Foto Kredit Facebook Dr Zubaidi Hj Ahmad

Morning sickness atau loya dan muntah ketika hamil sering dialami oleh wanita setiap kali mereka hamil. Apakah penyebabnya dan adakah ia membahayakan kesihatan ibu dan bayi yang dikandung?

Perkongsian Pengamal Perubatan Am Dr Zubaidi Hj Ahmad di akaun Facebooknya ini boleh dijadikan panduan buat wanita yang baru pertama kali hamil dan ibu hamil lain.

 

“Salam doktor, boleh doktor terangkan apa itu morning sickness? Bila bermulanya morning sickness?”

 

Morning sickness biasanya bermula sekitar enam minggu usia kehamilan. Oleh kerana setiap kehamilan adalah berbeza, masa bermulanya morning sickness ini boleh berubah dari wanita kepada wanita.

Wanita yang mengalami morning sickness biasanya akan merasa loya, dan mungkin akan muntah apabila bangun pagi.

Walaupun ia dinamakan morning sickness, namun rasa loya dan muntah boleh datang bila-bila masa sepanjang hari.

Rasa loya dan muntah ini lebih kerap berlaku pada sebelah pagi, mungkin disebabkan pada waktu pagi perut kita telah kosong.

Bau tertentu boleh menyebabkan rasa loya, menyebabkan tiada ada selera untuk makan dan minum sehingga membuatkan wanita hamil ini berasa letih sepanjang hari.

Morning Sickness? Ibu Hamil Ambil Perhatian, Cuba Cara Ini Kurangkan Loya!
Dr Zubaidi Hj Ahmad

“Adakah morning sickness memberikan tanda bahaya pada kehamilan kita?

“Bagaimana pula dengan wanita hamil yang tidak mengalami morning sickness?”

 

Wanita yang mengalami morning sickness akan merasa sengsara sepanjang hari, kerana tidak dapat makan dan minum, kerana merasa mual sepanjang hari.

Morning sickness disebabkan oleh kehadiran hormon hCG dalam darah yang dikeluarkan oleh uri dalam rahim. Oleh itu mereka mungkin merasa keletihan kerana tiada makanan yang dapat dimakan dan tiada minuman yang dapat diminum.

IKLAN

Namun begitu ia adalah tanda yang baik bagi wanita yang hamil. Ini bermakna bahawa tahap hormon hCG dalam tubuh mereka semakin meningkat dan bayi berada dalam keadaan yang baik.

Bagi wanita yang tidak mengalami rasa loya dan muntah (morning sickness), ini tidak bermakna kehamilan mereka dalam bahaya. Mungkin wanita seperti ini mempunyai kadar teolenrasi yang tinggi terhadap hormon hCG. Bermakna mereka tidak mudah mabuk, akibat peningkatan hormon ini dalam tubuh mereka.

Kebiasaannya wanita yang mudah mabuk dalam bas atau bot untuk perjalanan yang jauh, lebih mudah mengalami morning sickness berbanding dengan wanita yang tidak mengalaminya.

Wanita yang hamil anak kembar juga mengalami peningkatan hormon yang tinggi secara mendadak, menyebabkan mereka mudah rasa loya dan mundah di awal kehamilan.

 

Artikel berkaitan:
Rahim Terbalik Adalah Variasi Kejadian Normal, Bukanlah Penyebab Kesukaran Untuk Hamil!

Sebab Inilah Kos IVF Telan Belanja Tinggi, Walau Jaminan Berjaya Tidak 100 %

 

IKLAN

“Bolehkah morning sickness ini boleh menjadi bahaya?”

 

Bagi sesetengah wanita yang hamil, mereka mengalami rasa loya dan muntah yang teruk. Keadaan ini dinamakan “hyperemesis gravidarum” (HG).

HG bermaksud loya dan muntah berlebihan semasa hamil, sehingga wanita yang hamil tidak mampu untuk makan atau minum, muntah-muntah beberapa kali sehari, sehingga menyebabkan dehidrasi.

HG akan mengganggu aktiviti seharian. Dapatkan nasihat doktor untuk mengurangkan rasa loya dan muntah. Selalunya ia hanya berlangsung sehingga antara minggu 14 atau 16 minggu kehamilan.

 

“Doktor, adakah cara untuk mengurangkan rasa loya dan muntah ketika hamil?”

 

1-Makan Dalam Kuantiti Yang Sedikit Tetapi Kerap

Wanita hamil tidak seharusnya membiarkan perut mereka kosong kerana ia boleh membuat rasa loya dan muntah menjadi lebih teruk. Makan sedikit dan kerap boleh membantu memastikan tahap gula dalam darah menjadi stabil. Simpan sandwich yang berkhasiat untuk dimakan sepanjang hari, adalah cara terbaik untuk mengurangkan rasa loya dan muntah, di samping menjadikan tubuh bertenaga.

IKLAN
2-Makan Makanan Yang Kaya Dengan Protein

Wanita yang hamil harus makan makanan yang kaya dengan protein dan vitamin B, seperti kacang. Cuba elakkan makanan yang pedas, masam (berasid), berlemak atau makanan bergoreng yang mungkin menyebabkan rasa loya

3-Makanan Yang Tidak Panas Lebih Baik Daripada Yang Panas

Adakalanya bau masakan bau menyebabkan rasa loya. Oleh itu cuba hindari makanan yang panas.

4-Minum Pagi Di Sebelah Katil

Bagi sesetengah wanita yang hamil, mereka mudah untuk rasa loya dan muntah ketika bangun dari tidur kerana perut yang kosong. Saya nasihatkan agar sediakan minuman seperti teh panas yang disimpan di thermos dan biskut ering di tepi katil, agar mereka dapat memakannya sebelum ke bilik air.

5-Simpan Diari

Menyimpan diari adalah suatu langkah yang baik, kerana dapat mencatatkan bila masanya wanita hamil itu berasa loya dan muntah. Ini membantu doktor dan wanita hamil itu sendiri mencari punca makanan atau minuman yang membuatkan dirinya menjadi loya.

6-Banyakkan Minum Air

Minuman air mineral dan jus sebanyak yang mungkin adalah salah satu cara yang baik bagi mengelakkan loya dan muntah. Cuma perlu ingat, jangan terlalu banyak minum ketika makan kerana ia akan mengganggu pencernaan kerana perut menjadi lebih mudah penuh dan kembung.

7-Dapatkan Banyak Rehat

Tekanan di tempat kerja dan keletihan boleh membuatkan rasa mabuk (loya dan muntah) ketika hamil menjadi lebih teruk. Pastikan dapat masa yang cukup untuk rehat dan tidur bagi mengurangkan rasa loya dan muntah.

8-Minum Teh Halia

Air teh halia yang tidak terlalu pekat dapat membantu untuk melegakan rasa loya. Ia boleh dicampurkan dengan gula, madu atau diminum tanpa gula.

9-Mengambil Pil Multivitamin

Wanita hamil juga dinasihatkan mengambil multivitamin (prenavit atau obimin) ketika hamil bagi membantu untuk mengurangkan perasaan loya.

10-Boleh Mencuba Rawatan Alternatif

Beberapa rawatan alternatif seperti refleksologi dan aromaterapi, boleh membantu wanita yang hamil untuk mengatasi rasa loya ketika hamil. Carilah perawat yang berpengalaman dan berpengetahuan ketika mendapatkan perkhidmatan alternatif ini.

Kredit/Sumber/Foto: Facebook Dr Zubaidi Hj Ahmad

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI