Doa adalah pengikat kasih sayang antara mak ayah dan anak-anak. Lafaz yang tulus daripada lubuk hati seorang ibu, tiada hijab di sisi Yang Maha Esa.
Malah doa juga merupakan senjata ampuh bagi kaum muslimin. Doa petanda pengharapan yang tulus kepada Allah SWT. Sesungguhnya tiada yang berhak dan berupaya mengatur kehidupan kita dan melunaskan hajat kita selain daripada-Nya.
Usah Persiakan Peluang
Oleh yang demikian, ibu yang solehah pasti sentiasa bergantung penuh kepada-Nya dan berharap setulusnya kepada Yang Maha Pengkabulkan hajat. Maka usah abaikan kesempatan dan peluang yang diberikan oleh Allah ini, ia berada tepat di tangan kita untuk digunakan semahunya!
Rakan penjaga yang dihormati, walau apa sahaja keadaan yang sedang kita hadapi sekarang, duduk letaknya diri kita dalam seluruh sistem kehidupan ini harus kita fahami dan ketahui. Kedudukan sebagai hamba Allah harus diredai dan dihargai. Tiket sebagai hamba kepada empunya alam semesta adalah sebuah tiket yang amat berharga. Syaratnya adalah dengan penyerahan total kepada-Nya.
Semakin kita bergantung kepada-Nya maka makin diaturkan seluruh makhluk untuk membantu dan berkhidmat kepada kita. Perhatikan sahaja tabiat seorang anak kecil yang tidak bermaya, dia hanya mampu menangis untuk menghantar mesej kepada orang sekelilingnya.
Walaupun orang sekelilingnya tidak memahami mesej tersebut dengan jelas namun dengan kuasa Allah ada sahaja bantuan yang dibawa oleh orang tersebut bagi melunaskan hajat anak kecil tersebut. Begitulah yang bakal terjadi jika kita benar-benar berserah diri kepada Allah.
Ads
Rahmat Dan Belas Kasihan Allah
Dalam mendidik anak-anak, pengharapan ini harus diletakkan tinggi. Kita harus memahami bukan usaha kita yang menjadikan anak tersebut baik, soleh ataupun sebaliknya, malah rahmat dan belas kasihan daripada Allah yang menggerakkan semua perkara tersebut.
Justeru, usaha yang dijalankan harus diiringi sentiasa dengan doa yang tulus buat anak-anak. Lafazkan dengan setulusnya daripada lubuk hati yang penuh harap sepertimana doa ibu Musa as ketika menghanyutkan anaknya, sebagaimana pengharapan Nabi Yaakob ketika mengetahui kisah mudarat yang menimpa Nabi Yusuf as, semuanya diiringi dengan rasa pengharapan yang tinggi, reda dan sabar.
Kebahagiaan Di Akhirat Kunci Kejayaan Di Dunia
Selain itu, doa ibu dan ayah harus tahu tujuan asal kehadiran anak-anak di muka bumi dan impian utama yang perlu dicapai bagi setiap insan.
Insya-Allah, dengan mengetahui perkara ini, doa kita lebih terpandu malah hala tuju kehidupan anak-anak kita menjadi lebih terarah. Dengan kesedaran ini, ibu bapa meletakkan harapan kepada perkara yang harus diletakkan harapan bukan yang sebaliknya.
Ads
Kebahagiaan anak di akhirat adalah kunci untuk kejayaannya di dunia. Ini harus diutamakan. Kemudian, berusaha juga untuk menyediakan suasana persekitaran yang tepat bagi menyokong doa yang dipanjatkan. Doa yang kita panjatkan adalah kiriman daripada Allah, maksudnya Allah memang nak bagi kita cuma sebagai hamba, sunnatullah-Nya kita haruslah tunjukkan kesungguhan untuk mendapatkannya.
Doa Bukan Sekadar Lafaz
Doa bukan terhad kepada lafaz semata ia juga ditunjukkan melalui perbuatan dan usaha yang dipanggil lisanul hal. Sebagaimana usaha keras Siti Hajar berlari-lari mendaki dan menuruni Bukit Safa dan Marwah dengan penuh harapan bagi menghilangkan dahaga anakanda kesayangannya walaupun secara logiknya sukar untuk mendapatkan air di padang pasir.
Namun pengharapan yang tinggi ditambah dengan pameran usaha yang tidak putus maka Allah anugerahkan air yang barakah untuk mereka dan manfaatnya sehingga ke hari ini dapat kita rasakan bersama.
Yakin Dengan Doa
Oleh yang demikian, yakinlah dengan doa yang kita panjatkan, sabar menanti serta bersangka baik sentiasa kepada Allah SWT. Iringi doa tersebut dengan usaha yang selayaknya kemudian gantunglah pengharapan yang sebenar-benarnya hanya kepada Allah SWT buat anak-anak.
Jangan mudah putus asa. Anak-anak kita adalah permata berharga yang mampu memberikan kita kelapangan di saat kita amat memerlukannya di barzakh kelak. Jadi, teruskan berdoa yang baik-baik untuk mereka. Wallahualam.
Sumber: Dr. Nurul Asiah Fasehah (USIM)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ada sesetengah mak tidak begitu ‘harap’ anak lelaki membantunya dalam buat kerja rumah. Biasanya, selalu disuruh anak perempuan sebab bila dah kahwin tak kekok urus keluarga. Anak lelaki sudah tentu sebagai ketua keluarga dan tanggungjawabnya lain. Itu mungkin pendapat mak-mak pada waktu dulu-dulu.
Sekarang ini, baik anak lelaki atau perempuan, mereka sudah diasuh dan diajar untuk membantu mak ayah di rumah. Tak kisahlah orang cakap kerja rumah hanya untuk anak perempuan sahaja.
Sebenarnya, kalau mak dah biasakan anak lelaki buat kerja rumah, waima basuh baju, sidai baju, bersihkan pinggan mangkuk dan sebagainya. Nanti, bila anak dah dewasa dan ada keluarga sendiri, sudah tentulah tak kekok untuk membantu isterinya pula.
Jangan fikir kerja rumah hanya untuk anak perempuan semata-mata. Mak-mak kena ajar anak lelaki juga dalam menguruskan kerja rumah. Seperti perkongsian daripada Ummu Naufal yang turut membiasakan anak lelakinya turut sama membantu menguruskan kerja rumah.
Anak lelaki kita, biar dibiasakan mengurus keluarga.
Dari urusan mengemas, mencuci dan juga mengurus para ahlinya.
Biar kelak bila sudah berkeluarga.
Tidaklah kekok membina dan menguruskan keluarga bersama isteri mereka atau tersipu-sipu bila terpaksa menenangkan anak yang meragam.
Begitu juga nanti anak lelaki tidaklah malu membersihkan sendiri pinggan mangkuk selepas makan.
Tidaklah segan menyidai pakaian di pagar rumah atau terkial-kial mengemop lantai, mahu pun geli mencebuk berak anak.
Nanti, bila sudah ada keliuarga sendiri, tidaklah dia rasa mengurus anak-anak dan rumah adalah urusan isteri semata-mata.
Kena Ajar Dari Kecil
Anak lelaki kita, perlu diajar sejak kecil mengurus keluarga.
Jangan ditunggu sudah dewasa baru mahu diajarkan mereka.
Lagi parah jika si isteri terpaksa lakukan semua.
Bila ada anak lelaki, perlu diajar dan dilatihkan kita.
Agar mereka tidak lokek masa, tenaga dan wang yang ada,
Untuk keluarganya.
Sungguh besar tanggungjawab kita untuk kembali latihkan anak-anak lelaki agar menjadi pemimpin yang diredhaiNya.
~Ada Syurga Di Bawah Bumbung Rumah Kita~
MW: Sekarang ini, anak lelaki atau perempuan kena diajar untuk buat kerja rumah. Bayangkan kalau diberikan rezeki semua anak lelaki, nak tak nak kena juga ajar dan bantu keluarga. Ringanlah beban mak kat rumah.
Isteri yang baik untuk suami yang baik dan begitulah sebaliknya. Itulah aturan yang Allah berikan. Bersyukurnya dapat suami cukup sempurna baiknya dan isteri pula bahagia dengan pasangan serta keluarga.
Namun, dalam bahagia itu pasti ada dugaan yang mungkin tidak mampu dielakkan. Godaan syaitan pasti akan berdampingan untuk memecahbelahkan keluarga.
Sedihnya bila mendengar suami cukup sempurna, keluarga bahagia tapi akhirnya ambil keputusan untuk tidak mahu bersama.
Apa lagi yang tak cukup sempurna baik di mata isteri atau suami sekalipun. Tanggungjawab nafkah, layanan dan kehidupan yang sudah cukup bahagia. Akhirnya ambil keputusan untuk bercerai.
Salah satu perkongsian daripada Suzana Ghazali, pakar kaunseling perkahwinan yang menceritakan tentang nekad seorang isteri untuk bercerai dengan suami cukup sempurna, bertanggungjawab dan sebagainya.
Saya: “Maaf…kalau hanya tak ada persefahaman untuk awak bercerai, akak tak nampak wajarnya alasan tu. Awak mengaku suami bagi nafkah yang cukup, suami layan awak baik, suami layan anak-anak baik, hubungan dengan keluarga pun baik, suami tak main perempuan, tak buat kerja tak elok, awak sendiri mengaku. Jadi apa pulak yang tak ada persefahaman?”
Klien: “Tapi saya dah tak sayang dia Kak…”
Saya: “Mesti ada sebab jadikan awak tak sayang..”
Klien: “Tak tau la Kak…saya memang tak boleh hidup dengan dia dah…akak tolong la saya, akak kan biasa tolong orang nak cerai. Tolong la saya Kak…”
Saya: “Dik…tugas akak bukan ceraikan orang. Nak proceed cerai pun, mesti ada sebab yang munasabah…” Saya pegang jari-jari dia…”Awak ada orang lain dah kat hati awak kan?”
Dia terdiam, mukanya berubah kemudian dia menangis.
“Dia tu pak we saya dulu Kak, kami dah terlanjur dah. Saya mengandung anak dia sekarang ni…saya takut Kak…” air matanya laju…
Mingguan Wanita : Begitulah. Sedih bila keadaan ini berlaku. Apa lagi yang tak cukup. Dah ada suami yang baik dan bertanggungjawab masih lagi nak cari bahagia di luar. Akhirnya makan diri.
Damai je hati anak mahupun menantu, bila mana mak ayah puji masakan anak dan menantu yang dihidang depan mata. Lagi-lagi pujian yang disertakan dengan kata-kata yang baik.
Biarpun masakan anak dan menantu itu biasa-biasa saja, tetaplah dihargai penat lelahnya menyediakan juadah untuk keluarga.
Begitulah indahnya pelajaran kehidupan yang kedua ibu bapa ‘Azizah Mohamed ini tunjukkan. Tidak sesekali memperkecilkan usaha masakan anak mahupun menantu.
Ada pengajaran yang boleh mak ayah ambil tahu. Semoga Ramadan ini, jika lebih menjaga kata-kata.
Hilang Sakit Pinggang, Bila Ayah Puji Masakan Anak
Beberapa hari lepas. Saya hidang mee goreng untuk mak ayah.
Mak rasa sesuap.
“Sedap, Zah. Secukup rasa.”
Giliran ayah pula makan. Habis sepinggan ayah bersuara,
“Sedap betul mee Zah. Boleh buka warung depan rumah ni. Hantar Asma’ pergi sekolah, lepas tu start masak. Fuh!”
Ada sekali tu saya hidang ayam masak merah. Mak kata sedap.
Nak tahu ayah komen apa?
“Sedapnya. Macam ni gaya boleh jual dah. Cukup rasa. Eh serius ni. Jual lah. Ayah boleh jadi runner. Oven kat dapur muat berapa ekor ayam? Kalau jadi bisnes kita tukar oven besar.”
Pecah ketawa tukang masak dengar. Padahal ayam masak merah tak guna oven pun
Terhibur sungguh.
Hilang sakit pinggang berdiri lama di dapur. Walhal saya tahu masakan saya sangat sederhana. Namun terasa dihargai sebaiknya.
Alhamdulillah.
Ayah Puji Apa Jua Air Tangan Mak
Hakikatnya, itulah pemandangan di meja makan sejak kecil. Ayah akan puji apa jua air tangan mak. Di hadapan kami.
“Alhamdulillah. This is the best dinner for today!”
Ayat legend ayah. Riuh kami gelak ketawa di meja. Sebab dinner memang sekali sehari kan.
Bila kami dah besar ayah puji masakan anak dan menantu. Jarang ayah komen sepatah. Mesti ada extra feedback yang selalu buat kami ketawa terhibur.
Dan mak pula akan berterima kasih untuk setiap masakan yang terhidang. Sedangkan apalah sangat nak dibandingkan dengan air tangan mak sepanjang membesarkan kami.
Ini bukan post bercerita kesedapan masakan sendiri. Tidak sama sekali.
Namun melalui mak ayah,
Kami belajar betapa mudahnya menggembirakan orang dengan kata-kata yang baik.
Perkataan yang baik akan pergi jauh. Meresap masuk ke dalam hati pendengar. Lantas memberatkan neraca amal soleh kita.
Insya-Allah.
Perkataan yang buruk juga akan pergi jauh.
Menyakitkan hati pendengar. Lalu menjadi pemberat dosa. Melambatkan urusan kita memasuki syurga.
Nauzubillah.
Maka, selagi bernyawa, hati-hati memilih perkataan kita. Moga setiap patah kata menjadi penyelamat di akhirat sana. Di saat mulut ini tidak lagi boleh bersuara mempertahankan kita.
Syurgalah buat kalian yang mendidik anak-anak dengan akhlak yang baik. Moga Allah izinkan kita semua berkumpul di sebaik-baik tempat di Syurga.
Yang padanya ‘mereka tak akan mendengar percakapan yang sia-sia dan yang menimbulkan dosa’. (Al-Waqiah:25)
Aamiin ya Mujib.
Mingguan Wanita : Menggembirakan hati orang lain dengan kata-kata yang baik juga memberi kebahagiaan kepada orang di sekeliling. Jagalah tutur kata, jika tiada perkataan baik mahu disebut, maka lebihlah baik berdiam diri.
Sumber/Foto : Anak yang menyerap pelbagai kisah, ‘Azizah Mohamed.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...