Setiap pekerjaan di dunia ini pasti ada peranannya yang tersendiri. Lebih-lebih lagi apabila ia hasil usaha mak ayah dalam mencari nafkah menanggung keluarga. Bagi seorang anak, walau apa pun perkerjaan halal dan berkat yang mak ayah lakukan, tak perlu rasa malu malah berbangga lah dengan hasil usaha dan kepenatan mereka dalam mencari rezeki.
Bagi anak ini, meskipun usia masih kecil namun tetap berbangga dengan pekerjaan ayahnya. Malah tidak malu memilih kerjaya ‘pekerja pembersihan’ ketika pertandingan pakaian beragam sewaktu sambutan Hari Kanak-Kanak di sekolahnya baru-baru ini.
“Auni pilih pakai baju kerja ayah sebab mahu menjaga alam sekitar, sayang dan bangga dengan ayah yang menjaga kebersihan kawasan,”
Itu reaksi Nur Auni Awatif Mohd Anuar, 8, ketika ditanya bapa, Mohd Anuar Muhammad Yusop, 41, mengapa memilih memakai baju kerja bapanya pada pertandingan pakaian beragam bertemakan kerjaya sempena Hari Kanak-Kanak di sekolahnya, di sini, pada 30 November lalu.
Pakai Baju Pekerja Pembersihan
Kisah Nur Auni Awatif yang memakai baju kerja bapanya berkerja sebagai pekerja pembersihan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), di sini, mendapat perhatian warganet selepas videonya dimuat naik bapanya di TikTok, baru-baru ini.
Menceritakan kisah itu, ibunya, Nor Fadilah Jaafar, 39, berkata, anaknya memilih memakai pakaian itu kerana menghargai kerja suaminya walaupun cita-citanya mahu menjadi chef.
Guru kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) itu berkata, anak bongsu dari tiga beradik itu sangat rapat dengan bapanya dan sebelum ini pernah mengikut Mohd Anuar membersihkan tapak pasar malam.
“Nur Auni Awatif suka makan dan mahu menjadi chef tetapi dia tidak mahu memakai pakaian itu kerana mahukan kelainan selain sebagai tanda sayangnya pada ayahnya.
Ads
“Saya suruh bergaya seperti ustazah pun dia tak mahu dan selepas dipujuk akhirnya Auni mencuba seragam anggota Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) yang dipinjam suami dari rakannya tetapi dia tidak muat serta tidak selesa memakainya.
“Kemudian dia terus mencuba t-shirt kerja suami yang dicari sendiri di almari. Walaupun sedikit besar dia cakap selesa memakainya, malah terus meminta ‘pengepit’ dan plastik sampah untuk dia gayakan di atas pentas,” katanya.
Bangga Dengan Ayah
Nor Fadilah berkata, mereka pada mulanya meminta anak bongsu itu memilih kerjaya lain walaupun itu hanya pertandingan sahaja.
“Kami tanya juga tidak kisah ke pakai baju kerja ayah dan tak sangka Auni cakap ‘tak apa, mak dan ayah yang bagi Auni makan, sediakan tempat tinggal dan bangga dengan ayah’.
“Auni bangun awal dan teruja untuk bersiap ke sekolah dan walaupun dia hanya dapat sagu hati saja dalam pertandingan itu tetapi dia tak sedih langsung, malah berasa gembira,” katanya.
Ads
Tak Sangka Reaksi Anak
Sementara itu, Mohd Anuar berkata, dia terharu dan tidak sangka dengan reaksi Nur Auni Awatif kerana anaknya itu masih kecil.
“Saya seperti mahu menangis apabila mendengar apa yang Auni cakap itu sebab tidak malu, malah bangga dengan kerja saya.
“Itu antara kenangan yang mengusik hati saya selain kenangan dia seronok mendapat basikal rosak yang saya beli dengan harga RM10 saja.
“Saya baiki dan cat semula basikal itu dan tetapi dia sangat gembira macam dapat basikal baru.
Ads
Saya bersyukur Auni dan dua kakaknya sangat memahami kehidupan sederhana kami,” katanya.
Mingguan Wanita: Alhamdulillah, semoga anak-anak kita juga menjadi anak soleh dan solehah, tidak malu walau apa pun kerja yang mak ayah lakukan dalam mencari rezeki buat keluarga.
Sesungguhnya ajal dan maut itu adalah ketentuan tuhan. Bagaimana dan dimana kejadiannya semuanya telah tertulis oleh yang Maha Esa. Mungkin hanya satu kebetulan, namun adakalanya setiap perkara yang berlaku itu merupakan satu petanda meninggalkan dunia yang sementara ini.
“Arwah sebelum ini bertanyakan maksud namanya… lepas itu tanya pula nama malaikat maut, selain syurga dan neraka,” kata Sharifah A Rahim, 35, ibu kepada kanak-kanak yang maut dihempap tiang elektrik semalam.
Dalam kejadian di Kampung Belukar dekat Jalan Kampung Darat, Changlun, Muhammad Aqil Wafiq Ruslizan, 10, meninggal dunia, manakala dua lagi rakannya cedera selepas longgokan tiang elektrik jatuh menghempap mereka ketika bermain di situ.
Petanda Arwah Meninggalkan Keluarga
Sharifah berkata, dia tidak menyangka pertanyaan Muhammad Aqil Wafiq menjadi petanda yang arwah akan meninggalkannya serta keluarga untuk selama-lamanya.
Menurutnya, ketika pertanyaan itu diajukan, dia sempat berpesan pada arwah agar belajar rajin-rajin seperti maksud namanya iaitu bijak dan terpelajar.
“Saya terkejut dengan apa yang berlaku kerana kejadian berlaku hanya 50 meter dari rumah neneknya (Zaiton Abu, 64).
“Arwah mungkin ikut kawan-kawan main kerana sebelum ini dia tak pernah ke situ (longgokan tiang),” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.
Difahamkan rakan arwah, Wan Aliff Danish Abdullah, 10, masih kritikal dan seorang lagi yang berusia 11 tahun masih dirawat di Hospital Jitra.
Sharifah berkata, dia reda dengan pemergian anak kedua daripada tiga beradik itu, meskipun kini hanya tinggal seorang sahaja anak selepas kakak Muhammad Aqil Wafiq meninggal dunia ketika berusia empat minggu.
Sharifah A Rahim, 35, bersama anak bongsunya di Jabatan Forensik HSB.
Longgokan Tiang Sejak Aidilfitri
Dakwanya, longgokan tiang elektrik sudah berada di kawasan berkenaan sejak sebelum Aidilfitri lalu dan dia sempat mendengar bunyi kuat ketika kejadian berlaku.
“Memang boleh nampak tiang itu dari rumah mak dan tiang itu pula ditahan (daripada bergerak) dengan kayu sahaja.
“Ketika bunyi kuat itu, saya syak ada benda buruk berlaku tapi tak sangka rupanya anak saya terhempap dan meninggal dunia,” katanya yang memberitahu jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Berona Kanan, Jeniang.
Murid Yang Baik & Rajin
Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Dato Wan Kemara, Changlun, Mohd Nizam Saidin berkata, pihak sekolah terkejut dengan kejadian yang menimpa dua daripada muridnya.
Katanya, mereka turut berdukacita dengan kejadian berlaku memandangkan kedua-dua murid itu baik dan rajin di sekolah.
“Kami mengadakan bacaan Yasin untuk arwah dan seorang lagi murid yang masih dirawat di hospital, selain mengadakan kutipan untuk bantuan buat keluarga mereka,” katanya.
Mudah je sebenarnya mak-mak nak senangkan kerja masak memasak ni, ada trik tertentu yang boleh dicuba antaranya menggunakan pes masakan yang dibuat sendiri.Melalui perkongsian oleh Wan Muhammad Hafiz Satar, beliau ajar cara mudah buat 2 pes masakan yang boleh digunakan sebagai bahan asas untuk masak macam-macam menu.Yang paling penting ia senang, cepat dan yang paling penting sedap. Bukan apa selalunya kerja memasak ni jadi lambat bila bab nak kupas bawang, kisar cili dan sebagainya.
Berikut antara perkongsian beliau yang mak-mak boleh cuba ikut.
#ResepiDisertakanDibawah
Bahan asas untuk bekal ke sekolah anak tiap-tiap pagi.. Style saya, saya buat PES siap-siap. Pagi-pagi takde la lorat nak kupas bawang nak tumbuk cili bagai, just masukkan dalam kuali terus masak apa yang terlintas. Senang, cepat dan yang penting sedap. hehehehe. Boleh masak macam-macam selain yang tulis kat situ.
#DuaBotolUntukSeminggu
#MotherSauce
1.Bahan-Bahan: (botol Kiri)
Bawang putih, bawang besar, bawang merah, cili padi, cili merah.
Cara Membuat:
Kisar kasar dengan minyak, selepas itu terus tumis sampai pes masak dan pecah minyak.
Cara Penggunaan:
Contoh kalau nak buat nasi goreng just tumis lauk dulu pastu masukan pes dan pecahkan telur, selepas itu masukan sayur, garam dan nasi. Last nak tabur ikan bilis pun sedap.
Baru-baru ini tersebarnya mesej dilaman sosial arahan perintah berkurung bagi remaja bawah 18 tahun keluar rumah pada waktu malam.Ia menimbulkan pelbagai reaksi orang ramai. Ada yang menyambut baik saranan ini, terutamannya golongan mak ayah dan ada yang sebaliknya.
Namun penyebaran mesej dan arahan tersebut sebenarnya adalah PALSU!.Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menafikan ada mengeluarkan sebarang arahan berhubung larangan terhadap kanak-kanak dan remaja di bawah usia 18 tahun berada di luar rumah pada waktu malam.
Tidak Keluarkan Arahan
Kementerian itu dalam satu kenyataan di Facebook berkata, maklumat yang tular menerusi aplikasi WhatsApp itu adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan sebelum ini seperti yang didakwa.
“KPWKM tidak mengeluarkan apa-apa arahan berkaitan maklumat berhubung perkara tersebut. Pihak kementerian memohon agar semua pihak tidak menyebarkan maklumat palsu ini,” katanya.
Henti Sebar Maklumat Palsu
Sementara itu, KPWKM memohon agar semua pihak tidak menyebarkan maklumat palsu berkenaan.
“Pihak kementerian turut meminta orang ramai untuk membuat semakan sebelum menyebarkan sesuatu perkara,” katanya.
Sebelum ini, satu mesej tular di aplikasi Whatsapp berhubung larangan terhadap kanak-kanak dan remaja di bawah usia 18 tahun berada di luar rumah pada waktu malam berkuat kuasa serta merta.
Dalam mesej itu, kanak-kanak dan remaja di bawah umur 18 tahun (13 hingga 16 tahun) tidak dibenarkan berada di luar kawasan rumah melebihi pukul 10 malam, manakala yang berumur 12 tahun dan ke bawah tidak dibenarkan berada di luar dari kawasan rumah melebihi pukul 8 malam kecuali hal yang tidak dapat dielakkan.
MW: Peringatan buat kita, agar semak dahulu setiap maklumat yang diperolehi. Pastikan benar-benar sahih sebelum disebarkan. Apa-apa pun, jika saranan menghalang remaja bawah 18 tahun ini keluar malam berjaya dilakukan ia satu tindakan wajar yang harus disambut baik oleh mak ayah.
Datuk Ram Singh: "Saya beri khidmat percuma, tertuduh bukan anak VVIP." Peguam yang mewakili salah seorang daripada lima remaja yang dituduh berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir mendedahkan, pasukan guamannya menawarkan khidmat secara pro bono tanpa sebarang bayaran.