Perasan tak, ada sesetengah wanita yang berkahwin mesti badan akan berisi terutamanya bila sudah ada anak. Namun, beruntung pula bagi yang badan tetap maintain walaupun dah beranak pinak.
Bagi suami, mungkin tak kisah sama ada isteri naik berat badan. Maklum sahaja, macam-macam isteri lakukan untuk rumah tangga. Tapi, ada juga suami yang ambil kisah dan mahu isteri keliahtan langsing seperti awal-awla kahwin dulu.
Sebenarnya, boleh dikatakan isteri akan berisi bila sudah berkahwin. Bukan sebab dia tak pandai jaga badan tetapi salah satu sebabnya, bila bab anak tak habis makan, mak kenalah habiskan tak mahu membazir.
Mungkin juga sebab percampuran hormon suami pun boleh jadi, kan…! Satu saja, jangan ingan isteri saja berisi, sumai pun lebih kurang juga ye.
Walau bagaimanapun, isteri berisi atau tidak suami kenalah terima seadanya. Jangan terlalu memandang fizikal isteri semata-mata, sedangkan kecantikan dalaman itu lagi penting. Seperti apa yang dikongsikan oleh insyirah Soleha ini tentang perempuan selepas berkahwin boleh naik berat badan.
Isteri : Kenapa perempuan, selepas berkahwin akan berisi?
Suami : Biasalah perkara macam tu, Saidatina Aisyah RA pun selepas kahwin semakin berisi.
(Dari hadith yang diceritakan oleh Saidatina Aisyah RA, di awal perkahwinan dengan Rasulullah SAW mereka berlumba lari, Saidatina Aisyah RA menang. Selepas beberapa ketika usia perkahwinan, Rasulullah SAW mengajak isterinya untuk berlumba lari dan berjaya mengalahkan isterinya. Lalu Saidatina Aisyah RA menceritakan bahawa ketika itu beliau sudah berisi.)
Nampak hikmahnya.
IKLAN
1. Suami tidak meletakkan isu wanita hamil atau bersalin mahupun menyusukan anak sebagai alasan menjadi gemuk kerana Saidatina Aisyah RA tidak memiliki zuriat (hamil mahupun menyusukan anak).
2. Suami memandang kecantikan seorang isteri bukan pada fizikal, tetapi di sebalik yang tersembunyi iaitu kecantikan dalaman seperti sifat keibuan, penyabar, penyayang dan santun dengan keluarga.
3. Seorang suami apabila melihat keindahan akhlak seorang isteri, akan melihat nur di wajah isterinya yang mana akan mencantikkan wajah isteri dengan sendirinya. Rupa yang cantik tidak menjanjikan akhlak yang cantik namun akhlak yang indah insya Allah akan membiaskan nur di wajah isteri.
IKLAN
Tidak mengapa kalau tidak layak untuk menjadi model.
Berusahalah untuk menjadi seorang role-model.
Ummu Amir.
Role pun tidak, model pun bukan.
MW: Jangan pandang cantik fizikal tapi pandanglah akhlaknya dan tangggungjawabnya dalam menjaga keluarga tersayang.
Ini peringatan manja buat orang yang nak menyewa rumah orang, tolong lah jaga hak orang sebaik mungkin seperti mana kita sayangkan hak kita.
Bukan kes baru, memang sudah banyak kes penyewa yang masuk elok-elok tetapi tinggalkan rumah dengan cara yang paling kelat. Lagi teruk sampai keadaan rumah pun tak macam rumah.
Sebelum keadaan menjadi lebih keruh, jemput hadam nota yang dikongsi oleh Puan Farizal Radzali ini. Kalau pernah buat, mohon jangan ulang dan betulkan.
Ada kes sewa rumah. Penyewa dah keluar rumah bulan lepas tapi dia tak bayar sewa bulan akhir kerana katanya tolak je lah deposit masa mula-mula dia bayar dulu. Lepas tu tinggalkan rumah dalam keadaan yang teruk, dengan pintu pecah, paip tercabut, lantai pecah dan sebagainya. Terkial-kial lah si tuan rumah mencari dana nak repair balik rumahnya.
Ok, dah banyak silap faham pasal deposit sewa rumah. Tuan rumah dan penyewa juga. Ramai yang faham, deposit sewa sebulan itu adalah wang yang perlu dipegang oleh tuan rumah andai penyewa tak bayar sewa dan tinggalkan hutang utiliti. Ini salah.
Deposit sewa dan deposit utiliti adalah dua perkara berbeza.
Deposit utiliti adalah untuk membayar segala hutang utiliti jika penyewa tak bayar hingga akhir tarikh dia menyewa. Utiliti tu apa? Bil-bil elektrik, air, indah water, dan apa-apa yang termaktub dalam perjanjian sewa.
Manakala deposit sewa adalah sebagai jaminan buat tuan rumah andai rumahnya rosak akibat kecuaian penyewa.
Jaga Hak Orang Baik-baik
Kena ingat, bila kita menyewa rumah orang, rumah itu tetap bukan milik kita. Jagalah ia sebagaimana hak orang. Jika tuan rumah tak berpuas hati dgn kerosakan rumahnya disebabkan kecuaian penyewa menjaga rumah tersebut, maka tuan rumah berhak menggunakan deposit sewa untuk membaiki rumahnya yang rosak.
Andai tuan rumah berpuas hati dgn keadaan rumahnya selepas penyewa keluar, barulah tuan rumah akan membayar balik deposit sewa kepada penyewa.
Jadi, jangan pandai-pandai potong sendiri duit sewa rumah kononnya dah bayar deposit sewa, ok.
Dan jangan pandai-pandai tak bayar utiliti di bulan akhir kononnya dah bayar deposit utiliti tau.
Hak orang tetap hak orang. Tolong buat perjanjian bertulis, jangan buat perjanjian lisan. Demi masa depan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ketika kisah ini ditulis, bayi comel bernama Nur Zulfa bt Mohd Fadzli sedang dirawat Hospital Serdang, Selangor. Ini kali ketujuh Zulfa dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Betapa hebat dugaan dugaan yang dihadapi oleh bayi comel yang dilahirkan pada 4 Julai 2018 ini.
Kelahiran Nur Zulfa bt Mohd Fadzli membawa kegembiraan buat kedua ibu bapanya. Wajah comel yang ditunggu-tunggu setelah sembilan bulan berada dalam kandungan ternyata menyerikan lagi keluarga yang semakin membesar.
Namun kegembiraan itu tidak mampu bertahan lama apabila ibunya Zuraini Razali mengesyaki sesuatu telah berlaku apabila anak bongsunya itu tidak mahu menyusu badan seperti bayi lain setelah dilahirkan.
“ Masa hamil doktor tidak mengesyaki sebarang kekurangan pada bayi. Semuanya baik belaka. Zulfa anak kelima saya. Sebelum ini ketika mengandungkan anak pertama hingga anak keempat saya tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.
” Jadi apabila hamil anak kelima ini, saya anggap segala-galanya baik. Malah sewaktu Zulfa dilahirkan, doktor di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) tidak mengesyaki sebarang masalah. Cuma masa di bilik bersalin, Zulfa tidak mahu menyusu badan.
” Ketika itu saya rasa pelik kenapa baby tidak mahu menyusu. Sebelum ini keempat-empat anak saya ok sahaja. Mereka pandai sahaja menyusu ketika berada di bilik bersalin. Saya fikir mungkin Zulfa tidak pandai. Bagi masa pada dia,” ujar Zuraini membuka perbualan.
Rujuk Pakar
Selepas dua hari dilahirkan, Zulfa tidak lagi mahu menyusu. Dia menangis sebab lapar. Sebagai ibu, naluri Zuraini mula terdetik ada sesuatu yang tidak kena.
“ Saya mula periksa apa yang tidak kena pada Zulfa. Selepas itu saya mula perasan ada sesuatu yang pelik pada lelangit mulut Zulfa. Saya beritahu doktor keadaan tersebut. Doktor periksa dan beritahu tidak ada apa-apa.
” Kemudian tunjuk lelangit mulut Zulfa pada emak mentua yang juga seorang jururawat. Dia beritahu mungkin Zulfa ada sumbing lelangit. Saya anggap sebab itu Zulfa tidak menyusu sebab langit jadi luas.”
” Hanya setelah Zulfa mengalami masalah kuning dan penat sebab tidak menyusu, barulah Zulfa dirujuk kepada doktor pakar. Doktor pakar mengesahkan Zulfa ada masalah cleft palate atau lelangit rekah. Tetapi doktor tidak dapat memastikan adakah sebab cleft palate ini bayi tidak mahu menyusu.”
” Bermula dari situ rawatan selanjutnya diberikan kepada Zulfa. Dia dipakaikan tiub untuk memudahkan susu dimasukkan melalui hidung. Sambil bagi susu melalui tiub, doktor juga memberikan botol khas untuk memberi susu.
” Botol itu akan ditekan-tekan bagi mengeluarkan susu untuk diberikan kepada Zulfa kerana bayi tidak akan menghisap jika diberi begitu sahaja.”
Selepas seminggu di hospital di Kuantan, doktor tidak mengesyaki Zulfa menghidap penyakit lain selain masalah cleft palate. Cuma Zuraini sedar setiap kali anaknya diberi susu, Zulfa akan berasa penat dan berhenti dan biar susu itu keluar dari mulut. Hanya separuh sahaja susu yang yang mampu diminum anaknya.
Lelangit Rekah, Jantung Berlubang
Setelah dibenarkan balik ke rumah setelah 10 hari di hospital, Zulfa diberi minum susu menggunakan botol khas. Tidak ada lagi tiub digunakan.
“ Pada usia Zulfa 30 hari, jururawat yang ulang-alik melakukan pemeriksaan di rumah rasa pelik kenapa berat badannya semakin menurun setiap minggu. Dia suruh saya bawa jumpa doktor. Doktor terus tahan Zulfa di hospital Muadzam Shah selama seminggu.
” Doktor memantau penyusuan Zulfa melalui mulut dan melalui tiub. Saya perhatikan Zulfa akan berhenti sebelum separuh susunya habis. Dia jadi penat. Hari terakhir di hospital, kebetulan ada seorang pakar kanak-kanak datang melawat.
” Dia periksa dan memberitahu ada masalah pada Zulfa. Dia telah merujuk Zulfa pada HTAA agar boleh pemeriksaan kardiologi dan pemeriksaan selanjutnya dilakukan. Dia mengesyaki Zulfa mengalami masalah jantung berlubang.
” Masa itu saya rasa dunia ini gelap. Tidak terjangka saya. Sudahlah saya baru hendak terima kenyataan Zulfa ada cleft palate, kini ada lagi berita yang mengejutkan saya.”
Keesokan harinya Zuraini telah membawa anaknya ke HTAA. Dia ingatkan pemeriksaan biasa sahaja. Rupa-rupanya sangkaan doktor pakar itu benar belaka. Zulfa didiagnos menghidap penyakit jantung berlubang.
“ Pada masa itu jantung Zulfa sudah bengkak dan banyak jangkitan sebabnya kami telah memaksanya minum susu sebelum ini. Zulfa dan penat tapi kami paksa juga dia minum ikut mulut dan ikut tiub. Berlaku jangkitan juga akibat itu. Selama sebulan Zulfa ditahan di HTTA bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.
” Zulfa dilahirkan normal. Budaknya gemuk. Memang saya tidak mengesyaki sebarang masalah. Apabila ada satu persatu masalah saya mula rasa risau,” jelas Zuraini dengan sayu.
Kekuatan Luar Biasa
Bayi comel ini mula mendapatkan rawatan di Hospital Serdang, Selangor apabila Zuraini mula berpindah ke tempat kerja baru di Uniten Putrajaya. Sewaktu cerita ini ditulis, Zuraini hanya boleh melawat anaknya di hospital kerana Zulfa ditahan dalam wad PCICU.
“ Sebelum ini, Zulfa pernah dirujuk di Institut Jantung Negara (IJN) setelah pemeriksaan yang dibuat di HTAA mendapat banyak lagi masalah kesihatan pada Zulfa. Masa di HTAA doktor hanya mengesyaki 4 masalah kesihatan pada Zulfa iaitu masalah jantung berlubang, salur tekak sempit, lelangit rekah dan sindrom tulang rahang kecil.
” Di IJN doktor mahu fokus masalah jantung. Tetapi doktor dapat mengesan tiga masalah jantung lagi. Zulfa ada mengalami masalah Large perimembranous ventrile septal defect (VSD); patent foramen ovale (PFO/ASD); partial anomalous pulmonary venous drainage in heart failure (PAPVD).”
Jelas Zuraini lagi, pembedahan jantung dijangka boleh dilakukan setelah berat bayinya mencapai 10 kg lebih.
“ Sekarang ini berat Zulfa hanya 3.9 kg. Bila la agaknya hendak mencapai 10 kg itu. Ditambah lagi defect kedua berkaitan salur pernafasan yang dipanggil Mild Laryngomalacia. Juga bakal dilakukan pembedahan kedua, setelah pembedahan jantung untuk membuang bahagian yang menutup salur pernafasan.
” Defect ketiga, cleft palate. Perlu juga pembedahan untuk menutup ruang lelangit mulut yang terbuka. Defect ini yang saling berkait, membuatkan baby susah untuk menyusu dan selalu tidak selesa bernafas. Bayangkan anak sekecil ini melalui semua kesakitan sedemikian,” ujarnya sayu.
Positif
Kekuatan yang Allah beri pada bayinya membuatkan Zuraini banyak berfikir.
“ Allah itu sebenarnya memberi kita kekuatan sangat luar biasa. Cuma kita sedar atau tidak. Selalu cakap “ aku tidak mampu” , “ aku tidak kuat” tapi sebenarnya kita melebihi dari apa yang kita fikirkan.
” Jika anak kecil ini tetap ceria, tabah, bertahan dengan bermacam ketidakselesaan, kesakitan, bagaimana dengan kita? Mana datangnya kelemahan yang kita canangkan. Allah menguji mengikut kemampuan hambanya. Jika anak sekecil ini mampu lalui ujian sebesar ini, kita yang dewasa ini bagaimana agaknya.”
Sesungguhnya Zuraini rasa malu pada anaknya. Zuraini sering mengeluh dengan hidupnya ini. Tetapi melihatkan kuatnya Zulfa melalui hari-hari yang mendatang, ia membuatkan hati Zuraini semakin kuat.
“ Kehadiran Zulfa mengajar tentang banyak perkara yang positif. Alhamdulillah. Allah mendidik dengan caraNya yang sukar kita fahami dengan mata zahir.”
Foto: Zuraini Razali
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bila sudah selamat jadi ‘orang rumah’, jangan sampai terseret dalam golongan isteri derhaka. Sekali pun ada ahli keluarga kita rasa kurang puas hati dengan sikap suami, sesungguhnya kedudukan si isteri adalah tetap bersama suaminya.
Betapa buruk dan teruk pun suami itu, adalah tanggungjawab isteri untuk menghormati dan memperbetulkan kesilapan si suami. Paling penting, kena selalu ingat bahawa syurga bagi isteri adalah terletak pada suaminya sendiri.
Jika pernah buat silap dan mungkin tak langsung tak sedar, jemput berlapang dada dengan perkongsian Hajjah Rohana Saad ini.
Ciri-ciri Isteri Derhaka Menurut Rasulullah
Tanggungjawab adalah suatu perkara yang serius dan tidak boleh di abaikan. Isteri yang mengabaikan tanggungjawabnya dikhuatiri senang mendapat laknat dan diketegorikan sebagai isteri derhaka.
1) Tidak mensyukuri kebaikan yang dilakukan suami
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bermaksud: “Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita. Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ditanya: “Mengapa demikian ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Wanita mengkufurkan suaminya dan mangkufurkan ihsannya. Jikalau engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum merasa berpuas hati dan merasa cukup.”~(Riwayat al-Bukhari)
Dalam hadis yang lain Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda bermaksud..”Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri daripada kaum wanita.” Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka: “Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir ?” Baginda menjawab : “Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya” ~(Riwayat Muslim)
Ibnu ‘Asakir pula menyebut: “Apabila seorang isteri berkata kepada suaminya, aku belum pun melihat atau merasa nikmat pemberian daripadamu, maka ketika itu gugurlah segala pahala amalan kebajikannya.”
2) Menyakiti hati suami
Isteri yang suka menyakiti hati suami akan menerima balasan buruk sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: ” Seorang wanita menyakiti suaminya, maka isterinya yang bidadari itu berkata: Janganlah kamu menyakitinya semoga Allah mengutukmu, kerana dia (suami) itu disampingmu hanyalah sebagai orang asing yang akan berpisah denganmu menuju kami.”~(Riwayat Ibnu Majah)
3) Puasa sunat tanpa keizinan suami
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat, jika suaminya ada dirumah, serta tidak dengan izinnya dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tidak izin suaminya.” ~(Riwayat Bukhari dan Muslim)
4) Keluar rumah tanpa izin suami
“Apabila perempuan keluar rumah, sedangkan suaminya membencinya, dia dilaknat oleh semua malaikat di langit, dan semua apa yang dilaluinya selain daripada jin dan manusia sehingga dia kembali. ~(Diriwayatkan oleh Thabarani di dalam al-Awsat)
5) Meminta cerai daripada suami
Sabda Rasulallah sallallahu ‘Alaihi Wasallam bermaksud: “Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang dibenarkan oleh syara’ haram baginya bau syurga” ~(Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
6) Isteri yang tidak menunaikan hajat suami
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Apabila memanggil suami akan isterinya ke tempat tidur, tetapi ditolaknya sehingga marahlah suaminya, maka akan tidurlah wanita itu di dalam laknat malaikat sehingga ke pagi.” ~(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
"Nahas helikopter TLDM, individu komen biadap "askar lain semua mati masa perang..." Di sebalik nahas dua helikopter semasa raptai sempena hari Tentera Laut DiRaja...