Amalan makan berjemaah dalam satu talam dikongsi empat lima orang antara sunnah Nabi. Bagi keluarga Nurul Ain, dengan bilangan anak empat orang cara makan dalam talam sebegini lah yang jadi amalan setiap kali menikmati hidangan.
“Walaupun kekadang makanan sikit ajaibnya tetap cukup.” Luahnya dalam perkongsian di grup #kemasrumahwithhani.
Menariknya, menerusi amalan makan dalam talam yang dipraktikkan sejak dua bulan lalu (ketika status dimuatnaik) beliau merasai beberapa kelebihan yang memberi manfaat pada diri dan keluarganya.
Ini Kelebihan Anak Beranak Makan Dalam Talam
Sekadar nak berkongsi kelebihan mengamalkan sunnah.
Allah tak jadikan sesuatu itu sia-sia.
Ads
“Hampir 2 bulan kami makan bersama di dalam talam. Kelebihannya..
1. Makanan tak terbazir 2. Anak-anak berselera 3. Masa makan, masa bonding dengan suami dan anak-anak. 4. Pembahagian tugas, tukang bawa talam ke singki, tukang sapu, tukang jaga baby bila ibu basuh talam. 5. Paling best, tak perlu susah, nak basuh mangkuk, sudu, pinggan banyak-banyak. Lauk ambil terus dari kuali masuk talam. 6. Dan jimat masa, makan semua serentak,kemas, selesai. 7. Kadang-kadang makanannya sikit, tapi ajaib, rasa cukup je. Itulah namanya berkat. 8. Nanti bila anak-anak besar, pasti teringat memori ini. 9. Anak-anak walau bergaduh macamana sekali pun,bila makan, terpaksa berlaga lutut, erat kasih sayang semula. 10. Pahala pun dapat. 11.Kami semua berenam. Anak 4+ibu+walid. Setakat ni muat lagi setalam.
MW : Bagus sebenarnya jika dipraktikkan amalan makan dalam talam untuk anak-anak ini. Mak ayah ajarkan juga adab-adab ketika makan beramai-ramai sebegini, misalnya ambil dahulu makanan yang berdekatan.. jangan menjangkau jauh dari tempatnya makan. Dalam tak sedar, sambil makan anak-anak akan berbual dengan adik-beradiknya yang lain malah mak ayah juga. Indah kan.
Wahai ibu, ketahuilah sebenarnya sejak usia anak 6 bulan, ibu dah boleh ajar anak-anak untuk makan sendiri. Nor Robaniyah, Penyelia di Taska Nur Husna – Bondamama Kids Centre berkongsi tip untuk mak ayah latih anak makan sendiri.
Banyak kelebihan pada anak, terutamanya dapat membina keyakinan diri mereka. Dan menjadikan anak lebih berdikari menguruskan diri mereka sendiri. Jika di taska, tentunya lebih mudah. Kata Nor Robaniyah, ada cara macam mana mak ayah nak latih anak makan sendiri di rumah.
Seorang ibu yang anaknya berusia lingkungan 2 tahun dijaga di taska saya, pernah bertanya. “Puan, Anak saya di taska makan sendiri atau di suap?”
Apabila saya jelaskan yang anaknya kami latih makan sendiri, “Patutlah di rumah dia tak mahu saya suapkan. Dia nak makan sendiri. Terima kasih Puan ajar anak saya. Saya suka dia pandai berdikari nak makan sendiri.”
Begitulah keterujaan seorang ibu bila melihat ada peningkatan dalam kemahiran anaknya.
Kebiasaannya para ibu kurang berkeyakinan dan kesabaran bila anak makan comot, lambat, makan bersepah atau tumpah. Sedangkan mengajar anak kecil makan sendiri adalah mendidik mereka lebih yakin diri. Dan bersifat berdikari dalam menguruskan hal sendiri.
Ibu juga boleh melakukan urusan lain sambil memantau anak ketika mereka makan.
Berikut saya kongsikan beberapa tips untuk ajar anak makan sendiri di rumah.
1. Sediakan kerusi dan meja yang bersesuaian untuk kanak-kanak ketika mereka makan. Jangan gunakan meja makan biasa kerana kedudukan meja yang lebih tinggi dari badan menyukarkan mereka menyuapkan makanan. 2. Kita boleh didik anak makan sendiri sedari usia anak 6 bulan lagi. Kanak-kanak pada usia ini lazimnya sering memasukkan sesuatu ke dalam mulutnya. Pada peringkat permulaan, ajar mereka makan biskut atau makanan yang lembut seperti buah-buahan. 3. Apabila anak sudah mencapai usia 1 tahun ke atas, kita sudah boleh didik mereka makan nasi menggunakan sudu. Boleh juga makan menggunakan tangan cuma risiko makanan bersepah lebih tinggi kerana anak kecil akan bermain dengan makanan. 4. Makanan seperti sayur, ayam, ikan, telur atau kentang perlu dipotong atau dicarik menjadi lebih kecil. Ini mengelakkan anak akan tercekik ketika makan.
5. Untuk mengurangkan tertumpah makanan, ibu-ibu boleh gunakan mangkuk kecil agar anak mudah menyenduk makanannya. 6. Gunakan mangkuk dan sudu plastik bagi mengelakkan kecederaan ketika menyuap atau pecah jika terjatuh ke lantai. 7. Jika ingin memasukkan kuah, elakkan mengisi kuah yang banyak ke dalam mangkuk anak-anak. Tuangkan sekadar yang perlu sahaja. 8. Pada waktu ini, anak perlu kerap dipantau bagi mempercepatkan tempoh mereka menyuap makanan. Ibu-ibu perlu memberi galakkan kepada anak agar mempercepatkan makan. Cakap dengan lembut dan berhemah dengan cara pujukan. Jangan memarahi mereka.
9. Sering betulkan pegangan sudu pada tangan atau kedudukan pinggan agar lebih hampir dengan badan anak bagi mengurangkan makanan lebih banyak tertumpah di luar pinggan. Sering pastikan anak-anak memegang sudu dengan tangan kanan sebab kebiasaannya mereka akan menukar pegangan sudu ke tangan kiri. 10. Waktu anak makan, jangan hidangkan mereka dengan air. Biarkan mereka makan sehingga habis, barulah diberikan air minuman. Ajar mereka memegang cawan sendiri semasa minum air dengan pantauan kita. Boleh juga gunakan cawan yang bertangkai bagi memudahkan mereka memegang cawan. 11. Pastikan anak membasuh tangan sebelum dan sesudah makan. Mulut juga perlu dibersihkan sebaiknya ketika membasuh tangan selepas makan. 12. Bagi beragama islam, didiklah anak sebelum makan dengan membaca Bismillah atau doa makan sebelum mereka makan dan ajar mereka mengucap Alhamdulillah selepas mereka makan.
Sebagaimana sabda Nabi SAW :
إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ طَعَامًا فَلْيَقُلْ : بِسْمِ اللَّهِ، فَإِنْ نَسِيَ فِي أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ : بِسْمِ اللَّهِ فِي أَوَّلِهِ وَآخِرِهِ
Maksudnya : “Sekiranya seorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama Allah (Bismillah). Sekiranya dia terlupa (menyebut nama Allah) pada awal (mula makan), maka sebutlah ‘Bismillahi awwaluhu wa akhirahu’ (Dengan nama Allah pada awal dan akhirnya).” [HR al-Tirmizi (1858)]
Di dalam hadis yang lain, Nabi SAW ada bersabda :
سَمِّ اللَّهَ، وَكُلْ بيَمِينِكَ، وَكُلْ ممّا يَلِيكَ
Maksudnya : “Bacalah Bismillah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan yang paling hampir denganmu.” [HR al-Bukhari (5376) dan Muslim (2022)]
Semoga dengan tip-tip ini dapat membantu ibu-ayah di luar sana yang kurang berkeyakinan ingin mengajar anak makan sendiri. Semoga bermanfaat untuk semua. Insya-Allah…
Ketika berdepan dengan ujian kereta rosak secara tiba-tiba di lebuh raya, isteri ini buntu dan bimbang. Suaminya sudah minta bantuan dari polis bantuan, dia yang diam-diam dalam kereta cuma mampu membantu suami dengan iringan doa.
Lalu, ibu minta sama anak-anak berdoa kerana dalam doa yang mereka baca itu ada permohonan yang hebat maksudnya. Tak sampai setengah jam, enjin kereta yang rosak tadi dapat dihidupkan kembali.
Fuhhhh!!!
Ngeri betul bila tiba-tiba kereta meragam tadi petang kat lebuh raya. Tengah jem boleh pulak dia nak tersenggut mati. Husband berhenti ke tepi. Kebetulan ada kon orang buat jalan kat situ.
Sedang suami berusaha tengok apa masalah kat bahagian bonet enjin, sampai polis bantuan. Sementara tu aku yang dalam kereta ni baca doa dari surah Al Ghafir ayat 44 banyak-banyak.
Anak-anak pulak aku suruh baca Al-Fatihah tanpa henti. Sebab dalam surah Al Fatihah ayat 5 yang bermaksud: “Hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan!“ Power makna ayat ni.
Baca doa tu dengan sepenuh hati dan bergantung harap dengan Allah. Alhamdulillah! Pukul 4.19 tersadai tepi lebuh raya, 4.45 kereta hidup.
Thanks Airah Nazirah Eira ajar acik doa ni dikala tengah buntu tadi. Nak bantu betulkan kereta tak reti. Kita mintak dari Allah je yang mampu.
Alhamdulillah now dah selamat sampai rumah
Moga beri manfaat kat korang doa ini!
MW : Memang berdebar bila kereta tiba-tiba ‘sangkut’ dekat highway. Yang penting, bertenang.. minta bantuan daripada pihak lebuhraya. Dan sementara menunggu bantuan tiba, boleh ikhtiarkan membaca doa yang dikongsikan ini. Semoga Allah permudahkan urusan anda.
Tidak dinafikan, melihat anak dicucuk setiap hari untuk mengetahui paras jaundis membuatkan hati mak, ayah susah hati. Maklumlah anak masih kecil dan belum mengerti apa-apa dicucuk berkali.
Tetapi ianya bukan alasan untuk mak ayah berikhtiar dengan cara melampaui batas. Mak ayah jangan amalkan petua pelik iya, semata-mata nak cepat turunkan jaundis bayi.
Ikuti perkongsian Dr Ahmad Luqman Bukhari ini dan ketahui apakah punca sebenar jaundis kerap berlaku pada bayi baru lahir.
Ya Allah. Ramai lagi rupanya yang duduk amalkan petua pelik-pelik ini. Sudah tahun 2021 pun masih ada yang sanggup biar bayi kena rendam dalam air cincau semata-mata nak cepat turunkan paras kuning (jaundice).
Bangga pulak itu. Siap diviralkan. Jangan macam itu mak-mak semua. Boleh hendak berikhtiar tapi janganlah sampai kita main guna saja kaedah yang mengarut. Salah tu.
Okay macam ini. Bayi kekuningan ni memang kerap terjadi sebab kebanyakannya adalah fisiologi biasa (physiological jaundice) untuk bayi.
Dalam badan manusia, Tuhan sudah tetapkan bila sel darah merah tamat tempoh, ia akan terurai dan sebahagiannya membentuk bilirubin.
Bilirubin ini akan diproses di hati sebelum dibuang keluar dari badan melalui najis dan air kencing.
Apa yang berlaku pada bayi yang baru lahir, organ hati dia itu baru nak warming up. Sudah boleh function, tapi slow saja lagi.
Itu yang kadang-kadang sebahagian bilirubin masih belum diproses dan berkumpul terlalu banyak dalam darah. Akhirnya timbul di kulit hingga nampak kuning.
Memang ada kajian menunjukkan, seramai 50 peratus bayi matang dan 80 peratus bayi pramatang boleh dapat kuning jaundice ini.
Tapi tak bermakna, semuanya perlukan rawatan. Kebanyakannya akan reda balik dalam masa 2 minggu. Yang penting ialah pantauan melalui ujian darah supaya rawatan yang tepat dapat diberikan segera bila perlu.
Dalam masa sama, tugas kita mak ayah pastikan si comel tu kerap disusukan supaya bayi akan lebih kerap kencing dan berak.
Gagal menyusukan bayi secukupnya hanya akan buatkan tubuh dia terdehidrasi dan paras jaundice semakin menaik.
Paling menakutkan kalau tak dipantau. Kita mungkin tak sedar yang level bilirubin sudah jadi sangat tinggi hingga akhirnya menyerang otak (kernicterus). Tak pasal-pasal budak itu sawan dan cacat otak kekal.
Tolong #share info ni dengan kawan-kawan kita yang lain ye. Bila si comel tu mengalami kekuningan, paling penting ialah pastikan dia dipantau dan diberikan susu secukupnya.
Bukan ajar petua yang mengarut dan buatkan mak mak semua jadi makin stres.
MW: Buat mak-mak yang baru melahirkan bayi dan anak terkena jaundis, kerapkan menyusu bayi. Berpada-padalah nak berikhtiar sekalipun, bimbang keadaan bertambah buruk dan memudaratkan kesihatan bayi.