ziarah bayi

Bila lepas bersalin ramai yang cukup teruja nak ziarah bayi tanpa ambil kira bab pantang larang yang patut diikut. Haa… tak boleh main redah ya sebab bayi boleh terdedah dengan banyak risiko penyakit malah kadang si ibu masih perlukan rehat..

Sebenarnya tak salah nak bagi orang datang ziarah tetapi anda patut ambil tahu beberapa pantang larang jaga bayi baru lahir, jom semak..

1.Jangan Bagi Orang Cium Bayi

Seeloknya pada minggu pertama kehidupan seorang bayi, pendedahan pada bakteria dan kuman boleh beri masalah serius. Ini kerana sistem imunisasi mereka masih belum berfungsi sepenuhnya. Mencium dan memegang bayi tanpa mencuci tangan boleh menyebabkan bayi terdedah kepada pelbagai penyakit kerana sistem imunisasi bayi masih belum dapat melindungi badan mereka daripada ancaman bakteria dan kuman.

Kalau takut orang terasa hati, anda sebagai ibu ayah boleh jelaskan dengan cara paling ‘manis’ pada pelawat supaya tidak mencium bayi anda pada minggu pertama kelahirannya. Jika pelawat tersebut dalam keadaan tidak sihat, nasihatkan mereka supaya pastikan diri mereka betul-betul sihat. Tak perlu rasa bersalah sebab kesihatan bayi lagi penting!

Jangan bawa atau dedahkan bayi anda di khalayak ramai kerana bayi yang masih belum mempunyai sistem imunisasi yang kuat boleh mendapat penyakit dengan mudah. Bersabarlah seketika sehingga bayi itu betul-betul bersedia untuk mengahadapi pelbagai lagi dugaan dan keadaan di dunia ni.

2. Jangan Cipta Suasana Sunyi Sebab Nak Bagi Anak Lena

Ada sesetengah mak suka biasakan bayi tidur dalam keadaan sunyi, konon nak bagi anak lena dan senanglah ibu nak rehat. Tak perlulah sampai mengubah tak boleh pasang TV, sentiasa menutup pintu dan langsir kerana bimbang suasana menjadi bising untuk bayi tidur. Suasana yang sedikit bising tak beri masalah, biarkan bayi terbiasa dengan suasana itu supaya sampai satu masa bayi mudah tidur walau keadaan bising.

IKLAN

3. Jangan Malas Tukar Lampin

Kalau pun nak jimat, janganlah sampai bayi jadi mangsa. Sila tukar lampin lebih kerap sebab kulit bayi lagi sensitif. Jadi jangan biarkan bayi memakai lampin yang telah kotor terlalu lama. Ingat, bayi yang baru lahir lebih kerap membuang air berbanding bayi yang berusia 6 bulan dan ke atas. Terlalu nak jimat pun jangan sampai bayi jadi mangsa kena ruam gatal!

4. Jangan Nak Ajar Puting Terlalu Cepat

Mungkin anak suka ‘bergayut’ di badan dan ini kadang menyukarkan ibu nak buat makan atau nak buat kerja lain. Haaa… janganlah kejam sangat, baru seminggu bayi lahir, anda dah beri dia puting! sudah beri puting? Kasihan pada bayi, waktu ini gusi dia lembut lagi. Bayi dilahirkan memang dengan sifat semulajadi untuk menghisap susu badan ibu kerana mengandungi zat yang terbaik yang bayi perlukan. Memberi puting pada peringkat awal boleh menggangu jadual pemakanan bayi. Kalau rajin beri susu badan, bayi akan rasa selesa dengan ibunya dan akan menghasilkan satu ikatan kasih sayang antara ibu dan anak. Itu bonus, bukan?

5. Jangan Pandang Remeh Soal Anak Demam

Haaa… jangan menganggap demam itu perkara kecil sebab demam yang terlalu tinggi boleh membahayakan bayi kena sawan. Paling penting, jangan sesekali pakaikan selimut, ini akan menyebabkan suhu badan naik. Sila bawa anak terus ke klinik berdekatan untuk rawatan.

IKLAN

6. Jangan Excited Gayakan Pakaian Bayi

Bukan main syok kalau dapat anak perempuan, ibu mulalah nak gayakan bayi ikut hati sendiri. Ya, zaman sekarang ni kalau klik online… macam-macam jenis headband akan keluar. Manalah ibu tak tergoda! Ada ibu yang terlalu teruja mahu memakaikan baju cantik pada bayi. Boleh, tapi jangan sampai ‘meranakan’ bayi sendiri. Kadang dipakaikan headband yang ketat, baju renda-renda sampai bayi rimas! Tak perlulah over excited nak gayakan bayi, pilih pakaian yang selesa dan paling penting baju yang tak terlalu panas. Anak tu kecil lagi, esok-esok dah besar bolehlah pakaikan baju yang sesuai.

7. Jangan Bagi Makan Bayi 6 bulan Ke Bawah

Walau macam mana lapar pun anak, tolonglah jangan bagi bayi makan terlalu awal. Nampak lapar pun, jangan pandai-pandai ya! Nak beri makan pada bayi, disarankan doktor bermula pada umur 6 bulan dan ke atas. Makanan yang dibenarkan pula hanya bubur atau nestum sahaja. Jangan memandai lenyek nasi pula, kalau tetiba kena sembelit kasihan anak yang masih tak tahu apa-apa.

8. Jangan Abai Temu Janji Doktor

Perkara ini cukup penting untuk memastikan yang bayi sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat. Sibuk macam mana pun, janganlah sampai skip temu janji dengan doktor. Kalau was-was bab penjagaan anak, ibu boleh kongsi dan terus tanya nurse atau doktor. Ini penting demi kesihatan bayi anda.

IKLAN

9. Jangan Terus Share Gambar Di Media Sosial

Masih ramai yang pandang remeh soal upload gambar di media sosial, mungkin nak kongsikan perasaan gembira tetapi anda patut tahu bayi yang baru lahir dan berumur di bawah 40 hari mengalami dua jenis gangguan iaitu gangguan fizikal dan juga gangguan rohani. Kita perlu mengambil berat mengenai gangguan rohani yang terdiri daripada Ain (sihir tanpa jin) dan Ummu Sibyan (sejenis jin yang membawa penyakit).

Kalau kita upload atau share gambar bayi yang baru lahir ni (bawah 40hari) di laman sosial, dikhuatiri bayi ini akan terkesan dengan Al-Ain iaitu sihir tanpa jin atau mata jahat yang memerhati.

10. Jangan Lupa Azan & Iqamat

Tak pelik, ada sesetengah ibu ayag excited sangat nak ambil gambar bayi sampai lupa nak buat benda paling penting ini. Tolong ya, ini adalah adab dalam menyambut bayi baru lahir dalam Islam. Rahsia azan dan iqamah pada bayi yang baru lahir ini ialah syaitan akan lari daripada kalimah azan itu, walaupun sebelum itu dia ternanti-nantikan saat kelahiran bayi tersebut. Azan dan iqamat ini merupakan seruan yang mulia kepada bayi yang beru lahir yang mengandungi kebesaran Allah dan kata-kata dua kalimah syahadah. Perkara ini diibaratkan sebagai mentalkin pada si bayi yang baru lahir mengenai kebesaran yang maha Esa dan kebesaran syiar Islam yang bakal di pikul oleh bayi berkenaan. Kesan azan dan iqamat ini akan sampai terus ke lubuk hatinya dan akan kesan ini akal kekal di dalam jiwa bayi tersebut. In Shaa Allah.

Hanya itu yang anda patut tahu bila anda bertukar status jadi ibu dan ayah, masih belum terlambat untuk anda amalkan semoga bermanfaat buat anda semua!

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI