mudah hamil

Penyakit Polycystic Ovarian Syndrome (PCOS) mengakibatkan gangguan fungsi ovari pada wanita. Kemungkinan untuk tidak boleh mengandung itu ada, namun wanita ini, Puan Nazifa Mazni praktikkan 21 tip ini untuk diri sendiri.

“Zifa dah lama nak kongsikan ‘Tip Mudah Hamil Penghidap PCOS’ ini sebab Zifa sendiri penghidap PCOS sejak 3 tahun lalu dan mencuba untuk hamil (TTC) selama 6 tahun.”

“Syukur Alhamdulillah, pada Ogos 2015 Zifa disahkan berita gembira dengan kehamilan pertama yang secara semulajadi selepas IUI kali ke-3 tidak berjaya.

Rasanya tak sedap hati kalau tak kongsi sebab Zifa yakin di luar sana ramai yang sedang berusaha dengan pelbagai cara untuk hamil. Percayalah usaha yang betul akan membuahkan hasil. Mungkin ada silap sikit di mana-mana yang kita tak perasan atau tak kuat untuk buat.

Zifa tak pandai tapi ini sahaja tips mudah hamil yang boleh dikongsikan berdasarkan pengalaman, nasihat dan bacaan mengenai kehamilan. Kita tengok angpa SADO ke SADO nak follow semua ni.

3 Tahun Disahkan PCOS, Setelah Amalkan 21 Tip Mudah Hamil Akhirnya Wanita Ini Mengandung!
Baby Fateh

21 Tip Mudah Hamil Penghidap PCOS

1. Kitaran Waktu Subur

Pengiraan kitaran waktu subur ni penting nau nau supaya sperma dapat bertemu dengan ovum. Masih ingat macam mana nak kira? Tanya je pakcik gugel atau di Google Playstore ada banyak aplikasi kitaran waktu subur yang boleh anda download. Tak perlu nak kira, pangkah di calendar dah. Zifa dulu guna alat OPK untuk tahu waktu subur.

Sesetengah orang mempunyai kitaran waktu subur yang normal tapi sesetengah orang tidak. Orang yang kitaran haid tidak teratur susah menentukan waktu subur. Kaedah mengira bacaan suhu badan juga dapat menentu dengan tepat waktu subur tapi bagi Zifa ianya payah kerana kaedah ini terlalu sensitif

Satu lagi kaedah adalah mengesan lendiran pada faraj. Jika ada mukus yang berwarna putih jernih. Itulah waktu yang paling subur.

2. Pemakanan Seimbang

Zifa adalah pengidap PCOS. Masa mula-mula kahwin Zifa tak ada PCOS cuma symptom tu ada. Zifa disahkan PCOS sebelum beberapa jam masuk ke bilik pembedahan untuk tujuan dye test HSG dan pembedahan laproskopik. Pesakit PCOS perlu menjaga soal pemakanan kerana hormone yang tidak seimbang dan rintangan terhadap insulin.

Pengidap PCOS ada potensi untuk mendapat kencing manis pula. Apa yang Zifa amalkan adalah diet yang seimbang rendah GI. Masa TTC tu Zifa makan beras perang dan amalkan pemakanan yang sihat. Makanan segera, jeruk, jajan, minuman berkarbonat dan segala mak nenek yang tak sihat Zifa tinggalkan. Banyakkan makan ulam ulaman.

Pada mulanya Zifa buat Diet Atkins. Berat turun banyak dan amalkan diet seimbang selepas itu. Zifa jaga pemakanan ini lebih kurang 7 bulan sebelum hamil iaitu selepas pembedahan laproskopik. SADO tak Zifa?

3. Kawal Stress

Nak elak stress susah kan? Tapi apa yang kita boleh buat adalah kawal stress. Zifa dulu bisnes online di rumah. Setahun lebih sebelum dapat Fateh Zifa stop semua aktiviti bisnes, menjahit ke apa Zifa betul-betul jadi surirumah goyang kaki. Haha.. Cuma Zifa banyak buat fotografi je la. Tangkap gambar keliling rumah je pun. Pastu pergi Photocamp kat Indon. Serius seronok horey horey lompat bintang.Pulak tu dapat rezeki ikut cik abam outstation pergi Kuching. Betul-betul honeymoon neh.

Masa kat sana ada juga kakak yang 10 tahun baru dapat anak. Dia cakap jangan fikir sangat bab anak. Enjoy je. Dia pun dulu usaha macam-macam sampai stress. Stress boleh sebabkan hormone tak stabil. Jadi kena pandai kawal. Sekali sekala lepaskanlah tegangan, tekanan dengan pergi melancong. Melancong dalam Malaysia pun boleh, yang penting kita hepi.

4. Elak Kafein, Rokok Dan Arak

Macam Zifa cakap tadi, penjagaan makanan penting sangat. Kafein dan arak perlu elak jauh-jauh. Rokok tu tak bagus kerana boleh turunkan kualiti sperma terutamanya untuk lelaki. Tapi sebenarnya kita yang hidu ni dapat kesan lagi teruk dari perokok. Soalan sensitif ni doktor pun tanya kalau jumpa depa, ‘awak merokok?’.

IKLAN

5. Berat Badan Ideal

Masa Zifa ada kekuatan balik nak jumpa doktor selepas 2x IUI tak berjaya Zifa tersentap dengan kata-kata doktor. Katanya, doktor ni tak dapat membantu sangat sekadar memantau pesakit, yang lain-lain tu USAHA atas diri kita. Kita adalah tanggungjawab diri kita sendiri bukan doktor, bukan sesiapa. Sampai sekarang Zifa ingat. Kata-kata doktor tulah kekuatan Zifa sekarang.

Mungkin ada yang kata, eh Kak Kiah Tong Drum berderet je anak. Betul tu, rezeki dia kan. Tapi awak tahu, kegemukan menyebabkan hormon tak stabil? Bukan hormon je nak dikacaunya tapi penyakit lain juga.

Awak, gemuk itu bukan sesuatu yang sihat, bukan sesuatu untuk dibanggakan.

6. Kurangkan Gula

Pesakit PCOS ini ada rintangan terhadap insulin jadi mereka perlukan diet GI yang rendah. Zifa banyak kurangkan pengambilan gula. Air minuman 3 in 1 tu cuba elakkan kerana tinggi kandungan gula.

7. Berurut

Selepas IUI kali ke-3 tak berjaya selepas pembedahan laproskopik. Zifa pergi berurut 2 bulan sebelum hamil. Doktor ada juga cakap yang Rahim ke belakang. Sebelum ni Zifa berurut juga. Kebanyakan jumpa mak bidan semua cakap masalah yang sama je. Maknanya betul la tu masalah Zifa tu.

Cuma berurut kali ini, Zifa pantang buat kerja-kerja berat, naik motor yang boleh menyebabkan kedudukan rahim kacau balik. Dulu, Zifa berurut jugak esok terus angkat pasu. omaigod!! Mak bidan selalu pesan juga jangan angkat pasu, angkat benda berat selepas berurut, tapi tak nak ikut. Salah sendiri!

8. Detoks

Detok juga penting untuk keluarkan toksin yang terkumpul dalam badan. Toksin banyak dalam badan akan menghalang penyerapan nutrien. Makan suplemen mahal mahal tapi toksin penuh badan tak guna jugak Minum je air masak banyak banyak. Macam pesakit PCOS macam zifa kena minum air banyak-banyak nak keluarkan hormon yang tak nak tu.

9. Jumpa Doktor Sakit Puan

Dah setahun kahwin tapi belum mengandung? Zifa cadang sambil cekak pinggang pergilah jumpa doktor pakar sakit puan. Ada orang takut nak jumpa doktor. Jangan awak, rugi masa dengan ketakutan awak tu. Kalau awak memang ada masalah yang dari sebelum kahwin, 6 bulan dah boleh jumpa doktor. Kak zifa lepas setahun tak mengandung juga, Zifa jumpa doktor. Prosesnya panjang tau. Hati kena sado. Kadang-kadang orang tak mengandung ni bukan sebab tak subur tapi tiub fillapio tersumbat, mungkin juga ada cyst, fibroid, hormone tak seimbang.

Selagi tak jumpa doktor, kita tak tahu apa masalah kita

IKLAN

10. Quranic Food

Selain itu, Zifa amalkan quranic food atau makanan sunnah untuk meningkatkan kesuburan. Pagi-pagi dah mengacau kling kling campuran madu dan pati delima. Minyak zaitun, kurma campur susu kambing, habbatus sauda antara makanan sunnah yang Zifa makan sepanjang TTC tapi lepas pembedahan ke-2 itu la yang sungguh-sungguh makan secara konsisten.

Bila travel, susah sikitlah nak makan.

11. Asid Folik

Selain itu asid folik juga sangat penting untuk makan. Jangan tunggu mengandung baru nak makan. Asid folik bertujuan untuk elak kecatatan pada tulang belakang bayi dan juga mengelakkan langit-langit bayi sumbing. Kita ni kalau mengandung lambat nak tahu, jadi asid folik tak cukup akan menyebabkan kecacatan pada bayi. Lainlah kalau awak tu jenis makan sayur brokoli hari-hari.

12. Makan Telur Separuh Mentah

Setiap pagi juga, Zifa akan makan telur separuh masak dicampurkan dengan madu. Kadang-kadang guna madu kelulut. Telur separuh masak membantu untuk mematangkan telur. Kalau boleh, gunakan telur ayam kampung. Kalau tak ada, telur ayam biasa pun boleh.

13. Senaman

Selain Zifa amalkan pemakanan yang sihat, Zifa akan luang 5 – 15 minit setaip pagi untuk senaman. Paling malas pun Zifa akan buat lompat bintang. Di rumah Zifa ada gym bicyle tu. Setiap pagi kayuh sesambil tengok tv. Sedar-sedar dah peluh. Zifa tahu ramai juga yang liat nak senaman ni. Nak mula alahaii, badan sebati dengan cicak kat dinding tu je. Gam rapat. Cubalah buatkan aktiviti tu menarik. Kalau makan sambil tengok TV boleh terlajak makan, bersenamlah sambil tengok TV entah-entah bukan 15 minit bersenam tapi dah sejam. Gano tu?

14. Keputihan

Keputihan yang banyak juga boleh menyebabkan sperma tidak sampai untuk berenang bertemu ovum. Jadi rawat keputihan. Dalam tempoh 7 bulan sebelum hamil tu, Zifa ada juga buat meruang seperti disaran bidan urut. Zifa buat sekali dua. Kali pertama dengar perkataan meruang. Tak tahu menahu pasal meruang. Sebenarnya takut juga nak buat. Baru-baru ini, Zifa ada terbaca juga meruang tak digalakkan. Wallahualam

15. Pantang Makanan Tertentu

Bila jumpa ramai bidan urut, makin banyak pantang larangnya. Ini adalah makanan yang perlu dipantang semasa TTC antaranya adalah nenas, air tebu, lemon, limau nipis, pisang nangka, kacang panjang dan kacang peas. Adik ipar Zifa cakap serai pun tak boleh makan mengikut mak bidan dia jumpa, tapi oleh kerana bukan mak bidan Zifa, Zifa tak ikut. Haha..

Kacang peas membantutkan kesuburan dan makanan lain tu adalah kerana tajam. Wallahualam.

16. Pelincir Mesra Sperma

Ada tak gunakan pelincir semasa bersama? Kalau ada gunalah pelincir yang mesra sperma. Kesilapan memilih gel boleh menyebabkan ketidakhamilan juga.

IKLAN

Zifa ada juga ada baca yang air liur juga boleh menyebabkan sel sperma mati. Wallahualam

17. Sedekah

Rajin bersedekah terutamanya pada bayi-bayi yang kita jumpa. Zifa dulu letak tabung sedekah. Lepas solat Subuh, terus masuk tabung tu.

18. Makanan Rohani

Tak tahu kenapa lepas pembedahan kali ke-2, Zifa ada kekuatan sikit untuk bangun malam untuk bertahajud. Bangunlah antara 3-5 pagi untuk bertahajud kepadanya. Tak tahulah mana kekuatan Zifa nak bangun tahajud. Setiap kali tidur tu niat bertahajud pasang je tiap malam nak tidur, tapi harammm tak bangun pun. Kebetulan pula bulan puasa, jadi ambil kesempatan bangun awal sikit bertahajud. Habis puasa pun masih gagah nak bangun tahajud. Menangislah puas-puas minta doa. Doa, mengadu apa saja biar basah lenjun sejadah tu. Serius, kali ini memang nangis sungguh-sungguh. Rasakan doa yang kita minta, biar meremang.

Selain itu solatlah juga solat hajat, solat dhuha. Kalau kerja, sibuk sekurang-kurangnya baca doa Dhuha.

Jangan lupa amalkan doa untuk mendapatkan zuriat setiap hari.

Luangkan masa untuk membaca al-Quran sekurang-kurang 1 muka surat sehari pun dah memadai. Kalau tak sempat sangat hari tu, amik Quran peluk cium.

19. Kurang penggunaan kosmetik

4 bulan sebelum hamil Zifa hentikan terus penggunaan kosmetik terutamanya lipstick. Zifa ada terbaca yang kosmetik juga boleh menganggu hormon. Kalau nak pakai juga, mungkin boleh cari yang organik.

20. Izinkan Suami Kahwin Lain

Eh, tetiba pulak. Ini mungkin tak ramai yang mampu buat. Masa tahun kedua kahwin, adalah kawan nasihatkan Zifa untuk offer suami kahwin lain. Kawan Zifa ni pun tiada anak juga, dialah yang ajar sebab dia yang buat. Dia pun orang yang ajar. Lepas tu, dia ada anak. Rezeki.

Zifa ambil masa bertahun-tahun nak cakap. Asal nak cakap je terkelu. Entah mana dapat kekuatan, lepas IUI ke-3 tak berjaya, Zifa suruh suami kahwin lain ajelah. Menangis tak berlagulah Zifa. Nasib baik suami tak nak. Hahahaha…

21. Tawakal

Bila kita dah usaha macam-macam, dah usaha sehabis baik, bertawakallah kepada Allah. Mudah-mudahan usaha dan doa kita itu dipandang dan dimakbul olehNya.

Pengidap PCOS ni kena usaha keras sikit berbanding orang lain yang mudah hamil tu. Semoga pengkongsian Tips Mudah Hamil Penghidap PCOS ini memberi manfaat kepada anda semua. Silakan untuk share untuk manfaat bersama.

Kita hanya mampu merancang hanya Allah sahaja yang menentukan. Allah sebaik-baik perancang. Di sebalik kehamilan Zifa ini, banyak perkara miracle yang berlaku. Insya Allah di lain masa akan dikongsikan lagi banyak Tips Mudah Hamil Penghidap PCOS. 9 bulan lagi berjuang untuk breastfeeding. Cik abam dah minta anak perempuan pulak dah. 🙂

Sumber/Foto: Nazifa Mazni via Mingguan Wanita

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI