikhlas untuk menerima pasangan sebagai amanah daripada-Nya dan berusahalah untuk melaksanakan segala tanggungjawab yang perlu tanpa mengharapkan toleransi pasangan. Andai berusaha gigih, hasil juga pasti baik, insya-Allah!

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI