Ya Allah… berat mata memandang, berat lagi bahu seorang isteri yang diuji dengan kesakitan suami tersayang.
Bagi Rasidah Suhada Zulkifli, setiap degupan jantung suaminya hari ini adalah satu keajaiban, bukti kasih Allah masih mahu pinjamkan suaminya walau sekejap lagi.
Suaminya, Koperal Syed Isfan Syed Mohammad, anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam kemalangan ngeri di Jalan Chikus–Sungai Lampam, kini terlantar selepas melalui tiga pembedahan besar hanya dalam tempoh beberapa hari.
Dalam satu coretan jujur dan menyentuh hati di Facebook, Rasidah menceritakan keadaan suaminya yang kini sedang bertarung nyawa — telah menjalani tiga pembedahan besar, dan masih belum keluar dari fasa kritikal.
Ads
“Syed dah lalui pembedahan perut dan dada sebab usus dia naik dan himpit paru-paru, hati dan limpa… doktor berjaya betulkan semula semua tu. Tapi tulang rusuk empat batang retak. Tak boleh buat apa, kena tunggu sembuh sendiri…”
Setiap maklumat dari doktor bagaikan tikaman halus ke hati Rasidah. Tapi di sebalik semua itu, dia tetap tabah. Saluran kencing suaminya bocor dan dijangkiti kuman, kini bergantung pada tiub. Pinggul patah, masih tunggu masa untuk dibedah. Namun, kasihnya tidak pernah goyah.
“Saya tak mampu nak balas satu-satu ucapan dan doa… Tapi saya tahu, doa semua orang jadi kekuatan saya hari ini. Semalam saya menangis, hari ini saya belajar reda,”ujarnya lagi.
“Doktor kata banyak risiko pendarahan, buang limpa, potong usus. Tapi semuanya berjaya diatasi. Subhanallah. Saya anggap ini semua berkat doa dan rahmat Allah,”sambungnya lagi.
Walaupun dua lagi pembedahan masih menanti, Rasidah memilih untuk bersyukur dengan apa yang ada. Dia tahu, mungkin Syed tak lagi boleh berjalan seperti dulu. Tapi selagi suaminya masih bernyawa, dia akan tetap berada di sisi, dengan tangan menggenggam harapan, dan hati berselimut sabar.
Sepatutnya hari ini menjadi hari yang menggembirakan buat keluarga Annuar Yusof — anak sulung kesayangan, Akmal Wafi berjanji mahu pulang ke Kulim bersama adik perempuannya. Tapi janji itu hanya tinggal kenangan.
Annuar Yusof, 55, menahan sebak ketika menceritakan detik terakhir bersama anaknya, Konstabel Akmal Wafi, 27, anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 Ipoh yang maut dalam kemalangan tragis membabitkan trak pasukan dan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan.
Nahas itu meragut nyawa sembilan anggota termasuk Wafi — anak sulung daripada lima beradik yang sering menjadi tempat bergantung keluarga.
“Tiga hari lepas Wafi buat panggilan video. Dia ceria seperti biasa. Kami sekeluarga termasuk adik perempuannya, Nor Wardina, 26, berborak panjang. Katanya nak balik kampung… nak tumpang kereta adik dia dari Shah Alam, singgah di Ipoh. Tapi hari ni… kami terima jasadnya, bukan senyumannya.”
Annuar mengimbas kenangan dua minggu lalu, kali terakhir dia bersua muka dengan anaknya yang peramah dan suka menghabiskan masa dengan rakan-rakan lama setiap kali bercuti. Tiada langsung petanda Wafi akan pergi buat selama-lamanya.
“Waktu saya dapat tahu pasal kemalangan, saya tengah sarapan dengan kawan. Tengok gambar dan video yang tular… tak sangka anak sendiri ada di dalam tu.”
Hatinya mula gelisah bila panggilan telefon kepada Wafi tidak dijawab. Gerak hati seorang ayah mula meronta, sehinggalah panggilan ke tempat kerja anaknya mengesahkan berita paling menyakitkan itu.
“Selalu dia kongsi video dan cerita pasal kerja dengan kami… kali ni dia senyap terus.”
Proses bedah siasat yang bermula pukul 2.30 petang itu melibatkan tiga doktor pakar dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh. Jenazah anggota beragama Islam disembahyangkan di Surau Ar-Rahman sebelum dibawa ke Markas FRU Unit 5, Sungai Senam, Ipoh bagi istiadat penghormatan terakhir.
Lapan daripada sembilan mangsa dikebumikan di Perak dan seorang di Lunas, Kedah.
Allahyarham Sarjan Mohd. Roslan Abd. Rahim, 46, dikebumikan di Meru, Ipoh manakala Koperal Mohd. Pozli Jaudin, 41, di Kampung Pantai Besar, Batu Kurau.
Jenazah Koperal Amiruddin Zabri, 38, dikebumikan di Kampung Sungai Itek, Gopeng; Koperal Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, 38, di Masjid Simpang, Taiping dan Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35, di Kampung Parit Teluk Piai, Kuala Kurau.
Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33, dikebumikan di Tanah Perkubutan Islam Kampung Kepayang, Ipoh
Jenazah Konstabel Akmal Wafi Annuar, dibawa menaiki van jenazah berasingan dan bertolak pada jam 10 malam dari Jabatan Forensik hospital itu.
Difahamkan, jenazah akan dibawa ke Surau Ar-Rahman Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak untuk disembahyangkan dan akan dibawa ke Markas Unit 5 FRU Sungai Senam untuk acara penghormatan terakhir. Jenazah Konstabel Akmal Wafi Annuar akan dikebumikan di Lunas, Kedah.
Al Fatihah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bayangkan dunia reka bentuk yang bukan saja dipacu oleh teknologi canggih seperti kecerdasan buatan, tetapi juga diilhamkan oleh warisan budaya tempatan — dan anda berada di tengah-tengahnya, memberi sentuhan peribadi yang unik dan penuh makna.
Itulah suasana yang dicipta oleh acara “Design Perspectives x Golden Pin Salon”, sebuah platform berprestij peringkat Asia yang menjadi titik temu pereka tempatan dan antarabangsa dalam meraikan kreativiti yang berakar dari identiti dan nilai manusia.
Acara yang diketuai oleh Golden Pin Design Award dan dianjurkan bersama Taiwan Design Research Institute dan Tsubaki Studio ini membawa tema “Human-Centred Futures: Design at the Confluence of Technology Advancements and Tradition” — satu seruan kepada para pereka, khususnya wanita, untuk menyumbang idea yang bukan sahaja inovatif, tetapi bermakna dan berpaksikan jiwa.
Menurut Vivian Toh, pengasas bersama CUTOUT Design Magazine dan wakil Tsubaki Studio, menyentuh realiti yang dekat di hati ramai wanita dalam industri reka bentuk.
“Ramai pereka berbakat di Malaysia, tapi mereka tidak tahu di mana nak bermula atau bagaimana nak tampilkan karya di pentas antarabangsa. Di sinilah peranan acara seperti ini, sebagai batu loncatan dan ruang inspirasi untuk mereka bersinar.”
Dengan lebih 21 bandar Asia telah dijelajahi sejak 2015 — dari Shanghai hingga ke Kuala Lumpur — salon reka bentuk ini menjadi medan perkongsian idea dan semangat, membina komuniti kreatif rentas sempadan dan budaya.
Baru-baru ini, dua sesi dialog menarik berlangsung iaitu “Something Old and Something New” mengupas bagaimana bangunan bersejarah boleh diberikan nafas baru dengan gabungan estetika moden dan teknologi dan “From Inner Worlds to Visual Art”, menyelami perjalanan dari imaginasi hingga ke seni digital yang memberi kesan visual dan emosi.
Sesi yang berlangsung pada 28 dan 29 April 2025 membawakan beberapa panel jemputan, Ar. Rien Tan – Pengarah TKCA Architects dan tokoh reka bentuk tempatan, IDr. Lai Siew Hong – Ketua pereka di Blu Water, Fariz Hanapiah – Pengasas bersama Experiential Design Team (EDT) serta Malaysia Magdalene Wong, Pengarah Seni & Pengasas Where’s Gut Studio.
Pendaftaran dibuka sehingga 24 Jun 2025, dan diskaun early bird disediakan bagi mereka yang mendaftar sebelum 27 Mei 2025.
Pereka dan syarikat dari seluruh dunia dialu-alukan untuk menghantar penyertaan bagi produk komersial, projek komunikasi visual, reka bentuk ruang siap, serta karya reka bentuk bersepadu.
Jadi, kepada semua wanita kreatif di luar sana — ini peluang anda untuk bersinar. Reka bentuk bukan hanya tentang cantik, tetapi juga tentang menyampaikan cerita dan jiwa. Sudah tiba masanya untuk cipta ruang anda sendiri di pentas antarabangsa
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila lawati laman rasmi Golden Pin Design Award dan sebarang pertanyaan boleh melalui gpaward@tdri.org.tw
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Di sebalik setiap keputusan cemerlang dalam peperiksaan, ada figura ibu dan bapa yang tak pernah jemu berdoa, berjaga malam, dan sentiasa percaya anaknya mampu untuk meraih keputusan yang terbaik.
Itulah semangat yang diraikan dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SPM Eskayvie Mindtropic, yang berlangsung penuh rasa syukur dan harapan di DoubleTree by Hilton, Shah Alam baru-baru ini.
Majlis ini bukan sekadar meraikan keputusan semua A dalam peperiksaan Sijil pelajaran Malaysia baru-baru ini, malah ia adalah pengiktirafan buat usaha pelajar yang berjuang bangkit dari kegagalan, dan juga buat ibu bapa yang menjadi tulang belakang, motivator senyap, dan guru pertama anak-anak di rumah.
“Kejayaan anak bukan hanya dari bilik darjah, tapi dari meja makan, ruang tamu dan pelukan ibu yang tak pernah lelah,” ujar salah seorang ibu yang hadir bersama anaknya.
Anugerah tahun ini membariskan dua kategori utama iaitu pelajar yang meraih keputusan cemerlang dalam setiap subjek dan peningkatan cemerlang, khas untuk pelajar yang menunjukkan perubahan ketara dari keputusan percubaan, bukti bahawa usaha tak pernah sia-sia.
Eskayvie turut memperkenalkan Kempen Booster Minda dengan misi melahirkan 100,000 pelajar cemerlang dari seluruh Malaysia, tanpa mengira latar belakang. Usaha ini digerakkan dengan kerjasama sekolah, organisasi dan ibu bapa, serta didukung oleh produk vitamin minda, Eskayvie Mindtropic keluarannya.
Menurut Pengarah Urusan Eskayvie, Kartika Wati Mohamed, Booster Minda bukan hanya tentang produk, tapi tentang membekalkan ilmu kepada ibu bapa dalam membantu anak-anak mendapatkan fokus dan emosi anak-anak dalam pembelajaran mereka.
“Kami mahu bantu ibu bapa jadi rakan strategi anak-anak dalam kejayaan mereka, bukan sekadar penonton,” jelas Kartika.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Duta Eskayvie, Datuk Aznil Hj Nawawi, yang tampil memberi suntikan semangat bukan hanya kepada pelajar, malah buat semua ibu bapa yang hadir.
“Anak-anak ini hebat, tapi lebih hebat adalah ibu bapa yang terus percaya walau dalam diam,” kata beliau, disambut tepukan gemuruh.
Eskayvie percaya, kejayaan akademik bukan lagi tentang siapa paling pandai, tapi siapa yang paling bersedia fizikal, emosi dan mental. Dan dalam perjalanan itu, ibu bapa tetap menjadi nadi utama.
Formulasi Eskayvie Mindtropic menggunakan bahan premium dan berpaten seperti Phosphatidylserine yang terbukti memberi kesan positif kepada otak. Nutrisi ini membantu merangsang penghasilan empat neurotransmitter utama iaitu Serotonin, Dopamine, Norepinephrine dan Acetylcholine yang memainkan peranan penting dalam meningkatkan fokus, semangat belajar dan daya ingatan pelajar.
Mingguan Wanita berkesempatan menemubual dua pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia yang membuktikan sokongan moral keluarga dan pengambilan makanan tambahan yang berkualiti menjadi antara faktor pendorong kejayaan mereka melakar keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM baru-baru ini.
Asfan Idraqi, pelajar dari Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur antara pelajar yang hampir melalui fasa berputus asa apabila sering keletihan, mudah mengantuk dan paling sukar menguasai subjek Matematik Tambahan.
“Saya amat berterima kasih kepada ibu kerana berusaha mencari solusi terbaik untuk saya kekal fokus dalam pelajaran. Alhamdulillah, berkat konsisten mengamalkan Eskayvie Mindtropic, saya menjadi lebih fokus dalam, rasa mengantuk terutama di waktu pagi makin berkurang dan dia lebih bertenaga untuk belajar.
Bagi saya, itu satu nikmat yang tak ternilai,”ujarnya yang meraih keputusan 9A dalam SPM, termasuk 7A+ dan Add Math A+.
Manakala seorang lagi pelajar cemerlang, Zul Ilhan Hasif bin Zul Izuddin pula mempunyai kisah tersendiri. Zul Ilhan Hasif, merupakan pelajar autisme yang mencipta sejarah peribadi apabila berjaya memperoleh 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024/2025.
Dilahirkan dengan spektrum autisme, Zul Ilhan melalui fasa pembelajaran yang tidak seperti rakan-rakannya yang lain. Namun dengan sokongan sistematik, bimbingan guru dan pengorbanan ibu bapa yang tidak pernah lelah, Zul membuktikan bahawa kekurangan bukanlah penghalang kejayaan.
Bagi ibu bapa Zul Ilhan, iaitu Encik Zul Izuddin dan Puan Hanny Norzaatul Syima, perjalanan ini bukan mudah. Meskipun pasangan ini lewat mengenal pasti keadaan Zul Ilhan sebagai anak autisme iaitu ketika di tingkatan 5, namun mereka tidak pernah anggap itu satu kelewatan, tapi sebuah rezeki yang Allah atur indah untuk mereka sekeluarga.
Kejayaan Zul Ilhan Hasif meraih 9A dalam SPM bukan sahaja membanggakan, malah memberi sinar baru kepada komuniti pendidikan khas di Malaysia. Ia menunjukkan bahawa apabila diberi ruang, kefahaman dan peluang anak-anak autisme juga mampu menyinar dan menyumbang.
Tahun ini juga menyaksikan Eskayvie melangkah lebih jauh dengan sasaran untuk melahirkan 100,000 pelajar cemerlang menerusi Kempen Booster Minda. Kempen ini digerakkan melalui kerjasama strategik bersama pihak sekolah, organisasi korporat serta disokong oleh produk vitamin minda pilihan ibu bapa, Eskayvie Mindtropic.
Kempen Booster Minda adalah langkah kecil dengan impak besar, dan buat semua ibu bapa yang sedang berjuang hari ini. Ia adalah bukti bahawa anda tidak keseorangan.
Layari www.eskayvie.com untuk menyertai kempen ini dan bantu anak anda jadi antara 100,000 pelajar cemerlang seterusnya.