Bila bercakap tentang surirumah mesti orang ingat ia adalah kerjaya ‘tetap’ dan tidak akan habis bagi seorang isteri pada keluarga. Setiap bulan tiada gaji tapi banyak tenang dihabiskan demi keluarga tercinta.

Inilah yang dikatakan kerjaya surirumah. Tapi, percayalah pengorbanan sangat hebat dan tidak mampu ditandingi oleh sesiapa. Jangan terkejut, bila wanita yang bekerjaya hebat, lepaskan jawatan yang bergaji berpuluh ribu dan sanggup berkorban untuk keluarga.

Hebatnya kerjaya surirumah, walaupun tak mewah tapi pengorbanannya tidak mampu dibalas dengan wang ringgit sekalipun. Namun, sekuat mana pun seorang isteri sebagai surirumah tangga, nak tak nak mesti akan lalui rasa sunyi.

Perasaan sunyi itu pasti wujud sebab surirumah hanya ada anak-anak dan dunianya pada keluarga. Mungkin bagi yang sudah biasa bekerja mesti ‘terkejut’ dengan kerjaya barunya itu.

Walau bagaimanapun, jangan terus ada rasa sunyi sebab ada cara untuk surirumah lepaskan segala kesunyian ini. Bahagiakan diri sendiri, seperti yang dikongsikan oleh Wawa Shauqi ini. Istimewa buat seorang surirumah.

Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Isteri Bekerja Atau Surirumah, Suami Berhak Beri Nafkah Walaupun Hanya Kongsi Rezeki RM1

Berbanggalah JADI Surirumah, Ramai Wanita Mahu DUDUK Di Rumah Besarkan Anak Sendiri

Info Lebih Menarik DI SINI

Kerjaya Surirumah Hebat

Kali pertama jadi surirumah, saya bergelut untuk adapt rasa lonely.

Saya sejenis manusia yang ‘extrovert’. Bersosial adalah nikmat. Dapat bercakap dengan manusia lain itu satu terapi.

Jadi, bila saya berhenti kerja dan tumpu pada tugas menjaga anak, saya jadi canggung.

Bayangkan, setiap hari kita dah biasa bersembang dan bergurau dengan rakan sekerja. Tiba-tiba kena duduk rumah bercakap dengan kuali, penyapu dan berus jamban.

Suami pula waktu tu kerja di pelantar minyak. Nak nampak muka dia, ada tempohnya.

Sampai satu masa, suami berhenti kerja. Katanya kulit Jawa. Mana boleh duduk panas berlama. Padahal saya tau, dia berhenti sebab kuasa cinta pada saya. Ewahh.

IKLAN

Lepas berhenti kerja, suami berniaga. Tumpang buka kiosk makan di satu restoran. Pagi dia bekerja pejabat, malam sambung berniaga.

Letihnya dia, Allah yang tahu.

Mana ada masa nak layan bini mengadu sunyi.

Nasib baik saya ada anak di sisi. Sekurang-kurangnya, dia jadi asbab saya tak lupa mana rupa manusia. Maklumlah, lama sangat tak bersosial.

Cermin pun dah lama tak tengok. Kalau terjenguk, mungkin terkejut tengok muka sendiri.
Sampailah satu masa ni. Ramai pulak yang menjemput kenduri. Satu demi satu saya tolak jemputan, dan biarkan suami pergi sendiri.

Entah kenapa, tiba-tiba jadi segan nak jumpa manusia. Confident tu dah tak ada.

Rasanya sebab banyak tengok kehidupan orang lain kat media sosial. Mereka makin bahagia, makin bergaya dan makin kaya.

Kehidupan saya hanya bergelumang dengan rengek, muntah, kencing dan berak anak.

IKLAN

Kerja pulak tak semewah kerja rakan-rakan. Orang lain bau wangi ke pejabat. Saya ketiak lecak dek bau masakan. Rasa tak layak nak jumpa kawan.

Waktu saya belajar sakitnya lonely. Mulut tak bercakap tapi kepala bising.

Ini nasihat saya untuk para WANITA seperti saya:
1) Berterima Kasih Dan Puji Diri Sendiri

Bila kita duduk ‘di bawah’, mudah sangat kita nampak diri kita rendah.
Tolong. Belajar berterima kasih pada diri.
Punyalah banyak pengorbanan kita dah buat untuk jaga makhluk lain. Tapi kita selalu lupa nak puji dan berterima kasih diri sendiri.
Cakap ‘tahniah kat diri bila berjaya kawal emosi’.
Ucap ‘terima kasih sebab banyak usahakan kehendak diri’.
Cakap ‘it’s ok harini tak berjaya, sebab esok kita cuba lagi.’
Bila saya belajar buat macam ni, alhamdulillah mudah sangat berdamai dengan diri dan anak-anak.

2) Ikuti Mana-Mana Kelas

Kelas memasak, mengaji, menjahit, baking, penulisan, parenting dan sebagainya.
Untuk apa kelas ni? Supaya kita jumpa circle kita dan ada masa untuk diri sendiri. Kita jumpa kembali potensi kita. Paling penting, untuk kembalikan rasa ada harga diri.
Siapa sangka, dari bermulanya saya ke kelas parenting untuk ‘me time’, akhirnya terjebak berkongsi ilmu di FB. Sampai sekarang.

3) Belajarlah Jadikan Allah Tempat Mengadu

Bila tak ada kawan, kita tak ada tempat mengadu.
Nak mengadu kat kawan lain, dah terasa lain. Sebab kehidupan mereka pun dah tak selari dengan kita. Maka belajarlah ‘bersembang’ dan mengadu padaNya.
Ya, memang lain. Tapi mulalah. Sampai kita jumpa sendiri nkmatnya dan kita rasa tenangnya bila belajar bersandar pada Allah.

Buat PASANGAN pula, ini pesan saya,

1) Pasanglah mata pada setiap usaha mereka. Cari kebaikan yang mereka dah lakukan.
Pasangan kita dah mengorbankan kepuasan kerjaya demi isi rumah. Rasa diri tak ada harga selalu ada.

Maka belajarlah memuji. Bantu mereka kembalikan rasa harga diri.
Jangan biar mereka mengkritik diri dalam diam. Kerana dari hati yang penuh kritik itu, akan menuturkan kata-kata yang menghiris.

IKLAN

Dari pujian, kata-kata sayang dan senyum manis, akan mengisi tangki emosi isteri.
Bila tangki emosi mereka terisi, jelita dan ayu yang hilang tu akan kembali. Insya Allah.

2) Jadikan bahu tempat untuk pasangan sandar. Dan telinga tempat untuk pasangan meluah.
Kadang tu, mulut mereka sekadar nak meluah. Dia nak bercerita. Bukan nak tahu solusi pun. Saja nak bercakap dengan manusia. Itu aje hiburan. Kita aje kawan. Layankan.

3) Beri ruang untuk mereka refresh.
Mereka ini mengulangi rutin sama setiap hari. Dalam kepala recycle fikiran yang sama.
PC pun kena reboot bila sampai masa. Inikan pula manusia.
Ambil tempat mereka sekejap. Hulur duit sekeping 2 dan kunci kereta. Pesan beli aiskrim makan sorang-sorang. Biar kejap mereka lesap.
Mudah-mudahan mereka pulang bawa bahagia di hati. Dan senyum di wajah.

Buat semua para wanita. Jangan sesekali rasa diri tak ada harga. Tanpa kalian, tak tertegaknya rumah tangga.

Jangan takut orang tak pandang. Kalau kita pikul tanggungjawab sebaiknya, Allah pandang kita dengan pandangan mulia.

Wawa Shauqi.
8 tahun jadi surirumah professional.

Mingguan Wanita : Bila seorang isteri ambil keputusan untuk jadi surirumah, inilah kerjaya yang paling hebat dan terbaik untuk keluarga.

Sumber: Wawa Shauqi

Bangkit Wanita Mingguan Wanita

Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan

https://t.me/bangkitwanitaMW

Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI