MW berjaya menghubungi Aiza Syafinaz Shahak, yang merupakan balu kepada korban Covid-19 yang ke 24; Inspektor Mohd Fairos Saberon. Ketika menghubunginya semalam, Aiza baru saja selesai solat terawih dan kini berada di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras untuk tambahan kuarantin 14 hari lagi. Ini kerana memandangkan ada pesakit yang sudah negatif Covid-19 kembali positif semula. Maklum Aiza lagi tempoh kuarantinnya kali ini akan tamat pada Mei nanti.

Menurut wanita ini lagi, Ramadan kali ini sungguh berbeza dari sebelumnya. Selain kehilangan suami, Ramadan ini dilalui dengan dirinya dalam keadaan masih edah. Aiza di facebook membahasakan arwah suaminya sebagai Cik Kembung dan dirinya sebagai Cik Patin…terkesan apabila juadah berbukanya disajikan dengan ikan kembung, ikan kegemaran arwah suaminya.

“10 tahun bergelar isteri kepada arwah, satu yang saya tak boleh lupa adalah ikan kembung kegemarannya. Saya sendiri tak makan ikan laut, lebih suka kepada ikan sungai. Mengimbas kembali ragam arwah suami, dia tak pernah jemu-jemu makan ikan kembung.

“Sejak kecil sampailah dah bergelar suami, ikan kembung masih lagi kegemarannya. Selalunya saya akan goreng ikan kembung garing-garing ataupun masak sambal ikan kembung. Kalau nasi tu sejuk ke, panas ke dia tak kisah. Asalkan setiap kali dia nak makan, ikan kembung wajib ada.

“Bila berpuasa, kalau dia ke bazar…tak jumpa gerai yang menjual ikan kembung kegemarannya, dia sanggup pergi ke bazar lain sampai jumpa ikan tu. Bila saya tanya, apalah istimewanya ikan kembung tu dengan dia. Kata arwah lagi, macam mana minat dan setianya saya pada ikan kembung dari dulu sampai sekarang. Macam itulah sifat setia dan sayang saya pada awak.

Tambah Aiza lagi…baru dua hari melalui Ramadan, air matanya tumpah lagi di saat dia menerima hidangan berupa ikan kembung ketika di bilik kuarantinnya.

IKLAN

“Pertama kali saya tengok ikan kembung selepas arwah tiada, saya tak boleh sentuh dan makan ikan ini. Buat pertama kalinya saya menangis. Saya terbayang betapa berseleranya suami makan apabila disediakan ikan kegemarannya.

“Rakan-rakan sekerja, jiran dan juga rakan fb ramai tahu saya bahasakan arwah dengan panggilan Cik Kembung. Manakala saya Cik Patin, kerana minat saya dengan ikan sungai itu. Bak kata kawan-kawan, ikan kembung di laut…ikan patin di darat, kalau dah jodoh bertaut jua. Selepas 10 tahun bergelar isteri, terhenti sudah kisah cinta Cik Kembung dan Cik Patin berpunca daripada Covid-19. Dia suami, sahabat dan teman hidup yang baik Allah pinjamkan untuk saya,”luah Aiza sebak.

1 Mei ini merupakan ulang tahun kelahiran arwah yang ke-36, sepatutnya mereka merancang meraikan hari istimewa itu dengan sebuat pusat jagaan anak-anak di Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun arwah terlebih dahulu pergi.

IKLAN
Terhenti Sudah Cinta Cik Kembung & Cik Patin, Kisah Balu Korban Covid ke 24
(Kiri) gambar beraya bersama suami dan keluarga Aidilfitri tahun lalu mengikut tema warna kuning di raja, warna kegemaran Arwah. (Kanan) Aiza bersama salah seorang doktor yang merawatnya.

Ramadan kali ini cukup berbeza. Aiza sepertinya tak sempat bernafas dan berfikir. Selepas suami disahkan positif Covid-19, saya pula. Kemudian bapanya di kampung juga disahkan positif juga. Selepas itu ibu angkat menyusul dan disahkan positif. Satu persatu kesayangannya di uji dengan penyakit ini.

“Saya rasakan kisah saya ni macam sedang membaca novel. Satu bab ke satu bab. Terlalu cepat sehinggakan saya terkejar-kejar untuk belajar menerima kenyataanya. Ramadan ini secara tak langsung membuatkan saya lebih mendekatiNya dan melalui tempoh edah dengan tenang. Bukan sahaja saya, malah satu dunia sedang merasai bezanya Ramadan kali ini.

“Saya tak nak menangis lagi, kerana menangis membuatkan semangat saya merudum. Sekaligus menjejaskan kehidupan saya. Saya yakin bukan saya sahaja yang sedang bermuhasabah diri dengan kehilangan tersayang akibat Covid-19. Saya redha suami pergi kerana syahid.

IKLAN

“Pesan saya buat mereka di luar sana yang berdegil dan sanggup melanggar arahan PKP, saya mohon mereka sayangilah orang yang tersayang. Jangan ditambahkan lagi angka mereka yang dijangkiti dan juga angka korban. Duduklah di rumah, patuhilah PKP. Tanpa kerjasama semua orang, mustahil kita boleh hentikan rantaian ini. Tangguhkanlah dulu isu nak buat persiapan raya. Saya secara peribadi begitu trauma untuk menyentuh apa-apa disekeliling dan melihat orang ramai berkumpul. Hanya yang sudah melaluinya faham betapa seksa dan seriusnya Covid-19,”pesan Aiza.

Terhenti Sudah Cinta Cik Kembung & Cik Patin, Kisah Balu Korban Covid ke 24
Aiza akan meneruskan pesanan dan amanat arwah supaya menjadi wanita yang berdikari dan yakin diri.

Terdahulu Aiza Syafinaz Shahak bersama arwah suami; Inspektor Mohd Fairos Saberon beserta bapanya dan ahli keluarga yang lain melawat ke Bandung, Indonesia dari 9 Mac hingga 12 Mac 2020. Mereka juga menghadiri majlis perkahwinan di Perlis.

Suaminya yang berusia 36 tahun kemudian diuji positif COVID-19 pada 17 Mac dan dimasukkan ke wad jagaan rapi Hospital Kuala Lumpur. Sehari kemudian, keadaannya menjadi tenat. Beliau diletakkan dalam keadaan ‘induced coma’ (keadaan koma yang sementara) oleh doktor untuk rawatan lanjut bagi organ jantung, paru-paru dan hati yang semakin tidak berfungsi.

Panggilan video terakhir dilakukan oleh arwah pada 18 Mac 2020 (hari pertama PKP dikuatkuasakan di Malaysia) sebelum beliau kemudian dikomakan merupakan kali terakhir beliau menatap dan bercakap dengan suaminya. Lima hari selepas mendapat rawatan iaitu pada 26 Mac 2020, arwah Inspektor Mohd Fairos Saberon meninggal dunia. Allahyarham kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Country Homes, Rawang, Selangor.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI