Mendisiplinkan anak-anak agar mematuhi peraturan dan tugasan harian bukan tugas mudah. Adakalanya anak-anak sukar untuk mematuhi jadual hrian yang mak ayah sendiri aturkan.
Memandangkan beberapa negeri sedang dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sekolah ditutup dan kebanyakan mak ayah pula bekerja dari rumah, pelaksaan jadual ini sangatlah penting. Agar anak dapat mengatur masa,buat kerja sekolah, belajar, berehat, bermain dan sebagainya.
Sebenarnya, menyuruh anak buat jadual sendiri merupakan teknik komitmen didik anak-anak dan mampu memberi kesan berbeza.
Untuk faham lebih lanjut, baca perkongsian daripada Ibrahim M Hasan ini.
TEKNIK KOMITMEN DIDIK ANAK-ANAK
Apa khabar anak-anak hari kedua PKPB? Semalam survive ke?
Mungkin ada yang menghadapi kesukaran untuk anak-anak mengikuti jadual yang kita sediakan. Kenapa sukar? Sebab kita yang sediakan, bukan dia sendiri.
Dalam menyediakan jadual, saya menyuruh anak-anak sendiri yang buat jadual tersebut dan saya hanya ‘guide’ sikit sahaja. Bukan kerana saya malas nak buat tapi jika anak buat sendiri, ini akan memberi kesan berbeza kepada mereka.
Kerana mereka yang menulis sendiri, mereka akan lebih rasa ‘punya’ dan memiliki. Ini menjadikan mereka akan lebih komit dan buat apa yang mereka sendiri telah persetujui. Bahkan jika ingin ubah jadual, saya akan suruh mereka ubah sendiri.
Ads
Dengan pantauan yang minima, saya hanya akan tanya “jadual sekarang apa?” lalu mereka sendiri akan jawab dan terus buat. Almaklumlah saya juga ‘work from home’ jadi tiada masa sepenuhnya untuk memantau anak-anak.
Ads
Dalam teknik persuasion, ini dipanggil ‘komitmen’ bermaksud mereka akan lebih terikat dengan apa yang mereka telah lebih awal persetujui.
Tapi bila dah tengok betul-betul rupanya banyak jugak masa freetime.
Ads
Jika teknik tidak berjaya, mungkin akan cuba guna teknik ‘rotan’ pula.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi nak mendisiplinkan dan mendidik ana-anak boleh cuba teknik komitmen ini. Suruh anak buat jadual harian mereka sendiri dan ia dapat beri kesan berbeza berbanding bila mak ayah yang sediakan.
Keputusan ujian peperiksaan UPSR baru sahaja diumumkan. Ada anak yang mendapat keputusan cemerlang dan ada yang mendapat keputusan sebaliknya. Buat mak ayah, usahlah kecewa tak kiralah apa pun keputusan yang anak perolehi, berapa A pun yang anak dapat, hargailah kerana itu adalah hasil usaha mereka.
Perjalanan ‘kehidupan’ anak-anak ini, masih jauh. Anak yang kurang cemerlang dalam akademik, tak semestinya corot dalam sahsiah akhlaknya. Paling penting mak ayah jangan putus berdoa agar anak-anak berjaya baik di dunia dan akhirat.
Tadi aku solat maghrib kat sebuah stesyen minyak. Sorang-sorang. Masuk rakaat kedua ada suara perlahan baca Allahuakbar jadikan aku imam. Habis sembahyang aku tengok rupanya sorang budak mungkin tingkatan 1 atau tingkatan 2 sembahyang belakang aku.
Lepas tu aku duduk kat kerusi luar pakai kasut. Tengah-tengah pakai kasut budak yang jadi makmum datang kat aku. Dia kata best la abang jadi imam, lepas tu dia salam aku.
Tiba-tiba dia hulur kacang rebus kat aku. Rupanya dia kata dia jual kacang rebus kat kedai makan kat kawasan situ.
‘Bang ambillah’ dia kata. Aku tanya ‘berapa ringgit dik?
Dia kata ‘takpe bang hari ni saya belanja sebab saya happy sangat, adik saya dapat 3A UPSR, jadi saya nak bagi kat abang sebungkus la..Alhamdulillah bang..’sambil tersenyum. Lepas tu dia hilang dengan bakul merah dia.
Allah, Allah. Aku belajar sesuatu malam ni.
Ada anak yang dilahirkan pandai. Ramai mak ayah suka kerana akademiknya pandai.
Ada anak yang dilahirkan biasa-biasa, akademik biasa-biasa tapi rajin solat, rajin baca Al-Quran, rajin doakan mak ayah dunia dan akhirat.
Setiap anak ada level mereka masing-masing.
Berapapun A yang mereka dapat, hargailah kerana itu adalah usaha mereka. Peluk mereka, senyum pada mereka, bagi kata-kata semangat pada mereka. Insyaallah, satu hari nanti bila mereka matang, mereka inilah yang akan jadi anak yang membahagiakan kita, dunia dan akhirat. Percayalah.
Semoga bermanfaat.
MW: Ada benarnya. Tak kiralah berapa pun jumlah A yang anak dapat, hargailah usaha dan penat lelah mereka. Kurang cemerlang dalam bidang akademik, tidak semestinya corot dalam akhlak sahsiah mereka. Setiap anak adalah permata yang berharga, ada nilainya yang tersendiri.
Mak ayah adalah orang terpenting dalam membentuk dan mendorong kejayaan anak-anak dalam hidup mereka. Titipkan tujuh pesanan ini untuk mereka pegang dalam mengejar kejayaan. Bukan saja untuk duniawi semata-mata.
PESAN 1: Ikat Hati Pada Allah SWT
Jagalah Allah SWT nescaya Allah SWT sentiasa menjagamu. Anak-anakku, fahamilah oleh mu bahawa Allah SWT itu Tuhanmu. Justeru, yang kamu jaga itu adalah hubunganmu dengan Allah SWT.
Ingatlah sedalam-dalamnya, peganglah sekuat-kuatnya bahawa Allah SWT tidak pernah meninggalkan kita walau sedetik pun. Maka usahlah kita mengambil pilihan untuk tidak bersama-Nya di mana sahaja wajah kita berpaling, di mana sahaja kaki kita melangkah dan di mana sahaja nafas kita sedut.
Anak-anakku, janganlah kamu mengatakan yang kamu mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT sedangkan kamu tidak mahu terikat dengan-Nya. Keterikatannya itu adalah satu matlamat para kekasih-Nya.
Justeru, ikatlah perasaanmu hanya dengan Allah SWT. Janganlah kamu suka bercerita kedekatanmu dengan-Nya tetapi hatimu sentiasa dekat dengan material duniamu. Usahlah kamu berangan-angan tentang-Nya sedangkan kamu cukup takut meninggalkan darjat, pangkat, harta duniamu.
PESAN 2 : Jangan Sekadar Berpelajaran Tapi Tak Berilmu
Wahai anak-anakku, utamakanlah pelajaran dan ilmu. Ketahuilah oleh mu, ramai yang berpelajaran tetapi tidak berilmu maka jiwanya kosong. Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mengisi jiwanya.
Begitu juga ada orang berilmu tetapi tidak berpelajaran maka hidup bermakna biar tidak ke mana. Anak-anakku, alangkah indahnya kamu memiliki keduanya kerana itu menjadikan kamu sebaik-baik hamba. Pelajaran akan menjadi tongkat dunia mu manakala ilmu menjadi penjaga akhirat mu agar kamu tidak tersasar di sebalik keindahan dunia yang penuh tipu daya.
PESAN 3: Bersandar Pada Kebolehan Diri Bukan orang Lain
Anak-anakku, berusahalah untuk diri mu. Usah kamu bersandar pada orang lain kerana ayahanda tidak senang mendengar ungkitan. Setiap sandaran kita perlukan pulangan. Setiap pertolongan orang itu perlukan pembalasan walaupun tidak diminta. Ada yang mahukan balasan yang material. Ada juga yang hanya mahukan doa. Tak kurang juga yang mahukan balasan sikap dan sifat. Semuanya itu bentuk pembalasan.
Namun, kita mungkin tidak dapat memberinya sepanjang hidup kita. Justeru, anak-anakku, berusahalah sedaya upaya dengan akal dan kudrat kurniaan Allah SWT agar kamu mengurangkan sandaran kamu terhadap orang lain.
Ia menjauhkan kamu dari rasa sakit hati apabila setiap yang disandarkan menjadi ungkitan biarpun sandaran yang diberi sudah terbalas sekian lama. Ingatlah anak-anakku, jangan sesekali kamu mengungkit kerana ungkitan itu memadamkan rasa. Orang yang mengungkit tidak pernah terguris rasa tetapi orang yang diungkit akan selalu ngilu perasaan.
PESAN 4: Taat Pada Pasangan
Apabila kamu berpasangan kelak, taati pasanganmu daripada dua sudut nescaya hidup kamu bahagia hingga akhir hayat. Taatlah dengan zahir, tunaikan tanggungjawab mu sebagai orang yang diamanahkan.
Berikanlah khidmat kepada pasanganmu dengan penuh rasa cinta dan kasih sayang. Setiap pasangan itu perlu saling berkhidmat antara satu sama lain. Taatilah pasanganmu dengan perasaan.
Usahlah biarkan perasaan mu diisi dengan ketaatan kepada yang bukan haknya. Ingatlah anak-anakku, sentiasalah dahulukan yang berhak. Jangan biarkan dia melihat apa yg tidak disukainya. Jauhkan pendengarannya dari apa yg dibencinya. Jaga hidungnya agar tidak mencium apa yg tidak digemarinya.
Wahai anak-anakku, berhentilah mengkritik orang lain sebelum kamu mengkritik dirimu sendiri. Nasihatilah dirimu sebelum menasihati orang lain. Jagalah kata-katamu kerana sepotong ayat yang tidak dijaga akan melukakan hati sepanjang hayat.
Kelak nanti kamu tercari-cari mengapa orang berjauh hati dengan mu. Kasihanilah dirimu sebelum kamu mengasihani orang lain agar rasa kasihan yang kamu berikan kepada orang lain datangnya dari lubuk hati dan perasaanmu dan bukan produk keluaran bibirmu.
Berbicaralah dengan lisan lembut dan suara yang rendah. Kata-kata yang kamu lontarkan adalah personaliti kamu. Sentiasa rendahkan suaramu agar nanti kamu tidak tersasar tinggi suara pada Tuhanmu. Jadilah kamu orang yg bermanfaat untuk orang lain.
Jadilah kamu orang yang bisu dalam memperkatakan kelemahan orang lain. Jadilah kamu orang yang buta melihat kekurangan orang lain. Jika tidak, kesemuanya akan menjadi sikap dan sifatmu kelak.
PESAN 6: Belajar Memberi Dan Menerima
Anak-anakku, ayahanda wariskan kepadamu apa yang hak untuk kamu. Usahlah kamu tamak. Usahlah kamu berkira. Belajarlah untuk memberi dan menerima. Jangan kamu pertikai apa yang bukan hak kamu kerana itu semua membuka pintu kenistaan.
Jangan kamu ambil apa yang bukan hak kamu dan jangan kamu berikan kepada orang yang tiada haknya. Ia menjadikan kamu jatuh ke lembah ketidakadilan. Ia pasti merosakkan silaturahim antara kamu dan orang lain.
PESAN 7: Jangan Takut Buat Silap
Anak-anakku, jangan pernah kamu takut untuk melakukan sesuatu yang baru kerana setiap orang yang berjaya pasti pernah melalui kesilapan. Jika kamu takut silap maka kamu akan sentiasa silap. Wahai anak-anakku, inilah yang ayahanda suratkan. Semoga ia menjadi pedoman hidup mu agar kekal ber’Tuhan’.
Artikel: Dato’ Dr. Azhar Haji Sarip, NLP Gold Master Trainer (NFNLP, USA)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bila berumah tangga dan mempunyai anak, sudah tentu kita sebagai mak ayah perlu tunjuk yang baik-baik. Sebabnya, apa yang ktia lakukan itu, anak mesti tiru. Perumpamaan yang biasa kita dengar, ‘macam mana acuan, begitulah kuihnya.
Sebagai mak ayah, jangan sesekali salahkan anak, bila dia menunjukkan sikap yang membuatkan kita rasa geram dan marah. Semuanya sebab anak tiru apa yang kita telah buat. Semua ini adalah daripada pemerhatian dan rujukan dari kita sendiri.
Jadi, nak anak yang dengar kata, patuh dan sebagainya, tunjuklah yang baik-baik di depan mereka. Percayalah, bila anak tengok apa yang kita mak ayah, secara rak langsung, itulah yang akan ditiru.
Seperti perkongsian daripada Firdaus Mokhtar ini. Ia turut menekankan perkara yang perlu mak ayah tunjuk depan anak-anak. Kitalah guru pertama mereka dan belajarlah untuk jadi mak ayah yang terbaik untuk anak-anak.
Anak-anak akan belajar menggunakan deria penglihatan dan pendengaran. Sekali pun kita tak suruh ikut, apa sahaja yang mereka lihat dan dengar, mereka akan tiru.
Maka ini yang ibu bapa kena selalu buat depan anak-anak.
1. Selalu buat kerja rumah sama-sama. Iya, kalian kena selalu membantu pasangan sendiri. Macam yang biasa cakap sebelum ini, tak semua tugasan rumah kerja isteri. Suami yang suka membantu lebih baik.
Bantu kerja rumah saat isteri sedang sibuk uruskan kerja lain. Contohnya isteri sedang memasak, kita jaga anak. Isteri uruskan anak, kita menyapu atau mop lantai. Basuh kain dan sidai kain pun tak salah untuk suami, buatlah.
Anak-anak akan belajar kehidupan berkeluarga adalah tentang bantu-membantu.
2. Selalu ucap terima kasih pada pasangan kalian. Ucapan ini disebut jelas dan penuh rasa bersyukur. Sekali pun yang kita dapat cuma hal yang kecil, ucap sahaja terima kasih itu depan anak-anak.
Kita tunjukkan depan anak-anak yang kita sangat hargai pasangan. Nanti mereka juga akan hargai kita.
3. Buat kebaikan di hadapan mereka. Bukan niat menunjuk tapi untuk mendidik. Contohnya bersedekah, bantu orang tua atau buta melintas jalan, kutip sampah sekitar masjid atau surau, bersihkan tandas awam lepas guna dan sebagainya.
Beritahu juga sebab kenapa kita kena buat semua itu supaya anak-anak faham hidup kena selalu memberi.
4. Tunjukkan kasih sayang depan anak-anak.
Peluk pasangan atau pegang tangan pasangan depan anak-anak, itu cara terbaik
kita zahirkan kasih sayang.
Itu tanda kita pasangan yang punya sifat penyayang yang tinggi.
5. Bila berhadapan dengan konflik, jauhkan daripada berlaku di hadapan anak-anak. Selalu bila kita di luar kawalan emosi, kita akan cenderung berkata yang tak baik, perkataan yang tak elok, marah-marah dan meninggi suara.
Jika ini kerap berlaku depan anak-anak, kalian sedang merosakkan minta dan emosi anak-anak itu sendiri. Jadi, elakkan ya.
6. Sembahyang dan mengaji depan anak-anak. Boleh juga buat selalu ambil wuduk depan anak-anak. Ini supaya mereka belajar dan adalah keutamaan dalam hidup. Apa yang tak boleh tinggal, wajib kita buat.
Balik kerja penat atau sibuk macam mana pun, sembahyang tetap kita tunaikan. Jadi selepas daripada itu, mudah kita nak tanya mereka pula;
“Kakak dah solat ke belum? Adik-adik dah mengaji?” Haa, begitu.
7. Amalkan sikap selalu meminta maaf jika bersalah.
Benar, anak-anak akan belajar untuk tidak malu mengaku salah dan terus meminta maaf. Sesama mereka adik-beradik, dengan ibu bapa mereka atau pun dengan kawan-kawan nanti.
Begitulah kawan-kawan. Bila dah jadi ibu bapa ini sekali gus kita akan jadi guru pertama buat anak-anak.
Maka, segala-galanya kena teratur dan dirancang. Sekian.
Firdaus Mokhtar,
Masih belajar jadi walid.
MW: Kadang-kadang, kita sebagai mak ayah tidak sedar apa yang kita buat itu boleh menyebabkan anak tiru. Jangan nak salahkan mereka sebab kitalah yang menjadi guru pertama anak-anak. Ingat ye!
Kematian Nurul Asyura mengejutkan keluarga dan mengundang kesedihan mendalam. Ikuti kisah penuh detik cemas, luahan pilu si ibu dan perkembangan terkini mengenai punca kejadian.