Benar.. ada isteri tak mahu bebankan hati suami. Ketua rumah yang tak henti bekerja cari nafkah untuk anak isteri. Tak sanggup rasanya nak bebankan suami dengan masalah peribadi kita.
Jangan begitu ya mak-mak.. diam-diam simpan masalah tanpa pengetahuan suami itu lebih bahaya. Boleh jadi kemurungan dan nanti makin sukar diubati.
Dengarkan isi hati Nabihah Ab Razak ini. Pesannya mendalam untuk mak-mak suri mencari bahagia dalam melayari bahtera rumah tangga.
Yang Kau Kahwini Itu Seorang Wanita
“Apa salah abang, ye? Bagitau saja. Jangan buat abang tertanya-tanya”
Masya-Allah… Tundukkan ego seorang suami, kadang sedikit sebanyak membantu meredakan hati isteri yang sedang bermain dengan persepsi.
Suami kena tahu, bila dia sudah berkahwin, orang yang dikahwininya sudah pasti seorang wanita. Dan hakikat yang perlu diterima adalah, wanita ini salah satu ciptaan Allah yang sarat dengan emosi.
Yang sedang ketawa gembira, boleh saja tiba-tiba berubah menjadi duka.
Yang sedang senyum manis sepanjang hari, boleh jadi menangis tanpa henti.
Ads
Saya teringat kata-kata daripada salah seorang ustaz penceramah ; ‘Mu kahwin dengan orang puang. Mu keno tahu, orang puang ni mace budok-budok’
Begitulah lebih kurangnya.
Jadi kalau isteri tiba-tiba merajuk dan minta dipujuk, itu satu benda yang lumrah. Bukan cari padah
Suami Pun Hampir Buntu Nak Pulihkan Isteri
Hampir sebulan saya diuji.
Bahkan sang suami hampir kebuntuan untuk membantu memulihkan si isteri.
Allahu Allah..
Semangat saya makin hari makin lemah. Keyakinan diri makin diusap, makin merudum. Dunia hampir gelap. Saya buntu mencari arah yang mahu dituju. Allah sahajalah yang mampu mengerti isi hati ketika itu!
Depresi seorang suri rumah.
Saya tak mampu nak bergaul mesra bersama sahabat handai. Emosi celaru tak mampu dibendung walhal di hadapan anak-anak dan suami! Apa yang dirasa oleh deria dan dilihat di depan mata, semuanya tidak kena. Semuanya bagaikan satu gangguan dalam hidup saya!
La haula wala quwwata illa billah…
Tuan-puan, kalau kena caranya, tidak mustahil ‘sakit’ ini boleh sembuh dan kembali seperti sedia kala.
Solat.
Zikir dan selawat.
Dua perkara ini jangan lalai walau dalam keadaan perit macam mana sekalipun. Ini antara panadolnya.
Sehinggalah suatu hari Allah detikkan hati saya untuk menghubungi salah seorang kenalan yang pernah mengalami kemurungan sebagai seorang suri rumah.
Ada Masalah Mengadu Pada Suami, Jangan Menyendiri
“Akak dulu macam tu lah. Suami sibuk. Kerja sampai lewat malam. Waktu tu anak kami baru dua orang”
Allahu..
Ads
Kadang kita rasa kita yang lebih merasa. Hakikatnya masih ada yang sama-sama menghadapi kondisi seperti kita. Dan semuanya boleh jadi satu pengalaman hidup yang sangat bermakna buat seorang wanita!
“Paling tidak, bila kita tahu kita sedang kemurungan, cari tahu macam mana nak atasinya”
“Biha kena sihat badan, sihat fizikal dan sihat emosi,” kakak ini menyambung. “Apa-apa masalah, mengadu saja pada suami. Jangan terlalu menyendiri. Luahkan semuanya apa yang dihadapi dalam sehari-hari”
“Jangan terlalu fikirkan duit. Kadang duit dalam akaun RM0.00 pun, tenang saja! Yang penting kita jaga amanah sebagai isteri dan ibu elok-elok”
Subhanallah…
Panjang lebar penjelasannya. Sehinggakan hati yang gundah juga boleh berubah. Jiwa yang gersang kembali tenang!
Perlu Saling Merai Hati Pasangan
Suami dan isteri, peranannya berbeza. Kedua-duanya saling melengkapi antara satu sama lain.
Masing-masing perlu memahami perbezaan yang ada dan saling meraikan hati pasangan untuk mewujudkan bahagia dalam rumahtangga.
Ads
Mak-mak suri rumah, tenang walaupun kita belum ketemu jalan penyelesaian. Dalam ketenangan itu, kadang tanpa sedar Allah hadirkan apa yang kita cari selama ini.
Hidup siapa yang tidak dilanda masalah?
Berbalik semula kepada tujuan asal penciptaan kita sebagai manusia, diuji dan terus diuji sebelum diganjarkan syurga!
‘Yang kau mahu hanyalah hati yang bahagia. Maka dekatkan diri kepada Pencipta!’
MW : Dapat tangkap kan maksudnya.. kadangkala kita rasa kuat tempuhi masalah sendirian. Hakikatnya, sokongan suami itulah yang bantu kita bertahan. Tapi kenalah luahkan, baru suami faham.
Besar pengorbanan seorang isteri yang bakal melahirkan cahayamata yang dikandung selama 9 bulan. Inilah pengalaman sukar yang dilalui Pencetus Ummah (PU) Amin tatkala menemani isteri dalam bilik bersalin.
Saat cemas hingga dia terpaksa berulang kali memanggil nama isterinya, yang ada ketika cuma nampak mata putih saja di kelopak mata. Syukur, akhirnya isteri selamat melahirkan bayi ketiga mereka, bayi perempuan.
Kesakitan yang isteri tanggung sewaktu melahirkan mampu melunturkan keegoan seorang suami. Jadi, wahai suami. Jika anda punya kekuatan, temanilah isterimu dalam bilik bersalin. Lihat dengan mata sendiri bagaimana susahnya mahu melahirkan zuriatmu. Kelak kau akan sedar dan jadi lebih kasih pada isterimu yang telah bersusah payah itu.
‘Saya Panggil Namanya Berulang Kali’ Ketika Temani Isteri Bersalin
Alhamdulillah . Syukur Ya Allah ! Atas nikmat dan rezeki Mu ini..
Pagi tadi saya sampai rumah dari Ipoh ( Ceramah di sana ) jam 1 pagi, kemudian jam 3 pagi isteri mengadu sakit perut, jam 4 pagi di Hospital. Jam 5 pagi Isteri saya selamat melahirkan. Ini anak ke-3 saya. Kemudian jam 8 pagi saya bergegas ke Universiti untuk final exam Master Pengajian Islam saya. Alhamdulillah selesai menjawab tadi..
Kisahnya, Sesuatu yang saya takut untuk lalui, adalah teman isteri ketika bersalin tadi.
Hingga terbit mata putih sahaja di kelopak matanya. Allah… Saya panggil panggil nama dia berulang kali. Dia terus kuat untuk melahirkan puteri kami..
Insaf. Sungguh beban mengandungkan 9 bulan, ditambah saat hari nak melahirkan. Kuat orang perempuan. Sebab itu dosanya dihapuskan hari dia melahirkan..
Jangan Kau Remukkan Hati Isterimu
Wahai anak, jangan kau luka hati ibu mu. Wahai lelaki jangan kau remuk kan hati isteri mu. Pengorbanan mereka ini cukup agung.
Bagi kawan kawan yang belum dikurniakan zuriat, saya doakan anda semua disegerakan rezeki oleh Allah untuk mendapat zuriat. Percayalah pasti ada..
Selamat Datang ke dunia penuh cabaran ini Puteri Ku. Selamat berkenalan dengan Aisyah dan Umar.
Dengar Cerita Keretakan Rumah Tangga, Cepat Cepat Peluk Anak Isteri
Saya sangat takut bila mendengar cerita tentang keretakan rumah tangga. Tiap kali ada cerita yang tak sedap didengar tentang rumah tangga, saya cepat cepat peluk anak isteri saya. Tanda syukur Allah anugerahkan mereka untuk saya.
Kerana bagi saya kelurga adalah pelengkap ke SYURGA. Jodoh dan pertemuan adalah hadiah dari Allah. Allah pilih jodoh dan ahli keluarga kita .
Anak anak yang menjadi zuriat kita adalah anugerah yang paling istimewa . Rezeki bertambah kerananya. Anak anak pelengkap dunia akhirat.
Bina Perkahwinan Dengan Kasih Sayang
Saya doakan anda semua bertemu jodoh yang mendamaikan hati dan terus memimpin tangan anda ke SYURGA . Keluarga ini kerajaan kecil yang wajib dipertahankan, pasti ada musuh, pasti ada ujian, pasti ada pasang surut ombak membadai.
Tiap kali ujian hadir ucapkan kalimah kalimah yang menyeru Allah. Kita semua bukan sempurna tapi kita wajib mencari kesempurnaan . Bina perkahwinan kita dengan kasih sayang Allah.
Ingat kalau ada hati nak meninggalkan nya , fikir dan ingat saat saat anda mahu memilikinya.
Ujian kita beza beza.
Allah sedang mencatur hidup ini dengan apa yang kita sangka kan.
Menerima tetamu yang bertandang ke rumah pun ada adabnya. Lagi-lagi tetamu jauh yang susah nak berjumpa. Adab terima tetamu ini pun salah satu akhlak baik yang perlu ada dalam diri mak ayah.
Bila tetamu bahagia di rumah kita, rezeki Allah makin luas dan bertambah. Sebab itulah, pentingnya meraikan tetamu yang menjejakkan kaki ke rumah mak ayah.
Ini yang dikongsikan oleh puan Shaza Baharuddin ketika menerima kedatangan tetamu ke rumahnya sempena cuti Hari Malaysia
Jika Ada Tetamu Jauh Nak Datang Ke Rumah, Bersyukurlah..
Kami tidak pergi bercuti, duduk di rumah sahaja. Kami bakal menerima tetamu jauh. Pagi ini pergi ke pasar. Apa menu istimewa untuk tetamu ya?
Ada beberapa adab dalam menerima tetamu, antaranya:
1. Tempoh layanan sebagai tetamu dalam masa 3 hari. Layanan istimewa selama sehari semalam mengikut kemampuan.
Biasanya begitulahkan. Bila ada tetamu kita akan memikirkan menu istimewa untuk dimasak. Bukanlah sehingga membazir pula – buat ayam golek, masak udang kara dan sotong kurita. Masak istimewa dalam kemampuan kewangan kita.
Cuba bayangkan, orang jauh datang. Dah lama tak berjumpa. Kita hidangkan air bujang je. Sekurangnya hidanglah sepinggan biskut ya.
2. Menyegerakan hak tetamu. Biasanya selepas 3, 4 minit bertanya khabar kita akan meminta diri untuk ke dapur.
Cepat-cepat bancuh air dan hidangkan buat tetamu. Janganlah pula sibuk sangat membawang hampir setengah jam baru tergopoh-gapah nak sediakan air. Lagi sadis, tetamu dah nak bersalam hendak balik, kita masih lagi berborak sakan. Ni jenis tuan rumah taik hidung masin!
3. Tidak berlebihan melayan tetamu.Bersederhanalah ya.
4. Seeloknya makanlah bersama-sama tetamuuntuk elakkan tetamu merasa janggal.
Kredit foto : rasa.my
Ini Yang Arwah Ayah Buat Bila Layan Tetamu
Teringat saya cara arwah Abah menyantuni tetamu yang datang.
√ Kami tidak dibenarkan mengambil kuih yang dihidangkan buat tetamu. Kalau nak, ambik kat dapur.
√ Tugas saya dan kakak ketika itu diibaratkan macam waiter. Kami ditugaskan mencedok lauk atau nasi jika dilihat sudah berkurangan di meja hidangan.
√ Bagi tetamu yang menginap di rumah kami selalunya pakej 4 kali makan. Pagi, tengahari, petang dan malam. Biar tetamu puashati, jangan biarkan perut tetamu berkeroncong.
Nota MW
Bagus sekali cara yang dipraktikkan arwah ayah puan Shaza ini. Dan tetamu pun kenalah didik akhlak sebaiknya ketika berkunjung ke rumah tuan rumah. Agar tuan rumah lebih bahagia dan ikhlas layanannya.
Memang tak hairan selepas berkahwin lelaki bertambah senang dan perempuan bertambah bengang sekiranya tujuan dan pemahaman berkahwin itu sendiri dah disalah ertikan. Seringkali yang ditekankan bagi lelaki apabila berkahwin adalah untuk memudahkan urusan mereka. Merebut peluang dan mengaut faedah yang bakal diperolehi setelah berkahwin berbanding penekanan tanggungjawab sebenar sebagai ketua keluarga.
Jemput fahami betul-betul dan hadam perkongsian daripada Ustazah Sharifah Zahidah ini.
Kalau dengar orang tua bila suruh cari isteri, antara alasan dan nasihatnya,
“Ada orang jaga makan pakai kau..” “Nampaklah kau terurus sikit..” “Dapat makan sedap. Balik rumah semua terhidang..” “Taklah teruk sangat kena kerja.. Ringan banyak beban tu kalau beristeri nanti..”
Ini antara sebab-sebab yang biasa saya dengar dari nasihat orang tua kepada lelaki yang bujang tentang KENAPA MEREKA PERLU BERKAHWIN.
Ya, yang banyak ditekankan kepada orang lelaki apabila berkahwin adalah FAEDAH dan OPPORTUNITY yang lebih baik mereka akan dapat jika mereka berkahwin, sehingga perkahwinan ini akhirnya tertanam sebagai sesuatu yang MUDAH dan TEMPAT MENGAUT FAEDAH untuk lelaki.
Kahwinlah..
Ada orang gosokkan baju. Kalau dulu bersiap untuk ke tempat kerja jam 5.30 pagi sudah bangun, sekarang, jam 6.30 pagi bangun pun masih sempat. Sebab? Baju dah siap seterika. Yeah, kahwin maknanya boleh dapat tidur extra.
Kahwinlah..
Ada orang siapkan makan pagi. Kalau dulu, bangun pagi lambat, asyik tak sempat nak makan. Sampai ke 11 pagi baru sempat sarapan. Kalau kahwin, bangun-bangun lagi dah terus boleh makan. Dah siap makan, tinggalkan saja pinggan mangkuk cawan di meja makan dengan isteri. Pandailah dia uruskan. Kita? Acah-acah gelabah sebab dah terlambat. Isteri lambat? Tak apa, itu masalah dia. Pandai-pandai dia jawab dengan bos dia. Yeah, kahwin bermakna dapat lebih kebebasan masa.
Kahwinlah..
Tak perlu lagi dah makan di luar. Mahal dan tak dijamin bersih! Kalau berkahwin, balik rumah makanan sudah terhidang, boleh makan sedap-sedap. Belanja pun jimat. Jimat bukan sebab makan di rumah saja, tapi kadang-kadang boleh buat-buat lupa beli barang dapur. Ada isteri tolong top up dan belikan segalanya. Yeah, kahwin untuk kita dapat extra duit belanja.
Kahwinlah..
Boleh tidur nyeyak. Dulu kena set jam nak bangun Subuh. Subuh pun selalu terlajak. Sekarang. Tak apa. Ada isteri yang PERLU BANGUN lebih awal, ulang alik 3 4 kali kejut dan kejut sampai suami bangun. Dulu, kalau tidur balik, terlajak bangun! Lambat ke tempat kerja. Dah kena marah dengan bos. Kalau dah kahwin, tak apa tidur semula, pandai-pandailah isteri datang berkali-kali kejutkan kita macam kanak-kanak tak faham bahasa. Yeah. Kahwin maknanya kita boleh kembali jadi kanak-kanak Ribena.
Jadi, kahwinlah wahai lelaki. Kerana urusan kita akan banyak dipermudahkan. Kahwin memang best!
“Tak hairan, lepas berkahwin, lelaki bertambah senang. Perempuan? Bertambah bengang.”
Kahwin Urusan Senang
Makin lama lelaki kahwin, makin menjadi-jadi miang. Maklumlah, kahwin ini urusan senang. Bila-bila pun boleh sembang tentang nak tambah lagi seorang. Urusan senang, kan? Hari-hari dia sembang bila nak tambah lagi seorang.
Perempuan? Di rumah dah macam medan perang. Semua benda dia perlu uruskan. Jaga anak yang tak pandai jaga diri. Jaga suami yang tak pandai jaga diri juga. Beban kewangan, pendidikan anak-anak, urusan pertukangan di rumah, urusan sekolah anak-anak dan segalanya. Tapi tak apa, memang wanita diajar macam itu dari dulu lagi,
“Bila dah berkahwin, tak macam dulu lagi.. Kita kena berkorban.. Hidup kita berubah 100% dan sangat mencabar.. ” “Kahwin ni, tak boleh berkawan sangat dah.. Suami itu raja, jaga suami macam jaga raja.. Dunia lain dah tak ada buat kita. Ada suami saja..” “Kalau dah kahwin, jangan susahkan suami. Layan suami dan seluruh keluarga dia. Jangan bagi dia buat apa-apa, isteri solehah dia yang buat segalanya.” “Jaga suami elok-elok. Kau kena pandai jaga diri. Bukan jaga diri je, pandai jaga suami apatah lagi.. Suami lari, kau yang berdosa!”
Gambar hiasan.
Tanggungjawab Berbeza
Ini perbezaan antara 2 pesanan tentang 1 tanggungjawab yang sama, tetapi kepada 2 golongan yang berbeza.Wanita dipesan perkahwinan sebagai medan berkorban. Lelaki dipesan perkahwinan medan mengambil kesenangan.
Hasilnya, kepincangan yang kita lihat dalam institusi rumahtangga kita pada hari ini.Ini menjawab kenapa wanita banyak berkorban dan TERKORBAN selepas berkahwin.
Perkahwinan adalah medan lelaki menambah kesenangan, menurunkan kesusahannya kepada sang isteri. Dan perkahwinan bagi perempuan adalah medan pengorbanan, meninggalkan segala kesenangan dan KETENANGAN diri dan bersusah-susah untuk suami.
Ini adalah gambaran perkahwinan yang tempang dalam masyarakat kita.
Bukan Tempat Membuang Beban Ke Bahu Isteri
Budaya ini perlu dihentikan. Islam tidak pernah ajar bahawa perkahwinan adalah suatu yang MUDAH BAGI SUAMI. Ya, perkahwinan adalah sesuatu yang BERAT DAN MENAMBAH BEBAN buat suami, bukan tempat membuang beban ke bahu isteri.
Anak perempuan diajar, perkahwinan sesuatu yang berat dan susah buat mereka. Anak lelaki diajar, perkahwinan adalah sesuatu yang indah dan senang buat mereka.
Maka, lahirlah KONFLIK TANGGUNGJAWAB di dalam institusi kekeluargaan.
Suami menjadi lebih wanita dari sang isteri. Isteri menjadi lebih lelaki dari sang suami.
Hakikatnya yang perlu kita ajar kepada generasi kita. PERKAHWINAN ADALAH SUSAH DAN BERAT BAGI SEORANG PEREMPUAN, DAN PERKAHWINAN ADALAH SESUATU YANG JAUH JAUH JAUUUUH LEBIH SUSAH DAN BERAT BAGI SEORANG LELAKI.
Mengapa jauh lebih susah bagi lelaki?
Kerana ALLAH meninggikan darjat lelaki dan menjadikan mereka KETUA keluarga, kapten kapal yang bertanggungjawab atas SEGALANYA, sedang wanita cumalah anak kapal yang menumpang kebijaksanaan, kegagahan dan kehebatan ketua kapalnya. Sebagai pembantu, bukan sebagai pengemudi segalanya.
Biar lelaki faham, hakikat dan maknanya bila dia ambil anak dara orang untuk dijaga dan dididik. DIBUAT TEMAN BAIK. BUKAN DIBUAT BIBIK.
Biar wanita juga faham, hakikat dan maknanya apabila dia disunting seorang lelaki. Untuk dikasihi, untuk disyukuri, untuk dikhidmat seikhlas hati dalam POLA GIVE AND TAKE, DAN BUKAN POLA PARASITISME yang paling banyak berlaku pada hari ini.
Kepincangan rumahtangga dalam masyarakat kita pada hari ini, antara puncanya adalah kesilapan warisan ini yang memberi pesan dan fahaman kepada lelaki, bahawa perkahwinan bukan medan menabur bakti, tetapi perkahwinan adalah medan kau diperaja dan memperguna sehingga LUNYAI kudrat seorang isteri.
Ini adalah kesilapan warisan yang mesti kita hentikan.
Gambar hiasan
Beri Gambaran Sebenar Perkahwinan
Generasi ibubapa zaman kini, harus BERIKAN GAMBARAN SEBENAR tentang perkahwinan SECARA ADIL kepada anak-anak kita.
Perkahwinan bukan parasitisme DI MANA SEORANG HIDUP DAN SEORANG LAGI AKAN MATI, tetapi perkahwinan, adalah PERKONGSIAN HIDUP di mana kedua-dua jiwa sama-sama hidup memberi dan menerima kasih sayang, cabaran, kesusahan, tanggungjawab, amanah dan sebagainya.
Perkahwinan adalah medan yang payah. Tolonglah, jangan ambil mudah. Baik di pihak wanita, mahupun lelaki.
Di masa akan datang, saya akan menulis bagaimana kita sepatutnya mengajar kepada anak tentang perkahwinan. Biar anak lelaki kita tenang bahagia tanpa dosa di sisi anak perempuan kita, biar anak perempuan kita, terbela terjaga di sisi anak lelaki kita. Bukan nak suruh mereka kahwin atau faham apa itu kahwin di usia muda, TETAPI UNTUK MEREKA FAHAM PERANAN MEREKA DI SEBALIK JANTINA YANG ALLAH CIPTA. Ini tujuan Mariage Education dalam Islam.
Saya berpendapat, ini adalah antara syllabus parenting antara yang paling kritikal untuk disentuh di zaman ini.
Saya tidak menulis ini untuk membangkitkan gender war antara lelaki dan perempuan. Tetapi TERIMA DAN HADAPLAH, ini adalah REALITI YANG MENGGAULI MASYARAKAT kita pada hari ini.
Selagi ianya TIDAK BOLEH DIBICARAKAN SECARA TERBUKA DAN BERHEMAH SEBEGINI, selagi itu kita tidak akan dapat mewujudkan kesedaran baru tentang HAKIKAT PERKAHWINAN BAGI LELAKI DAN PEREMPUAN KINI.
Hakikat perkahwinan tidak dapat difahami KECUALI kita terlebih dahulu memahami HAKIKAT PERANAN sebagai seorang lelaki dan wanita.
Dan hakikat peranan ini TIDAK BOLEH difahami, melainkan dengan jalan didikan yang betul sedari anak-anak kita kecil lagi.
Kita tidak boleh mengubah generasi lelaki yang sudah berkahwin pada hari ini, tetapi kita BOLEH MENDIDIK DENGAN BAIK ANAK-ANAK LELAKI kita yang BAKAL MENJADI SUAMI dan BAPA kepada anak-anak orang lain satu hari nanti. Kerana ini, saya menulis dan berkongsi.
Selama ini, dalam masyarakat kita, DIDIKAN KITA ADALAH BERPUSAT KEPADA ANAK PEREMPUAN. Kini tak boleh lagi. Didikan kita harus dipusatkan dengan TEPAT DAN GIAT baik kepada lelaki mahupun perempuan.
Bagi perempuan yang membaca tulisan ini, kenali peranan anda untuk MULA MEMBERI NASIHAT YANG BENAR DAN ADIL tentang perkahwinan kepada anak lelaki dan perempuan kita.
Bagi lelaki yang membaca, FOKUS KEPADA MEMBETULKAN salah faham ini yang banyak berlegar di sekeliling kita, walau kita tidak terlibat sama. Kerana kita juga punyai anak perempuan yang bakal kita serahkan kepada lelaki-lelaki lain. Ianya, adalah tanggungjawab bersama untuk kita perbetulkan kepincangan ini.
Percayalah, amat jelas bagi kami yang menghadap luahan masalah rumahtangga pada hari ini, bahawa punca kepincangan yang berlaku adalah kerana KONFLIK TANGGUNGJAWAB YANG BERLAKU DI KALANGAN GENERASI LELAKI DAN WANITA KITA PADA HARI INI.
Tulisan ini bukan untuk kita ego mempertahankan diri, tetapi untuk kita sama-sama bermuhasabah diri.
Sharifah Zahidah
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan menjadi panduan dalam memperbetulkan erti kata konsep perkahwinan yang sebenar.
“Saya Cuba, Bertahan, Usaha Tapi Gagal. Tiada Lagi Kita” itulah yang diluahkan oleh Aprena Manrose tentang rumah tangganya yang dikatakan sudah berantakan.Pelakon cantik, Aprena...