Biar pun bukan mudah keptusan ini dibuat, namun segalanya dibuat bersebab. Setelah dua tahun bergelar pengacara Melodi, pelawak Ajak Shiro mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada program hiburan popular itu bermula awal Januari lalu.
Di samping itu, jelas pemilik nama sebenar Mohd Hanaffi Razak, 34, keputusan tersebut dilakukan bagi memberi laluan kepada perjalanan barunya bersama stesen radio Suria FM sebagai penyampai segmen Team Suria Pagi menerusi gandingan Issey dan Fizi Ali bermula Selasa lalu.
“Saya tidak menyambung kontrak sebagai pengacara Melodi kerana pada tahun 2020 ini saya memutuskan untuk kembali menjadi penyampai radio.
“Dulu ketika saya terikat dengan dua tugasan ini, setiap Isnin hingga Jumaat saya bertugas sebagai penyampai radio dan Ahad pula mengendalikan Melodi. Hanya pada Sabtu sahaja saya dapat meluangkan masa yang sepenuhnya bersama bersama isteri dan anak-anak.
“Jadi kali ini, saya tidak mahu situasi dulu berulang lagi. Kena pilih salah satu kerana saya tidak mahu rugi masa bersama anak-anak,” ujarnya yang sebelum ini pernah bertugas sebagai penyampai Hot FM selama tiga tahun.
Ads
Keluarga sentiasa menjadi keutamaan Ajak.
Tidak Mahu Tamak
Selain itu, Ajak juga tidak mahu tamak mengejar tawaran, Ajak tegas mengutamakan keluarga dalam apa sahaja keputusan yang dibuat berkaitan kerjaya seninya.
“Kalau fikirkan tentang duit, memang saya nak buat semua selagi ada peluang. Namun bila saya fikir balik, kualiti masa dengan anak-anak lebih berharga daripada semua itu. Kalau ada duit banyak pun, tapi tak ada keluarga pun tak guna juga.
Ads
“Jadi apa pun keputusan saya buat dalam kerjaya, keutamaan adalah pada keluarga terlebih dahulu,” tegasnya.
Mengulas tentang pernyertaannya bersama stesen radio Suria FM sebagai penyampai selepas setahun meninggalkan konti, kata Ajak, semuanya kerana kesungguhan stesen tersebut melamarnya.
Ads
Ajak kini bersama Suria FM.
“Sebenarnya saya mendapat tawaran daripada Suria pada hari yang sama saya meninggalkan stesen radio saya sebelum ini.
“Bagaimanapun ketika itu saya tidak rasa ia merupakan waktu yang tepat untuk saya berbuat demikian atas pelbagai sebab termasuk menghormati sahabat saya, Shahrol yang baru sahaja melepaskan tugasan sebagai penyampai di Suria.
“Namun selepas hampir setahun, Suria masih lagi memberikan tawaran yang sama dan barulah saya mula mempertimbangkannya sebelum bersetuju menyertai mereka pada penghujung tahun lalu,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, insyallah menurut Ajak, selepas ini kumpulan Shiro akan tampil dengan sebuah program baharu yang akan disiarkan di Astro tidak lama lagi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sampai hari ini, pelakon Badrol Shah atau Bad trauma, hingga menggeletar. Bila mana timbul salah faham berkenaan status isterinya, Farah Shila Mazlan yang dimaklumkan kepadanya sebelum ini sudah meninggal dunia kerana positif Covid-19.
Perkhabaran duka itu disampaikan oleh doktor yang menghubunginya petang semalam. Lalu, berita itu dikongsikan Bad di media sosialnya. Sebagai salah satu cara untuk memaklumkan kepada kenalan.
“Jika ada sesiapa yang mengenalinya atau berhutang pituang yang belum dilunaskan, mereka akan dapat tahu berita itu.”
Namun, pada sebelah malamnya, sekali lagi Bad dihubungi oleh pihak hospital tetapi oleh doktor yang berlainan memaklumkan isterinya sedang nazak.
Badrol Shah Takut Sampai Menggeletar
Bad, 39 yang popular dengan filem Busut Bonang ini akui dirinya jadi trauma. Ini kerana, ada yang menuduhnya menipu kerana mahu meraih simpati.
“Saya jadi takut sampai sekarang pun masih menggeletar.” Walhal suami ini cuma menyampaikan apa yang diberitahu oleh pihak hospital kepadanya. Malah, setiap kali mendapat panggilan, doktor berbeza yang akan bercakap dengannya.
Ustazah Farah Tidak Hamil
Bad juga sama terkesan dengan salah tanggapan orang ramai berkenaan ‘anak kami di syurga’. Bukanlah bermakna Farah sedang hamil.
Sebaliknya tulisannya itu menjelaskan keadaan anak mereka yang keguguran ketika berusia lima bulan dalam kandungan pada tahun 2018.
Farah yang juga guru agama di Sekolah Rendah Agama Lembah Keramat dijangkiti virus Covid-19. Malah, ibu ini sudah 9 hari dikomakan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur.
Sebelum ini, keluarga Bad dan anak-anak disahkan positif Covid-19. Bagaimana pun mereka sudah selesai menjalani kuarantin di rumah pada 1 Ogos lalu.
Doa Jasmin Hamid Untuk Ustazah Farah
Pelakon Jasmin Hamid turut berkongsi berita tentang keadaan isteri rakan artisnya itu. Doanya semoga Ustazah Farah diberikan kesembuhan dan kembali ke pangkuan suami dan anak-anak serta keluarganya.
MOHON JAGA LISAN!
ALHAMDULILLAH..
ALLAH MAHA KUASA..
Ada KEKELIRUAN yang terjadi berita tentang Ustazah Farah,Isteri kepada Seniman @badrolshahmanan di mana kita telah dimaklumkan oleh beliau yang isterinya SUDAH MENINGGAL DUNIA SEMALAM jam 1pm di HKL kerana +ve COVID.
Alhamdulillah Ustazah Farah MASIH PANJANG UMURNYA tapi masih ada di ICU HKL kerana WABAK COVID.
Di harap @badrolshahmanan dan keluarga tabah menghadapi dugaan Allah ini. Teruskan berdoa supaya Ustazah Farah kembali sihat seperti sediakala.
Kita teruskan berdoa supaya ALLAH sembuhkan Ustazah Farah dan kembali ke pangkuan suami, anak-anak dan family.
Mingguan Wanita :Semoga Allah memberi kesembuhan untuk Farah. Kembali sedar dan dapat mendakap kembali suami dan anak-anak.
Punyalah berharga pinggan mangkuk isi lauk yang kadang tak disangka ada dalam rak hiasan mak-mak. Untuk jenis mangkuk antik berjenama Corningware Vintage ini, harganya di dalam portal jualan atas talian boleh mencecah USD6,000 bersamaan RM24,000.
Kata Hazwani Mohd Noor, 32 dia sendiri tak sangka harga jualan semula dan harga semasa set pinggan mangkuk tahun 1990-an ini begitu bernilai tinggi.
Bila mana, dirujuk di laman eBay dan Lazada, Hazwani menemukan harga jualannya antara RM5,000 ke RM24,000. Malah, MW pun membuat survey yang sama. Sememangnya, set pinggan mangkuk yang dinamakan ‘Spice Of Life’ di laman jualan ini harganya lebih bernilai tinggi dan tentunya ada peminat yang tersendiri.
Kredit foto : Lazada.
Selepas terkejut dengan harga jualan sebegitu tinggi, Hazwani pun menggeledah rak pinggan mangkuk di rumah. Saling tak tumpah macam pinggan mangkuk milik ibunya.
“Tak sangka mangkuk yang saya guna untuk letak lauk hidangan itu sangat bernilai.”
Kredit foto : Hazwani.
Kualiti Pinggan Mangkuk Lama
Dalam masa yang sama, Hazwani ini pun seorang pengumpul tegar koleksi pinggan mangkuk seramik. Jadi, dia dapat membandingkan perbezaan pinggan mangkuk keluaran zaman dahulu terutama dari segi kualiti pembuatan.
“Dahulu, kilang menghasilkan pinggan mangkuk menggunakan kaca seramik asli iaitu ‘Pyroceram’ yang tahan haba dan boleh terus digunakan dalam ketuhar.”
“Sekarang ini, kebanyakan kilang berhenti menghasilkannya disebabkan permintaan tinggi tetapi kekurangan sumber. Ada pun ketahanannya tidak sama seperti dahulu.”
Dan bila dirujuk ke laman jualan online ini harga pinggan mangkuk itu menjadi lebih mahal jika tahun pembuatannya semakin jauh terkebelakang. Misalnya set pinggan mangkuk CorningWare Vintage tahun 1970 ini mencecah harga jualan RM15,000.
Kredit foto : eBay
Kredit foto : eBay
Waktu Dilancarkan Pinggan Mangkuk Ini Tak Popular
Kata pakar Porselin, Dean Six, waktu mangkuk CorningWare bercorak ini tak banyak dihasilkan malah waktu dilancarkan pada tahun 1970-an, rekaan corak ini tak dianggap popular. Hari ini, di laman eBay nilai jualannya USD7,000 (RM28,000)
Tapi tak semua corakflora bernilai tinggi. Paling popular adalah corak Cornflower. Rekaan Wildflower yang dihasilkan antara tahun 1977 hingga 1984 dan Floral Bouquet (1971 hingga 1975) boleh dijual sehingga USD10,000 (RM40,000)
Set pinggan mangkuk ini terkenal dari tahun 1970-an hingga 1990-an. Dijadikan hadiah perkahwinan untuk pengantin baru. Dahulu harganya dalam lingkungan RM200 sahaja. Sekarang ini dah jadi koleksi rare di kalangan pengumpul tegar.
Apa lagi mak-mak, bolehlah selongkar pinggan mangkuk dalam rak hiasan mak ayah kita. Mana tahu, ribuan ringgit jumlahnya.
MW : Sis isi lauk guna pinggan kangkung je. Tapi siapa tahu suatu hari nanti ribuan juga nilainya… hiks!
Polio merupakan satu penyakit bawaan virus yang sangat mudah berjangkit melalui sentuhan, perkongsian makanan ataupun bekalan air yang tercemar.Penyakit ini boleh menyebabkan lemah otot, lumpuh dan adakalanya boleh membawa maut. Setakat ini, saintis belum menemui ubat untuk polio namun ia hanya boleh dihindari melalui vaksin khusus. Secara umumnya, wabak ini telah berjaya dibasmi di setiap negara seluruh dunia.
Kes Pertama Bayi 3 Bulan
Namun terkini, cukup membimbangkan apabila Kementerian Kesihatan mengesahkan seorang bayi lelaki berumur tiga bulan dari Tuaran, Sabah, dijangkiti virus polio yang menjadi kes pertama selepas 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit itu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata mangsa didapati mengalami demam diikuti lemah anggota badan, dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi selepas disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1), Jumaat lalu.
Beliau berkata, bayi itu kini dirawat di wad isolasi dan berada dalam keadaan stabil, namun masih memerlukan bantuan pernafasan.
“Hasil ujian pengesahan dijalankan Makmal Polio Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Australia, mendapati virus terbabit ada perkaitan genetik dengan virus polio dikesan pada kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) di Filipina. VDPV1 ini diklasifikasikan sebagai circulating vaccine-derived poliovirus type 1 (cVDPV1).
“Penyakit ini berasal daripada virus polio yang dilemahkan dalam vaksin diberi secara oral (OPV) sebelum virus dilemahkan ini dikumuhkan oleh badan melalui najis.
“Dalam persekitaran tidak sanitari, ia boleh menjangkiti orang lain yang tiada imuniti terhadap polio dan terus tersebar dalam komuniti yang liputan imunisasi polio kurang daripada 95 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Mutasi Genetik
Dr Noor Hisham berkata, semakin lama virus itu tersebar dalam komuniti terbabit, ia mengalami mutasi genetik sehingga menjadi virus yang kembali aktif.
“Virus ini dipanggil vaccine-derived poliovirus (VDPV) dan boleh menyebabkan poliomyelitis. Namun, mereka yang divaksinasi dengan vaksin poliomyelitis, akan mendapat perlindungan daripada jangkitan penyakit itu,” katanya.
Vaksin Poliomyelitis
Tidak Menerima Vaksin Polio
Beliau berkata, setakat Khamis lalu, hasil siasatan di kawasan tempat tinggal mangsa, mendapati 23 daripada 199 orang (11.6 peratus) berusia antara dua bulan hingga 15 tahun, tidak menerima vaksin polio.
Katanya, ia satu keadaan yang sangat merunsingkan kerana penularan jangkitan cVDPV hanya boleh ditamatkan dengan imunisasi polio.
“Hasil penerangan mengenai kepentingan imunisasi polio bagi mencegah jangkitan polio, ibu bapa semua kanak-kanak terbabit bersetuju untuk mereka diberikan vaksin polio.
“Aktiviti pencarian kes AFP, proksi kepada poliomyelitis di kawasan tempat tinggal kanak-kanak itu juga dijalankan.
“Hingga Khamis lalu, seramai 646 orang diperiksa dan tiada orang bergejala AFP dikesan. Siasatan masih diteruskan di kawasan terbabit, termasuk pengambilan sampel najis daripada kontak rapat kanak-kanak itu serta sampel persekitaran bagi pengesanan virus polio,” katanya.
Beliau berkata, aktiviti pemberian imunisasi polio akan diteruskan di kawasan tempat tinggal kes dan diperluaskan ke kawasan lain yang berisiko.
“Ia bagi memastikan virus polio yang dikesan ini tidak terus menular di Malaysia dan menyebabkan poliomyelitis dalam kalangan mereka yang tiada imuniti terhadap jangkitan polio,
“Ia bagi memastikan liputan imunisasi polio yang tinggi, iaitu melebihi 95 peratus,” katanya.
Kesan kanak-kanak yang dijangkiti Virus Polio Sumber foto: CDC
Info Ekstra!
Kes polio terakhir di Malaysia berlaku pada tahun 1992. Pada Oktober 2000, Malaysia bersama-sama dengan negara-negara Rantau Pasifik Barat (Western Pacific Region), telah diisyhtiharkan bebas daripada penyakit polio. Kejayaan pembasmian penyakit ini adalah berikutan pencegahan melalui vaksin polio yang diperkenalkan di dalam Program Imunisasi Kebangsaan sejak tahun 1972 dan diteruskan sehingga ke hari ini.
Penyakit polio adalah penyakit berjangkit yang boleh menyebabkan kelumpuhan kekal. Ia disebabkan oleh virus polio yang merebak lazimnya melalui oral-fekal dan boleh juga melalui makanan dan air yang tercemar. Penyakit ini hanya boleh dicegah melalui pemberian imunisasi.
Di bawah Jadual Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan, empat (4) dos vaksin polio diberikan dengan menggunakan vaksin kombinasi Difteria, Pertussis, Tetanus dan Haemophilus influenza B. Ia diberikan kepada kanak-kanak pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan.
Orang ramai khususnya mak ayah dinasihatkan untuk memastikan anak-anak telah mendapat imunisasi polio yang lengkap. Kanak-kanak yang cicir imunisasi boleh dibawa ke mana-mana fasiliti kesihatan berhampiran untuk mendapatkan imunisasi. Di samping itu, sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan kebersihan persekitaran yang berterusan.
MW: Semoga mak ayah mengambil iktibar kejadian ini. Cukup membimbangkan kerana kesan jangkitan virus polio ini boleh menyebabkan lemah otot, lumpuh dan adakalanya boleh membawa maut. Jangan memperjudikan kesihatan anak-anak, patuhi pengambilan vaksin secara berjadual seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan.
Inkues Zara Qairina bermula 3 September 2025, seramai 195 saksi dirakam percakapan. Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian pelajar...