Air Ketuban Banyak Sewaktu Mengandung, Apakah Punca Masalah Ini?
Gambar sekadar hiasan

Kenapa ada antara wanita mempunyai air ketuban banyak sewaktu sedang mengandung. Apakah punca kepada masalah air ketuban banyak ini?

Perkongsian artikel oleh Pengamal Perubatan Am  Dr Zubaidi Hj Ahmad ini menjelaskan mengenai Masalah Air Ketuban Banyak.

Air Ketuban Banyak

Dalam istilah perubatan, air ketuban banyak dipanggil sebagai Polyhydroamnios. Masalah ini boleh disebabkan penyakit yang berlaku pada ibu ataupun bayi tersebut.

Sebanyak 1% orang yang mengandung akan mengalami masalah air ketuban banyak. Manakala, sebanyak 20% daripada mereka yang mengalami masalah ini mungkin akan mempunyai bayi yang mengalami kecacatan semasa masih lagi dalam kandungan. Oleh itu, pesakit yang mengalami masalah ini selalunya akan dirujuk kepada hospital untuk mencari punca kepada masalah tersebut.

Cecair amniotik merupakan istilah saintifik bagi air ketuban dan ia merupakan cecair yang terkumpul di dalam rahim dan mengelilingi bayi di dalam kandungan. Cecair ini mempunyai pelbagai fungsi untuk kebaikan bayi yang dikandung iaitu bertindak untuk perkembangan bayu dan untuk melindungi bayi daripada hentakan/ atau trauma.

Selain daripada masalah ini, wanita hamil juga boleh mengalami masalah air ketuban kurang iaitu oligohydroamnios.

Air Ketuban Banyak Sewaktu Mengandung, Apakah Punca Masalah Ini?
Dr Zubaidi Hj Ahmad

Punca Kepada Masalah Air Ketuban Banyak

Punca kepada masalah ini selalunya sangat mudah untuk dikenalpasti. Tetapi ada juga pesakit yang tidak diketahui punca kepada bagaimana air ketuban itu menjadi banyak.

IKLAN

Beberapa punca yang boleh menyebabkan masalah ini adalah:

1. Mengandung bayi kembar
2. Organ yang tidak sempurna pada bayi: Saluran permakanan yang mempunyai masalah ataupun tidak terbentuk dengan normal menyebabkan bayi tidak mampu menelan air ketuban tersebut. Perkara ini selalu terjadi pada saluran esofagus(esophageal atresia) dan saluran usus kecil(duodenal atresia).
3. Masalah saraf yang menyebabkan bayi tidak mampu menelan
4. Jantung bayi yang bermasalah
5. Ibu mengalami kencing manis

Artikel Berkaitan:
Morning Sickness? Ibu Hamil Ambil Perhatian, Cuba Cara Ini Kurangkan Loya!
Perkara Boleh & Tak Boleh Dilakukan Semasa Hamil Untuk Elak Dijangkiti COVID-19!
Rahim Terbalik Adalah Variasi Kejadian Normal, Bukanlah Penyebab Kesukaran Untuk Hamil!

Komplikasi
Pesakit boleh mengalami beberapa jenis komplikasi jika menghadapi masalah ini. Komplikasi tersebut adalah:

1. Kelahiran pra-matang (bayi lahir tidak cukup bulan)
2. Risiko untuk menjalani pembedahan akan semakin meningkat.
3. Kedudukan bayi boleh menjadi songsang
4. Pendarahan yang teruk selepas melahirkan anak

IKLAN

Simptom yang menunjukkan air ketuban banyak ialah pesakit akan merasakan bahawa perutnya lebih besar daripada yang sepatutnya. Perasaan ini selalunya dirasakan bagi mereka yang pernah mengandung sebelum ini. Pemeriksaan fizikal juga akan menunjukkan pesakit mempunyai ukuran rahim yang lebih besar daripada biasa.

Cara untuk mengesahkan seseorang ibu hamil mengalami masalah ini adalah dengan melakukan ultrasound scan. Jika air ketuban melebihi daripada bacaan yang sepatutnya, maka pesakit akan disahkan mengalami masalah air ketuban banyak.

Kemudian, doktor juga akan memeriksa struktur tubuh bayi melalui ujian ultrasound tersebut untuk melihat sama ada pesakit mempunyai sebarang kecacatan ataupun tidak. Disamping itu, pesakit juga akan diminta untuk melakukan ujian kencing manis. Ini kerana masalah kencing manis juga boleh menyebabkan kandungan air ketuban menjadi banyak.

IKLAN
Rawatan

Tiada ubat yang spesifik digunakan untuk merawat masalah ini. Tetapi ada beberapa perkara yang akan dilakukan oleh doktor untuk menghadapi masalah ini.

Antaranya ialah pantauan dari doktor. Ibu yang menghadapi masalah ini selalunya akan dipantau dengan lebih kerap oleh doktor. Ini untuk memastikan bahawa kandungan tidak menghadapi apa-apa masalah. Kandungan tersebut akan diberi masa hingga cukup bulan untuk dilahirkan seperti biasa.

Selain itu ialah kelahiran yang tidak cukup bulan. Pesakit yang mengalami masalah ini akan mempunyai risiko untuk kelahiran pra-matang. Ini disebabkan saiz rahim yang semakin membesar akan merangsang proses kelahiran walaupun pada ketika itu bayi masih lagi tidak cukup bulan.

Jika proses bersalin telah bermula walaupun bayi masih tidak cukup bulan, pesakit perlulah menerima suntikan steroid untuk memastikan paru-paru bayi menjadi matang dan boleh bernafas seperti biasa apabila dilahirkan.

Jika bayi tersebut menunjukkan simptom yang bermasalah seperti bacaan denyutan jantung yang tidak normal, pesakit perlulah menjalani pembedahan caesarean untuk mengeluarkan bayi secepat mungkin.

Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI