Isteri Kalau Nak Sabar, Biarlah Berbatas...Reda Pun Kenalah Bertempat!
Foto: 123 Royaltyfree

Dalam rumah tangga memang perlu ada sabar dengan sikap pasangan. Apa juga yang dilalui dalam rumah tangga, kena ada reda.

Namun, bagaimana pula andai sabar dan reda itu diletakkan bukan di tempat sepatutnya? Ikuti perkongsian satu kisah pasangan muda yang dikongsikan oleh Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga Dan Guaman Syarie, juga penulis ruangan RESIPI HIDUP dalam Majalah Mingguan Wanita.

Usianya 27 tahun, rupanya cantik, tutur katanya lembut tapi tegas. Berstatus isteri selama hampir 16 bulan malangnya sejak awal perkahwinan, suami tidak mengendahkannya.

Suka Sama Suka

Suami sering balik awal pagi dengan alasan kerja dan waktu hujung minggu, suami akan balik tika azan Subuh hampir dikumandangkan. Isteri tertanya-tanya, apa yang tak kena? Nak kata suami tak cinta, kahwin memang atas dasar suka sama suka. Lebih bersyukur lagi, perkahwinan diterima baik oleh kedua-dua keluarga dan sejak selepas kahwin, si isteri betah tinggal bersama suami di rumah mentua. Ibu mentua yang turut menyedari sikap anaknya sendiri, meminta si isteri bersabar dan cuba faham kerjaya suami sendiri.

Isteri Sabar Biarlah Berpada..Reda Pun Kenalah Bertempat!Foto: 123 Royaltyfree.

IKLAN

Tak Sayang

Bulan demi bulan, setahun berlalu. Suami bersikap serupa. Hinggalah satu hari, isteri dengan tegas bersuara: “Kalau tak suka, cakaplah terus terang.” Mungkin terasa dengan kata-kata si isteri, si suami bersuara: “Saya tak boleh nak sayang awak lagi. Sebelum kahwin dengan awak, saya baru sedar saya tak betul-betul sayang awak. Saya sukakan orang lain tapi mak suruh saya batalkan niat saya sebab kita dah bertunang, sebab awak pun baik. Saya cuba tapi saya tak boleh.”

Ibu mentua mengakui, tapi memintanya bersabar. Demi menghormati mentua yang melayannya dengan baik, N bersabar. Hinggalah pecah tembelang mengenai hubungan si suami dengan seorang wanita, layak suami isteri tak sah menurut syarak dan undang-undang. Suami juga minum dan kerap mengunjungi kelab malam.

Isteri bagaikan pembantu rumah sahaja. Hati yang kecewa diluahkan kepaa ibu mentua. Kata ibu mentua: “Sabar je lah. Mak pun tak tau nak buat macam mana lagi dah. Sabar jelah. Ayah dulu pun macam tu jugak tapi sebagai isteri, kita sabar je lah. Lambat laun, dia akan balik kat kita jugak.” Ayat ibu mentua dipanjangkan kepada saya; “Betul ke Kak Su, saya perlu terus bertahan dan bersabar?”

IKLAN

Kena Faham Konsep

Betul ke? Mmm… memang betul lah tapi perlu fahami konsep sabar. Fahami juga konsep reda. Sabar memang perlu dalam setiap perkara tapi sabar juga perlu ada batasnya. Kalau kepala diketuk sekali, wajar lah bersabar, buat diam je tapi kalau dah berkali-kali diketuk, dihenyak, dihentam tapi masih boleh diam atas nama sabar, itu maksudnya membenarkan diri sendiri dibuli dan dianiayai.

Tak ke bodoh namanya tu? Perlu reda dengan takdir Allah! Betullah tapi reda bukan tunggu saja tanpa apa-apa tindakan. Bukan juga dengan berdiam diri menyerah saja kepada keadaan menunggu apa yang akan terjadi.

Tanggungjawab

Perkara paling penting; perkahwinan adalah satu tanggungjawab. Pasangan yang dikurniakan oleh Allah pula adalah amanah. Tak kiralah anda menerimanya sepenuh hati, separuh hati atau tak ada hati langsung, bila anda bernama suami malah juga isteri, anda bertanggungjawab untuk menyayangi pasangan anda sejujurnya, seikhlas hati dan berusaha untuk melaksanakan segala peranan dan tanggungjawab yang wajar menurut syariat dan undang-undang.

IKLAN

Tabiat pasangan sebagai ujian? Betul tapi tanya diri sendiri; bolehkah anda bersabar dan redha tanpa ada sedikit pun rasa kecil hati atau rasa marah atau dendam atau sakit hati dengan segala perlakuan tersebut?

Hak Isteri

Islam tak menganiaya sesiapa termasuk isteri. Andai suami bersikap seperti suami N, syariat dan undang-undang tentukan si isteri mempunyai hak untuk membubarkan perkahwinan menggunakan fasakh. Prinsip asas perkahwinan adalah mawaddah wa rahmah. Perkahwinan perlu ada kasih sayang, perlu ada perlaksanaan tanggungjawab agar setiap individu merasai nikmatnya sebuah perkahwinan.

Hikmah

Perlu difahami juga, ketentuan syariat termasuk hukuman mempunyai hikmah tersendiri. Berkemungkinan jika anda ‘meninggalkan’ pasangan yang tak tahu menghargai kewujudan anda, barulah si dia betul-betul sedar kepentingan wujudnya anda dalam hidupnya. Sebab itu jugalah wujudnya tempoh eddah, sebagai tempoh masa bertenang dan membuat keputusan muktamad.

Berikan peluang memang perlu tetapi biarlah tempoh masanya bersesuaian. Sikap yang sebati dengan diri memang sukar diubah tapi tak susah jika individu tersebut benar-benar ingin berubah, berkehendak dan berusaha ke arah yang lebih baik.

Aplikasikan juga tempoh eddah ketentuan syarak dalam memberi peluang, minimum tiga bulan dan maksimum sembilan bulan. Kalau seseorang benar-benar berkehendak untuk berubah, sembilan bulan cukup lama untuk menjadi lebih baik. Doa orang sekeliling mungkin membantu tetapi janji Allah pasti; “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri” – surah ar-Ra’du ayat 11.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI