
Bab jaga dalaman orang perempuan selalunya banyak sangat pantang larang, malah dari zaman anak dara sampai dah kahwin tetap kena jaga. Tetapi betul ke semua pantang larang itu tepat?
Ok, sebelum anda terlalu taksub dan pecaya… mohon baca perkongsian Doktor Erna Nadia ini.
1. Doktor, kenapa darah haid saya berketul ketul? Penjual kata bahaya.
Darah period memang berketul. Kalau darah tu cair dan warna cerah serta tidak berketul, itu yang masalah.
2. Doktor, ada orang kata tak boleh minum ais time period, nanti rahim kembang.
Tak betul.
Dah kata rahim tu bersifat elastik. Boleh kembang dan kuncup. Minum ais masuk ke salur makanan. Tak ada kaitan dengan salur peranakan.
3. Doktor, betul ke kalau period tak keluar habis, badan kita kotor dan akan senang kena penyakit?
Tak betul.
Bila darah period kering tu maksudnya period sudah habis. Tiada istilah badan kotor. Period adalah sel dinding rahim. Kalau kata period tak keluar habis, badan kotor, orang lelaki akan dikira pengotor lah sebab tak pernah datang period seumur hidup!
4. Doktor, perlukah bertangas semasa pantang?
Tak ada masalah.
Melainkan jika anda melahirkan secara Caesarean section ( bedah/tingkap) atau ada koyak yang banyak, anda perlu berhati hati kerana luka dalaman mengambil masa lebih lama untuk pulih berbanding melahirkan secara normal dan koyak sedikit.
5. Doktor, perlukah jamu semasa pantang?
Kalau anda menyusu badan, tak perlulah jamu. Kesian anak tu.
Kalau tak menyusu badan, makanlah yang dibuat sendiri dalam kuantiti yang berpada pada, kalau tak makan pun tak ada masalah.
Tak perlu membazir beli macam macam.
Nak jaga badan, makan makanan yang sihat sepanjang hidup, bukan masa pantang sahaja.
6. Doktor, bahaya ke makan pil perancang?
Tak betul.
Bahaya kalau main beli je pil perancang tanpa pengawasan doktor. Semua orang badan dan sejarah hidup lain lain, jadi setiap orang tak sama perancang yang perlu untuk mereka. Tanya pada doktor yang merawat anda.
7. Doktor, sekarang ni tengah popular daun kandung anak untuk hamil. Betul ke?
Untuk hamil, semua itu rezeki daripada Allah swt. Boleh untuk ikhtiar, tak salah.

Kalau anda berbadan besar, elok turunkan berat badan dahulu.
Jika anda ada penyakit, pastikan penyakit anda terkawal elok dan makan ubat.
Dapatkan rawatan yang betul bukan main percaya semua benda.
Harap saya menjawab almost 80% daripada soalan yang ditanya di messenger.
Doktor tidak boleh membuat konsultasi di media sosial. Wajib berjumpa doktor di klinik atau hospital untuk pemeriksaan lengkap.
Nota kaki : Ilmu itu seperti air. Jika ia tidak bergerak,menjadi mati lalu membusuk.”
(Imam syafie)
Dr. Erna Nadia
Pendapat orang lama bukan tidak boleh diguna cuma kita kena faham kenapa ia direkacipta.
Ok, cukuplah dulu info tentang wanita.
Senang jadi lelaki, takde rumit rumit nak percaya macam macam.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Sama-Sama Kita Mengangkat Doa Agar Terus Kuat & Tabah Melalui Ujian Besar Ini” Dr. Maszlee Malik

Isi Kandungan
ToggleCukup sayu di wajah Ahli Parlimen Simpang Renggam, YB Dr. Maszlee bin Malik apabila Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, berkuatkuasa mulai 27 Mac 2020 hingga 9 April 2020.
Menerusi status yang dikongsi di status Facebook Dr. Maszlee, beliau merayu agar penduduk di kedua-dua kampung itu berada dalam keadaan tenang.

“Dalam waktu kritikal sebegini, saya mohon agar penduduk di Kg Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Ibrahim Majid untuk berada dalam keadaan tenang dan tidak panik.
“Kita patuhi arahan pihak berkuasa dan kekal berada dalam rumah.
“Makanan dan bantuan lain akan terus disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Parlimen Simpang Renggam sendiri.
“Sama-sama kita mengangkat doa agar kita terus kuat dan tabah melalui ujian besar ini.
Tabung Derma Kilat Simpang Renggam
Dr. Maszlee juga turut berkongsi Pejabat Parlimen Simpang Renggam dengan kerjasama NGO Merdeka! telah melancarkan Tabung Derma Kilat Simpang Renggam.
“Ia dibuka bagi membolehkan orang ramai membantu penduduk Kg Dato’ Ibrahim Majid & Bandar Baharu Ibrahim Majid di Simpang Renggam sepanjang tempoh PKPD. Kepada yang ingin menderma, boleh ke akaun CIMB, Persatuan Perniagaan Ekonomi Merdeka: 8010159117.

“Terima kasih sangat-sangat saya ucapkan kepada semua yang prihatin dan mahu sama-sama meringankan beban penduduk Simpang Renggam.
“Jasa anda, hanya Tuhan yang bisa membalasnya. Teruslah berdoa agar keadaan ini segera pulih.
Kekal Berada Dalam Rumah
Sejurus selepas diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di kawasan Simpang Renggam, Dr. Maszlee telah mengeluarkan kenyataan akhbar dan memohon rakyat Malaysia agar mendoakan kesejahteraan dan keselamatan penduduk di kawasan tersebut. Kenyataan dibawah sempat juga turut dikongsikan di status facebook milik beliau;
- Berhubung kenyataan terbaru daripada YB Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, berkuatkuasa, 27 Mac 2020 hingga 9 April 2020.
- Juga dimaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan membekalkan makanan asas yang mencukupi kepada penduduk di 2 tempat terbabit sepanjang tempoh ini.
- Oleh yang demikian saya memohon semua penduduk bertenang dan mengikuti arahan pihak berkuasa untuk perlu kekal berada dalam rumah.
- Pihak Pejabat Parlimen Simpang Renggam juga akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa untuk memastikan penularan wabak ini berjaya dikekang sepenuhnya.
- Di pihak Pejabat Parlimen, kami akan sentiasa memaklumkan dan mengemaskini info serta bantuan yang boleh disalurkan. Hubungi talian Pejabat Parlimen Simpang Renggam ini (Whatsapp sahaja) untuk sebarang aduan atau info: 010-235 0151.
- Saya mohon rakyat Malaysia untuk mendoakan kesejahteraan dan keselamatan seluruh penduduk Simpang Renggam dan para petugas dalam mengharungi masa-masa yang sukar ini.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Belajar Kaedah ‘Merancang Sendiri’, Prof Dr Imelda Terangkan Caranya

Isi Kandungan
ToggleBuat mak-mak yang baru melahirkan anak, adalah amat penting merancang jarak kehamilan anak seterusnya. Lebih-lebih lagi jika proses bersalin dilakukan secara pembedahan. Ini kerana badan perlukan rehat, kesihatan dan luka dalaman perlu dipulihkan terlebih dahulu, sebelum bersedia untuk melalui proses kehamilan dan bersalin sekali lagi.
Pelbagai kaedah boleh dicuba bagi merancang kehamilan seperti pengambilan pil perancang keluarga, susuk implant berhormon, suntikan cegah kehamilan, penggunaan kondom mahupun rancang secara sendiri (Natural method).
Menurut perkongsian ilmu oleh Prof Dr Imelda Balchin, yang juga merupakan Pakar Perunding Maternal dan Fetal Medicine, beliau berkongsi rahsia dah kaedah merancang dengan sendiri (Natural method) sebagai panduan bagi pasangan suami isteri yang ingin mencuba kaedah ini.
Mesti Baca: Bayi Lelaki Baru Lahir Genggam Alat Cegah Hamil IUD Ibu
Berikut antara perkongsian tersebut;
Setiap minggu di klinik antenatal, saya mesti berjumpa dengan ibu-ibu hamil yang malu-malu menyatakan yang mereka merancang ‘sendiri-sendiri’. Ramai yang memilih menggunakan kaedah perancang keluarga yang dikatakan ‘Sunnah’, seperti ‘al-azl’ dimana suami mengeluarkan air mani di luar, atau si isteri ‘merancang sendiri-sendiri’ iaitu menggunakan kaedah ‘natural method’, atau menggabungkan kedua-dua sekali.
Tidak ramai wanita Malaysia yang mendapat sokongan mempelajari kaedah ‘natural method’ dengan betul kerana memberi tunjuk-ajar caranya mengambil masa yang lebih lama, dan di Malaysia lebih senang bagi doktor dan jururawat mencadangkan kaedah lain yang lebih berkesan.Tetapi dengan ilmu pengetahuan, dan motivasi, ada caranya membolehkan kita merancang sendiri.
Jika suami isteri di Malaysia nak belajar kaedah ini, kita patut menghormati pilihan mereka, dan memberi sokongan dan tunjuk ajar.
Kaedah ‘natural method’ ni bukan senang, tetapi kalau ingin mencuba, ada syarat-syaratnya:
1. Motivasi yang tinggi dan kerjasama dari kedua-dua suami isteri.
2. Bersetuju memberi sekurang-kurangnya TIGA BULAN untuk memahami caranya, SEBELUM memulakan kaedah ini. Dalam masa 3 bulan ini, suami hendaklah bersetuju menggunakan kondom lelaki sehingga isteri cukup mahir menggunakan kaedah yang natural.
3. Haid yang teratur setiap bulan. Jika haid berubah dan tidak teratur, hendaklah bertukar menggunakan kaedah yang lebih berkesan.
4. Supaya ia berkesan, hendaklah bersetuju menggabungkan penggunaan kaedah alami ini dengan penggunaan kondom lelaki semasa waktu subur, atau tidak membuat hubungan kelamin semasa waktu subur.
Jika nak belajar, Saya akan teruskan….
Ada 3 cara natural method.
Sebaik-baiknya menggunakan lebih daripada 1 cara supaya berkesan.
- Kalendar kesuburan
- Suhu badan
- Lendir Cervix
SPERMA SUAMI:
Selepas keluar ke dalam faraj, boleh hidup 3-7 hari. Memerlukan bantuan lendir beralkali yang cair yang datangnya dari cervix (pangkal rahim) untuk masuk ke dalam rahim.
ISTERI:
Kenali diri sendiri dalam masa 3 bulan untuk mengetahui bila masanya ovulasi berlaku. Catat dalam kalendar kesuburan. Hari pertama ialah hari permulaan haid. Haid yang teratur datangnya setiap 24 – 35 hari. (Jika >35 hari, kaedah ini kurang berkesan. Cari lah kaedah yang lain). Ovulasi boleh berlaku sekali, di antara hari ke 7 – 21, dan ini boleh bertukar setiap bulan.
Bilakah peringkat subur:
Bermula dari 6 hari sebelum ovulasi (sebab sperma boleh tunggu disitu) sehingga 2 hari selepas ovulasi (sebab ovum hanya boleh hidup 24 jam).
Membuat hubungan kelamin di peringkat subur ini tidak digalakkan atau pakailah condom lelaki.
Bilakah peringkat TIDAK subur:
3 hari selepas ovulasi sampai datangnya haid. Tak perlukan apa-apa perlindungan jika membuat hubungan kelamin di peringkat ini. Al-Azl pun tak payah.
1. Kalendar Kesuburan
Catatkan bila datangnya haid pada 3 bulan berturut-turut.
Hari pertama kesuburan = bulan yang paling pendek ditolak 20 hari.
Hari terakhir kesuburan = bulan yang paling panjang ditolak 10 hari.
Contohnya, jika dalam 3 bulan itu, haid datang setiap 28 hari, kemudian 31 hari, dan kemudian 32 hari. Bulan terpendek = 28 hari, Bulan terpanjang = 32 hari.
Hari pertama kesuburan = 28-tolak 20 hari = 8.
Hari terakhir kesuburan = 32-tolak 10 hari = 22.
Jadi TIDAK digalakkan membuat hubungan kelamin daripada hari 8-22 tanpa menggunakan kondom.
2. Suhu Badan:
Beli lah digital thermometer yang menunjukkan bacaan dengan skala 0.1C.
Setiap pagi bila terjaga pagi, sebelum bangun dari katil, catatlah bacaan suhu badan. Selepas ovulasi, suhu badan akan naik > 0.2C untuk 3 hari berturut-turut.
Hanya boleh membuat hubungan kelamin tanpa perlindungan selepas 3 hari berturut-turut suhu badan naik sebanyak 0.2C, jika dibandingkan dengan suhu badan pada 6 hari sebelumnya.

3. Lendir Cervix:
Selepas ovulasi, ovari mula mengeluarkan hormon progesterone yang menyebabkan lendir Cervix menjadi pekat dan melekit. Sebelum ovulasi lendir cervix cair tidak melekit seperti telur putih mentah. Bila lendir cervix tidak lagi cair dan menjadi melekit (atau TIDAK ADA LENDIR) selama 3 hari berturut-turut, selepas 3 hari ini boleh membuat hubungan kelamin tanpa perlindungan sehingga datangnya haid.
Masukkan jari ke dalam faraj sampai ke Cervix untuk mencalit sedikit lendir di jari, dan kemudian lihat samada melekit atau cair. Gabungkan ketiga-tiga cara supaya paling berkesan.
Kalau mengikut seperti di atas, mulakan menggunakan condom pada hari ke 8 (hari kesuburan pertama) sehingga 3 hari suhu badan naik dan 3 hari tidak ada lendir Cervix. Selepas itu tidak perlukan perlindungan sehingga datangnya haid.
Kaedah Al-Azl kurang berkesan jika dibandingkan dengan menggunakan kondom. Ada wanita yang belajar menggunakan condom wanita (diaphragm), yang itu boleh tunjuk-ajar di klinik sahaja. Untuk paling berkesan, hanya membuat hubungan kelamin selepas 3 hari suhu badan naik dan 3 hari tidak ada lendir Cervix, iaitu masa yang tidak subur.
Yang penting, belajar supaya tahu sendiri bilakah peringkat yang subur untuk badan anda dan bilakah tidak subur. Setiap wanita lain, setiap bulan mungkin lain. Kalau ada motivasi dan disiplin, dan kerjasama suami untuk menggunakan kaedah alami/natural supaya berjaya merancang sendiri, silakan lah.
Selalunya lepas penat saya mengajar bagaimana nak berjaya menggunakan kaedah natural method ni, patient saya kata, “oooooooo terimakasih , saya telan pil sajalah doc!” =)
Prof Dr Imelda
Consultant Obstetrician & Gynaecologist
Subspecialist Maternal & Fetal Medicine
KPJ Damansara Specialist Hospital
MW: Semoga perkongsian tunjuk ajar daripada Prof Dr Imelda ini bermanfaat buat pasangan suami isteri yang ingin mencuba merancang menggunakan kaedah semula jadi. Apa yang penting, ‘kerjasama’ dan kegigihan kedua-dua pihak suami dan isteri untuk memastikan kaedah ini berjaya dilaksanakan.
Sumber: Imelda Balchin
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Dari Gadis Litar Ke Niqab, “Bukan Mudah Ujian Nak Jadi Baik. Hati & Akhlak Perlu Selari Dengan Pakaian”

Allah S.W.T jika hendak berikan hidayah dengan bermacam cara. Tidak kira masa, tempat dan waktu. Jika masanya tiba dan berserah diri kepada Allah, maka cepat lah kita untuk menuju ke arah kebaikan.
Disini Mingguan Wanita kongsikan kisah seorang wanita yang bernama Syarifah Furaiha tentang penghijrahannya. Dari seorang gadis litar dan kini dia berniqab. Ikuti kisah yang mampu menjadikan inspirasi dan panduan untuk wanita di luar sana.
Luah Syarifah Furaiha;
“Like I said, it’s always about where we end not about the beginning. Fara terpanggil nak share pengalaman Fara berniqab dengan semua.
“Fara tak pernah cerita ini ke public. Mungkin, ada pengajaran yang boleh diambil. Ambillah.
“Family Fara memang suka sukan bermotor, so memang selalu ke track race dari kami kecil. Sebab itu Fara pun pernah pegang payung tepi track. Bila dah berpayung tepi tu, ramailah lelaki yang mintak bergambar.
“Selepas SPM, waktu cuti tengah tunggu result itulah first time Fara start pakai purdah. Saja cuba-cuba. Sebab inspired nak jadi baik dan tutup aurat. Padahal waktu tu tak tutup aurat pun lagi.
“Tapi keinginan tu ada. Itu fitrah manusia, walaupun jahat macam mana sekalipun, deep down inside, mesti dia akan ada rasa cinta kepada kebaikan walaupun cuma sekelumit.
“Sebelum tu takpayah cerita. Zaman muda-muda dulu Fara buat freelance modelling. Rambut pun takyah cerita, macam-macam warna pun pernah. Sebab dulu tak kisah halal ke haram, sah wuduk ke tak. Kuku pun macam-macam warna.
Pernah Dilabel ‘Sesat’
“Baju pun takyah ceritalah, semua jenis ada. So bila Fara berubah drastik dari segala jenis pakaian mini-mini kepada tudung labuh, lengkap dengan abaya dan niqab. Tambah full black pulak tu, pasti semua orang tak boleh brain lantas ku dilabel sesat.
“But it’s okay. Mesti ada penyebab yang kukuh kan kenapa jadi macamtu. Bila Allah dah nak bagi hidayah.
“Fara ingat lagi dulu, bila nak start pakai tudung tapi cari dalam almari tak ada tudung. Terpaksalah cari tudung-tudung zaman dulu nenek punya. Fara pernah tak keluar rumah 2-3 bulan because I don’t have a proper covered outfit kalau nak keluar rumah. Kang dapat dosa pula tak memasal.
Pernah Gunting Tudung Hitam, Nak Dijadikan Purdah
“Fara ingat lagi dulu pernah gunting satu tudung hitam dan jahit sendiri nak dijadikan purdah. Sebab nak sangat pakai purdah tapi nak beli kat kedai atau online tak semudah sekarang.
“Fara masih ingat beberapa tahun lepas, Fara pm dan mesej merayu sorang-sorang photographer yang pernah shoot gambar Fara untuk padam semua gambar Fara freehair ni website, fb, laptop dan semua medium.
“Tapi tak berhasil, bahkan dorang siap gelakkan dan block terus. Fuh bukan mudah ya ujian nak jadi baik.
“Hidup ini memang proses. Mula-mula dari seluar, tukar pakai tudung bawal dengan baju kurung. Then start pakai handsock, lepastu pakai stokin. Kemudian labuhkan tudung tutup dada. Dari baju kurung kemudian tukar pakai abaya (jubah). Then start pakai tudung labuh.
Struggle Nak Kekalkan Pemakaian
“Then cuba pakai purdah (nampak kening), kemudian last sekali baru pakai niqab (nampak mata je). Benda ni susah tau sebab perempuan fitrah dia memang suka tunjuk dia cantik walaupun dia cantik ke tak tu soal no dua hahaha.
“Dari pakai warna warni, then Fara pakai fully black. Plain. Tapi I never say that this is the best outfit, and other than this semua tak elok.
“Lepas SPM, Fara struggle nak kekalkan pemakaian ini sebab Fara sambung belajar ke Moscow, Russia. Dari hari bertukar minggu, minggu bertukar bulan hinggalah hampir setahun.
“It was one of my biggest struggles waktu tu. Dia macam takkan la aku nak u-turn balik pakai macam dulu (pakai up to date dan sexy). Tapi inilah waktunya nak enjoy, muda lagi kan, belajar kat europe pulak tu. Bukan Malaysia.
“And Rusia tu adalah salah satu negara yang super bebas tau. Macam-macam pengalaman dapat selama berada kat sana. Tapi disebabkan lifestyle dan pemakaian plus pergaulan kat sana Fara rasa dah tak masuk dengan jiwa so Fara decide nak berhenti dan sambung belajar ke Mesir. Nak cari Islam katanya.
Rupanya Hanya Luaran Yang Berubah
“Long story short, bila ke Mesir finally Fara jumpa pertama yang selama ini Fara cari. Baru sedar, dulu rupanya hanya luaran aku je yang berubah. Hati masih sangat kotor dan jijik. Bila kita merasa diri kita baik dan orang lain buruk, itu adalah sifat syaitan yang perlu kita tinggalkan.
“Dulu Fara silap. Fara ingatkan pakai niqab tu dah cukup baik. Tapi Fara lupa, hati, adab dan akhlak perlu selari dengan pakaian. Orang yang baik, bahasa dia baik. Apa yang dari hati, akan keluar ke mulut.
“Dulu disebabkan pakaian kita bagus, kita rasa orang lain yang tak sama macam kita ni pasti ke neraka. Tapi kalau fokus pakaian je bagus, bertutup litup, tapi mulut puaka, mulut jahat, hati tak bersih pun bahaya juga.

”Mengata orang, mengumpat orang, dengki dengan orang adalah perkara yang tak sepatutnya dilakukan sesiapa pun walau apa pun pakaian kita. Bila Fara ke Mesir, Fara jumpa dengan Syeikh Fara yang betul-betul mengubah diri dan dalaman Fara.
“Syeikhlah orang yang ajar Fara tentang hati. Tentang tasawwuf (penyucian diri), tentang bahawa pakaian ini Allah tak pandang pun melainkan hati kita. Beberapa tahun dengan Syeikh memang betul-betul mengubah cara fikir dan cara pandang Fara.
“Fara dulu dan sekarang dah tak sama lagi. Dulu Fara kasar (masih kasar tapi dulu lagi teruk), baran, suka marah, tak sabar, degil dan rasa diri bagus tapi sekarang adalah lebih baik daripada dulu walaupun masih lagi teruk.
“Kalau dulu orang cuit-cuit dan cari pasal dengan kita mesti Fara tak lepaskan tapi sekarang Fara senyum je. Kita faham yang menggerakkan manusia itu Allah, dan Allahlah disebalik apa yang berlaku dalam hidup ini.
“Kita muhasabah dan perbaiki. Apa yang kurang. Kalau ramai perasan Fara memang berkawan dengan semua orang tak kisahlah dia suka make up ke, freehair ke seksi ke. Fara sangat welcome dorang.
“So tak perlulah dm dan pm Fara marah-marah kenapa itu ini sebab siapalah kita nak judge siapa-siapa. Fara dulu lagi teruk dari itu so who am I to judge? Suka menghukum inilah perkara pertama yang Syeikh cantas dari Fara.
“So leave it tentang hukum menghukum ini kepada Allah. Kita bukan Tuhan so tak perlu buat kerja Tuhan.
Kita Cuba Jadi Baik
“Anyway I’m so happy dan sebak dengan perubahan Neelofa dan Fara sangat faham apa yang Lofa buat ini cukup besar sebab Lofa sanggup tinggalkan dunia walaupun pada ketika dia berada dikemuncak kejayaan.
“Moga Allah rahmati dan kuatkan Neelofa and for those who are reading, I wish you all the best too. Mohon doakan Fara juga.
“Sunnah pakaian ni mudah kita nak ikut tapi sunnah menjaga dan membersihkan hati ini level paling payah kita nak jaga. Kita ni tak baik. Tapi kita cuba jadi baik dengan improve diri kita walaupun sekecil 1% sehari. Dengan izin Allah, share jika bermanfaat,” kongsi Syarifah Furaiha.

Sumber Foto: Facebook Syarifah Furaiha
Bagi mendapatkan lebih banyak kisah menarik sila ke Instagram: https://www.instagram.com/mingguanwanita/
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI