Lelaki yang tertimbus ketika mendulang bijih timah sempat mencium isteri berulang kali menjadi petanda meninggal dunia. Isterinya tidak menyangka perubahan tingkah laku suaminya yang selama ini panas baran rupanya menjadi petanda dia akan pergi selamanya.

Semoga isteri dan anak-anak tabah dalam menerima ujian berat ini. MW merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa. Al-Fatihah.

Suami Berubah Laku Jadi Petanda Sebelum Tertimbus

"Arwah suami seorang yang agak baran namun sejak beberapa hari lalu, dia jadi lembut dan cukup manja dengan saya malah sempat mencium saya berulang kali sebelum keluar pergi melombong bijih timah di kebun itu.

"Sepanjang perkahwinan kami, tidak pernah saya melihat dia sebegitu namun tidak menyangka itu petanda dia akan pergi meninggalkan kami tujuh beranak, termasuk dua anak tiri kembar."

Demikian luahan Nur Aqila Mat, 28, isteri kepada Mohd Zakaria Yahaya, 48, yang ditemui maut tertimbus tanah runtuh ketika mendulang bijih timah di Ladang Batu 25, Batu Kurau, Taiping, malam tadi.

IKLAN

Nur Aqila berkata, arwah suami seorang pekerja kebun kelapa sawit milik syarikat swasta semenjak lebih 10 tahun lalu dan sering melakukan kerja mendulang bijih timah di situ secara sampingan bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Yakin Tertimbus Dalam Runtuhan

"Pada hari kejadian suami keluar dari rumah pada 1.30 tengah hari secara bersendirian menuju ke lokasi tempat dia melombong.
"Namun sekitar 7.15 malam, suami masih tidak pulang ke rumah dan merasa ada sesuatu yang tidak kena, saya mengarahkan seorang anak mencari suami di lokasi tempatnya melombong," katanya.

Menurutnya, sebaik anak berada di lokasi, dia menyedari terdapat satu kawasan runtuhan tanah berlaku berhampiran motosikal dan peralatan mendulang milik suami di situ.

IKLAN

"Sejurus dimaklumkan perkara itu, saya segera membuat laporan polis kerana naluri hati yakin mengatakan mungkin tertimbus dalam runtuhan itu.
"Akhirnya, suami ditemui dalam runtuhan itu dan disahkan telah meninggal dunia," katanya lagi.

Sering Mendulang Di Waktu Lapang

Tambah Nur Aqila lagi, jenazah suaminya dijangka dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Redang Panjang.
Mohd Zakaria meninggalkan seorang balu dan enam orang anak berusia dua hingga 16 tahun.

Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.
Menurutnya hasil siasatan pihaknya mendapati kawasan kejadian merupakan kebun kelapa sawit yang sering dijadikan kawasan melombong bijih timah secara tradisional oleh penduduk sekitar.

IKLAN

"Mangsa dikatakan sering ke lokasi kejadian untuk melombong bijih timah sekiranya berkelapangan selepas waktu bekerja.

"Hasil tinjauan juga mendapati kawasan melombong itu tidak selamat ekoran daripada aktiviti melombong yang menggunakan cangkul selain keadaan tanah yang digali semakin mendalam.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Taiping untuk di bedah siasat dan siasatan lanjut masih lagi dijalankan," katanya.

MW: Sebagai ingatan suami, hargailah pasangan setiap kerana kita tidak tahu bila ajalnya akan menjemput. Semoga kisah ini menjadi iktibar buat kita semua. Walaupun pedih, MW mendoakan keluarga ini tabah menerima ujian dan takdir Ilahi.

Sumber: myMetro

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI