Sesungguhnya bila maki hamun jadi zikir harian, bagaimana penghujung hayat kita nanti? Cuba bayangkan, mampukah kita menuturkan kalimah syahadah saat malaikat maut menjemput jika setiap saat ketika hayat hanya melontarkan kata-kata kesat serta melukakan hati orang lain.
Ikuti perkongsian Puan Busseroa Abd Jalil dan fahami apa yang dia cuba sampaikan…
Maki…
Lama juga saya tidak menulis panjang-panjang. Tetapi entahlah, hari ini hati saya terasa seperti cedera parah pula walaupun panah cacian tersebut bukan dilontarkan kepada saya.
Kisah bermula pagi tadi ketika seorang sahabat bercerita tentang video makian, maka saya pun melihat video tersebut. Sungguh, saya tidak kenal kedua-dua individu sama ada yang memaki atau dimaki.
Tetapi walau hanya menontonnya sahaja saya terasa seperti terlalu banyak racun yang masuk ke hati saya.
Hati saya menjadi cedera tiba-tiba dan menjadi sakit teramat-amat, jadi tidak percaya dengan apa yang saya tonton, jadi murung dan macam-macam lagi.
Mengapa begitu?
Kerana memaki-hamun itu bukan budaya saya. Melontarkan kata-kata kesat seperti itu bukan cara hidup saya. Memalukan, menghina dan sebagainya bukan amalan saya. Saya rasa anda juga sama seperti saya. Jadi ketika menonton toksik seteruk itu hati kita menjadi terkejut dan trauma.
Tetapi bayangkan, di saat menonton sahajapun hati kita sudah terluka, tetapi ada orang yang memilih cara sebegitu sebagai jalan hidup dan cabang rezeki.
Dan yang kian parahnya apabila cara hidup toksik itu berjaya mempengaruhi pengikut-pengikut yang lain pula.
Kelukaan di hati kita pasti kian teruk apabila membaca komen-komen yang menyokong tindakan memaki-hamun dan memalukan orang lain tersebut.
Ya betul, dia mungkin idola anda tetapi bukan bermaksud semua perkara yang dia buat betul. Ada masa sokong dan ada masa anda perlu menegur.
Maki Hamun Jadi Zikir Harian
Dalam waktu begini, saya teringat pula kepada beberapa buah filem Korea dan Jepun yang pernah saya tonton. Saya tertarik apabila ucapan terima kasih melatari dalam banyak bahagian hidup mereka.
Terima kasih kerana menjadi jiran saya.
Terima kasih kerana menegur saya.
Terima kasih kerana kamu pergi dan pulang dari kerja dengan selamat.
Terima kasih kerana belajar bersungguh-sungguh.
Terima kasih kerana menjadi anak saya.
Dan macam-macam lagi ucapan terima kasih pada perkara-perkara yang kita merasakan tidak perlu pun untuk berterima kasih. Contohnya terima kasih kerana menjadi anak saya. Sedangkan menjadi anak kepada ibu bapa itu bukan ada pilihan pun.
Hakikatnya, bukan ungkapan terima kasih itu yang didambakan tetapi proses melunakkan hati itu yang cuba diterap. Kerana hati itu sifatnya liar. Jika tidak dijinakkan dengan kelembutan maka menggilalah dia.
Seperti kisah yang pernah seorang polis kongsikan beberapa tahun yang lalu. Kata beliau pada suatu malam berlaku kemalangan jalan raya yang dahsyat melibatkan sekumpulan mat rempit.
Salah seorang mat rempit tersebut terpelanting jatuh ke dalam gaung. Ketika ditemui tubuh mat rempit tersebut telah putus di paras pinggang sehingga menampakkan isi perut, tetapi dia masih bernafas dan boleh bercakap.
Lalu anggota polis tersebut, mengajar mat rempit itu mengucap sebab beliau tahu mat rempit tersebut seperti tidak akan dapat diselamatkan lagi.
Namun, tatkala syahadah diajar, mat rempit itu mengamuk dan memaki hamun dengan berkata dia perlukan rokok. Bukan yang lain. Setelah teruk dia mengamuk dan mencerca lalu polis tersebut memberi sebatang rokok kepadanya.
Kata anggota polis itu, beliau melihat bagaimana organ dalaman mat rempit itu berdenyut tatkala rokok itu disedut dalam dan ketika asap rokok itu dihembuskan, maka terhembus keluar juga organnya yang berlonggok itu. Mat rempit tersebut meninggal dunia dengan hembusan rokoknya yang terakhir itu.
Cerita ini sudah lama. Tetapi kisah ini selalu melekat kukuh di minda saya. Betullah seperti kata ustaz, biasanya Allah akan takdirkan hayat kita berakhir dengan apa yang kita suka semasa hidup dahulu.
Maki Hamun Jadi Kesudahan
Seperti kisah mat rempit, akhir hayatnya berkesudahan dengan maki hamun dan rokok kerana itu jalan hidupnya dahulu.
Dan bayangkan pula jika hidup kita berpasak pada bicara lisan yang kotor, hati yang kelam, minda yang jahat, lidah yang kesat dan sebagainya semasa hidup?
Adakah di penghujung hayat nanti bicara syahadah mampu kita tuturkan menggantikan perkataan babi, celaka, anak haram dan sebagainya yang dizikirkan sehari beratus kali sebelum ini?
Semoga Allah ampunkan semua kelalaian kita.
MW: Semoga Allah menjauhkan diri dan keturunan kita daripada sikap sebegini. Diharap apa yang berlaku ini menjadi iktibar dan pengajaran buat kita semua.
Memiliki wisma sendiri yang tersergam megah di Puchong menerusi perniagaan jenama Mutyara diusahakan bersama suami akhirnya membongkar sebuah kisah yang tidak pernah dikongsi aktres Tya Arifin selama ini.
Aktres dan ahli perniagaan kelahiran Palembang, Indonesia berusia 26 tahun ini sebenarnya pernah mempersoalkan apakah hidupnya hanya sekadar bergelar isteri dan ibu semata mata sebelum ini.
Ironinya, perkenalan selama setahun setengah ketika bibit cinta bersulam antaranya dan suami, Asyraf Khalid mengubah drastik kehidupan dan kerjaya seninya yang sudah mekar di tanah kelahiran sendiri.
Berjauhan Dengan Keluarga
Jodoh panjang antara Tya dan Asyraf akhirnya menyatukan mereka pada November 2015. Pasangan ini juga dikurniakan sepasang cahaya mata comel, Arif Jiwa, 3, dan Azzahra Jiwa, setahun lebih sekaligus menjadi pelengkap kebahagiaan.
“Berkahwin dengan Asyraf juga memerlukan saya banyak berkorban. Saya tinggalkan kerjaya seni di Indonesia yang sedang berkembang dan berjauhan dengan keluarga.
“Saya bukanlah datang daripada keluarga yang senang. Jadi sebelum ini pun saya mencari rezeki untuk membantu keluarga. Datang ke Malaysia juga saya perlu membiasakan diri dengan kehidupan di sini. Ia bukan sesuatu yang mudah. Saya juga ketika itu bergelut antara cintakan keluarga serta kerjaya seni dan masa depan bersama suami.
“Jujur pada awal fasa perkahwinan, saya pernah bertanya kepada suami, hidup saya saat itu untuk apa? Saya pernah seperti rasa hilang punca. Takkan saya hanya mahu menjadi isteri yang hanya menunggu kepulangan suami di rumah. Sedangkan saya sangat aktif ketika hidup solo. Saya tidak betah duduk diam.
“Bagaimanapun perasaan itu bukan bermaksud menyesali setiap keputusan yang dibuat. Cuma saya sentiasa percaya hidup ini perlu diteroka dan bukan hanya duduk berpeluk tubuh. Pasti ada sesuatu yang boleh dimanfaatkan,” katanya.
Bergelar Ibu Ubah Hidup Tya
Ternyata pengorbanan dan keputusan Tya atau nama sebenarnya, Nurtria Wulandri membuka 1001 hikmah tersendiri saat melahirkan anak lelaki sulungnya.
“Kehadiran Arif boleh saya anggap satu hadiah dan isyarat yang cukup berharga. Posisi ibu mulai mengubah dimensi hidup saya. Menceburi dunia perniagaan Mutyara pada April 2018 juga mula membuka skop hidup saya jadi lebih luas.
“Ilham cetusan perniagaan jus kesihatan yang diwarisi dari keluarganya secara turun temurun membuka satu langkah bermakna.
“Saya kian nampak ada hala tuju dalam hidup. Menjadi isteri dan ibu kepada dua anak juga tidak membataskan saya mencari titik kesempurnaan dalam hidup. Saya jadi lebih optimis dan bersemangat dalam hidup ini apabila perniagaan yang diusahakan juga dapat membantu mengubah nasib orang lain,” katanya.
Bagi Tya menyelak kembali perjalanan hampir tiga tahun menjalankan perniagaan bersama suami hingga memiliki wisma sendiri bukan satu kejayaan mudah.
Jika ikutkan semangat membara dalam diri, sejak awal fasa berniaga lagi sudah bercita cita ada wisma sendiri.
Namun, seperti pepatah dari Indonesia berbunyi, tiada hasil yang mengkhianati usaha, Tya boleh tersenyum bangga kerana apa yang diraih kini sudah membahagiakan diri.
Rezeki Melimpah
Bertemunya pada majlis pelancaran wisma Mutyara pada 5 September, Tya menarik nafas lega dan memanjat kesyukuran atas rezeki diperoleh.
“Kalau ikut semangat membara dalam jiwa, sejak awal lagi saya sudah mahu memiliki wisma sendiri. Begitu juga dengan suami. Namun semua itu bukan mudah. Tak salah bercita cita tinggi, namun ada kalanya kita kena berpijak pada bumi nyata.
“Saya sendiri bergelut memulakan perniagaan bersama suami. Maklumlah buat sendiri itu ini. Ada kalanya percaturan kita menjadi dan begitulah sebaliknya. Alhamdulillah apa dilakukan itu penuh berkat. Saya buat apa saja, Allah permudahkannya sampai jadi. Jadi dalam tempoh dua tahun lebih untuk memiliki wisma sendiri saya masih anggap satu kejayaan dan pencapaian peribadi,” katanya
Mungkin antara kita tak sangka bahawa tanah di angkasa lepas, iaitu di bulan juga boleh di beli. Atas rasa kasih dan cinta pada isteri tersayang menyebabkan seorang lelaki di Pakistan membeli satu ekar (kira-kira 0.4 hektar) tanah di bulan sebagai hadiah perkahwinan mereka. Memang istimewa, unik dan bukan calang-calang hadiahnya ini.
Portal Gulf News melaporkan Sohaib Ahmed, 23, membeli tanah itu pada harga AS$45 (kira-kira RM186) melalui program Inisiatif Pendudukan Bulan (LSI) Pembelian itu disahkan oleh LSI melalui satu sijil rasmi.
Malah, nama Sohaib Ahmed juga jelas tertera pada sijil berkenaan.
Sebelum ini, beberapa aktor Bollywood antaranya Shah Rukh Khan juga dilaporkan mempunyai tanah di sana selepas dihadiahkan oleh seorang peminatnya.
Selain itu, seorang lagi aktor Bollywood yang baru meninggal dunia pada Jun lalu iaitu mendiang Sushant Singh Rajput juga dikhabarkan memiliki sebidang tanah di bulan.
Menurut laman web LSI, tanah di bulan hanya ditawarkan kepada individu atau syarikat bagi membiayai misi eksplorasi dan pembangunan sumber di bulan.Selepas berjaya memiliki tanah, pemilik ‘berhak’ untuk tinggal di tanah itu.
Dalam pada itu, pasangan itu dilaporkan berjaya mendapatkan semua dokumen berkaitan yang dikeluarkan Sea of Vapor Society.
Sohaib berkata, dia mendapat inspirasi untuk membeli tanah di bulan daripada mendiang Rajput.
Isterinya, Madiha berkata, ramai yang menyangkakan pembelian tanah di bulan hanya gurauan.
“Ramai beranggapan ia gurauan, tetapi sebagai saya menunjukkan dokumen mereka baru mempercayainya,” katanya.
Dalam pada itu, Gulf News melaporkan bahawa ada banyak syarikat dalam talian menawarkan penjualan tanah di bulan.
Realitinya, India dan Pakistan sudah menandatangani perjanjian antarabangsa pada 1967 yang melarang mana-mana pihak untuk membuat tuntutan terhadap tanah di angkasa lepas.
Perjanjian The Outer Space Treaty itu sehingga kini sudah ditandatangani oleh 105 negara.
Antara lain turut menghalang mana-mana pihak menempatkan senjata pemusnah besar-besaran (WMD) di angkasa lepas.Selain itu, tanah berkenaan dianggap sebagai warisan manusia dan tidak boleh dimiliki oleh mana-mana negara atau individu.
MW: Tak sangka tanah di bulan pun boleh dibeli.Memang istimewa, unik, lain daripada yang lain. Demi kasih pada isteri tersayang macam-macam sanggup dilakukan.
Seperti yang diketahui umum, Mira Filzah merupakan seorang selebriti yang bijak. Graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa, Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini berkongsi tip menjadi pelajar cemerlang dan hindarkan diri dari stres belajar.
Isteri kepada Wan Emir Astar ini juga tidak kedekut ilmu dan mahu menyuntik semangat membantu pelajar SPM yang banyak menghadapi peperiksaan percubaan SPM yang bakal diadakan bulan depan (Oktober).
Malah Mira juga sedar pandemik Covid 19 yang melanda turut mengendurkan semangat untuk belajar. Pandemik berkenaan menyebabkan sesi persekolahan terbantut. Peperiksaan termasuk SPM dianjak ke tahun depan dan dijangka berlangsung pada 6 Januari 2021. Peperiksaan percubaan SPM pula akan diadakan bulan depan (Oktober).
Kena Tenang
“Kalau stres belajar, jangan paksa diri. Berehat seketika. Nak belajar dan buat ulang kaji ini kena tenang. Kalau serabut tak ada guna juga. Nak serap ilmu kena dalam keadaan selesa.
“Cuba buat perkara yang boleh hilangkan stres atau saat otak tepu. Seimbangkan dengan perkara lain. Atau jika perlu lelapkan mata atau tidur seketika, lakukanlah. Cuma elak tidur waktu petang selepas waktu Asar. Nanti otak dan badan lagi penat. Cuba kalau penat sangat pejam mata sekitar waktu tengah hari sebelum masuk waktu Zohor,” kata Mira.
Elak Ketagih Dunia Digital
Mira yang baru muncul dengan drama Bidadari Kiriman Tuhan bergandingan dengan Zul Ariffin juga berharap adik adik calon SPM juga dapat mengelak untuk terus ketagih dengan dunia digital termasuk menggunakan telefon bimbit.
“Belajar untuk jarakkan diri dengan dunia digital. Memang sekarang kita sudah terbiasa memegang telefon bimbit melayari itu ini dan menggunakan pelbagai aplikasi berjam jam.
“Ambil masa untuk menikmati udara di luar contohnya bersenam dan berjoging. Pada masa sama jaga penjarakan fizikal. Atau paling mudah buat apa saja benda yang kita gemar.
Jangan Tinggal Solat
“Bagi calon SPM yang beragama Islam, jangan tinggal solat. Begitu juga dengan bangsa lain untuk berdoa dengan Tuhan masing masing.
“Minta restu ibu bapa. Doa ibu bapa sangat mustajab. Jangan segan peluk mereka dengan kasih sayang untuk beberapa saat,” kata selebriti popular ini yang juga merupakan ikon dan duta PTTI.
Usah menambahkan kesedihan kepada ahli keluarga mangsa nahas konvoi RXZ, mereka sedang melalui ujian yang sangat berat. Tragedi ini telah meragut nyawa dan meninggalkan luka yang mendalam kepada banyak keluarga.