Hati mudah tersentuh, perasaan dibuai-buai emosi bermain di fikiran apabila bercerita tentang ibu. Apa tidaknya, sejak daripada dalam kandungan ibu, dia akan bercakap-cakap, membelai dan menyusap lembut perut, biar pun tidak tahu jantina bayi yang akan keluar nanti. Perasaan berdebar dan tidak sabar untuk melihat bayi yang dikandung selama ini.

Malah lagu yang selalu didendangkan dalam salah satu iklan susu, “ibu ibu engkaulah ratu hatiku, bila aku bersedih engkau hiburkan selalu …” menjadi siulan ramai di antara kita.

Apabila menyentuh soal ibu, apakah yang ada dalam fikiran masing-masing? Ramai yang akan kaitkan ibu dengan pengorbanan, kasih sayang, kemanjaan, tolak ansur, penyelamat dan banyak lagi kebaikan yang boleh dizahirkan apabila bercerita tentang ibu, seorang wanita. Ikuti pesanan dan nasihat yang dikongsi oleh Mohd Shariman bin Che Deris

Jaga Ibu Tidak Sepayah Dia Melayan Karenah Anak. Hargai Selagi Ada!

Seribu Satu Kisah

Bayangan kisah silam akan segera menyentuh hati apabila mengimbau setiap kisah dengan ibu.  Tentu masih ramai yang ingat dengan pesan ibu setiap kali mahu melangkah ke sekolah, pelukan mesra ibu di saat anaknya kesedihan, hangatnya ciuman ibu, bual bicara  memujuk ibu, ketegasan ibu setiap kali apabila anaknya terpesong perbuatan, kata-kata nasihat, semangat dan motivasi mengalahkan para motivator ternama, sentuhan kasih sayang seorang ibu malah setiap satu kenangan ini melambai-lambai rasa cinta dan kasih sayang buat seorang ibu. Sesiapa saja bisa menangis tersedu sedan, ketawa terbahak-bahak gembira, terharu menyentuh rasa, sebak menguasai hati, bercampur baur perasaan apabila mengenangkan kisah seorang ibu.

Benar, seribu satu kisah baik seorang ibu mampu dihuraikan laman demi laman namun tetap ada kisah tersisih wujudnya ibu yang lupa akan tanggungjawabnya, ibu yang bersikap zalim dan mengabaikan anaknya, ibu yang terpesong tindakan sehingga sanggup membuang anaknya.  Iye ianya tetap ada namun berapa lah sangat jika mahu dibandingkan dengan kisah indah seorang ibu yang banyaknya bermain di bibir.

Layanan Seorang Ibu

Namun persoalan yang lebih utama adalah bagaimana layanan yang diterima seorang ibu terhadap anaknya?  Layakkah ibu ini menerima tahap layanan yang biasa-biasa ini?  Apakah segala jasa, kasih sayang, pengorbanan dan kesetiaan seorang ibu ini benar-benar dirasai oleh anak?  Benarkah lebih banyak kisah ibu yang dibiarkan sendirian berbanding kisah anak yang diabaikan? Fahami bahawa ibu ini adalah seorang wanita, dalam erti kata mudahnya bagaimana layanan seorang lelaki terhadap wanita yang bergelar isteri dan anaknya?  Mereka adalah juga ibu dan bakal ibu.

Apakah mungkin wanita ini akan mampu membelai anaknya dengan jiwa seorang ibu seandainya wanita ini hidup dalam seksaan, dizalimi dan diabaikan oleh suaminya?  Apakah boleh seorang anak merasai kasih sayang seorang ibu, dalam keadaan ibu ini terseksa mental, fizikal, dan emosi mereka?  Ini antara perkara yang perlu diberikan perhatian khusus.

Tanyalah Diri

IKLAN

Hakikatnya, masih ramai yang keliru atau buat-buat keliru dalam soal tanggungjawab menjaga ibu ini.  Benar, bibir berkata kami sayangkan ibu kami namun tindakan tidak mengambarkan begitu.  Tepuk dada tanya iman.

Lima soalan ini perlu ditanya kepada diri sendiri.

  1. Di mana ibu sekarang? Di rumah siapa?

  2. Bilakah kali terakhir ibu ini dihubungi, dijenguk?

  3. Apakah khidmat yang dibuat untuk ibu dalam masa terdekat ini?

  4. Bilakah kali terakhir ucapan sayang, pohon kemaafan atau tangan ibu dicium?

Bibir manis tidak menjanjikan keindahan buat seorang ibu, apa yang lebih penting kehadiran dan kebersamaan anaknya.

“Kau kan anak perempuan, kau lebih faham macam mana nak jaga ibu ni, dan kau lebih rapat dengan ibu, jadi jaga je la”

“Abang tak dapat nak jaga mak bulan ni, sibuk sangat dengan kerja.  Giliran ni kau pakat-pakat la adik beradik jaga”

Bagaimana perasaan si ibu jika mendengar perbualan rancak anak-anak yang sedang mempertikaikan siapa yang patut jaga, soal giliran dan soal kesibukan masing-masing.  Menangis jiwanya, meraung hatinya, luka yang tidak mungkin akan hilang.

Firman Allah swt dalam surah Al-Isra ayat 23 yang bermaksud :

IKLAN

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Ambil Perhatian

Berhenti daripada mempertikaikan soal giliran dan mula ambil tanggungjawab dengan ikhlas dan berpasakkan kasih sayang buat ibu.  Beri perhatian kepada perkara ini:

  1. Persefahaman bersama dalam kalangan adik beradik dalam soal penjagaan
  2. Kesediaan untuk menjaga ibu dengan menyediakan keperluan dan kemudahan yang sesuai.
  3. Sabar dan bertenang dengan karenah ibu yang mungkin akan menyakitkan hati dan menyulitkan keadaan, ia tidaklah seberapa berbanding ketika ibu menjaga kita dahulu.
  4. Kesihatan ibu perlu diberikan perhatian serius, dan bersedia dengan kemungkinan kesihatannya merosot dan perlukan penjagaan lebih teliti.
  5. Berikan perhatian soal penjagaan emosi ibu, jaga perkataan dan tingkahlaku agar tidak disalah faham oleh ibu, tentu saja dalam usia ibu, segalanya sensitif dan mudah di salah tanggap.
  6. Keperluan sosial ibu untuk bergaul dengan rakan sebaya, berjalan-jalan dan menikmati suasana percutian perlu diambil perhatian.
  7. Berikan semangat dan dorongan buat ibu, agar dia akan sentiasa rasa dirinya dihargai dan diperlukan oleh anak-anaknya.

Hari ibu akan lebih bermakna sekiranya ibu ini merasai kasih sayang anaknya, rasa diperlukan, dihargai dan dia melihat pengorbanan anaknya untuk menjaga dirinya sebagaimana ibu ini telah melepaskan banyak perkara hanya untuk menjaga dan membesarkan anak-anaknya dengan kasih sayang.

Kasih sayang seorang ibu tidak terbanding.  Bagaimana pula dengan kasih sayang seorang anak buat ibunya?  Selamat Hari Ibu buat mama dan seluruh wanita permata hati yang bergelar ibu.  Anda adalah Ibu, Hero di Hati kami anak-anak!

 

 

IKLAN

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI