Kredit Foto: Sinar Harian

Ternyata COVID-19 tidak mengira warna, pangkat dan harta seseorang. Sesiapa pun boleh terkena jangkitan virus termasuklah di kalangan menteri dan ahli parlimen. Langkah paling wajar apabila ada di kalangan kontak rapat kita positif Covid-19, buatlah pemeriksaan.

Walaupun negatif, jalanilah kuarantin di rumah masing-masing kerana bimbang apa-apa berlaku kerana ada juga yang mengalami simptom Covid-19 agak lambat bagi sesetengah kes. Lebih bijak jika kita mencegahnya dari awal.

Seorang lagi ahli politik Sarawak yang juga Ahli Parlimen Samarahan, Rubiah Wang dilaporkan positif Covid-19.

Perkara tersebut disahkan oleh Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah dalam sidang akhbar mengenai keadaan Covid-19 di Sarawak.

Abdul Karim kini merupakan Pemangku Timbalan Ketua Menteri Sarawak dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Penyandang jawatan tersebut, Douglas Uggah Embas masih menjalani kuarantin di rumah berikutan beliau difahamkan pernah bertemu dengan individu yang diuji positif Covid-19.

IKLAN

Ahli Parlimen Disahkan Positif

“Setakat yang kita ketahui sekarang, seorang pembantu menteri dan seorang ahli parlimen disahkan sebagai positif Covid-19, “kata Abdul Karim pada sidang media itu seperti dalam laporan portal The Borneo Post.

Abdul Karim turut memaklumkan beberapa pemimpin negeri itu termasuk Timbalan Ketua Menteri, Awang Tengah Ali Hasan dan tiga menteri penuh, Fatimah Abdullah, Dr Sim Kui Hian dan Stephen Rundi Utom diperintahkan menjalani kuarantin sendiri di rumah.

“Ini adalah mengikut standard prosedur operasi (SOP) apabila ada kontak dengan individu yang merupakan kes positif.

IKLAN

“Kami berdoa mereka tidak dijangkiti wabak ini,” katanya.

Kelmarin The Borneo Post melaporkan, Pembantu Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mabong, Datuk Dr Jerip Susil mengesahkan bahawa beliau positif Covid-19 dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (SGH) pada malam Khamis untuk rawatan

Menurut Dr Jerip, beliau dijangkiti Covid-19 melalui kontak dengan individu dalam kluster Good News Fellowship Conference Church.

IKLAN

Sebelum itu, dua ahli politik DAP Sarawak iaitu Ahli Parlimen Sarikei, Andrew Wong dan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii diuji positif untuk Covid-19.

Andrew Wong dilaporkan masih dirawat di Hospital Sibu manakala Dr Kelvin Yii dibenarkan keluar hospital selepas dua ujian terakhir disahkan negatif.

Sumber: Sinar Harian

MW: Semoga semuanya kembali sihat dan dapat kembali bertugas seperti biasa. 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI