Impian ASP Nor Aznim Bte Khaironniam   adalah untuk menjadi guru. Namun demi memenuhi impian  ayahnya,  Nor Aznim lepaskan kerjaya idamannya itu dan memilih menjadi Pegawai Polis. Kini sudah 14 tahun Nor Aznim berkhidmat dalam Pasukan Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

“ Saya menyertai pasukan PDRM pada 1 Disember 2005. Ketika menyertai pasukan, saya baru berusia 20 tahun. Namun sebelum saya masuk pasukan PDRM, saya sempat lagi mengikuti pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

” Sebenarnya saya berat hati apabila dipanggil menghadiri temuduga untuk jadi Polis. Saya beritahu ayah yang saya mahu habiskan dahulu pengajian terlebih dahulu. Tetapi ayah tidak bersetuju dan dia mahu saya pergi temuduga tersebut.

” Menjadi Polis adalah impian ayah saya kerana dia adalah anggota Polis. Kerana saya tidak mahu mengecewakan ayah, saya hadir temuduga tersebut.

” Selepas habis temuduga, saya terus cap jari.  Cap jari bermakna saya sudah ‘confirmed’ mahu jadi Pegawai Polis. Ayah saya sangat teruja apabila mengetahuinya. Saya nampak keseronokan pada wajah ayah.

” Daripada situ juga saya tetapkan dalam hati untuk menggembirakan hati ayah. Saya sanggup berhenti belajar semata-mata untuk memenuhi impian ayah.”

Ceritanya lagi apabila diterima masuk pasukan PDRM, dia hanya hanya seronok apabila mengikuti latihan.

“ Saya tidak sedar cabaran dan dugaan yang akan dihadapi apabila tamat latihan. Hanya setelah tamat latihan pada Ogos 2006 dan ditukarkan ke formasi masing-masing, barulah saya tahu susahnya hendak jadi Polis.

IKLAN

” Namun umur yang muda dan tiada pengalaman ketika itu tidak membuatkan saya berputus asa. Saya menjadikan pengalaman yang saya hadapi baik pahit atau manis serta tunjuk ajar dari pegawai atasan dan angggota lain adalah pelajaran buat saya dalam meniti perjalanan saya dalam pasukan.”

Demi Penuhi Impian Ayah, Wanita Ini Sanggup Jadi Pegawai Polis
Bersama rakan sekerja

Mahu Capai Lebih Banyak Kejayaan Pada Masa Akan Datang

Nor Aznim meniti kejayaan cemerlang dalam kerjayanya. Dia yang bermula sebagai Inspektor Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Kuala Pilah Negeri Sembilan, kini telah diamanahkan jawatan ASP Tahanan IPK Selangor.

Antara kejayaan yang pernah dicapainya adalah Anugerah Pegawai Penyiasat Narkotik Terbaik Malaysia sempena Hari Polis pada tahun 2014.

Dia juga pernah diberi Surat Penghargaan PJSJN berkenaan siasatan yang berkualiti sehingga berjaya menyabitkan tertuduh dan dijatuhkan hukuman gantung. Dia juga pernah dihantar menghadiri kursus Workshop on Drug Scene Investigation Bureau, Ministry of Justice di Taipei pada tahun 2014.

IKLAN

Paling hebat, Nor Aznim pernah dilantik sebagai Pegawai Wanita Pertama yang memegang jawatan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KL.

“ Pada bulan Oktober tahun 2016 saya telah melaporkan diri sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Wangsa Maju KL. Kemudian saya telah mendapat tajaan JPA dan PDRM untuk menyambung pengajian dalam Diploma Eksekutif Sains Siasatan.

” Ketika belajar juga saya telah mendapat Anugerah Pengarah UMCCed. Saya juga merupakan salah seorang daripada 5 pelajar terbaik apabila tamat belajar. Setelah tamat belajar saya ditukarkan ke JSJN IPK Selangor sebagai ASP Tahanan.”

Terima Kasih Keluarga

Sewaktu ditemui, anak sulung dari tiga beradik ini  baru sahaja masuk bekerja setelah tamat cuti bersalin. Jelasnya walaupun dirinya seorang Pegawai Polis yang bergelar isteri dan ibu namun dia seimbangkan masanya dalam kerjaya dan keluarga supaya tidak kekurangan di dalam apa juga bidang yang diceburi.

IKLAN

“ Impian saya adalah ingin menjadi salah seorang Pengarah pada masa akan datang. Saya juga mahu mencapai lebih banyak kejayaan dan juga memastikan anak-anak saya berjaya dalam hidup.

” Secara keseluruhannya sepanjang bertugas dalam PDRM, saya telah mencapai kejayaan yang sesuai dengan usaha saya selama ini. Semua ini sukar dicapai melainkan kita bersungguh-sungguh dalam mendapatkan sesuatu.

” Kejayaan saya selama ini adalah berkat doa suami, ibu bapa, anak-anak serta dorongan daripada pegawai-pegawai atasan saya.”

Demi Penuhi Impian Ayah, Wanita Ini Sanggup Jadi Pegawai Polis

Banteras Pengedar

Banyak pengalaman yang telah dikutip oleh ASP Nor Aznim Bte Khaironniam sepanjang dirinya bergelar Pegawai Polis. Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah semasa bertugas di Kuala Pilah.

“Siasatan yang berkualiti adalah sangat penting bagi memastikan pengedar-pengedar dadah ini dijatuhkan hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka. Siasatan terbesar adalah rampasan dadah 200 kg pada tahun 2015 di Sentul,” ujar ASP Nor Aznim ketika ditemui di pejabatnya yang terletak di IPK Shah Alam, Selangor.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI