Jika diberi pilihan, pasti semua orang ingin berada di rumah dan tidak akan keluar mencari penyakit. Tetapi bila keadaan terdesak, manusia sanggup lakukan apa saja. Apatah lagi apabila duit semakin susut dan makanan mulai habis. Sudah tentu sebagai mak atau ayah pasti sanggup korbankan nyawa demi kelangsungan anak-anak.

Tidak semua antara kita bertuah, dapat gaji setiap bulan walaupun tidak bekerja. Kebanyakkannya dari kita, tak bekerja, tiadalah duit. Oleh itu hentikanlah menghentam orang lain. Jangan terlalu negatif. Fikirkan kesusahan orang lain, mereka juga bukan sengaja cari penyakit.

Ikuti perkongsian Dr Jhaz Kitaro ini :

#BELAJAR_UNTUK_JADI_OPTIMIS_BUKAN_PESIMIS

Saya perhatikan ramai rakan saya di facebook terutamanya rakan-rakan doktor cukup risau bila PKP dilonggarkan. Kita risau kalau berlakunya gelombang ketiga yang lebih dahsyat.

Kita risau kalau lebih ramai yang mati. Kita risau kalau wabak ini berterusan lebih lama. Itu memang normal. Naluri semua doktor, kita mahu menyelamatkan nyawa semua orang.

Kita semua risau. Kita semua harapkan tiada lagi jangkitan dan tiada lagi kematian. Tapi kita sendiri tidak pasti bila semua ini akan berakhir. Hanya Tuhan saja yang Maha Mengetahui.

Risau Melihat Orang Lain

Kita risau bila melihat gambar-gambar manusia yang tidak patuh pada ‘social distancing’. Kita kongsi dan kita kutuk semua yang ada dalam gambar-gambar itu. Seolah-olah mereka sahajalah rakyat Malaysia yang ada. Kita lupa pada jutaan rakyat Malaysia lain yang masih patuh menjaga ‘social distancing’.

Tapi tak ada siapa yang hendak ambil dan kongsi gambar mereka sebab kita hanya suka sebarkan keburukan orang dan kita tak suka sebarkan kebaikan orang. Mengutuk lagi seronok daripada memuji.

Kita risau bila melihat gambar-gambar banyaknya kereta di jalanraya. Kita kongsi dan kita kutuk semua pemandu yang ada di dalam gambar-gambar itu. Seolah-olah jalanraya hanya layak untuk kegunaan frontliners macam kita saja.

Orang lain tak layak untuk keluar bekerja mencari rezeki untuk anak isteri mereka. Kita fikir semua orang berpendapatan tetap tiap-tiap bulan macam kita.

Kita fikir semua orang dapat bantuan BPN. Kita fikir semua orang cukup makan minum macam kita. Maka, tak perlulah mereka keluar dari rumah. Stay at home sampai jangkitan cecah 0. Bila tiba hari kemenangan yang dinantikan tu, mereka dan anak isteri mungkin sudah mereput di rumah.

IKLAN

Kita risau bila melihat gambar-gambar orang membawa anak-anak kecil di dalam kereta mereka. Kita kongsi dan kita kutuk semua ibu, bapa yang ada di dalam gambar-gambar itu. Kita tuduh mereka sengaja hendak bawa anak mereka jalan-jalan dan sengaja nak mendedahkan anak mereka kepada jangkitan Covid.

 

Kita tak tahu yang mungkin ada antara mereka yang terpaksa membawa anak-anak kecil mereka keluar bersama kerana tiada penjaga di rumah.

 

Risiko kanak-kanak mendapat kecederaan atau meninggal dunia akibat bersendirian di rumah adalah lebih tinggi daripada risiko untuk dijangkiti covid apabila berada di dalam kereta.

Kita risau bila melihat gambar-gambar banyak kedai dibuka. Kita takut kalau orang berpusu-pusu ke kedai dan tak amalkan ‘social distancing’. Kalau boleh kita nak semua kedai ditutup, tak ada satu pun yang dibuka, sampailah wabak covid berakhir.

IKLAN

Kita mungkin bijak dalam ilmu perubatan, tapi kita tidak mahir dalam ilmu ekonomi dan kewangan.

Oleh itu, jangan berlagak seolah-olah kita tahu serba serbi semuanya. Memang betul, dalam situasi wabak Covid yang mengganas sekarang, Nyawa manusia lebih penting darp ekonomi.

Tapi, sanggupkah kerajaan biarkan rakyat hidup melarat tanpa wang dan negara jatuh bankrap semata-mata untuk memburu Covid yang kita sendiri tidak tahu bila kesudahannya? Di sinilah pentingnya ‘keseimbangan’ dalam membuat keputusan.

Jadi Fronliner & Tak Fikirkan Kesusahan Orang Lain

Sebelum ni, saya sendiri pun penuh rasa paranoid dan negatif. Saya hanya fikirkan kesusahan saya sebagai frontliner dan saya tak pernah fikirkan langsung kesusahan orang lain yang terdesak mencari sesuap nasi untuk isi rumah mereka. Dan sayaa hanya tahu mengkritik dan tak pernah fikirkan rasionalnya setiap keputusan yang dibuat oleh kerajaan.

Alhamdulillah, saya sudah mula sedar. Dalam situasi sekarang, semua orang dalam kesusahan. Semua orang terdesak. Semua orang tertekan. Percayalah, tak ada siapa yang suka-suka nak mencari penyakit.

IKLAN

Dan kerajaan kita sedang cuba sebaik mungkin untuk menjaga kita. Bersyukurlah kerana kita mempunyai pemimpin-pemimpin yang baik dan cekap jika hendak dibandingkan dengan negara-negara membangun yang lain.

Maka, cubalah kita kongsi benda-benda yang positif sahaja mulai hari ni. Elakkan kongsi benda-benda yang negatif. Belajarlah untuk menjadi optimis, bukannya pesimis. Banyakkan menyebut dan menulis perkara-perkara yang baik kerana setiap butir perkataan yg keluar daripada mulut dan penulisan kita adalah ibarat doa.

 

Baik yang kita sebut atau tulis, baiklah jadinya. Buruk yang kita sebut atau tulis, buruklah jadinya. Maka, doakanlah benda-benda yang baik saja. Insyallah Tuhan akan makbulkan. Dalam ketegasan kita, jangan sampai hilang sifat keperikemanusiaan. Dan belajarlah untuk sentiasa bersyukur.

Setiap ujian yang Tuhan turunkan kepada kita adalah tidak melebihi daya kemampuan kita. Sama-sama kita berdoa dan berusaha supaya wabak covid yang melanda dunia dan negara kita cepat reda, terhapus. Jaga kebersihan diri, jaga social distancing, pakai topeng muka jika bergejala.

Dan keluar rumah apabila perlu sahaja. Jaga solat, banyakkan ibadat dan jangan berhenti berdoa. Insyallah kita mampu dan kita boleh!!!

 

Sumber: Dr Jhaz Kitaro

 

MW: Sebaiknya kita berkongsi benda yang positif, barulah menjadi doa dan akhirnya segala yang berlaku cepat selesai. Serahkan saja kepada Allah kerana Dia Lebih Mengetahui.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI