Rasanya bukan semua tapi boleh dikatakan lelaki selepas berkahwin, mula kurang bercakap. Sepuluh patah isteri cakap, satu sahaja dijawab suami. Ada masa macam buat tak layan sahaja isteri bercakap. Mahu tak kecil hati isteri.
Tapi yang peliknya, kalau dengan kawan-kawan lain, boleh pula dia berceloteh dan layan saja. Atau mungkin begitu gamaknya bila lelaki bergelar suami. Lain pula suami yang banyak cakap sampai tak terlayan isteri dibuatnya.
Bercerita tentang suami buat tak layan terutamanya isteri sedang bercakap atau bercerita. Ia boleh buat emosi isteri tidak menentu. Malah, paling pedih seolah-olah isteri bercakap sorang-sorang.
Sebenarnya, pada suamilah tempat isteri nak bercerita. Dia tak orang yang paling rapat dengannya dan suamilah orang yang paling sesuai untuk berkongsi cerita. Janganlah suami buat tak layan.
Perkongsian dan pendapat peribadi sendiri daripada Muhammad Yusof, yang mahu seorang suami menjadi pendengar yang setia. Jangan buat acuh tak acuh dan tak buat tak layan bila isteri bercakap. Percayalah, jika ditakdirkan isteri tiada, suara itulah yang akan dirindu.
Masa saya tunggu order kat kedai makan, ada sorang mak cik dan ada sorang pak cik duduk depan saya. Saya perasan alangkah romantiknya pak cik dan mak cik ni.
Ads
Saya perhatikan mak cik tu yang banyak bercakap. Yang pak cik tu dengar je apa yang bini dia pot pet. Yelah, perempuan kan dilahirkan untuk bercakap sekurang-kurangnya 20,000 patah perkataan sehari (tak tahu betul ke tidak fakta ni).
Pada saya, ‘seni menjadi pendengar setia’ macam pak cik ni perlu ada pada setiap lelaki. Ya, semua yang bergelar lelaki atau spesifiknya yang bergelar suami.
Kenapa saya cakap macam tu?
Ada orang kata perempuan ni bila dia dah berkahwin, automatik dia hilang semua kawan yang dia ada time dia bujang.
Masa bujang punyalah ramai kawan yang pi hang out dengan dia, tapi bila dia dah kahwin takde dah dia fikir nak pi keluar dengan kawan-kawan dia yang ramai tadi tu.
Perempuan ni bukan macam lelaki. Kalau lelaki malam-malam boring-boring, depa boleh pi mengeteh, main futsal, memancing, karaoke dengan kawan-kawan.
Tapi, perempuan lain.
Bila seorang perempuan berkahwin, kawan yang tinggal hanyalah suami dia. Ya, suami dia.
Pada suamilah mereka nak bercerita, nak berkongsi, bergurau, makan bersama dan bergosip.
Ads
Kadang-kadang, ada cerita yang dah 30 kali dorang cerita kepada suaminya, tapi bila berbual mereka akan cerita lagi cerita yang sama buat kali ke 31.
Isteri Separuh Jiwa Suami
Masalahnya, ada suami yang tak berapa faham tentang benda ni.
Ada suami yang acuh tak acuh je layan bini dia.
Bila bini ajak berbual, suami buat layan tak layan je. Tapi bila sembang dengan kawan-kawan punyalah meriah tak ingat dunia.
Suami-suami, kita kena ingat isteri kita adalah separuh jiwa kita.
Ada suami-suami memang tak berapa nak rasa sebab kadang-kadang yang laki ini, dia boleh jumpa, borak-borak, mengeteh dengan kawan, naik basikal atau memancing untuk realese tensionnya.
Tapi perempuan takde banyak benda yang dia boleh buat untuk realesekan tensionnya.
Ads
Sebab itu bila dalam kereta, balik kerja, nak tidur, mereka cari suami dia nak bercerita tentang apa yang mereka apa yang berlaku seharian dalam hidup dia hari tu.
Pada mereka, dengan bercerita pada suamilah, mereka dapat realese segala yang terbuku dalam jiwa dorang.
Bila mereka dapat cerita dan luah, mereka akan rasa lega dan dapat tidur lena malam tu.
Tapi perkara ini, ramai suami yang terlepas pandang. Mereka fikir isteri mereka just nak membebel je kat telinganya. Boring katanya.
Jadi Pendengar Baik
Ramai sebenarnya suami gagal jadi pendengar yang baik. Inilah masalah utama orang lelaki.
Jadi, suami-suami, takkan bila isteri kita dah tak ada baru kita nak mula teringat nak dengar suara dia? Dah terlambat la masa tu. Menangis air mata darah pun takkan mampu buat isteri kita kembali.
Sebagai seorang suami, saya pun masih banyak lagi benda yang perlu saya belajar.
Cuma saya nak ajak semua suami, jom kita sama-sama belajar ‘seni untuk jadi pendengar yang setia’ buat isteri kita yang tercinta macam pak cik yang saya jumpa tu.
.
MW: Betul apa yang dikatakan itu, pada suamilah temapat isteri nak luah dan kongsi perasaan bersama.
Kalau sekadar bayangkan macam senang dan boleh bahagia tetapi percayalah sebenarnya poligami tak mudah. Silap gaya boleh buat suami makin pening kepala dan tak dapat pahala.
Haaa… sebab itulah pentingnya ilmu rumahtangga sebelum berangan nak berpoligami. Nah, hadam dulu perkongsian saudara Firdaus Mokhtar, khas buat renungan bersama suami yang ada hati nak buka ‘cawangan baru’.
Aku pernah dah tulis sebelum ni. Poligami ini bukan perkara kau boleh buat suka-suka.
Isteri yang kau ada sekarang, hati dia kau kena jaga sungguh. Ummi pernah pesan ke aku;
“Jangan permainkan hati perempuan.” (Dia merujuk kepada isteri)
Lagi pula isteri itu isteri pertama kau.
Baik, dia begini;
1. Iya, Islam tidak mensyaratkan kau mesti mendapatkan izin isteri pertama untuk kau kahwin 1 lagi. Tapi mendahulukan hati seorang yang bernama isteri itu keadilan yang kau kena buat.
2. Kalau berlaku dia tidak setuju, hormati keputusan itu. Berbincang habis-habis dulu. Fahamkan dia apa sebab kau nak berbuat begitu. Apa pula perancangan kau nak handle 2 hati lepas ini.
3. Kalau sampai masa dia setuju, kau buatlah. Andai sampai ke sudah dia masih belum bersetuju, dan dalam masa yang sama dia masih taat sebagai isteri, kau jagalah dia seorang sahaja.
Percayalah, kau tak akan jumpa hati yang sama seperti itu di tempat lain.
4. Menjaga dan mendidik 1 hati pun berat. Lebih lagi lah mendidik 2 hati. Kan? Keperluan 2 orang isteri ini kau mesti penuhi. Kau dah ukur kemampuan sendiri? Persoalan ini semua kau kena jawab dulu.
5. Menceraikan isteri pertama yang tidak setuju dengan kehendak kau nak berkahwin lain adalah 1 perbuatan yang cukup tidak bertanggungjawab. Lagi pula kau baru kahwin bang dengan dia. Ya ampun. Pesan aku, baca balik poin nombor 2 dan 3.
Kalian, rumahtangga ini dibina bersama. Suami dan isteri ibarat 2 sayap burung. Untuk terbang, keduanya perlu bergerak serentak. Ke atas ke bawahnya sama. Mesti sepakat dan sekata.
Kalau satu ke atas, satu ke bawah, percayalah kau akan menjunam ke bawah dengan cukup laju. Hah! Faham?
Termasuklah kalau kau rasa kau mampu untuk mengemudi 2 isteri, tetap kau kena pastikan isteri yang ada sekarang faham juga. Dia juga yakin dengan kemampuan kau.
Kawan-kawan, isteri itu anugerah Tuhan buat kita. Kenapa mudah sangat kita sia-siakan hati mereka?
Atas kapasiti apa aku bercakap semua ni? Aku poligami ke? Oh tidak tuan-tuan puan-puan.
Cuma aku anak sulong kepada isteri pertama ayah aku. Dan ummi aku ada 3 adik madu yang boleh hidup 1 bumbung bersama.
Sembahyang sama-sama, masak bergilir, buat kerja rumah sama-sama.
Ummi dengan adik madu yang lain memang macam adik beradik. Anak jaga sama-sama. Sekali pun anak daripada madu dia sendiri.
Poligami Tak Mudah
Namun begitu ingat ini, aku jadi mata yang menyaksikan poligami bukan mudah. Kau kena jadi manusia yang sangat sangat sangat sabar.
Wajib menjadi hamba yang hidup penuh dengan air mata. Merintih dan mengadu cuma pada Tuhan. Abah sebagai seorang suami yang tak pernah tinggal sembahyang malam sekali pun.
Sembahyang fardhu mesti berjemaah. Disiplin beragama sangat tinggi. Bukan Abah seorang diri. Semua isterinya juga diajak mendahulukan agama lebih daripada segalanya.
Abah sedia untuk sembahyang, isteri-isteri dah dalam saf di tikar sembahyang. Sampai tahap itu.
Dan aku berani cakap, gelaran PU bukanlah tanda kau dah cukup sabar untuk semua itu.
Sekian.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ibu anak 5, Nora Syafiqah buktikan peranan isteri bukan hanya uruskan rumah tangga. Sebagai seorang wanita yang bergelar isteri dan ibu bukanlah satu perkara mudah malah mereka yang bekerjaya perlu bijak uruskan masa. Begitu juga dengan usahawan wanita ini.
Nora Syafiqah Nabilah Binti Mohamad Shukri iaitu isteri kepada founder Al Mizan Restoran Johor Bahru, akui sebagai seorang isteri peranannya bukan sekadar menguruskan rumah tangga. Walau sudah memiliki lima cahaya mata namun dia tetap membantu menguruskan perniagaan suami.
Ibu Anak 5, Nora Syafiqah Buktikan Peranan Isteri Sangat Penting
Nora Syafiqah juga berasa sangat bertanggungjawab dalam membantu suaminya, Mohd Syarifuddin Bin Misjan dalam mengukuhkan perniagaan, memberikan sokongan dan kepakaran dalam menguruskan kewangan syarikat milik suami.
Pemegang Diploma Pengurusan Perniagaan, Nora Syafiqah menguruskan perbelanjaan, memantau aliran tunai, dan menganalisis laporan kewangan bagi membantu memastikan perniagaan suami terus berkembang walaupun menghadapi turun naik harga dan kos operasi.
Komunikasi & Kerjasama Eratkan Hubungan
Nora Syafiqah dan suaminya telah membuktikan bahawa kunci kejayaan terletak pada komunikasi dan kerjasama. Walaupun terdapat perbezaan pendapat, mereka sentiasa meluangkan masa untuk berbincang dan mencari penyelesaian terbaik demi kebaikan bersama. Sikap terbuka dan saling menghormati antara satu sama lain menjadikan perniagaan mereka lebih kukuh dan mampan.
“Alhamdulillah sudah 13 tahun kami mendirikan rumah tangga, sebagai isteri saya perlu sokong suami dan menjadi tulang belakang. Sememangnya banyak cabaran yang ditempuhi apatah lagi bekerja dengan suami sendiri.
“Di pejabat suami sebagai pengarah bila ada selisih pendapat saya lebih selesa duduk berbincang. Memang kena ada juga tempoh bertenang bila ada masalah atau selisih pendapat. Dan kemudiannya suaminya akan jadi okay bila dah ambil satu keputusan.
“Dari hari ke hari tempoh belajar satu sama lain. Tempoh berkahwin , setiap hari belajar mengenali dan memahami suami,” terang Nora Syafiqah.
Isteri Perlu Ada Pendapatan Sendiri
Malah wanita berbadan genit ini bersetuju dalam ekonomi sekarang isteri perlu ada pendapatan sendiri.
“Pada saya wanita perlu bekerja. Dalam komitmen sekarang ni memang perlu ada satu pendapatan sendiri. Walau anak ramai tapi bukan satu halangan sebabnya wanita hari ini sudah bijak membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga,” sambung Nora yang turut menasihati kaum isteri yang berniat membantu suami juga boleh bekerja dengan menggunakan platform online.
Sempena Ramadan bulan penuh barkah, Nora Syafiqah menjelaskan jenama Al Mizan menyediakan Grand Buffet Ramadan Almizan di Pusat Konvensyen Danga Bay, Johor Bahru.
“Bertemakan ‘Sulaman Rasa Memori Bahagia’ kami menyajikan lebih daripada 100 pilihan hidangan tradisional Nusantara, menjadikannya lokasi terbaik untuk berbuka puasa bersama keluarga dan rakan-rakan. Bufet ini bukan sahaja menampilkan masakan asli Johor tetapi juga menyediakan 16 gerai hidangan istimewa, termasuk sate dan kambing golek, untuk dinikmati sepanjang Ramadan,” kongsi Nora Syafiqah.
Sebagai jenama terkenal yang telah menyediakan sate berkualiti tinggi di Johor selama lebih 20 tahun, nama Al-Mizan sinonim dengan hidangan ini, menjadikan Grand Buffet Ramadan Almizan pilihan utama ramai pengunjung.
Antara juadah lain yang ditawarkan termasuklah laksa Johor, mi rebus, sup gearbox, udang telur masin, urat masak lemak, nasi goreng kambing, sambal goreng Jawa, ikan masam manis, asam pedas tetel, daun turi masak lemak labu, kupang sambal, rendang tok, dan pelbagai lagi lauk-pauk.
Bagi pencinta sayuran, pelbagai pilihan ulam-ulaman yang boleh dinikmati bersama sambal turut tersedia, menjadikan pengunjung sukar untuk tidak menambah nasi.
Di bahagian pencuci mulut, terdapat pelbagai jenis bubur, kek, serta kuih tradisional Melayu, melengkapkan pengalaman berbuka puasa. Seksyen minuman pula menawarkan lapan balang air sejuk, manakala aroma teh tarik panas pasti memikat deria rasa setiap pengunjung.
Ruang Untuk Infak
Selain berpeluang menikmati hidangan enak, sambil berbuka puasa pengunjung dapat melihat pemandangan indah matahati terbenam di Danga Bay.
Suasana menenangkan itu tambah bermakna apabila Almizan turut memberikan cabutan bertuah yang menawarkan ganjaran lumayan termasuk pakej umrah serta motosikal.
Pada masa sama, tidak ketinggalan membuka ruang untuk infak kepada mana-mana individu atau pihak.
Bertujuan berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan seperti anak yatim, ibu tunggal, fakir dan sebagainya, slot infak hanya RM50 dengan minimum 20 orang dibuka setiap hari namun menerusi tempahan awal.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Benar sebaik bergelar suami isteri, isteri ada hak ke atas suaminya. Tapi suami juga ada tanggungjawab terhadap ibu bapanya. Seorang isteri yang baik akan cuba mengasihi keluarga mertuanya sama seperti keluarganya sendiri.
Puan Ezatul Marini berkongsi pesanan kepada pasangan muda. Sebagaimana dirinya dulu melalui detik alam rumah tangga ketika usia 21 tahun. Namun, itu tidak menghalangnya untuk berfikiran matang dan menerapkan nilai yang baik dalam membina hubungan menantu-mertua.
Ditakdirkan Berkahwin Pada Usia Sangat Muda
Saya ditakdirkan berkahwin pada usia yang sangat muda, sebaik memasuki 21 tahun. Muda kerana masih mentah ilmu, tidak cukup pengalaman dan banyak perkara yang saya belum mahir.
Alhamdulillah, Allah mengurniakan saya keluarga mertua yang baik, penyayang dan sedia membimbing, menegur dan menerima baik buruk dan lebih kurangnya tingkah-laku saya.
Tipulah kalau kita nak kata segalanya manis belaka. Ada ketikanya berlaku juga pergeseran, prasangka dan konflik tetapi Allah mengurniakan kami rasa lembut hati dan keinginan serta kesungguhan untuk membaiki keadaan, sedia mohon maaf dan memaafkan.
Alhamdulillah! Encik K amat bijaksana dalam membimbing saya, menyalurkan kebiasaan perbincangan dan muafakat serta tolak ansur dalam melayari bahtera kehidupan berumah-tangga.
Ada pasangan diuji, isteri mendominasi kehidupan suami selepas berumah-tangga. Tidak hanya mendominasi kehidupan malah mengenakan misi “menghentikan” hubungan suami dengan keluarganya sendiri.
Seorang Isteri Yang Baik, Akan Cuba Mengasihi Keluarga Mertua
Isteri yang baik akan cuba mengasihi keluarga mertua sama seperti keluarga sendiri. Isteri yang baik akan berusaha seimbangkan hubungan suami dengan keluarganya, menghormati keluarga mertua dan berusaha untuk tidak membataskan hubungan suami dengan keluarganya sendiri serta tidak mengawal secara total sang suami hingga terbatas untuk bertindak mengikut hak dan tanggungjawabnya.
Saya tertanya-tanya, apakah sandaran dan paksi yang menunjangi sikap dan pemikiran isteri yang sebegini. Di manakah nilai adab dan nilai agama itu dalam kehidupan seorang isteri bila mana kedudukan suami itu dipandang sepele dan diletakkan di tempat terendah.
Sebagai isteri, belajarlah mendidik diri dan hati. Suami itu benar hak kita tetapi suami juga ada tanggungjawab kepada keluarganya. Dia masih ada ikatan dengan keluarga besarnya. Jangan kita jadi “gunting” yang meleraikan tali ikatan sebuah keluarga demi mengisi ego dan hasutan hati kita sendiri.
Suami pula harus bijak mengambil peranan untuk mendidik keluarganya. Sebagai pemimpin, jadilah pemimpin yang telus, adil dan berpaksikan ajaran dan tuntutan agama. Redha Allah kita cari, hak manusia kita lunasi, pasti ada ganjarannya.
Sebagai “extended family” ajarlah nilai yang baik kepada abang, kakak, adik dan anak kita untuk juga bersikap baik kepada keluarga mertuanya. Kita jangan jadi sumbu yang menyalakan api kebencian dan persengketaan dalam sistem sosial berkeluarga.
Jadilah Isteri, Suami, Ipar Dan Menantu Yang Dilimpahi Pahala
Sungguh, saya sangat beremosi kala menulis catatan ini. Jadilah isteri, suami, ipar, menantu dan anak yang dilimpahi pahala. Hindarkanlah dari sengketa yang akhirnya membenihkan luka dan dosa. Allahu Akbar!
Raihlah syurga dengan berbuat baik sesama insan. Syurga itu mahal, tanggungjawab kita adalah untuk memperjuangkan Syurga itu.
Allah itu tidak tidur, ingat itu. Allah memerhati setiap gerak-geri kita. Istighfarlah andai ada secalit bibit tingkah begitu menjadi dasar hidup kita selama ini.
Mertua dan keluarganya adalah juga keluarga kita. Ketepikan sedikit rasa terima kasih kerana keluarga yang di sana sudi menerima kita masuk ke dalam keluarga mereka.
Islam memberi panduan jelas dan lengkap tentang adab terutamanya akhlak sebagai suami, isteri, anak, menantu dan ipar. Sama-samalah kita doakan agar Allah selalu pelihara kita semua.
Astaghfirullah hal adzim!
Mingguan Wanita : Andai ego dapat dilembutkan, maka leraikanlah perasaan sedemikian. Semoga ketenangan dan bahagia dapat diperoleh kembali.
Black hadiahkan kereta mewah idaman isteri. “Kadang-kadang kita terlalu mencari yang sempurna, sampai terlupa untuk hargai yang selalu ada di sisi” Inilah ungkapan penuh...