Misnah (Bertudung coklat) bersama-sama anak lelakinya serta ibu saudara dan anaknya.

Sempena menyambut kedatangan Ramadan dan Syawal, majalah Mingguan Wanita dan Impiana telah bekerjasama melakukan program CSR dengan memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Dengan bantuan Pusat Zakat Selangor, kedua-dua majalah terbitan Nu Ideaktiv Sdn Bhd ini telah memilih dua buah keluarga Asnaf yang tinggal di Sungai Besar, Selangor.

Penulis berkesempatan mendekati keluarga Asnaf pertama iaitu keluarga Puan Misnah binti Mismat. Misnah, 45 tahun, seorang wanita yang amat tabah dalam menempuhi kehidupan seharian. Semenjak kematian suaminya, Ariffin Abdullah lebih kurang lima tahun lalu, balu inilah yang memikul tanggungjawab menjadi ketua keluarga.

Misnah bukan sahaja perlu membesarkan empat orang anak kandungnya, malah dia juga perlu menjaga dan menyara tiga saudara terdekatnya. Nasib baik anak pertama dan keduanya sudah habis belajar. Ringan sedikit tanggungjawabnya.

Kisah Balu Anak Empat Jaga & Sara Saudara Di Rumah Pusaka
Walau menumpang di rumah pusaka arwah nenek, Misnah (bertudung coklat) ikhlas sara anak-anak dan ibu saudara

Ibu Saudara Uzur

Di dalam rumah pusaka milik arwah nenek yang dihuni oleh Misnah dan anak-anak ini juga dihuni oleh dua orang emak saudara dan seorang anak saudaranya. Bayangkan sahaja rumah sempit itu jika semua ahli keluarga berkumpul pada masa yang sama.

Cerita Misnah, salah seorang ibu saudaranya berada dalam keadaan uzur.

“Dia berumur 76 tahun. Saya perlu menguruskan makan minumnya kerana dia sudah nyanyuk. Seorang ibu saudara lagi berusia 61 tahun dan dia mempunyai seorang anak perempuan berusia 16 tahun. Anak perempuannya adalah anak istimewa.

“Suami saya meninggal dunia akibat penyakit saraf. Saya memang tidak bekerja semasa suami ada. Dia yang menanggung kami sekeluarga. Setelah kematian suami, pendapatan itu memang tidak ada. Saya hanya mengharap bantuan daripada Pusat Zakat.

“Pusat Zakat Selangor memberi bantuan bulanan sebanyak RM200 dan sumbangan barangan dapur seperti beras dan minyak.

“Setelah suami meninggal dunia, anak sulung saya, Nur Syazwani, 22 tahun, pula mengambil alih mencari rezeki untuk keluarga. Dialah yang menanggung adik-adiknya belajar sebab saya tidak bekerja. Anak perempuan saya ini baru saya mendirikan rumah tangga. Anak kedua saya Nur Ariff, 21 tahun, sudah habis belajar dan baru bekerja.

IKLAN

“Anak ketiga saya Nur Asyraff, 15 tahun, masih belajar di Ma’ahad Tahfiz Ismail di Puncak Alam, Selangor. Manakala anak bongsu saya Nur Afiff masih bersekolah dalam darjah lima.  Anak bongsu saya ini bermasalah dalam pembelajaran,” katanya tentang latar belakang keluarganya.

Tidak Pernah Rasa Terbeban

Misnah mengakui dirinya perlu kuat dalam menghadapi kenyataan hidup dan sentiasa banyak berdoa.

“Rezeki itu ada di mana-mana. Kita sahaja yang perlu berusaha. Tetapi bagi saya, hendak berusaha lebih dari luar kemampuan memang saya tidak berdaya kerana saya sendiri tidak berapa sihat. Secara jujurnya saya tidak kuat.

“Semasa hidup, arwah suami adalah petani. Dia tidak meninggalkan sebarang harta untuk menyokong saya membesarkan anak-anak. Saya berusaha sendiri selepas itu dan perlu kuat untuk anak-anak.

“Saya bersyukur anak-anak banyak memahami. Mereka tahu ibu mereka tidak semampu orang lain. Saya bersyukur sebab rezeki itu ada. Tetapi kita kena sabar. Memang semua orang ada dugaan tetapi demi anak-anak kita kena kuat dan kena reda kerana itu semua sudah ketentuan Allah untuk kita.

“Secara jujurnya saya tidak ada rasa terbeban dengan tanggungjawab ini. Susah senang kita bersama. Makan atau tidak, kami sama-sama rasa,” luah Misnah sambil mengesat air mata yang secara tiba-tiba keluar tanpa disedari.

IKLAN

Menumpang Kasih Anak Saudara

Salbiah Dahlan, 61 tahun, ibu saudara yang turut menemani Misnah dalam pertemuan ini berasa sedih dengan keadaan dirinya yang seperti membebankan anak saudaranya itu.

“Saya seperti menjadi tanggungjawab dia apabila saya menumpang di rumahnya. Saya sudah tidak ada tempat lain untuk tinggal. Saya bergantung apa yang ada pada anak saudara saya ini. Ada rezeki kami kongsi, mana yang tidak ada kami berusaha cari bersama-sama.”

Salbiah mula tinggal dengan Misnah setelah dia bercerai dengan suaminya. Salbiah tidak mendapat bantuan daripada mana-mana pihak dan bergantung sepenuhnya pada Misnah.

Kenapa Misnah? Itu soalan yang ditanya pada Salbiah.

“Saya ada anak tetapi maklum sahajalah dia juga ada suami dan keluarga sendiri. Hanya Misnah sahaja yang sependapat dengan saya. Saya sayang pada Misnah sebab masa kecil saya ada menjaga dia,” ceritanya.

Celah Misnah pula, tidak ada beza antara ibu saudara atau adik-beradik lain. Hubungan mereka memang rapat.

IKLAN

Seperti Mimpi

 

Sewaktu menunggu majalah Impiana melakukan sedikit make over terhadap ruang tamu rumah mereka, Misnah berehat seketika di Omah Liren, rumah rehat tempat penulis dan rakan-rakan lain menginap sepanjang kami berada di Sungai Besar.

Kisah Balu Anak Empat Jaga & Sara Saudara Di Rumah Pusaka
Membeli-belah di Econsave Alam Jaya

Kelihatan wajah Misnah ceria tatkala menceritakan pengalaman membeli-belah di Econsave sebelum itu. Hampir seharian MW menemani keluarga ini membeli-belah di Econsave Alam Jaya, Puncak Alam.

Terima kasih Area Manager Econsave Cash and Carry Sdn Bhd Miss Lim Yoke Foong dan Branch Manager Econcave Alam Jaya Ahmad Subti bin Haji Ashari atas sumbangan baucer bernilai RM1300 yang diberikan kepada asnaf terpilih ini.

“Saya seperti bermimpi. Tidak dapat dibayangkan. Seronok sangat. Syukur Alhamdulillah, anak saya dan anak saudara saya memang cukup gembira sehingga tidak terkata. Saya tidak dapat bayangkan keseronokan mereka kerana selama ini saya tidak mampu hendak mengajak mereka membeli belah. Saya lebih utamakan keperluan untuk anak-anak belajar,” terangnya lagi.

Kisah Balu Anak Empat Jaga & Sara Saudara Di Rumah Pusaka

Video membeli-belah di Econsave bersama Mingguan Wanita dan make over rumah oleh Impiana ini pula boleh ditonton di saluran You Tube, laman web, Facebook dan Instagram Mingguan Wanita dan Impiana pada hari raya Aidilfitri ini.

Hulurkan Sumbangan

Jika ada yang sudi membantu, Misnah terima apa sahaja bantuan yang diberikan. Dia menerima dengan seadanya. Sebarang bantuan bolehlah menghubungi nombor telefon bimbit 0132352339 atau hantar ke alamat No 44A, Parit 11 Gambut, Jalan Sg Panjang, 45300 Sungai Besar, Selangor atau ke akaun Maybank bernombor 162197407939 Misnah binti Mismat.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI