Kekeluargaan

17 Tahun Tidak Tahu Diri Istimewa, Anak Autisme Ini Raih 9A SPM

Share

Zul Ilhan Hasif Zul Izuddin, 18, mungkin kelihatan seperti remaja biasa pada zahirnya. Pendiam, pemalu dan suka menyendiri. Namun, di sebalik sikap tenangnya itu, tersimpan satu rahsia yang baru diketahui selepas umurnya mencecah 17 tahun.  Dia merupakan individu autistik kategori High-Functioning Autism (HFA).

Apa yang lebih mengharukan, walaupun baru sahaja mengetahui statusnya tahun lalu, Zul Ilhan tetap bangkit dan membuktikan dirinya mampu berjaya apabila meraih 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang lalu.

Menurut Zul Ilhan, selama ini dia tidak pernah menyangka dirinya istimewa. Sikap pendiam dan sukar bergaul disangka hanyalah sifat semula jadinya yang pemalu. Namun segalanya berubah apabila dia membaca satu topik berkaitan autisme dalam buku teks Bahasa Melayu.

“Bila saya baca ciri-ciri autisme, saya mula sedar – semuanya macam diri saya. Dari situ saya buat penilaian sendiri, dan akhirnya pakar sahkan saya ada HFA.”

Biarpun berita itu sedikit mengejutkan, Zul Ilhan menerimanya dengan hati terbuka. Namun, cabaran sebenar bukan pada diagnosis — tetapi pada penerimaan orang sekeliling.

Zul Ilhan menjadi salah seorang pelajar cemerlang yang diraikan oleh Eskayvie baru-baru ini.

“Dulu, masa belum tahu, saya banyak kena ejek. Ada juga yang anggap saya sengaja buat perangai. Tapi lepas tahu kisah sebenar, ada yang mula faham… walaupun masih ada segelintir yang kekal sama.”

Autisme Bukan Halangan Untuk Cemerlang

Sebagai anak sulung daripada empat beradik, Zul Ilhan kini menjadi contoh kepada adik-adiknya. Dia percaya bahawa insan istimewa seperti dirinya boleh berjaya asalkan tahu memanfaatkan bakat dan minat yang ada.

“Saya nak jadi pelukis komik. Saya minat kisah Hang Tuah dan Puteri Gunung Ledang. Kalau boleh, saya nak kisah-kisah legenda ini diangkat ke peringkat antarabangsa.”

Zul Ilhan menyimpan impian untuk menyambung pengajian dalam bidang animasi, satu dunia yang membolehkan dia menyuarakan dunia dalamannya yang kaya dengan imaginasi dan cerita.

Sokongan Ibu Bapa – Tiang Kekuatan Zul Ilhan

Bapanya, Zul Izuddin Abdul Rahman, 45, dan ibunya Hanny Norza’atul Syima Othman, 45, melahirkan rasa bangga dan terharu atas pencapaian anak sulung mereka.

“Waktu dia dapat 9A, saya terkejut… bukan sebab tak percaya, tapi sebab dia dah buktikan kemampuan dia. Kami tahu dia melalui 17 tahun dalam keadaan tertanya-tanya tentang diri sendiri.”

Sebagai bapa, Zul Izuddin selalu menasihati anak-anak lain supaya menjadikan Zul Ilhan sebagai inspirasi.

“Saya tak mahu halang cita-cita dia. Kalau dia nak kejar bidang seni atau animasi, saya sokong sepenuhnya.”

Kisah Zul Ilhan Hasif menjadi pengingat kepada ibu bapa di luar sana bahawa setiap anak itu berbeza, dan kadangkala perbezaan itu bukan kelemahan, tetapi kekuatan yang menunggu untuk diketengahkan.

High-functioning autism bukan penghalang untuk berjaya, malah dengan sokongan, penerimaan dan kasih sayang — anak-anak seperti Zul Ilhan boleh melakar kejayaan yang luar biasa.

“Menjadi istimewa bukan bermaksud terbatas. Yang penting, mereka perlu tahu potensi mereka… dan kita sebagai ibu bapa, perlu terus percaya.”

High Functioning Autism (HFA) merujuk kepada individu dalam spektrum autisme yang mempunyai tahap kecerdasan intelek (IQ) yang normal atau lebih tinggi, dan boleh berfungsi secara berdikari dalam banyak aspek kehidupan tapi masih menunjukkan ciri-ciri utama autisme.

Ciri-ciri High Functioning Autism:

  • Boleh bercakap dan belajar seperti biasa, tapi mungkin sukar faham isyarat sosial atau ekspresi wajah orang lain

  • Sukar bersosial atau bergaul – lebih selesa bersendirian atau dengan rutin yang sama

  • Ada minat mendalam terhadap topik tertentu, kadang sangat ‘obsesif’

  • Sensitif terhadap bunyi, cahaya, atau sentuhan

  • Kadangkala sukar mengawal emosi atau menyesuaikan diri dalam situasi sosial

    Apa Yang Bezakan dengan Autisme Lain?

    • Mereka tidak mengalami kecacatan intelek

    • Boleh bersekolah di aliran biasa, dapat skor tinggi dalam akademik

    • Tapi masih perlukan fahaman & sokongan sosial, sebab dari luar nampak “normal”, tapi cara fikir & respon mereka berbeza

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Rosmah Idayu