Acara sukan penuh berprestij OLIMPIK baru sahaja membuka tirainya baru-baru ini. Siapa sangka disebalik kelincahan atlet acara gimnastik yang bertanding, Oksana Chusovitina berjaya mencuri tumpuan.
Usianya tiga kali lebih tua daripada majoriti atlet yang bertanding di Tokyo, tetapi Oksana Chusovitina bukan calang-calang atlet. Gimnas berusia 46 tahun ini mengesahkan Olimpik Tokyo akan menjadi arena Olimpik terakhirnya.
“Secara fizikal, saya berasa sihat tetapi saya rasa tidak sedap hati. Namun, saya gembira dengan keputusan ini,” katanya yang sudah lapan kali layak ke Olimpik mewakili beberapa pasukan berbeza.
Kali Pertama Ke Olimpik 1992
Chusovitina mewakili Soviet Union ketika kali pertama layak ke Olimpik pada 1992. Dia juga pernah bertanding mewakili Jerman sebagai tanda terima kasih kepada negara itu yang membantu memberi rawatan kepada anaknya yang menghidap Leukimia.
Untuk edisi Olimpik kali ini, Chusovitina bertanding mewakili Uzbekistan.
Acara gimnastik vault merupakan acara terbaik dan paling digemari Chusovitina, dan satu-satunya acara yang disertai di Tokyo.
Namun, kehadiran Chusovitina bukan sekadar mengisi tempat kosong kerana dia mempunyai rekod yang baik di kejohanan antarabangsa. Dia memiliki banyak pingat dari pelbagai kejohanan dunia, termasuk dua pingat emas dan perak Olimpik. Dalam kejohanan dunia 2018, Chusovitina berada di tempat keempat acara vault.
“Saya tidak memikirkannya, tetapi ia satu penghormatan jika ada yang menganggap saya inspirasi gimnas lain untuk beraksi dalam tempoh lebih lama,” ujarnya.
Chusovitina tidak menyesal, malah bangga mengakhiri kerjayanya yang gemilang.
Ads
“Anak sulung saya sudah berusia 22 tahun. Saya mahu menumpukan perhatian sebagai ibu dan isteri,” katanya.
Selama tiga dekad melakar nama sebagai ahli gimnas tersohor dipersada antarabangsa, legasi Oksana pasti tidak akan lenyap.
Mingguan Wanita : Tahniah buat Oksana Chusovitina yang mengakhiri kerjaya sebagai gimnas selama hampir tiga dekad dengan penuh bergaya di pentas Olimpik Tokyo. Selamat bersara dan selamat maju jaya!
Kesan pandemik C19, ramai gaji dipotong atau dibuang kerja. Boleh buntu juga sekejap. Namun, ada berita baik untuk para wanita B40 & M40. Mingguan Wanita prihatin dengan nasib menimpa anda dan susulan itu, kami menjemput semua untuk menyertai group Telegram Bangkit Wanita MW sebagai platform untuk mendapatkan info niaga, promosi kursus, tip berbisnes, perkongsian usahawan yang memberi inspirasi dan lain-lain.
Selepas penganjuran Webinar Bangkit Wanita #bisnesdarirumah, Mingguan Wanita menerusi kempen Bangkit Wanita, membuka pendaftaran kepada kursus latihan praktikal jangka pendek.
Kursus-kursus akan bermula hujung Mei hingga Ogos ini dan kemuncak kepada kempen ini ialah penganjuran Konvensyen Inspirasi CEO Bisnes Viral.Kursus latihan yang ditawarkan akan berlangsung selama sehari setiap satu dan orang ramai khasnya wanita B40 dan M40 boleh memilih kursus yang diminati.
Nak Jadi Usahawan Viral, Ini Pilihan Antara Kursus Kemahiran Untuk Wanita B40 & M40
Kemunculan anak lelaki Misha Omar, Muhammad Idris Ezzwa tampil memperkenalkan ibunya pada Misha Omar Back To Basic Showcase, pada Sabtu lalu tular di media sosial sehingga ke hari ini.
Mana tidaknya, ramai memuji kepetahannya berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris pada usia lapan tahun.
Misha Omar sendiri jarang mendedahkan anak-anaknya kepada umum di media sosial miliknya. Malah, posting di Mingguan Wanita, terdapat segelintir peminat yang teruja mengetahui penyanyi berusia 43 tahun ini mempunyai anak. Selain Idris, Misha turut memiliki seorang anak angkat lelaki, Adam yang kini berusia 17 tahun.
Menerusi segmen pembukaan showcase, Idris tampil bersahaja dengan kemeja putih telah menerima tepukan gemuruh hampir 2,000 peminat yang memenuhi Jio Space, Petaling Jaya.
Kongsi Momen Bersama Peminat
Bercerita mengenai showcase, penyanyi yang sudah 22 tahun bergelar anak seni telah menyampaikan lagu-lagu hitsnya selain menyanyikan beberapa lagu daripada penyanyi lain termasuk artis antarabangsa.
Persembahan Luar Biasa
Persembahan Misha dimulakan dengan beberapa buah lagu daripada album terdahulu antaranya Cinta Adam dan Hawa, Sembunyi, Tiada Ku Mengerti dan Dedebu Cinta.
Persembahan pada malam itu diteruskan dengan lagu-lagu hits antaranya termasuklah Pulangkan, Ku Seru, Masihkah Ada Rasa itu, Bunga-Bunga Cinta, Sampai Bila dan ditutup dengan lagu Semoga Abadi.
Selain peminat rakan artis yang sama-sama hadir menyaksikan persembahan Misha termasuk Ella, Aina Abdul, Shila Amzah, Ernie Zakri, Syamel dan Nabila Razali. Penerima trofi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) sebanyak tiga kali itu turut menyampaikan lagu hits Lady Gaga dan Bruno Mars, Die With A Smile duet dengan Juara Bintang RTM 2018, Hariz Fayahet.
Turun Pentas
Selain melontarkan vokal dan persembahan yang menarik,Misha Omar mempamerkan kehebatan dan keakrabannya dengan peminat apabila beliau turun dari pentas untuk mendekati penonton semasa konsert Back to Basics baru-baru ini.
Tindakan spontan itu mendapat sorakan gemuruh daripada para hadirin yang teruja dengan kehangatan interaksi beliau. Misha bukan sahaja menyampaikan lagu dengan penuh jiwa, tetapi juga menunjukkan penghargaan mendalam terhadap sokongan peminat yang sentiasa berada di sisi sepanjang perjalanan kariernya.
Momen penuh emosi itu membuktikan bahawa beliau bukan sahaja seorang penyanyi yang berbakat, tetapi juga seorang artis yang menghargai setiap detik bersama peminat setianya.
Siapa sangka adat dan ritual tradisi masyarakat setempat di sesebuah kawasan mahupun negara adakalanya cukup unik. Buaya yang dianggap binatang berbahaya, dikahwinkan dengan pemimpin tempatan dipercayai mampu membawa ‘rezeki’ dan ‘tuah’.
Di Mexico, seorang Datuk Bandar melamar seekor buaya yang lengkap dipakaikan gaun pengantin demi meneruskan upacara tradisi di negeri itu.
Ritual Tradisi Bawa Rezeki
Datuk Bandar San Pedro Huamelula, Victor Hugo Sosa ‘berkahwin’ dengan buaya itu sebagai sebahagian daripada ritual tradisi orang asli untuk membawa ‘rezeki’ ke kampung di barat daya Mexico.
Upacara itu turut dipercayai akan membawa ‘tuah’ kepada komuniti nelayan setempat.
Buaya betina yang dinamakan Little Princess dikenakan pakaian berwarna putih seperti pengantin dan kemudian dibaptiskan sebelum Sosa melafazkan ikrar perkahwinan.
Pengantin lelaki turut memberikan ciuman kepada isterinya.
Penggabungan Manusia Dengan Alam
Reptilia berusia tujuh tahun itu dipercayai sebagai dewa yang mewakili ibu pertiwi dan perkahwinan dengan pemimpin tempatan melambangkan penggabungan manusia dengan alam lain.
Majlis penuh warna-warni itu turut diserikan dengan persembahan muzik tradisional dengan tetamu bersorak kegembiraan.
“Kami meminta alam supaya hujan turun dengan cukup, makanan serta mempunyai sumber ikan di sungai,” kata datuk bandar itu.
Oaxaca terletak di selatan Mexico yang mempunyai ramai penduduk miskin.Mexico merupakan negara paling kaya dengan budaya orang asli dan masih mengekalkan bahasa serta tradisi mereka.
San Pedro Huamelula ialah sebuah perkampungan nelayan kecil di pantai Pasifik Oaxaca.
Satu penghargaan buat banduan di penjara apabila mendapat tempahan kain tenunan khas daripada Raja Permaisuri Agong sendiri yang berkenan menyarungkan persalinan berkenaan pada hari yang penuh bersejarah nanti.
Kain Tenun Pahang Diraja menjadi pilihan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai persalinan baginda pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai ini.
Melibatkan 129 Banduan
Menariknya, kain tenun itu merupakan sentuhan rekaan yang diilhamkan baginda sendiri dan ia bertambah unik dan istimewa kerana tenunan khas tersebut adalah hasil kerja tangan penghuni Penjara Penor dan Penjara Bentong, Pahang.Kerja tenunan itu melibatkan 73 banduan dari Penjara Penor dan 56 orang dari Penjara Bentong.
Hasil upah menenun kain itu akan diagihkan kepada penghuni penjara berkenaan dan berharap kemahiran menenun akan dapat diperluaskan bagi memelihara warisan dan tradisi Melayu.
Penjara Penor dan Bentong telah dipilih dan diberi penghormatan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sendiri, selaku Penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Tenun Pahang Diraja Negeri Pahang.
Baginda turut berkongsi beberapa keping gambar hasil tenunan itu di laman Twitter rasmi, @cheminahsayang, malam tadi.
Penghormatan Buat Banduan
“Memang beta mahu penjara yang buat baju untuk beta pakai pada hari pertabalan. Beta sangat bangga untuk memakainya. Ini merupakan satu penghormatan kepada beta dan beta juga ingin memberi penghormatan kepada mereka.”
“Ada juga rekaan tenunan yang memasukkan lambang Negeri Pahang. Dua minggu sekali Beta akan ke Penjara Penor dan Bentong untuk melihat sendiri perkembangan kerja tenunan yang dilakukan,” titah Tunku Azizah.
Warisan Seni Tradisi Pahang
Baginda bertitah Tenun Pahang Diraja merupakan warisan seni tradisi yang dicipta rakyat Pahang sejak 300 tahun lalu.Tunku Azizah yang mengagumi hasil kerja tenunan yang dipersembahkan itu bertitah baginda memperoleh ilham bagi rekaan tenunan itu antaranya daripada alam semula jadi dan keadaan sekeliling seperti biji kopi dan bayang-bayang pagar.
MW: Daulat Tuanku. Ternyata Raja Permaisuri Agong ini sangat berjiwa rakyat, malah sangat menghargai kerja seni yang dihasilkan walaupun hasil tenunan daripada banduan di penjara.
Suami isteri pegawai Imigresen guna duit rasuah RM600k buka kedai emas. Sepasang suami isteri yang juga pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dipercayai menyalurkan wang hasil rasuah untuk membuka sebuah kedai emas dengan modal kira-kira RM600,000.