Waktu kontraksi dan memasuki fasa kelahiran bayi memang cukup mendebarkan. Ada yang diuji rasa sakit dan kontraksi kuat, malah ada juga yang sebaliknya. Sungguh tak dapat dibayangkan, sedang sarat mengandung 9 bulan dan hanya menunggu waktu untuk melahirkan anak, masih lagi mempunyai kekuatan untuk mengayuh basikal ke hospital.
Berbasikal Awal Pagi Ke Hospital
Itulah yang dilakukan oleh seorang ahli Parlimen New Zealand, Julie Anne Genter menunggang basikal pada awal pagi semalam untuk pergi ke hospital bagi melahirkan anaknya.
Ketika menaiki basikal, Genter sudah pun dalam fasa kelahiran dan bayinya dilahirkan sejam selepas beliau tiba di hospital. Genter sampai ke hospital yang mengambil masa kira-kira 10 minit.
Berita kelahiran itu diumumkan oleh Genter menerusi Facebook beberapa jam kemudian.
“Pada pukul 3.04 pagi, kami menyambut kelahiran ahli keluarga baharu. Saya tidak merancang mengayuh basikal untuk melahirkan anak, namun semuanya sudah berlaku. Kami tiba ke hospital kira-kira 10 minit kemudian.
“Kontraksi yang saya alami tidak berapa kuat dan keadaan itu membolehkan saya mengayuh basikal sehingga ke hospital,” tulis Genter.
Pengalaman Kali Kedua
Ini merupakan kali kedua Genter mengayuh basikal ke hospital untuk melahirkan anaknya.
Negara dengan populasi seramai lima juta itu terkenal dengan sikap rendah diri oleh sejumlah ahli politiknya.
Ads
Perdana Menteri Jacinda Ardern sebelum ini tetap masuk ke pejabat biarpun beliau masih dalam cuti bersalin, selain membawa bayinya yang ketika itu berusia tiga bulan ke mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Mingguan Wanita: Kuatnya wanita ini, walaupun dalam kontraksi boleh lagi kayuh basikal ke hospital sebelum bersalin. Tak dapat bayangkan situasinya macam mana dengan sarat hamil 9 bulan menunggang basikal.
Joy Revfa rupanya masih single, nekad batalkan perkahwinan tahun lalu. Rupa-rupanya usahawan kosmetik sensasi dan juga pemiliki nama sebenar Siti Arifah Mohd Amin atau lebih popular dengan panggilan Joy Revfa masih single dan membatalkan perkahwinannya tahun lalu.
Pernah hangat dengan kontroversi sekitar 2017 lalu apabila perkahwinan keduanya dengan penyanyi, Hafiz Hamidun menjadi sensasi dan akhirnya mereka bercerai pada 25 Oktober 2017.
Malah ketika itu, hampir setiap inci sisi peribadi ibu tunggal kepada Muhammad Arryan Firdaus berusia tujuh tahun ini diintai.
Pemilik empayar perniagaan MERVE Cosmetics Malaysia yang berdaftar di bawah nama MERVE Group Holdings Berhad ini juga pernah melangsungkan pertunangan dengan jurulatih kecergasan sekitar Mac tahun lalu. Namun hakikat sebenar, hubungan dengan jejaka itu juga tidak berkesudahan dengan penamat indah.
“Sepatutnya kami berkahwin tahun lalu. Tapi akhirnya saya nekad membatalkan perkahwinan itu kerana rasa tidak serasi dengannya.
“Saya akur dengan ujian hidup ini. Kita mungkin takkan dapat apa yang diingini. Tuhan akan menguji tak pernah berhenti. Pilihan yang ada ialah untuk terus kuat.
“Sekarang saya masih single. Bercinta dengan perniagaan sayalah lebih menenangkan. Saya pun belum berniat untuk berkahwin. Saya bahagia dengan menumpukan sepenuh kudrat dan hati ini kepada syarikat dan anak,” luah Joy.
Wanita yang tabah ini juga akui dirinya tidak pernah serik untuk berkahwin jika bertemu jodoh.
“Jika Allah hadirkan jodoh lagi selepas ini, insya-Allah saya terbuka menerimanya. Tak ada istilah serik. Manusia dilahirkan berpasangan. Saya tak menolak fitrah itu. Kita hanya mampu merancang, selebihnya ketentuan Tuhan.
“Jujur ada berkawan dan berkenalan. Ada yang atas paksi profesional. Ada juga yang cuba menambat hati. Tapi entahlah… saya pun tak mahu larut dengan perasaan sebegitu dulu,” katanya.
Joy juga menerangkan dirinya terus bangkit selepas berdepan dengan kemelut hubungan tak berpanjangan.
“Perceraian dengan bekas suami menerusi perkahwinan kedua sudah hampir empat tahun. Perkahwinan pertama pun bertahan dua tahun.
“Saya terus bangkit dan segera ‘move on’ demi anak tunggal. Malah perasaan itu turut didorong keinginan yang sangat kuat dan rasa bertanggungjawab nak membantu lebih ramai wanita termasuk ibu tunggal seperti saya di luar sana lebih berjaya.
“Saya bagai beroleh kekuatan dan ingin mencabar diri menjadi yang terbaik. Menjadi ibu tunggal, ada dua perkara yang harus kita hadapi iaitu harus lawan dan kalahkan apa juga cabaran mendatang. Ia bertitik tolak kepada rasa takut dan tak mampu.
“Kita diciptakan untuk mewujudkan kemuliaan Allah SWT dan memanfaatkan kelebihan yang ada dalam diri kita. Percayalah setiap kelebihan bukan ada pada sesetengah orang tapi ada di setiap dalam diri kita. Cubalah cari, anda pasti akan jumpa,” ungkapnya yang baru saja melancarkan gincu edisi terhad yang juga produk ke-30 dikeluarkannya yang diberi nama BlackRevfa.
Selamat pengantin baru Uyaina & Raja Syahiran, tarikh 21 Disember amat bermakna buat pasangan ini apabila telah bernikah pada jam 9.03 pagi di Colony Star Boulevard.
Pemilik nama sebenar Saidatul Naseha Uyaina Arshad telah dinikahkan oleh abang kandung Mohd Attaful Uzair Arshad bersaksikan Pendaftar Penikahan Perceraian dan Rujuk Orang Islam Jabatan Agama Islam Wilayah Perseketuan, Mohd Abd Nasir Abdullah serta dua saksi.
“Alhamdulillah majlis pernikahan kami berjalan dengan lancar pagi ini.
“Sebenarnya kami sudah merancang pernikahan ini sejak beberapa bulan lalu namun banyak pertukaran dari segi perancangan majlis.
“Ia berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang cepat berubah dan terkini. Selain itu, kejadian banjir terburuk yang berlaku pada dua hari sebelum nikah turut memberi cabaran kepada kami,” ungkap Uyaina seperti mana dipetik menerusi Harian Metro.
Raja Syahiran juga telah menghadiahkan mas kahwin berupa sebentuk cincin dan gelang tangan emas.
Namun pasangan ini telah memilih untuk merahsiakan jumlah wang hantaran di atas persetujuan kedua belah keluarga.
Ditanya tentang perancangan selepas bergelar suami isteri, pasangan ini bercadang mahu melawat keluarga yang tidak dapat menghadiri majlis mereka.
“Jadi buat masa ini, kami bercadang untuk melawat keluarga dan saudara mara yang tidak dapat menghadiri majlis pernikahan untuk memperkenalkan satu sama lain dengan keluarga besar masing-masing,” ungkap Uyaina.
Pengalaman berdepan dengan banjir, siapkan barang keperluan penting ini sebagai persediaan bencana di masa depan. Mungkin tip yang dikongsikan ini dapat memberi panduan kepada mereka yang kerap menghadapi banjir.
Bencana alam seperti ini sukar mak ayah jangkakan. Oleh itu buat persediaan agar suatu nanti jika terlibat dengan banjir, mak ayah lebih bersedia untuk menghadapi dan tahu apa yang perlu dilakukan dahulu.
Ikuti pengalaman mangsa banjir, Baharin Abd Hamid ini dan fahami apa yang cuba disampaikan:
Assalammualaikum.
Alhamdulillah, kami sekeluarga sudah selamat keluar (saya, Piena Baharin, anak dua orang dan ayah saya). Pengalaman yang sangat dahsyat kalau hendak dibandingkan dengan banjir yang berlaku pada tahun 1995.
Ya, Seksyen 25 (Shah Alam) bukan pertama kali hadapi banjir. Tahun ini saja sudah tiga kali termasuk kejadian kali ini. Tetapi kali ke-3 ini adalah yang paling buruk sebab ramai terkandas dekat rumah.
Asalnya ingatkan air sekadar naik sekitar buku lali atau paras lutut. Rupanya hingga ke paras siling. Syukur sebelum air naik, ayah dan anak lelaki dapat datang ke rumah untuk bermalam di sini. Mereka tumpang 4×4 jiran dan jalan ke rumah kami. Waktu itu hampir 7petang dan air mula melepasi pinggang.
Mana yang rumahnya satu tingkat, harap bertabah. Selamatkan benda penting seperti makanan ringan, kad pengenalan, kad bank dan pelitup muka. Saya sendiri terlupa nak selamatkan facemask semua sebab dah kelam kabut selamatkan barang-barang termasuklah keperluan makanan.
Kadang-kadang beli barang lebih untuk storage ada kelebihannya jika berlaku bencana seperti sekarang. Boleh share dengan jiran-jiran juga.
Kebetulan saya ada camping stove, jadi saya selamatkan beras, maggi, teh, telur dan beberapa barang basah serta peralatan memasak. Syukur sangat-sangat sebab ada camping stove ni. Boleh masak jika perlu.
Jadi saya sarankan anda beli satu camping stove untuk simpanan, gas dia pun tak mahal sangat. 1 tin harganya dalam RM4 hingga 5 saja. Just in case. Tak lupa juga torch light. Saya gunakan jenis yang basikal pakai, kecil, kalis air dan bateri tahan lama(USB charge). Dapatlah suluh apa yang patut ketika hari makin gelap.
Harta benda kami semua habis ditelan banjir, kereta, motor, barang-barang rumah. Allahuakbar! Sebak kami memikirkan bagaimana dengan hari-hari mendatang. Tak apalah, Allah lebih mengetahui. Yang penting kami harus terus bertahan sebelum bantuan tiba.
Malam pertama banjir, kami makan apa yang ada, ramai yang bertanyakan khabar tapi tak dapat nak reply sebab line tak berapa clear. Tambahan pula bateri tinggal sekitar 50 peratus, 30 peratus. Power bank pun tak berapa ada bateri. Mujur ada laptop, jadi bolehlah cas sikit.
Waktu kecemasan macam ini saya gunakan mode ultra battery saver. Jika bateri tinggal 30% boleh tahan hingga 29 jam. Mode ni akan aktifkan aplikasi yang penting je seperti Whatsapp, Call dan Messenger. Fungsi-fungsi lain dia akan hentikan termasuklah ringtone dan wallpaper. Sesuai untuk waktu kecemasan seperti sekarang.
Waktu ni, tiada bot yang lalu. Mungkin mereka baru dalam perjalanan, jalan pula banyak tutup akibat banjir. Jadi bantuan sampai lambat. Tambahan pula banyak tempat-tempat lain di Klang, Shah Alam yang perlukan bantuan juga. Sekitar pagi jam 7pagi pada 19 haribulan barulah ada kelibat 3, 4 bot lalu lalang. Ada yang jerit meminta tolong termasuk uncle sebelah yang ada baby. Uncle tu pun tak berapa sihat sebab dialisis.
Bot yang lalu semua saiz kecil (mungkin persendirian) jadi tak boleh tolong dan risikokan diri. Mereka suruh bertahan dan akan sampaikan mesej pada bot-bot yang lebih besar.
.
Jam 10 pagi, banjir masih tinggi. Bot-bot besar sudah mula masuk. Jiran-jiran juga sudah berjaya dikeluarkan dalam tempoh 2 hingga 3 jam. Matahari pun dah mula keluar. Bot-bot bawa bantuan makanan pun sudah masuk, mereka bawa roti.
Helikopter juga kelihatan berlegar-legar memantau situasi. Air paip di rumah masih ada. Toilet tingkat atas masih boleh diguna. Ketika ni adik saya Aminah Asykin Abd Hamid dan keluarga on the way pulang dari Melaka bersama ibu saya. Jadi kami rancang untuk keluar dan tumpang rumah mereka. Bertemu di atas highway kesas.
Kami diselamatkan sekitar jam 5 petang oleh kawan wife. Terima kasih sangat-sangat buat Abang Sab dan kawan dia. Dayung jauh-jauh hingga ke rumah kami. Bawa 2 bot pelampung. Jadi kami semua dapat keluar dalam 1 trip. Kami di bawa ke darat. Ramai orang di situ memberi bantuan kepada mangsa, tarik bot ke darat, tolong angkat beg, tolong warga emas dan memberi makanan.
Selamat mendarat, kami di bawa ke PPS (Pusat Pemindahan Sementara) Dewan SJK berhampiran. Tapi kami memohon untuk dihantar seberapa hampir dengan highway kesas. Dan kami diturunkan berhampiran lot kedai persiaran kemuning prima. Sesampainya di situ, adik kata tak dapat nak masuk sebab jalan banjir.
Laluan yang boleh diakses adalah highway LKSA. Bermakna kami terpaksa patah balik. Jam sudah menunjukkan waktu 6 petang. Hari mula gelap. Si kecil sudah mula sedih sebab takut tak ada tempat nak bermalam. Oh anak… lemah jiwa baba melihat kamu begitu. Insyallah, baba akan usaha sehabis baik untuk kamu.
Perancangan baru. Kami harus berpatah balik ke PPS. Kerana ianya berhampiran dengan LKSA. Dengan harapan banjir sekitar persimpangan menuju ke LKSA surut agar kami boleh melintas ke situ. Kalau tak, kami akan minta bantuan bot. Patah balik kami jalan sedikit mencari area yang lebih luas untuk tahan kereta meminta tumpang. Ini kerana jalan sesak dengan kenderaan bantuan dan macam-macam.
Alhamdulillah ada satu hilux hantar bantuan menumpangkan kami. Terima kasih pada adik-adik India yang sudi bantu. Sesampai di PPS, keadaannya gelap kerana elektrik telah ditutup sejak senja hari Sabtu. Kelihatan banyak bantuan makanan dan minuman yang sampai.
Kami meneruskan perjalanan untuk melihat keadaan jalan. Syukur Ya Allah, walaupun masih banjir tapj kami boleh mengharunginya dengan berjalan. Air sekitar buku lali dan lutut. Kami berjalan dalam 70 meter hingga ke susur keluar LKSA ke Seksyen 25.
Along! along! Satu suara memekik memanggil saya. Allahuakbar, rupanya adik ipar Adib Razali sudah tunggu di situ. Dengan payung dan juga power bank. Ya Allah rasa nak menitis air mata. Kasihan dekat mereka yang pulang dari melaka dan berjam-jam menunggu kami untuk keluar. Masing-masing menunjukkan rasa lega, ada senyuman terukir di wajah si kecil. Alhamdulillah…
Sesampai di kereta, kami disambut oleh ahli keluarga yang lain. Air mata menyambut kami, memikirkan nasib kami dan bersyukur diselamatkan. Rumah ibu juga ditenggelami air. Kebetulan ibu keluar bersama adik ke Melaka. Tinggal ayah dan anak lelaki saya di rumah ibu. Adik lelaki yang satu lagi dalam perjalanan ketika ini.
Adik ipar akan hantar wife, ibu, adik and anak kecil ke kereta adik lelaki dulu. Bertemu di stesen minyak kesas. Kemudian patah balik untuk yang lain. Ketika tunggu giliran, saya nampak banyak bomba dan bot-bot lain sudah sampai.
Bomba datang dari Kuala Kubu Baru dan Johor. Saya share info-info yang mana ada dengan mereka. Harapan agar yang lain juga dapat diselamatkan. Saya dengar ada juga yang jadi korban banjir, innalillah… Moga dipermudahkan urusan SAR.
Akhirnya, kami semua berjaya diselamatkan. Alhamdulillah segala pujian buat ALLAH. Kami menumpang dirumah adik dulu sementara tunggu air surut.
Kepada ahli keluarga dan kawan-kawan yang hulurkan bantuan doa, bertanya khabar, contact-contact untuk rescue, yang hantar makanan, bantuan bot Abang Sab, yang nak tumpangkan rumah, team-team NGO, ATM, BOMBA dan semua yang terlibat, Terima kasih tak terhingga dari kami. Semoga Allah balas semua jasa anda dengan kebaikkan dan rahmat dari-NYA. Semoga Allah limpah kurniakan anda semua dengan rezeki dan kesihatan serta dipermudahkan segala urusan. Amin Rabbal alamin….
Buat mangsa-mangsa yang seangkatan, semoga diberi kekuatan mengharungi musibah ini. Allah uji sebab Allah sayang, dan juga memberi sedikit peringatan buat kita.
Jangan pernah berhenti berharap dan doa pada-Nya. Insyallah kita mampu harunginya. Akhir kata dari saya, jaga diri, perhatikan sekeliling yang perlukan bantuan dan maklumkan pada petugas-petugas lain. Kita jaga kita.
Mingguan Wanita : Pengalaman ini dapat dijadikan panduan buat mereka yang berdepan dengan musibah ini. Semoga semua mangsa banjir yang terjejas dipermudahkan urusan dan tabah dengan ujian ini.
Suami kepada pelakon Miera Liyana, Rosland Othman didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menyebabkan pernyataan palsu diberikan kepada Bursa Malaysia berhubung hal ehwal syarikat lima tahun lalu.