Susahnya Cari AIR KELAPA Kelapa Tengah Malam, Isteri Mengidam Minum Satu Sedutan Sahaja. Ibu yang sedang hamil memang tak terjangka emosinya. Adakalanya mengidam perkara yang diluar kawalannya. Ia menjadi cabaran pada suami dalam memenuhi keinginan isteri yang mengidam. Bahkah bila telah dipenuhi, bukan banyak mana pun diingini, cukup sekadar lepas tekak yang mengidam.

Buat para suami, bertabah dan bersabarlah dalam melayan setiap kerenah isteri hamil yang mengidam ini. Semoga dikurniakan ganjaran pahala yang besar dalam membahagiakan isteri tersayang.

Baca perkongsian daripada Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan ini.

Isteri saya adalah orang yang sangat “independent”. Jenis seboleh mungkin tak bergantung harap pada sesiapa. Selagi dia urus dan kendalikan sendiri, maka dia akan buat sendiri.

Dia juga seorang yang tak pernah minta saya sesuatu yang sukar untuk didapatkan. Malah dia jarang meminta-minta. Hampir tak pernah minta apa-apa. Kalau dia nak, dia buat/beli sendiri.

Susahnya Cari AIR KELAPA Kelapa Tengah Malam, Isteri Mengidam Minum Satu Sedutan Sahaja

Mengidam Air Kelapa Tengah Malam

Cumanya masa dia hamil anak pertama saya, tiba-tiba dia minta saya carikan air kelapa. Waktu dah lewat malam. Nak air kelapa yang datang dari buah kelapa, tak mahu yang dari botol atau tin.

Jadi saya keluar jugalah malam-malam tu nak cari air kelapa. Kalau siang, mudah jugalah nak cari air kelapa. Ni dah hampir tengah malam. Hanya ada satu tempat yang saya tahu jual air kelapa sampai malam.
Di restoran mamak!

Saya pergi satu restoran mamak, tak ada. Pergi lagi satu, tak ada. 4 restoran saya pergi, tak ada juga. Saya pergi entah berapa banyak mamak, entah berapa taman perumahan saya ronda.
Nak balik tangan kosong, tak sampai hati.

Hilang dah rasa malu nak bertanya. Semua orang saya jumpa saya tanya

“Bang, dekat mana ada jual air kelapa yang dalam buah punya? Isteri saya mengandung, dia mengidam.”

Semua orang yang saya tanya, semuanya layan saya dengan baik. Mereka tunjuk kedai itu, kedai ini, siap ada yang telefon kawan yang peniaga air kelapa di pasar malam. Malangnya, tak ada berita gembira.

IKLAN

Akhir sekali, saya sampai ke kawasan berhampiran hospital tempat saya kerja dahulu. Saya letak kereta di hadapan deretan kedai. Kedai semua dah tutup, saya keluar kereta dan duduk di kaki lima.

Sambil tu tengah Google dekat mana ada jual air kelapa tengah malam buta. Tiba-tiba bahu saya disentuh dan disapa “Doktor, apa you buat sini? You doktor hospital situ, kan?”

Saya pun toleh. Saya tak kenal orang yang sapa saya tu, tapi saya iyakan yang saya doktor yang kerja di hospital yang dimaksudkan. Setelah berbual sedikit, saya beritahu kenapa yang ada disitu.

“Owh! Itu kedai mamak, ada air kelapa!” kata dia sambil tunjuk restoran di hujung deretan kedai tu.
“Saya dah pergi situ. Mamak tu kata tak ada.” jawab saya.
“Mana boleh tak ada? Mesti ada!” kata dia lalu berjalan ke arah restoran yang dimaksudkan tu, “Doktor, you kasi ikut saya.”

Aku pun menonong ikutlah dia. Sampai sana, dia pergi jumpa pelayan, dia cakap Tamil(agaknyalah, saya tak faham). Panjang juga dia cakap, lepas tu dia dengan pelayan tu pergi masuk dapur.

Saya tak ikutlah masuk dapur, sebab tak berani. Sekali mereka keluar dapur bawa sebiji buah kelapa. Entah mana dia dapat buah kelapa tu pun saya tak tahu, tapi nampak buah segar. Hijau, belum potong.

“Saya suruh dia orang kasi bukak” kata lelaki tu.
Sap sap soi, dia orang pun uruskan kelapa tu. Bungkus air dalam bekas cawan plastik. Saya minta tak campur ais, sebab isteri tak sebut nak sejuk. Risau pula nanti bawa balik yang sejuk, dia nak yang suam.

IKLAN

Rupanya laki yang beriya tolong saya ni dulu, masa anak dia dilahirkan saya yang sambut. Sejujurnya, selepas dia beritahu cerita ni, saya masih tak ingat dia. Saya tanya kenapa dia boleh ingat saya.

“Saya mesti ingat. Itu masa, isteri saya pegang tangan you kuat-kuat, sebab dia ingat tu tangan saya,” kata dia disusuli dengan gelak kecil.
Hahaha! Baru saya ingat perihal tu. Kami pun borak sedikit kemudian saya pun minta diri. Sebelum balik, saya siap minta sekali buah kelapa yang kosong tu, takut isteri saya nak buah sekali.

Sampai rumah, saya dengan bangga bawa balik air kelapa dan beri pada isteri untuk minum(buah kelapa tu saya biar dalam kereta, hanya akan keluarkan kalau isteri minta sahaja).

Minum Satu Sedutan

Isteri nak yang sejuk, saya tambahlah air. Kemudian isteri saya sedut air kelapa dengan straw. Satu sedutan sahaja dia cicip dan kemudian berkata “You habiskanlah.”

Susahnya Cari AIR KELAPA Kelapa Tengah Malam, Isteri Mengidam Minum Satu Sedutan Sahaja

Hahaha! Laaaaaa bukan main susah kita cari, dah macam pengembaraan “Lord Of The Ring” cabarannya, siap ada jejak kasih dengan suami pesakit, sekali isteri minum satu sedutan sahaja.

IKLAN

Apapun, saya tahu isteri saya bukan sengaja nak susahkan saya. Saya kenal dia, seorang yang berdikari, seorang yang tak suka susahkan orang lain. Kalau tak kerana hamil, tak mungkin dia minta macam tu.

Wanita hamil ni, ada masa mual, ada masa selera yang pelik-pelik. Situ sakit, sini sakit. Sekejap sedih, sekejap marah. Mereka jadi tidak menentu kerana perubahan hormon dalam tubuhnya.

Bertabahlah wahai para isteri yang hamil, dan bersabarlah wahai para suami yang melayan kerenah isteri yang mengidam. Moga jadi kenang-kenangan di kemudian hari. Kenangan manis.

Akhir sekali, terima kasih pada semua yang membantu saya mencari air kelapa pada malam tersebut. Ramai yang tolong tu brader-brader(tua daripada saya). Mungkin sebab mereka memahami. Hehe.

Mesti Baca:Gara-Gara Menantu Mengidam, Mentua Usaha Buatkan ‘Roti Buaya’, Hasil Air Tangannya Sendiri
Baca lagi Di Sini:Kenali Gejala Hyperemesis, Wanita Hamil Muntah Lebih 3-4 Kali Sehari Itu Bukan Mengada-Ngada
Artikel Menarik:Sehebat Apapun Wanita Bergelar Isteri, Dia Masih Tetap Memerlukan Kehadiran Suami

Mingguan Wanita: Begitulah kerenah wanita hamil, kadang tak dapat dijangka rasa mengidamnya.Sebagai suami, layankan sahajalah dan banyakkan bersabar melayan isteri yang mengidam ni.

Sumber: Kamarul Ariffin Nor Sadan

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI