anak-ikut-apa-kita-mahu

Dalam memahami jiwa anak-anak remaja, kadangkala mak ayah jadi kalah. Seakan kita mahu mengalah lagi-lagi dengan anak yang kadangkala suka ‘buat kepala sendiri’.

Geram, retak hati bila mana anak-anak ada egonya sendiri. Tidak mahu ikut apa yang mak ayah sudah nampak jalan kebaikan untuknya di kemudian hari.

Merungkai persoalan ‘berontak jiwa remaja’, penulis Ammar Kamilin berkongsi catatan bagaimana seharusnya mak ayah mendepani anak-anak yang berjiwa begini.

Mak Ayah Mesti Betul

Selalu sangat soalan tentang anak remaja masuk ke dalam inbox di Facebook. Sejak saya mula menulis tentang parenting, kerap juga dihujani cerita demi cerita, anak yang ‘ignore’ apa saja yang dicakapkan oleh ibu bapa. Antara perkataan yang sering digunakan, ‘buat kepala sendiri’.

Sebenarnya, apabila masuk soalan yang agak berbentuk peribadi begitu, saya jarang memberikan respons. Kerana tidak wajar untuk menilai hanya bersandarkan kenyataan sebelah pihak. Terus melompat untuk menyalahkan remaja, satu kegopohan. Tidak selalunya remaja salah. Dan tak selalunya ibu bapa betul.

Tapi itulah, dalam kebanyakan cerita. Ibu bapa, MESTI BETUL.

Bapa Juga Boleh Bersalah

Sedangkan, ada satu peristiwa, seorang lelaki datang kepada Saidina Umar al-Khattab, mengadukan perihal anaknya yang derhaka. Malah ditempelak oleh Saidina Umar al-Khattab yang menjadi khalifah ketika itu dengan berkata, “Ternyata engkau dahulu derhaka kepadanya, sebelum dia derhaka kepadamu. Engkau dulu berbuat kejahatan pada dia, sebelum dia berbuat jahat kepadamu.”

Kisahnya panjang dan boleh dibaca dalam buku seperti Tarbiyatul Aulad. Namun ringkasnya, bapa itu derhaka kerana berkahwin dengan ibu dari kalangan Majusi (sembah api), tidak memberikan nama yang baik pada anak dan tidak mengajarkan al-Quran kepada anaknya.

Ternyata, seorang bapa juga boleh BERSALAH.

Ini kenyataan yang pahit ditelan, tetapi harus diterima.

Namun, tidak pula saya menafikan. Ada ibu bapa yang telah berusaha mendidik anak sebaik-baiknya. Cukup makan pakainya. Disekolahkan di sekolah agama. Diterapkan ta’lim di dalam rumah. Akhlak ibu bapa juga terpuji sehingga jiran dan rakan mengakuinya. Namun, masih diuji dengan tingkahlaku anak-anak yang meresahkan jiwa.

Itulah senario yang dihadapi nabi Nuh Alaihissalam. Bukan saja anak, malah isteri juga sangat kuat menentang ajarannya. Logik akal, bukankah baginda itu Nabi? Tak mungkin ada cacat cela sehingga anak dan isteri menolak nasihatnya.

Nampak kan? Itulah ujian Allah.

IKLAN

Tak sama.

Lain orang. Lain darjat. Lain pangkat. Lain lingkungan, lain ujiannya. Tiada siapa boleh mendabik dada.
Jadi, bagi yang rasa terbeban dengan karenah anak remaja, itu satu bentuk ujian Allah juga.

Jika kita sedar begitu, ‘Allah mahu menguji aku.’ Hati kita akan lebih redha dan mencari ruang untuk lebihkan syukur.

Berontak Jiwa Remaja

Semalam, bersama Bonda Nor dan Cikgu Muiez, di Page Bonda Nor (Stay Strong Media), kami berbincang tajuk ‘Berontak jiwa remaja’.

Berontak ini bermula apabila mereka nak sangat sesuatu, tetapi tak dapat! Itulah selalunya. Dan biasanya, kitalah yang menghalangnya.

Ada masa, memang kita lakukan itu untuk melindungi mereka. Kerana remaja, memang difahami tidak berfikir panjang. Terfikir saja, buat! Jadi apa-apa, belakang kira.

Ada juga ketika, yang dihalang itu, hanya disebabkan bukan kegemaran kita. Tak serasi dengan ‘preferences’ kita. Contohnya, anak remaja suka bersukan. Tetapi disebabkan tak nampak masa depan dalam sukan, kita halang mereka terlibat secara serius dalam apa-apa acara. Sedangkan, mungkin ada bakat yang terpendam belum diteroka. Mati begitu saja!

Tak pasal-pasal, memberontak juga.

IKLAN

Nak salah siapa?

Tiada Satu Formula Khusus

Kesimpulan saya, tiada satu formula khusus untuk menghentikan berontak jiwa remaja. Itu memang proses perkembangan mereka. Kerana kita juga pernah melaluinya. Tinggal saja, bagaimana sebagai ibu bapa, kita mampu mengawal emosi dan tindakan kita, untuk terus bersabar, redha dan istiqamah berada di samping mereka, sebagai cermin untuk mereka.

Formula untuk menghentikan berontak remaja, tiada! Tetapi saya gariskan beberapa panduan hasil perbincangan semalam, jika ibu bapa berhadapan situasi tersebut.

Pertama,
1. Syukur dengan kebaikan anak-anak.

Anak remaja kita tidaklah 24 jam memberontak. Pasti ada saat dan minit yang sekali sekala buat kita terdetik, ‘Eh, baik pula dia.’ Pasti ada. Jadi, syukur dulu dengan kebaikan itu. Insya-Allah, Allah akan tambahkan lagi kebaikan dalam diri mereka.

Cara syukur? Pujilah kebaikan itu di depan mereka. Walau tersipu muka toya, dalam hati mereka, berbunga-bunga.

Kedua,
2. Belajar mendengar apa yang mereka mahu, bukan memaksakan apa yang kita mahu.

Dalam cerita Cikgu Abdul Muiez Ruslee semalam, seorang murid boleh keluarkan ungkapan, “Hanya cikgu yang bertanya tentang kemahuan saya. Sedang orang lain tak ambil tahu.”

Kenyataan itu keluar selepas awalnya dia marah kerana ditanyakan mengapa tidak menyertai kelas ‘online’, tetapi reda apabila cikgu Muiez yang mengetahui minat pelajar yang mendalam untuk menjadi tentera, bercerita tentang bagaimana mencapai cita-citanya.

IKLAN

Allahu Akbar! Betapa kadang-kadang, orang dewasa sibuk memaksa. Sampai terlupa bertanya, apa keinginan mereka.
Ketiga,

3. Ajar mereka meletakkan diri dalam kasut orang lain.

Bonda Nor menitipkan panduan, sekiranya anak tak bersetuju dengan peraturan yang kita aturkan atau pendirian kita tentang sesuatu perkara, ajak mereka letakkan diri di tempat kita sebagai ibu bapa.
Nampak mudah. Tetapi ada kesannya.

Mereka akan lebih rasional, lebih memahami apabila mampu melihat apa sebenarnya yang menjadi kegusaran kita. Proses ini perlu diajar kepada mereka.

Keupayaan meletakkan diri dalam kasut orang lain, mampu meninggikan empati dalam diri mereka. Kita akan melihat, kematangan dalam karakter yang dibina.

Keempat,
4. Dalam kesalahan, kadangkala ada kebaikan. Nilai semula.

Ada masa, kesalahan yang mereka lakukan, tidak disengajakan atas niat baik yang spontan. Contohnya, mahu memasakkan sesuatu di dapur untuk kita, tetapi terpecahkan pinggan kesayangan. Niat dia baik, tetapi apa yang berlaku mungkin menyakitkan. Jika kita teremosi dan ikutkan kemarahan, itu juga menjadi punca pemberontakan.

Akhir sekali,
5. Seimbangkan antara memberi dan menolak.

Jika selalu sangat kita memberi, hanya sekali kita menolak, mereka akan memberontak.
Jika setiap kali diminta, kita terus menerus menolak, mereka akan juga memberontak.

Berilah apa yang sewajarnya, selagi untuk kebaikan. Tolaklah setegasnya, sedangkan itu boleh membawa keburukan.

Sentiasa seimbang. Ini juga akan membantu mereka belajar, membuat pertimbangan.

Parents,
Hidayah, milik Allah. Usaha, doa dan terus memberi peringatan. Dengan harapan, satu hari nanti, pintu hati mereka akan Allah buka untuk ‘melihat’ apa yang terhijab sebelumnya. Insya-Allah.

Baca sini : Sebelum anak lelaki jadi remaja, penting ajar 5 perkara ini.

Sumber/Foto : Ammar Kamilin – #ParentThanks

Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI