Pentingnya komunikasi walaupun perkara kecil, manalah pasangan faham kalau tak berterus-terang. Selalunya rata-rata pasangan memendam rasa bila tak puas hati dengan pasangan.

Ada segelintirnya pula harapkan pasangan faham sendiri, padahal tak luahkan. Sebenarnya perkara sebegini tak boleh dibiarkan kerana mampu menjejaskan hubungan suami, isteri lama-kelamaan.

Ikuti perkongsian Ustaz Firdaus Mokhtar ini dan hadam baik-baik iya:

“Saya balik rumah mesti tak gembira. Ada sahaja hal yang buatkan kami bergaduh. Kadang saya balik dah semangat nak buatkan isteri gembira. Tapi masuk je rumah, perasaan tu hilang. Rasa nak marah-marah yang ada.”

Itu luahan yang saya dapat semalam. Suami ini bekerja. Isteri suri rumah. Jadi suami ini harap bila dia balik, ada layanan lah daripada isteri.

Perkara ini nampak enteng tapi sebenarnya tidak. Kadang punca daripada perkara kecil, boleh jadi perbalahan besar.

Pentingnya Komunikasi Walaupun Perkara Kecil

Jadi saya pesan ke dia, komunikasi dengan isteri itu penting. Benda yang kita rasa-rasa dalam hati, kemudian kita harapkan isteri jadi begitu tapi kita tak sampaikan pun pada isteri, mana mahunya.

IKLAN

Takkan berlakulah sebab isteri tak tahu. Maka kena bercakap dan sampaikan.

Dia tanya pula apa yang dia nak sampaikan ke isteri supaya mereka boleh amalkan sama-sama. Saya pesan tips ini:

1. Sambut pasangan setiap kali pulang daripada kerja.
“Eh, ni pun nak kena bagitahu ke?” Dia tanya ke saya.

Iyalah. Dah kalau tak cakap, biasa tak buat. Tadi kata balik rumah saja rasa nak marah.

Lepas ini kalau asal balik saja isteri sambut depan pintu. Senyum dan sambut tangan untuk bersalaman, mesti lagi ok kan?

“Selama ni bila balik hari-hari isteri sambut tak?” Giliran saya pula tanya ke dia.

IKLAN

“Tak.” Pendek dia balas. Haa! Tu kan jadi punca. Jadi amalkan ini. Jadi pencetus kasih sayang saat suami balik dari kerja.

2. Beri pelukan dan beri ciuman sebelum pergi kerja.
Ini menambah semangat untuk suami yang keluar bekerja dan memberi energi untuk isteri bertenaga buat kerja di rumah.

3. Minta maaf dan memberi maaf.
Ini pun kena selalu buat. Ada 2 waktu yang utama untuk amalan ni. Waktu nak pergi kerja dan sebelum tidur.

Ramai dah kita tahu keluar pergi kerja, takdir Allah tak balik semula sebab kemalangan dan sebagainya. Sebab tu kena minta maaf sebelum pergi kerja. Kita takut itulah kali terakhir kita dan pasangan sempat bermaafan sesama sendiri.

IKLAN

Sebelum tidur pun penting. Kita nak minta maaf segala salah dan silap kita sepanjang hari tu.

4. Banyakkan berbincang dan musahabah bersama.
Ini paling penting. Apa yang suami rasa tak suka, nyatakan pada isteri. Isteri pun begitu juga.

Maka berbincanglah, cari persefahaman dan persetujuan bersama. Bila kita dan pasangan kerap berkomunikasi, pintu kepada perselisihan faham akan jadi kecil. Susah nak bertekak sebab kita dah pernah bincang dan faham apa yang pasangan kita sebenarnya mahukan.

Begitulah.
Firdaus Mokhtar,
Saya pun suami.

MW: Setiap kali mak dan ayah berdepan dengan masalah, cuma berkomunikasi agar punca masalah dapat diselesaikan segera. Jangan biarkan masalah-masalah kecil dalam rumah tangga menjadi kudis dalam hubungan suami, isteri. 

Sumber: Ustaz Firdaus Mokhtar

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI