Segala yang berlaku dalam kehidupan kita, semuanya adalah ‘bersebab’. Sebab DIA tahu kita mampu atau tidak untuk melaluinya. Begitu juga jodoh kita dengan pasangan. Semuanya kerana bersebab.
Pernah kita dengar dan lihat, bercinta bagaik nak ‘rak’ dan bertahun-tahun lamanya. Akhirnya, pasangan ini bertemu jodoh dengan orang lain. Sebab apa? Semuanya kerana SEBAB.
Begitu juga dalam memperolehi rezeki. Sesetengah orang ada yang tidak berkahwin lagi kerana duit tidak cukup dan bimbang bila berkahwin tidak mampu untuk menyara keluarga. Ada juga yang sudah berkahwin tapi rezeki sentiasa tersekat.
Apa yang boleh dikatakan, semua itu berlaku kerana SEBAB. Kerana SEBAB inilah ia menjadi satu rezeki. Apa yang boleh dikatakan, setiap yang berlaku itu, usahlah mengeluh dan Allah lebih mengetahui segalanya. Teruskan kehidupan dengan lebih baik.
Perkongsian daripada Imam Muda Hassan Adli ini boleh dijadikan panduan untuk suami isteri, lebih-lebih lagi dalam bab-bab rezeki. Sebab, jika isteri terluka, rezeki suami boleh terhalang. Sebab itu jugalah ia menjadi salah satu pintu rezeki.
Isteri ibarat penarik rezeki bagi si suami. Terlukanya hati isteri maka akan terhalanglah rezeki suami.
Kenapa kita berkahwin? SEBAB apa?
Ads
SEBAB Dia nak luaskan rezeki suami.
Tahukah kita di saat kita menikah, sebenarnya Allah telah melipatgandakan rezeki kita. Dia mengurniakan isteri dan anak dalam tanggung jawab kita. Maka Dia juga menitipkan rezeki mereka di tangan kita. Jika sebelumnya kita miskin Allah akan mencukupkan rezeki setelah kita berkahwin.
Firman Allah, “Dan nikahkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu dan orang-orang yang layak (menikah) dari hamba-hamba sahayamu yang laki-laki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan, JIKA MEREKA MISKIN MAKA ALLAH AKAN MENJADIKANNYA KAYA dari kurniaNya karena Allah itu adalah Maha Luas PemberianNya lagi Maha Mengetahui” (Surah An Nur : 32)
Jangan Main-main
Jadi, jangan main-main dengan SEBAB-SEBAB yang berlaku dalam kehidupan kerana setiap peristiwa yang berlaku dalam kehidupan kita ada sebabnya yang tak terjangkau dek akal.
Dalam satu hari mesti ada saja anak yang akan buat ‘perangai’. Itu kalau seorang, kalau anak ramai, macam-macam peel ada. Gaduh dan marah dengan adik-adik yang lain. Sampai satu tahap, mesti salah seorang yang akan menangis.
Kadang-kadang, anak yang suka marah sebab dia perlukan perhatian daripada mak ayah. Namun, mak ayah jangan pula biarkan anak terus dalam keadaam seperti itu. Kena ada cara untuk mengajar atasi kemarahan anak-anak itu.
Macam mak ayah sendiri, memang marah kalau anak buat perangai. Begitu juga dengan anak-anak, sifat ini berlaku kerana terikut-ikut cara mak ayah. Jadi, lepas ini, mak ayah kena ada cara yang betul untuk ajar anak ye. Jangan biarkan anak terus dalam keadaan marah, bimbang timbul masalah lain.
Perkongsian daripada Faizatul Iman ini, boleh membuka mata mak ayah di luar sana untuk mengajar kaedah terbaik dalam mengatasi anak yang suka marah-marah.
Rupanya marah pun ada peraturan. Ini lah yang perlu kita aplikasikan dan ajar kepada anak-anak. Ilmu baru yang saya dapat daripada Puan Maznah Ibrahim. Katanya marah itu tidak salah kerana ia adalah satu perasaan spontan apabila sesuatu dirasakan ancaman.
Ajar anak-anak untuk melabelkan perasaan mereka, sehingga mereka dapat meluahkan perasaan marah, kecewa, dan kecewa. Isi penting untuk diingatkan kepada anak-anak. “Marah adalah okey” “Tidak apa-apa untuk merasa marah namun;”
Tidak boleh cederakan diri, cederakan orang lain, rosakkan barang di sekitar dan tidak boleh menyerang secara lisan atau fizikal
Contoh ayat untuk kita yang sedang marah, dan perlu untuk kita ambil masa untuk redakan kemarahan.
“Ummi juga sangat marah macam adik. Ummi pergi ke dalam bilik dulu untuk tenangkan diri sebab ibu tak nak cederakan sesiapa. Adik boleh teruskan keluarkan marah adik disini. Bila dah selesai, datang pada ibu.”
Katanya lagi, dengan ini anak tahu
1. Apa yang anak boleh buat
2. Dimana ibu dia berada
3. Anak tahu ibu dia mahu dia selamat
4. Ibu ada masa untuk bertenang
Kadang kala, tingkah laku agresif berpunca dari pelbagai perasaan tidak selesa, seperti kesedihan atau rasa malu. Oleh itu, bantulah anak kita meneroka kenapa mereka berasa marah.
Contohnya:
Mungkin mereka merasa sedih kerana janji tidak ditunaikan, tetapi mereka bertindak balas dengan marah kerana lebih mudah atau menutup rasa sakit yang mereka rasakan.
Kaedah terbaik untuk mengajar anak-anak bagaimana menangani kemarahan dengan bermula macam mana cara marah yang betul ditunjukkan oleh ibu bapanya:
Kanak-kanak perlu mengetahui cara yang sesuai untuk mengatasi kemarahan mereka. Daripada diberitahu,
“Jangan pukul kawan,”
Jelaskan apa yang dapat anak lakukan ketika mereka merasa kecewa atau marah dengan lafazkan menggunakan kata-kata bahawa kita marah atau kecewa atau jauhilah kawan tersebut ketika merasa marah.
Bincang dan buat anak berfikir “Apa yang dapat abang lakukan selain daripada memukul untuk redakan kemarahan abang ni?” Ianya dapat membantu anak kita mengenal pasti strategi yang mungkin bermanfaat.
Kita juga boleh membuat alat penenang yang dapat digunakan ketika mereka marah. Isi kotak dengan barang-barang yang dapat menenangkannya, seperti buku mewarnai dan krayon untuk menconteng, losyen yang berbau harum, atau muzik yang menenangkan. Melibatkan pancaindera anak dapat menenangkan fikiran dan badan.
Begitulah,
Marah is okey, namun jangan jadi tabiat suka marah marah.
MW: Marah itu perasaan spontan. Ajar anak kawal marah dan mak ayah pun kena kawal diri juga.
Walau tak memiliki harta yang banyak dan hidup mewah, sebenarnya kita perlu lihat pelbagai sudut lain yang mampu buat kita bahagia dalam hidup. Jangan ingat duit dan harta saja REZEKI yang Allah kurniakan.
Tak mengapa kalau pun tak punya harta banyak, tapi melihatkan anak-anak dapat membesar dengan sihat dan cergas, ia juga satu rezeki yang tak ternilai harganya. Andainya anak-anak kita cemerlang dalam akademik, itu satu lagi BONUS. Betul kan?
Namun, yang paling penting, didiklah anak untuk cemerlang di akhirat. Tiada gunanya anak hanya cemerlang di dunia. Pandai belajar dan berkelulusan tinggi namun tak mampu mendoakan kita kelak bila kita sudah tiada. Alangkah ruginya kita.
Oleh itu jangan bersedih andai anak kita mungkin tak secemerlang anak orang lain. Tapi dia seorang anak yang taat pada Allah dan pada kita ibu bapanya. Seorang anak yang sangat menyenangkan hati. Itu pun rezeki bukan? Cuma sebagai mak, sentiasa doakan agar dia tetap menjadi orang yang berguna dan berjaya dengan caranya yang tersendiri kelak.
Apa lagi yang wanita inginkan selain memiliki suami yang penyayang dan bertanggungjawab pada dirinya dan anak-anak. Itu juga REZEKI bagi seorang isteri. Apatah lagi pada zaman sekarang, ramai suami yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.
Tak dinafikan, duit itu penting namun ia bukan perkara paling utama dalam hidup. Bila suami seorang yang bertanggungjawab, sudah pasti dia akan berusaha keras untuk memenuhi kecukupan keluarganya biar pun mungkin tidaklah mewah.
Apa gunanya harta dan duit yang melimpah ruah jika tidak sihat. Tak kira yang diuji sakit itu suami, anak-anak atau kita sendiri. Maka, bersyukurklah bila ada keluarga yang sihat kerana kesihatan tak mampu dinilai dengan wang ringgit.
Bila anak sihat, kita tak risau dan boleh bekerja tanpa rasa risau. Bayangkan kalau anak asyik sakit, tentu hati tak selesa hinggakan terpaksa ambil cuti untuk menjaga anak.
Kita perlu sedar tentang kemampuan diri. Jadi jangan terikut-ikut dengan gaya hidup orang lain. Mungkin orang lain boleh setiap minggu membeli pakaian baru untuk anak-anaknya tapi kita hanya setiap tiga empat bukan sekali baru boleh belikan. Atau bila tiba musim perayaan barulah dibeli yang baru.
Lagi pula, daripada membeli pakaian baru untuk anak-anak, lebih baik beri anak makan makanan yang sedap walau pun yang dimasak sendiri.
Bila kita hidup berlandaskan kemampuan diri kita, pasti semuakan akan cukup. Namun, tak salah sesekali nak reward diri dan keluarga dengan pergi makan di tempat mahal, tapi kira bajet dulu ye.
Sentiasa ingatkan diri supaya sentiasa brsyukur dengan rezeki yang kita peroleh dalam hidup. Bila kita sentiasa bersyukur tak tak merungut, hati kita akan tenang. Kita dapat terima keadaan diri kita yang mungkin tak semewah orang lain.Tapi kita tetap mampu bahagia dengan cara kita sendiri. Memang duit itu penting namun bukan segala-galanya. Ingat tu.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Didik anak-anak untuk ‘mengenal’ Sang Pencipta adalah tanggungjawab ibu bapa. Dijadikan sebagai makhluk Allah yang diberi nama manusia merupakan sebuah anugerah terhebat yang perlu kita rasakan dan syukuri.
Perbezaan ketara antara kita dengan makhluk Allah yang lain adalah anugerah akal fikiran yang meningkatkan darjat kita ke tahap khalifah.
Oleh yang demikian, akal ini harus diberikan makanan ilmu yang mencukupi agar dia boleh berfungsi sebaiknya untuk membawa manusia kepada jalan yang benar. Ilmu yang diperlukan juga haruslah ilmu yang benar bertunjangkan kepada Al-Quran dan Sunah.
Sebagai ibu bapa dan penjaga yang prihatin kepada amanah dan tanggungjawab Allah, maka hal ini harus diberikan perhatian wajar.
Dalam memberikan pendidikan yang wajar kepada anak-anak, akalnya harus diberikan fungsi yang sebenar. Dalam menghadapi banyak perkara dalam kehidupannya, hak mereka untuk mengetahui dan memahami sesuatu perkara harus diberikan. Caranya ialah dengan memberikan ruang yang wajar untuk mereka memahami setiap perkara yang sedang berlaku dalam kehidupan.
Untuk hal ini, kesabaran harus dipasakkan. Ini kerana, kebolehan mindanya masih mengalami perkembangan. Dalam banyak hal, segala penerangan ibarat mencurahkan air ke daun keladi. Perlukan pengulangan demi pengulangan agar anak dapat memahami dan membentuk pemikirannya. Seterusnya mempengaruhi pembentukan amalnya.
Bukan sahaja dalam hal ehwal rutin, malah dalam memahami dan melaksanakan perkara fardu ain, lebih-lebih lagi memerlukan penaakulan (membuat penilaian menggunakan akal). Anak-anak zaman ini bukan sahaja harus diberitahu apa yang perlu dilakukan, bagaimana melakukannya malah mengapa harus dilakukan juga satu bab yang harus disertakan.
Pendedahan anak-anak zaman ini ke arah lautan maklumat memungkinkan kekeliruan dan akhirnya menyebabkan salah tafsir dan salah faham berlaku. Apabila salah tafsiran ini tidak dikemudikan dengan akal yang jelas malah diambil alih oleh emosi maka anak-anak mudah terpedaya.
Pada waktu ini, nasihat mungkin hanya dipandang sepi dan tidak mengubah apa-apa. Justeru, bab ini harus diberikan perhatian serius. Kita harus meluangkan masa memberikan kefahaman kepada anak-anak untuk setiap perkara agama yang mereka pelajari.
Kita harus memastikan sumber yang diperoleh daripada sumber yang benar. Di samping itu, tidak rugi jika kita luangkan masa untuk mendengar setiap apa yang ingin mereka kongsikan dan meraikan setiap pertanyaan yang diajukan.
Tindakan ini bukan sahaja membuka ruang mengukuhkan kefahaman malah mengeratkan hubungan ibu ayah dengan anak. Jika ada soalan yang tidak mampu kita jawab secara spontan, maka mintalah waktu untuk menjawabnya kemudian. Di sinilah peranan ta’lim (pembelajaran) dalam keluarga berlaku.
Persis pendidikan dalam suasana keluarga Rasulullah s.a.w, proses ta’lim ini akan menyelaraskan kefahaman dalam sebuah keluarga. Bersesuaian dengan terminologi “usrah” yang digunakan yang merujuk kepada perbincangan dalam kumpulan-kumpulan yang selalunya berkisar tentang perbincangan mengenai agama dan kehidupan.
Contohnya, dalam memberikan didikan solat kepada anak-anak. Bukan sahaja kita fokuskan kepada cara melakukan solat, bila harus dilakukan solat malah mengapa solat itu harus dilaksanakan. Perenungan yang merupakan anjuran daripada Al-Quran ini harus disuburkan dalam mendidik anak-anak. Dengan menyuburkan fungsi akal ini hakikatnya kita sedang menggunakan nikmat Allah yang dianugerahkan kepada kita seterusnya mengenali hakikat kekuasaan-Nya ini akan dapat dicapai.
Namun, ia harus dipandu melalui sumber al-Quran dan Sunah. Sebagai contoh membawa anak berfikir mengapa adanya lima waktu solat dengan rakaat yang berbeza-beza yang turun dibincangkan oleh para ulama Islam akan membuka ruang untuk anak-anak membina kefahaman terhadap keperluan solat serta hikmah difardukan solat. Kefahaman ini akan membuka jendela hikmah dan mengukuhkan keimanan serta membuahkan amalan yang tulus sebagai seorang hamba Allah yang sejati.
Justeru, perkara ini harus diberikan perhatian yang wajar dalam memberikan pendidikan yang berkualiti kepada anak-anak. Tadabbur, tafakur yang dianjurkan di dalam al-Quran harus digunakan sebaiknya untuk memberikan akal fungsinya yang sebenar. Dengan memberikan kefahaman, amal akan dapat dilaksanakan dengan lancar,insya-Allah. Wallahualam.
Sumber: Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhammad (USIM)
KEMAHIRAN ASAS BANGKIT WANITA:
Yuran murah dan berbaloi-baloi. Klik link di bawah ini:
Abby Abadi memohon doa agar terus dikurniakan kesihatan yang baik, kekuatan iman dan rezeki yang melimpah. Dalam masa sama, luahannya mengenai "dunia kejam pada orang miskin" mengundang perhatian ramai.