Walau salah sebesar zarah segalanya dicatat malaikat di kiri, kanan kita. Di dunia mungkin terlepas, akhirat sana belum tentu. Tunggulah sampai masanya mak,ayah akan diadili seadil-adilnya oleh mahkamah Allah dan seluruh padang mahsyar menjadi saksinya.
Saat itu mak, ayah tak mampu berdolak-dalih lagi atau menidakkan kesalahan yang dilakukan kerana mulut terkunci, hanya anggota badan lain yang berbicara, Jadi jangan ingat bila di dunia kita selamat, di sana kita selamat iya.
Ikuti perkongsian Ustaz Khairul Anuar Basri dan hadam baik-baik ya peringatan yang disampaikan.
Salah Sebesar Zarah Pun Dicatat
Hari ini kita boleh cakap apa saja yang kita nak. Hari ini kita boleh buat apa saja yang kita suka.
Tapi semua itu tak akan terlepas daripada catatan dua malaikat di kiri, kanan kita. Semua itu Allah akan ambil kira.
Walau hanya sebesar zarah. Walau hanya sekadar lintasan dalam hati.
Hari ini kita boleh justify perbuatan salah kita depan manusia. Kita boleh cari apa saja dalil dan dalih, sekadar nak beritahu yang kita ini tak bersalah.
Belit sana, belit sini. Kona sana, kona sini. U-turn sana, u-turn sini.
Even, kita boleh pilih juga untuk cakap bohong. Kita boleh rasuah siapa-siapa yang patut. Sampai ke tahap itu pun kita bebas untuk buat.
Tapi itu semua tetap tak dapat menafikan hakikat bahawa kita memang buat salah. Semua itu dalam makluman dua malaikat di kiri, kanan kita. Semua itu Allah akan ambil kira.
Hari ini kita mungkin boleh terlepas daripada sebarang hukuman di dunia jika kita bernasib baik. Kita boleh menarik nafas lega. Kita boleh tutup mata.
Lama-kelamaan, kita yang buat salah akan lupa. Orang ramai juga lama-lama akan lupa.
Tapi dua malaikat tak akan pernah leka. Allah sesekali tidak akan lupa.
Di Akhirat Belum Tentu, Kerana Setiap Salah Dihitung
Nanti di hari akhirat, kita akan berdiri di depan Allah. Hanya kita saja dan semua yang kita lakukan di dunia. Seorang diri di depan Allah.
Ketika itu, mulut kita tidak boleh lagi berbicara macam kita yang suka dan mahu bercakap di dunia.
Ketika itu, seluruh tubuh kita pula akan bercakap bagi pihak kita. Tangan, kaki, kulit dan seluruh anggota badan kita pula akan mengambil giliran berhujah bagi pihak kita.
Ketika itu, tiada lagi alasan. Tika itu, tiada lagi penjelasan. Malah ketika itu, tiada lagi penipuan.
Kita akan diadili dengan seadil-adilnya. Tidak cukup seluruh anggota tubuh memberi keterangan, Allah putarkan pula setiap kesalahan yang pernah kita lakukan.
Kita boleh tengok dengan mata kepala kita sendiri pada masa itu. Orang lain juga boleh tengok kiraan hisab itu nanti di padang mahsyar.
Dan kita hanya mampu tertunduk layu di hadapan Yang Maha Agung, Allah SWT.
Siapa boleh tolong kita masa itu? Mana kita hendak sorok wajah kita yang merah padam disebabkan malu pada diri sendiri?
Kita sudah tak boleh lari lagi. Kita dah tertangkap di depan Allah sendiri.
Kesudahan kita Belum Tentu
Dan… kesudahannya, kita sendiri pun sudah tahu. Neraka tempat kita. Kita kekal selama-lamanya dalam api yang panas membara.
Kawan-kawan…
Ini bukan cerita dusta. Ini bukanlah berita palsu. Dan ini bukan lagi perkara rahsia.
Skrip dan jalan cerita ini, semua orang pun tahu. Apa kesudahannya bagi orang yang suka buat apa saja, suka cakap apa saja. Tanpa mengambil kira bab dosa dan pahala.
So, berhati-hatilah dengan apa yang kita buat. Berhati-hatilah dengan apa yang kita cakap. Termasuklah di zaman media sosial ni, dengan apa yang kita tulis.
Berhati-hatilah Sebelum Berbuat Salah
Jangan sampai kita termasuk ke dalam perangkap yang kita cipta sendiri. Jangan biarkan kita termasuk ke dalam lubang yang kita gali sendiri.
Selain itu, jangan sampai kita tercampak dalam neraka yang kita sendiri pilih untuk masuk ke dalamnya. Walaupun mulut kita tak pernah cakap begitu.
Allah Maha Adil. Allah tidak zalim.
Buat yang baik, cakap yang baik, tulis yang baik. Insyallah, syurgalah kesudahannya.
Tapi kalau kita tetap memilih yang tak baik, lepas tu tak nak taubat nasuha, maka kita sendiri pun dah boleh agak ke mana akhirnya kesudahan cerita kita itu nanti.
Ya Allah… kami mohon keampunan Mu!
MW: Sebelum terlambat, mohonlah keampunan daripada Allah. Janganlah hanya menjaga aib di dunia hingga di akhirat sana nanti mak, ayah menyesal dengan segala keterlanjuran. Baik di mata manusia, tak semestinya baik di mata Allah.
Ketika ini seluruh dunia sedang diuji dengan penularan wabak COVID-19. Perintah kawalan pergerakan (PKP) mahupun perintah berkurung di rumah menyebabkan ramai yang terkesan apabila kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan. Lebih-lebih lagi yang bekerja sendiri dan bergantung pada gaji harian. Malah sangat meruntun jiwa apabila ada yang menghadapi terputus barangan keperluan harian untuk meneruskan kelangsungan hidup diri dan keluarga.
Banyakkan bersabar dan belajarlah redha dengan setiap ketentuannya. Percayalah setiap ujian dan musibah yang menimpa itu adalah salah satu cara penghapus dosa-dosa kita dan berdoalah semoga ia akan digantikan dengan sesuatu yang lebih baik.
Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW baginda bersabda: “Tidaklah seorang muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya.” (Sahih Bukhari No: 5641) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Setiap yang dihadapi oleh seseorang, sama ada berupa kesenangan mahupun kesusahan adalah ujian untuk melihat siapakah yang lebih baik amalannya di sisi Allah.
2. Setiap muslim perlu sentiasa bersabar dan reda apabila ditimpa dengan penyakit, keletihan, kesedihan, mahupun kesusahan termasuk musibah wabak Covid 19.
3. Wabak Covid 19 menyebabkan semua orang mengalami kesusahan dan kepayahan. Mereka yang berada di frontliner seperti staf Kementerian Kesihatan, pasukan keselamatan terpaksa bertugas sepanjang masa dan terdedah dengan jangkitan virus. Bagi yang sihat terpaksa kuarantin di rumah sebagai langkah pencegahan bagi mengelak jangkitan Covid 19. Ada yang terputus sumber pendapatan kerana tidak bekerja.
IKLAN
4. Sebagai Muslim hendaklah sentiasa sedar bahawa setiap kejadian yang berlaku dalam kehidupan ada hikmah yang tersendiri. Allah SWT mendatangkan ujian berupa musibah, kesakitan, keletihan, kegusaran, dan sesuatu yang menganggu kehidupan adalah sebagai penghapus dosa dan peninggi darajat agar hamba-Nya sentiasa dalam rahmat-Nya.
5. Rahmat Allah SWT Maha Luas. Seseorang hamba yang bersabar dengan musibah maka akan diampuni dosanya. Usahlah kita menyalahkan antara satu sama lain diatas musibah ini.
6. Semoga dosa kita terampun walaupun kesakitan dan kesulitan yang kita lalui mungkin kecil berbanding dengan orang lain. Mungkin ibarat duri yang mencucuk atau melukakan anggota tubuh.
7. Disamping akur dengan arahan pihak berkuasa, marilah kita menyerahkan segala musibah kepada Allah dengan memperbanyakkan zikir yang diajar oleh Rasulullah kepada sahabat: Nabi SAW bersabda:
IKLAN
يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ قَيْسٍ قُلْ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ فَإِنَّهَا كَنْزٌ مِنْ كُنُوزِ الْجَنَّةِ
“
Wahai ‘Abdullah bin Qois, katakanlah ‘laa hawla wa laa quwwata illa billah’ (Tidak ada daya dan upaya kecuali dengan kekuatan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung), kerana ia merupakan simpanan pahala berharga di syurga.(HR. Bukhari no. 7386)
8. Setiap kesusahan mahupun keperitan itu sebagai penghapus dosa dan peninggi darajat. Hadis Nabi SAW:
Daripada ‘Aisyah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada satupun musibah (kesusahan) yang menimpa seorang muslim berupa duri atau yang semisalnya, melainkan dengannya Allah akan mengangkat darjatnya atau menghapus kesalahannya.” (Sahih Muslim No: 4665) Status: Hadis Sahih
IKLAN
9. Islam mengajar umatnya bersabar diatas setiap musibah serta kesusahan yang dilalui seperti penularan wabak Covid 19 sekarang.
10. Allah mendatangkan wabak penyakit tersebut untuk kita bermuhasabah, mendekatkan diri kepada Allah diatas kelemahan dan kesilapan kita. Semoga Allah mengampunkan dosa kita dan mengangkat darjat kita di sisi Nya.
11. Orang yang ditimpa musibah seperti penyakit atau kesakitan, akan digugurkan segala dosanya dan ditinggikan darajat. Moga kita bersabar dengan setiap ujian musibah mahupun penyakit
MW: Semoga kita menghadapi kesusahan, kepayahan, kesedihan dan keperitan ini dengan banyakkan bersabar dan redha. Berdoalah dan gantung harap semoga Allah akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik.
Didik diri untuk sentiasa bersyukur, barulah hidup kita akan rasa tenang dan damai. Tiada rasa cemburu atau sikap ingin berlumba-lumba untuk lebih bahagia daripada orang lain.
Kita selalu menyangka kehidupan orang lain lebih baik daripada kehidupan kita, betul tak? Sebaik sahaja kita keluar rumah otak kita mula memikir tentang semua yang kita lihat. Nampak nyonya memandu kereta baru kita berkata dalam hati, ‘Tentu nyonya itu banyak duit. Tatkala aku sedang pokai dia boleh pandu kereta baru.’
Rasa Orang Lain Lebih Bahagia
Belum lagi melihat kehidupan orang yang memang betul-betul kaya. Lalu di hadapan rumah mereka pun, kita berasa amat kecil dan langsung tak bertuah. Kita sentiasa memikirkan orang yang tinggal dalam rumah besar seperti itu sedang bahagia. Kita juga yang masih tidak beruntung, terpaksa tinggal dalam rumah sewa.
Malah tatkala kita bersama-sama orang ramai yang sama taraf dengan kita pun, kita tetap merasakan mereka semua serba cukup, berbanding kita yang tidak pernah cukup-cukup. Maka, didik diri untuk sentiasa rasa cukup dengan apa yang kita ada.
Jangan Didik Diri Rasa Orang Lagi Baik
Apakah masalahnya dengan diri kita? Masalahnya kerana kita selalu percaya kehidupan orang lain lebih baik daripada kita. Sedang sebenarnya orang lain itu pula percaya kehidupan kita jauh lebih baik daripada mereka. Semua itu terjadi kerana kita kehilangan sesuatu yang penting dalam kehidupan iaitu berasa cukup (qanaah).
Mari semak tiga fasa kehidupan yang mungkin telah kita lalui atau bakal lalui atau sedang lalui. Kita perbetulkan mana-mana yang sempat untuk diperbetul.
Pada waktu itu kita ada masa yang cukup banyak campur tenaga yang bukan kepalang cemerlang, tetapi kita tidak punya harta. Lihatlah para remaja hari ini yang kerap menghabiskan masa tidak tentu hala, pada usia kita yang telah melaluinya kita melihat betapa ruginya mereka itu. Andainya kita dikembalikan pada usia mereka, pasti kita akan didik diri kita untuk gunakan sepenuh masa dan tenaga untuk berbuat perkara-perkara berfaedah.
Fasa 2 – Fasa Bekerja
Tetapi fasa itu sudah terlalu, dan sekarang kita dalam fasa bekerja. Kita memang ada pekerjaan yang hendak dilakukan. Hari-hari kita bangkit awal pagi untuk bekerja lalu mendapat pendapatan daripadanya. Kita memiliki harta dan tenaga tetapi kita sudah tidak mempunyai masa. Masa kita habis di tempat kerja, selebihnya menguruskan rumah tangga, menjaga anak-anak serta berkhidmat kepada pasangan.
Fasa ini adalah fasa ramai orang kandas dalam peribadahan. Ramai yang terlalu tertumpu pada pekerjaan hingga tidak sempat hendak solat, memperuntukkan masa untuk mendaftar haji, apa lagi pergi ke masjid untuk belajar agama. Masanya terpenuh semata-mata untuk kerja dan keluarga. Memang oleh kerja bukti kita bertenaga dan berharta, tetapi sudah tidak punya masa.
Fasa 3 – Fasa Usia Emas
Pada fasa ini, kita memiliki harta dan masa tetapi sudah tidak punya tenaga. Ramai orang pada usia persaraan hanya menghabiskan masanya di rumah menonton TV dan tidak berbuat apa-apa. Hartanya banyak, masanya juga banyak tetapi sudah ketiadaan tenaga.
Andai sewaktu muda pada fasa pertama dan kedua tidak pernah membiasakan diri dengan kerja-kerja keagamaan, boleh jadi pada usia ini pun demikian. Lainlah, secara tiba-tiba timbul kesedaran untuk berubah, menggunakan sedikit usia yang tinggal itu untuk berbakti kepada ALLAH.
Tahukah anda apa pula fasa keempat? Fasa keempat adalah seandainya kita sakit pada fasa ketiga. Dan biasanya begitulah. Pada usia persaraan memang macam-macam penyakit akan mula bangkit. Kerana apa? Kerana kita terlalu ‘melemakkan’ diri berehat sepanjang hari dengan menonton TV dan makan tidak berhenti.
Belum Terlewat Didik Diri
Pada fasa ini kita akan amat-amat menyesali semua yang telah dilalui. Kalaulah pada usia remaja kita penuhkan hidup dengan aktiviti berfaedah, tentu pada usia pekerjaan kita lebih terpantau, lalu pada fasa ketiga kita menikmati hasilnya – kesihatan (lantaran tidak pernah terlibat dengan pengambilan bahan-bahan berbahaya); qanaah (lantaran telah memahamkan diri terhadap berasa cukup, syukur lagi reda); bahagia (kerana kita cukup memotivasikan diri dengan pelbagai kaedah membahagiakan diri selari dengan cabaran semasa).
Pada fasa apa pun anda berada sekarang ini, sebenarnya belumlah terlalu terlewat untuk berbuat sesuatu. Yang diperlukan hanyalah kesedaran untuk berubah. Motivasi terbaik adalah bertindak walau satu tindakan berbanding unjuran hebat tetapi hanya berada dalam fikiran.
Mari jadi orang cemerlang untuk dunia kita, sementara kita masih diberi kesempatan untuk memperolehnya, tanpa sekali-kali melupakan untung nasib kita di akhirat pula nanti.
Takkan dengan kerja dakwah pun nak berkira. Baru-baru ini, Isu bayaran khususnya melibatkan golongan pendakwah hangat diperkatakan apabila timbul isu penetapan harga yang tinggi untuk sesebuah program berkaitan agama.
Sememangnya tiada ketetapan rasmi tentang berapakah jumlah yang wajar dan setimpal diberikan kepada golongan tersebut yang mencurahkan ilmu untuk dikongsi bersama masyarakat.
Malah wujud pula dakwaan yang mengatakan pendakwah masa kini mengenakan bayaran tinggi untuk memenuhi undangan majlis ilmu disebabkan faktor populariti.
Pendakwah bebas, Ustazah Asni Mansor tampil mengutarakan pandangannya mengenai perkara tersebut. Meskipun sering menerima undangan untuk program televisyen atau melakukan usrah bersama para artis, dia tidak pernah meletakkan kasta memilih undangan ceramah mahupun meletakkan bayaran dengan harga melampau.
Menurut Ustazah Asni yang ditemui media baru-baru ini menegaskan dirinya kurang arif dengan bayaran yang dikenakan oleh pendakwah lain namun dia percaya perkara seperti ini boleh diselesaikan melalui cara perbincangan yang baik di antara kedua belah pihak.
“Bercakap soal bayaran, janganlah sampai kita tak menghargai orang itu (pendakwah). Kalau kita kata ikut suka, nanti bagi RM100. Duit minyak pun tak lepas. Biarlah berbaloi bila kita menghargai seseorang. Namun, jangan pula kita minta sehingga melampaui batas.
“Pada saya, bila buat kerja agama ini, minta pun salah, tak minta pun salah. Kalau tak minta, itulah antara cara mereka untuk memenuhi keperluan,” katanya penuh sopan.
Ustazah Asni turut berharap agar orang ramai dapat membuka minda dan lebih menghargai mereka yang melakukan usaha dakwah ini.
“Saya tidak pernah memilih tempat undangan. Semua tempat saya jejak untuk sampaikan dakwah baik di ceruk pedalaman mahupun di dalam penjara. Mana-mana undangan saya terima.
“Apa yang dibayar itu hanyalah satu penghargaan, penat lelah dan tanda kita tak memandang rendah pekerjaan dakwah. Kita kena bertolak ansur.
“Kalau kita menilai kerja dakwah Rasulullah, memang tak ternilai. Nabi sampai ditawarkan emas setinggi Gunung Uhud untuk bayaran berdakwah tetapi baginda menolak.”
Asni turut mendedahkan pernah ditipu soal bayaran di mana wang yang diterimanya kurang RM800 daripada apa yang dipersetujui.
“Saya pernah berhadapan dengan situasi di mana tiada bayaran langsung. Saya juga pernah berada dalam situasi jumlah yang saya dapat kurang hingga beratus ringgit berbanding dengan apa yang telah dipersetujui.
“Kalau ikutkan, kita tak boleh nak nilaikan ilmu. Ia tidak ternilai walaupun bayar puluhan ribu ringgit. Soal nilai ilmu dan kerja dakwah ini, biar Allah sahaja yang bayar di akhirat.
“Maka saya pulang sahajalah, reda dan berharap Allah ganti dengan sesuatu lebih baik,” dedahnya mengakhiri perbualan.
Kakak tak sangka ikan masin & telur goreng menu terakhir adik. Allahu sedihnya apabila mendapat perkhabaran adik kandung kesayangan pergi buat selamanya.Berita sedih itu...