Sayangi pasangan bukan hanya untuk sehari, dua seperti mula-mula berkahwin atau bercinta. Sebaliknya sayangilah pasangan hingga ke akhir nyawa dikandung badan. Jika ketika bercinta, sanggup lautan api ku redahi, inikan pula sudah sah bergelar suami, isteri, berkongsi sudah, senang lagilah perlu lebih kasih sayangnya.
Jangan hanya dengan dugaan kecil, nilai kasih sayang semakin nipis hingga membuatkan rumah tangga yang dulunya bahagia semakin kering sayangnya. Sebaiknya kalau sayang jagalah elok-elok sama macam bercinta. Kalau sudah tak mahukan dia, lepaskan saja dengan cara baik, dia juga punya perasaan.
Kalau sayang, jagalah elok-elok… Kalau sudah tak sayang, lepas elok-elok…
Jangan seksa, jangan bagi dia merana dan menderita… Dia boleh dapat kehidupan lain yang lebih baik andai kata perasaan kita terhadap dia sudah berubah…
Simple… Masa hendak, pulun sungguh-sungguh sampai dapat… Dia cakap tak boleh mesej dah, sebab topup sudah habis (maklumlah zaman belum ada Whatapps lagi) Sanggup start motor, belikan top up dan tolong top upkan… Nampak usaha itu… Time nak dating, ambil depan umah, hantar depan umah… Makan, minum semua tanggung… Beli hadiah macam-macam…
Bila sudah dapat, usaha untuk hendak mengekalkan hubungan itu pula tak ditunjukkan… Buat sambil lewa, buat endah tak endah… Benda sudah dapat kan, hendak usaha apa lagi… Layan lebih kurang pun, dia tak lari punyalah…
Itu yang silap… Nak memulakan hubungan itu senang, tapi hendak mengekalkan hubungan untuk satu jangka masa yang panjang itu susah… Usaha perlu lebih dalam hendak mengekalkan hubungan smpai ke satu tempoh yang kalau boleh, biar ajal yang memisahkan…
Bila sudah dapat, kena jaga hati dan perasaan, kena ambil tahu apa yang ada dalam hati pasangan… Ok tak cara kita dalam menjadi pasangan dia… Apa kekurangan, apa kelemahan yang kita boleh perbaiki…
Kalau banyak bebanan yang dia tanggung, kita cuba untuk ringankan supaya kita masih boleh “mengetuai” dirinya dan dia masih boleh mengikut kepimpinan kita…
Dia tak terbeban dan tertekan untuk terus berada di sisi kita…
Nowadays, efforts gone when u already have the person… Matlamatnya setakat hendak dapat empunya diri sahaja, bukan hendak mengekalkannya sampai bila-bila…
So, kalau sayang, jaga elok-elok… Kalau sudah tak sayang, maka lepas elok-elok…
MW: Hargailah pasangan sebaiknya, curahkan sepenuh kasih sayang seperti mana ketika mula-mula kita bertemu dan bercinta. Jika sudah tiada rasa cinta dan sayang lepaskan cara baik seperti mana kita menyuntingnya satu tika dahulu. Jangan sesekali bebankan pasangan.
Dalam keadaan sekarang, boleh dikatakan duit adalah segalanya-galanya dalam meneruskan kehidupan. Tanpa duit, semua benda yang dilakukan tidak berhasil. Duit juga boleh menyebabkan pergaduhan dan perceraian berlaku antara suami isteri.
Inilah yang dibincangkan oleh Dr. Ahmad Kamal Ariffin, Pakar Kaunseling Keluarga tentang keluarga yang sihat datangnya bila rezeki yang dibawa oleh suami isteri itu berkat.
Untitled design (6).
Keluarga Bahagia
Secara asasnya, pasangan suami isteri yang sihat dari segi emosi dan mental punyai impian untuk miliki sebuah keluarga yang bahagia. Bahagia dari segi:
• Bebas daripada krisis kesihatan
• Bebas daripada krisis kewangan
• Miliki pengangkutan yang berkualiti
• Saiz rumah dan lokasi rumah yang bagus
• Punyai jiran tetangga yang berpekerti mulia
• Budaya bercakap seisi keluarga yang harmoni
• Miliki perolehan sumber kewangan yang mampan
Persoalannya, apakah ilmu sebenar yang berhubung rezeki yang berkat menurut syariat Islam? Jelasnya, terdapat juga pandangan kalangan bijak pandai yang berkata bahawa rezeki yang berkat itu bersifat “Sedikitnya cukup, banyaknya boleh diagih-agihkan”.
Rezeki Berkat
Punca rezeki jadi berkat, mudah bertambah dan cukup dari semasa ke semasa apabila kita budayakan sikap suka bersedekah.
Sebaliknya, sikap kedekut, memakan riba, memberi dan menerima rasuah, menipu dalam jual beli, mencuri harta orang lain dan memakan harta anak yatim akan menjadikan seseorang itu rezekinya tidak berkat. Kesannya ialah timbul penyakit tekanan emosi, mudah stres, ditimpa pelbagai krisis hidup dan wajahnya akan kelihatan masam, menakutkan dan tidak dipercayai oleh orang kebanyakan.
Kesan hidup dengan rezeki yang tidak berkat banyak diperkatakan dan di bahas oleh kalangan ahli psikologi. Di antara tanda-tanda hidup orang yang rezekinya tidak berkat ialah:
Ada kerja tetapi kerjanya tidak pernah siap
• Ada tindak usaha tetapi hasilnya tidak berbaloi
• Ada duit banyak namun terlalu cepat sangat habis
• Ada banyak masa tetapi sentiasa terlepas begitu sahaja
• Ada banyak kawan tetapi tidak seorang pun sudi membantunya
• Ada bakat istimewa tetapi tidak boleh dimanfaat oleh diri sendiri dan orang lain.
Setiap ahli keluarga mesti ambil berat soal rezeki berkat (halal) ini kerana jika dipandang remeh, ia akan menatijahkan barah psikososial ummah yang impaknya bukan sahaja memberi imej buruk terhadap bangsa Melayu malah ummah Islam itu sendiri.
Ini adalah kerana, rezeki (duit, makanan, pakaian, kenderaan, rumah kediaman dan seumpamanya) akan diguna, dimakan dan dinikmati bukan sahaja untuk diri sendiri malah juga buat pasangan dan anak-anak sendiri.
Seterusnya bagi memiliki setiap rezeki yang diterima sama ada banyak atau sedikit itu mendapat keberkatan daripada Allah S.W.T maka kita perlulah juga meneliti perkara berikut :
1. Tidak meninggalkan sebarang perintah Allah seperti sembahyang dan mengeluarkan zakat sepanjang tempoh mencari rezeki.
2. Tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang dan maksiat seperti menipu, tidak amanah, tidak menepati masa, bertangguh kerja dan seumpamanya tatkala di tempat kerja.
3. Bekerja dengan niat untuk membantu diri sendiri dan orang lain dengan penuh ihsan, jujur dan tekun.
4. Menjaga lidah dan anggota badan kita daripada merosakkan maruah diri, keluarga dan orang lain.
5. Yakin bahawa Allah yang memberi kita rezeki. Justeru, kepada Allah sahaja kita berserah, mengadu dan berharap.
Kaitan Rezeki Dengan Keluarga
Banyak bukti yang terkumpul dalam sirah pengalaman hidup saya sebagai pakar kaunseling keluarga di Malaysia mendapati jika seseorang suami atau isteri memberi makan minum, pakaian dan rumah tempat tinggal hatta kereta motor yang mereka guna bersumber rezeki yang haram, akan menghadapi krisis-krisis rumah tangga yang kadangkala tak sanggup untuk saya dengar dan sukar untuk saya interpretasikan. Misalnya isu;
• Ada kereta, tetapi kereta asyik rosak
• Ada kawan, tetapi kawan makan kawan
• Ada jiran, tetapi jiran tak hormati hak jiran
• Ada pekerjaan, tetapi asyik tukar-tukar pekerjaan
• Ada isteri, tetapi isteri tidak taat kepada perintah isteri
• Ada kemahuan untuk berjaya, tetapi susah nak bertindak dan mencuba jaya.
• Ada anak tetapi anak mengalami kecelaruan mental (mental illness disorder)
Peranan Suami
Jelasnya, rezeki yang cukup dan berkat banyak berkaitan dengan sikap suami yang:
• Mendirikan solat sunat Dhuha kerana solat sunat Dhuha menjemput rezeki yang banyak.
• Bangun malam (Qiamullail) untuk laksana solat Hajat. Dia ingat dan sedar bahawa Allah yang kurniakan rezeki. Jika kita bersungguh meminta daripadanya, maka dia akan kurniakan.
• Rajin bekerja, berdisiplin tinggi dan fokus untuk mencari duit, mengumpul duit dan merancang kegunaan duit keluarga demi masa depan yang selesa dan selamat daripada masalah kewangan.
• Memastikan sumber pendapatan keluarga daripada pekerjaan yang halal.
• Membayar zakat.
• Berjimat cermat
Peranan Isteri
Isteri mesti bersikap pengimbang dalam membina keluarga yang bahagia sambil menikmati rezeki yang halal, berkat dan cukup. Banyak orang perempuan mudah sakit hati, murung, tertekan dan bimbang jika miliki keadaan kewangan keluarga yang bermasalah, tidak cukup dan paling teruk daripada sumber yang tidak halal misalnya menggunakan duit curi, rasuah dan seumpamanya.
Isteri yang baik dari aspek mengundang rezeki yang berkat ialah seperti berikut;
• Istiqamah melaksana solat sunat Dhuha
• Sentiasa bersyukur akan segala nikmat yang diperoleh dari aspek rezeki kewangan, kesihatan, pakaian, makanan dan kenderaan.
• Sentiasa peka dengan kebajikan suami dan anak-anak dari segi makan minum, kebersihan dan keharmonian emosi suami dan anak-anak
• Memastikan diri sebagai faktor penenang dan inspirasi kepada suami untuk bersungguh mencari rezeki yang diperlukan dan halal sumbernya.
• Sentiasa berusaha menggunakan perkataan yang lembut dan tingkah laku yang lemah lembut dalam melayan suami dan anak-anak di rumah.
Tujuan pihak isteri menampilkan sikap tenang dan lembut di dalam rumah ialah supaya pihak suami tidak tertekan selepas pulang dari kerja. Manakala fitrah pihak suami bahawa mereka amat memerlukan sikap isteri yang bijak dan bernas dalam memberikan kata-kata perangsang agar suami gigih bekerja dan berusaha mencari rezeki yang halal dan cukup di luar sana. Kata-kata lembut dan wajah manis yang ditunjukkan oleh isteri akan membina motivasi diri yang tinggi oleh setiap suami yang berakal, waras, beragama dan bertimbang rasa.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Cinta sehingga hujung nyawa. Pasangan suami, isteri yang dalam perjalanan ke hospital meninggal dunia setelah dirempuh kereta yang hilang kawalan dari arah bertentangan. Lebih meyayat hati, apabila sang isteri yang sedang hamil turut sama meninggal dunia. Dalam kejadian ini, turut mengorbankan anak mangsa yang berada dalam kandungan. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa. Al-fatihah.
Maut Dirempuh Kereta
Seorang wanita sarat mengandung tujuh bulan dan suaminya maut apabila motosikal Yamaha dinaiki pasangan itu dirempuh sebuah kereta Perodua Myvi di Jalan Bukit Merchat, Pulau Sebang, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 7.40 pagi, mangsa Mohd Hairawi Mat Rezam, 36 yang bekerja sebagai tukang masak membonceng isterinya, Nur Ain Kamarulzaman, 25 untuk ke Hospital Melaka kerana mempunyai temu janji dengan pakar orthopedic.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta terbabit yang dipandu, Goh Wang Ann, 34, hilang kawalan setiba di lokasi kejadian dan berpusing sebelum masuk ke laluan bertentangan.
Mangsa Tak Mampu Mengelak
Menurutnya, dalam masa sama motosikal mangsa melalui jalan itu gagal mengelak dan berlaku pelanggaran.
"Impak kejadian itu, suami mangsa Mohd Hairawi mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tampin selain kandungannya juga gagal diselamatkan.
"Siasatan di lokasi kejadian, terdapat kesan serpihan dan tumpahan minyak di tempat tersebut, selain cuaca baik, dan kemalangan berlaku disebabkan kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaan," katanya.
Sumber: Sinar Harian
MW: Sebagai pemandu kereta, mak ayah seharusnya mengambil sikap berwaspada setiap kali berada di jalanraya. Sentiasa beringat, kecuaian anda akan membawa padah kepada pengguna jalanraya yang lainya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Generasi hari ini (millennial) dan generasi terdahulu sangat berbeza. Seringkali kedengaran aduan daripada rakan-rakan bahawa cara didikan dahulu dan sekarang jauh berbeza. Jika dulu, rotan itu perkara biasa dan tiada anak yang lari rumah kerana di rotan malah makin baik akhlak dan perilakunya. Namun, senario itu agak berbeza sekarang.
Ikuti perkongsian daripada Dr. Nurul Asiah Fasehah binti Muhamad pensyarah Di USIM dan kolumnis di dalam Majalah Mingguan Wanita. https://www.facebook.com/naznur.muhamad
Konklusi yang dibuat, orang sekarang manjakan anak tidak sama dengan orang dahulu. Perbincangan ini ada benar dan ada salahnya. Ini kerana, setiap kita berbeza apatah lagi apabila melibatkan generasi sudah pasti gelombang perbezaannya lebih besar dan memerlukan cara yang mungkin sedikit berbeza namun matlamatnya sama.
Begitulah juga dengan cara mendidik. Untuk membangunkan generasi, tidak semudah membangunkan atau mencipta sebuah mesin. Manusia memiliki komponen spiritual dan fizikalnya. Kedua-duanya berbeza sentuhan dan keperluannya.
Namun yang perlu kita fahami adalah komponen spiritual inilah yang memandu keseluruhan kehidupan manusia tersebut. Berbalik kepada perubahan generasi, ia tidak terletak kepada individu atau sesebuah generasi tersebut. Minat dan kecenderungan adalah pengaruh persekitaran yang wujud di sekeliling mereka sewaktu mereka membesar.
Jadi adalah amat penting untuk kita mewujudkan sebuah persekitaran yang sihat untuk anak-anak kita bermula daripada usianya yang masih kecil. Apabila dikatakan persekitaran, ia bukan sahaja merujuk kepada persekitaran kecil di rumah malah persekitaran di luar kawasan rumah juga iaitu masyarakat. Pendedahan kepada anggota masyarakat yang baik amat membantu persekitaran anak-anak kita.
Dahulu, anggota masyarakatnya amat akrab. Seisi masyarakat bagaikan satu keluarga. Jika anak dimarahi di rumah kerana melakukan sesuatu, perkara itu jugalah yang akan diterima di luar rumah sebagai peneguhan. Maksudnya, informasi dan input yang baik itu dijumpai di mana-mana.
Anak-anak tidak keliru untuk memilih, perkara yang baik jelas, manakala perkara yang tidak baik juga jelas. Kemudian, kasih sayang dalam sebuah masyarakat amat dirasai. Anak jiran, anak kita juga. Mengambil tahu dan mengambil peduli. Keakraban ini membentuk nilai murni yang seragam di antara anggota masyarakat.
Berbeza dengan generasi era ini. Kesibukan menyebabkan kita menyendiri tiada jaringan yang positif dengan jiran-jiran apatah lagi masyarakat. Kita hanya sibuk dengan urusan kita dan keluarga dan tidak mahu mengambil tahu urusan orang luar kerana persekitaran kita membentuk norma sedemikian.
Bayangkan anak-anak yang akan dibesarkan dalam persekitaran sebegini, mereka sudah pasti sukar untuk mendapat perhatian dan sokongan masyarakat terhadap apa yang dilakukan apatah lagi merasai kasih sayang hidup bermasyarakat. Pada waktu ini, jika kita memarahi anak-anak, mereka tiada tempat mengadu, dan persekitaran yang mereka ada sangat rencam sehingga sukar membezakan yang benar dan yang salah.
Jika salah apa yang dibuat di rumah maka mereka memiliki seribu satu pilihan di luar rumah untuk mereka. Amatlah ditakuti pilihan mereka itu salah dan tiada siapa yang sudi menegur kerana anakmu, bukan anakku.
Oleh sebab itulah, cara pendidikan yang ditengahkan perlu laras dan sesuai untuk generasi yang sedang kita bangunkan. Generasi kini amat sensitif, perlu sentiasa dipujuk dan ditunjukkan contoh agar perilakunya terpimpin. Ruang pembelajarannya terhad di dalam rumah dan di sekolah. Manakala pembelajaran di dalam konteks masyarakat mungkin sukar untuk diperoleh. Jadi, mereka harus dibelai dan ditunaikan keperluan mereka barulah impian yang kita letakkan mampu memberikan impak dan kesan terhadap pembentukan kendirinya selaku hamba Allah dan khalifah-Nya.
Oleh yang demikian, apa yang kita lihat daripada orang yang terdahulu haruslah dijadikan ibrah dan pengalaman yang dapat mengajar kita bagaimana seharusnya kita bertindak untuk menyediakan yang terbaik buat anak-anak kita dan yang paling penting adalah ianya bersesuaian dengan zaman mereka. Wallahuallam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Lelaki Bangladesh kahwini wanita lumpuh berusia 69 tahun sebelum dipercayai mempergunakan isterinya untuk mendaftarkan tiga syarikat yang dikaitkan dengan kegiatan menyediakan permit kerja palsu kepada warga asing.