Andai seorang wanita ditakdirkan dapat suami zalim, tolonglah kaut ilmu sebanyak yang mungkin. Jangan terlalu tunduk ikut apa yang diarah demi merebut status isteri solehah.
Dan jangan sampai diri sendiri teraniaya disebabkan rasa sayang dengan hubungan rumah tangga. Galilah ilmu dari sehabis boleh dan rujuk pada orang yang pakar dalam bidang rumah tangga. Paling mudah, cari kaunselor.
Jangan sampai hati dipijak-pijak dan anak-anak pun kena tempias. Untuk renungan bersama, jemput baca perkongsian Puan Intan Dzulkefli ini…
Ciri-ciri Suami Zalim
Ustazah kata, ramai wanita bergelar isteri salah faham tentang makna wanita solehah. Ramai isteri salah faham makna taat kepada suami.
Suami tak tunaikan nafkah, dia pun tak minta sebab dia fikir jika dia minta nanti dia jadi tak solehah.
Dipukul, dibantai, suami curi duit buat judi, beli dadah, berfoya tak apa, jangan melawan, kena redha barulah jadi isteri solehah.
Suami suruh buka aurat, pakai seksi, dia ikut sebab katanya isteri kena taat semua arahan suami. Sampaikan ada kes, isteri ikut kata suami untuk melacur, kerana nak kejar title isteri solehah yang taat suami. Astaghfirullah. Ini tak betul.
Ads
Ketaatan kepada makhluk akan gugur apabila ia melanggar syarak.
Begitu juga, redha dan pasrah terhadap segala kezaliman dan penindasan yang berlaku ke atas diri bukanlah tanda solehah. Berdiam diri taknak fight untuk tegakkan hak bukanlah tanda solehah.
Islam mengangkat maruah dan darjat wanita sangat tinggi. Hingga Rasulullah SAW berwasiat kepada kaum lelaki untuk menjaga, melindungi dan mendidik kaum wanita bawah tanggungan masing-masing dengan sebaiknya.
Apa nak buat jika suami melakukan kezaliman ke atas isteri termasuklah tak beri nafkah dengan sengaja tanpa alasan kukuh, melakukan penderaan atas isteri?
Ads
1) Perlu dapatkan saksi. Ustazah kata di sinilah peranan jiran, keluarga, adik beradik dan sepupu sepapat. Jadi masyarakat yang prihatin untuk membantu mangsa domestic violent.
2) Snap gambar tubuh yang cedera dan dapatkan laporan perubatan yang official. Dapatkan pengesahan doktor bahawa kecederaan itu berpunca dari keganasan rumahtangga.
3) Laporan polis perlu segera dibuat.
Ads
4) Kemudian barulah mahkamah akan menentukan keadaan. Dalam kes suami sengaja abaikan nafkah, catat pengaliran wang serta bukti cashflow bulanan.
Wanita sebelum berkahwin, galilah sebanyaknya ilmu tentang perkahwinan, ketahui hak sebagai isteri, faham tentang fiqh munakahat. Supaya tidak taat membabi buta tanpa ilmu yang betul.
Ramai isteri yang apabila diceraikan dan masih dalam tempoh iddah terus keluar rumah, balik ke kampung, sedangkan sepatutnya dia berhak untuk dapat hak tempat tinggal, nafkah makan, pakai sebagaimana masih bergelar isteri.
Ya betul, wanita yang diceraikan talak raj’ie atau bain, boleh mendapat hak nafkah seperti semasa masih isteri, nafkah makan, pakaian, perubatan, toiletries & dandanan, tempat tinggal.
Manakala, jika isteri mohon fasakh, khuluk, dicerai secara li’an, hanya layak mendapat nafkah tempat tinggal. Namun, janganlah kerana takut masa depan tak terbela, membiarkan diri dizalimi dan terus tertindas.
Yakinlah, kita semua layak untuk berbahagia, usaha dan tawakal – pertolongan Allah pasti akan tiba. InsyaAllah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dalam rumahtangga amat memerlukan kerjasama diantara suami isteri, baik dalam urusan kerja rumah mahupun anak-anak. Lebih-lebih lagi jika memiliki anak yang ramai dan masih kecil-kecil.Pertolongan dan bantuan daripada suami sendiri amatlah diharapkan.Keletihan dan kepenatan tidak dapat digambarkan buat wanita yang bergelar isteri dan ibu jika terpaksa menguruskannya sendiri seorang diri.
Sesuatu yang perlu di semat dalam fikiran para suami ialah anak ramai bukanlah bukti kelakian. Mohon jangan ‘mendera’ emosi isteri, inginkan anak ramai namun tidak sedikit pun ingin membantu membuat kerja rumah apatah lagi mengupah pembantu. Isteri bukan ‘robot’, bila jiwanya sangat penat mahupun dalam keadaan tekanan dan kemurungan, boleh menyebabkan bertindak diluar batasan.
Aku nak buat confession mengenai sesuatu yang aku lakukan 3 tahun lepas. Aku tau aku akan dikecam, mungkin ada insan baik hati yang akan bagi kata nasihat, ada insan yang kesian akan doakan yang baik-baik. Tapi aku redha kalau dikecam. Sebab apa aku dah buat memang berdosa tapi aku terpaksa. Confession aku buat sebab viral ada seorang ustaz cakap anak ramai bukti kelakian dan kesuburan wanita. Aku tak setuju sangat.
Aku buat perkenalan dulu supaya kalian dapat menghakimi aku secara keseluruhan. Aku seorang wanita berumur pertengahan 30an dan beranak 6. Aku dah masuk 8 tahun kahwin. Maksudnya aku beranak 1 tahun sekali.
Dulu aku kerja. Gaji boleh tahan la. Aku dulu sekolah asrama, belajar sampai degree. Dapat anak kedua, suami aku suruh aku berhenti kerja jaga anak. Sebab bayaran pengasuh mahal, katanya. Dia suruh duduk rumah, jaga, susukan anak, banyak dapat jimat duit. Dia mampu. Dia janji akan bagi aku nafkah, apa saja aku nak. Awal-awal memang dia tunaikan janji. Masuk anak keempat, janji mula dilupakan. Bila aku minta duit, macam peminta sedekah. Kena bebel dulu. Baru bagi. Itupun setengah daripada apa yang aku minta.
Baju baru? Baju dalam baru? Kasut baru? Dah lama aku tak bau barang baru. Kulit muka pon menggerutu sebab aku tak ingat bila terkakhir aku buat facial. Dulu masa bergaji aku selalu pergi spa dan facial. Suami aku kerja sendiri. Gaji ikut rezeki. Tak tetap. Tapi dia memang rajin cari duit. Bawak lori, tolong kawan niaga pasar malam, bazar. Tapi akibatnya keluar kerja sebelum matahari naik. Balik kerja bila dah tenggelam.
Bab jaga anak, dia boleh diharap. Tapi bab tolong buat kerja rumah, dia memang tak sentuh langsung. Semua aku buat sendiri. Tapi dia tak bising kalau baju berlonggok, rumah sepah. Cuma aku yang sakit mata. Jadi aku gagahkan diri buat. Malam-malam kalau suami dah balik, dia layan anak-anak. masa tu aku ambil untuk uruskan hal rumah.
Kalau mertua dan ipar, mereka dinegeri lain. Mereka tak campur sangat urusan kami sekeluarga. Tapi mereka keluarga besar. Suami ku ada 8 adik beradik. Ibu bapa aku dan meninggal dunia masa aku ada anak 1. Sakit tua. Mula-mula ayah, lepas tu ibu. Aku ada seorang adik lelaki, dia sekarang ambil master. Belum kahwin. Kami tak rapat. Biasa-biasa je.
Aku tak pakai apa-apa penghalang kehamilan. Aku mahu. Tapi suami tak izinkan. Dia suka anak ramai. Meriah, katanya. Lagipun dia rajin layan anak. Aku sungguh penat tapi aku bodoh, ikut kata suami membabi buta. Sampailah takdir, aku mengandung anak ke-7.Tepat anak ke-enam ku 1 tahun 2 bulan. Aku mengandung lagi.
Aku nangis. Aku tak sanggup. Aku letih sangat. Aku baru 30-an tapi aku nampak macam nenek orang. Aku dah beruban. Aku rayu suamiku supaya bagi aku masa untuk diri aku tapi ayat dia ’mak saya dulu boleh je. Besar elok je saya adik beradik. Takde siapa takde urut lah orang dulu-dulu’. Aku stress. Aku rindu kawan-kawan aku yang sekarang dah lost contact. Aku takde orang nak luah. Aku pernah juga luah aku penat kepada suami. Aku minta dia ingat janji-janji dia masa aku berhenti kerja. Dia tuduh aku tak bersyukur. Tak bersyukur dia masih lagi setia, balik rumah setiap malam walaupun selepas penat seharian kerja. Dia kata aku tak reti berterima kasih sebab muka aku tak pernah senyum.
Aku sedih. Aku bagitahu, aku penat. Senyum pun tak larat. Bukan aku tak bersyukur. Tapi tolong la. Aku penat. Dia diam je. Setiap kali lepas gaduh, dia akan diam. Takde penambahbaikan. Naikkan sikit duit rumah pon dia tak buat. Dia tak bagi aku uruskan duit. Barang dapur, dia beli. Yuran tadika anak, dia bayar. Pampers, dia beli. Aku tak ada duit. Aku buat sedikit online bisnes, jadi agent doorship, hasil tu aku buat main kutu, dan simpan sikit-sikit.
Aku mengandung anak ke 7. Aku menangis melihat urine test yang aku curi-curi suruh jiran ahmoi aku beli. Aku kira-kira bila last period, maksudnya baru mengandung 5 minggu. Aku tiba-tiba jadi moody sangat. Dengan anak-anak aku jadi garang sangat. Dengan suami aku dah pandai gaduh lempar barang. Aku tak bagitau aku mengandung. Aku tak bagitau sesiapa aku mengandung. Hari-hari aku lompat bintang, naik turun tangga, tak makan, supaya badan aku lemah dan tak mampu mengandungkan anak ini. Aku jadi benci dengan semua orang. Termasuk diri aku. Aku pernah menangis pukul 2 pagi diluar rumah sambil pukul-pukul perut.
Selepas 2 minggu. Aku tak tahan. Aku tengok duit simpanan aku ada 3 ribu. Aku simpan diam-diam hasil doorship, kutu. Dengan duit tu aku beli baju dalam baru, spender baru, aku jimat-jimat. Satu hari, aku tekad. Aku nak gugurkan kandungan ini. Aku ada jiran cina yang sosial. Aku panggil dia ahmoi. Aku tahu sebab dia selalu bawa laki lain-lain balik rumah. Dia je manusia yang berborak dengan aku ditaman ni. Wanita-wanita lain semua jenis membawang. Aku taknak kisah hidup aku jadi bahan bawang mereka.
Aku beranikan diri tanya dia pernah gugurkan kandungan tak. Dia tanya kenapa tanya soalan pelik. Aku terus terduduk depan dia, nangis macam orang tak siuman. Aku meraung-raung cakap aku dah taknak anak. Aku tak larat. Aku penat.. Suami aku tak faham. Tau nak anak banyak tapi semua aku yang buat. Dia pujuk aku. Dia bagi aku satu alamat. Dia kesian tengok aku menangis. Dia kata dia tolong.
Aku guna duit simpanan aku upah satu bibik harian untuk seminggu. Kebetulan suami aku ada job bawa lori ke Kelantan. Katanya tak balik 2-3 hari. Lepas tu aku dengan ahmoi pergi klinik tu. Aku berdebar, tapi aku tekad. Doktor tu scan, ada janin berusia 7 minggu, dia pon bagitau prosedur (aku tak nak cerita details) apa dia akan buat. Dan harga. Harga tu aku mampu bayar jadi aku setuju je.
Cukuplah kalian tahu aku menangis teruk sambil minta maaf semasa prosedur. Aku cakap aku tak mampu. Ayah dia tak menolong. Aku penat, aku stress. Semua selesai.
Suami aku balik, aku cakap aku period pain. Bibik tu aku pakat dengan dia tipu suami aku cakap tu bibik jiran, bercuti tak bawa bibik. Bagi pinjam seminggu. Suami aku diam je. Tapi dia tak selesa ada bibik kat rumah. Dia keluar dengan kawan pergi memancing (ni sebab dia taknak upahkan aku bibik. Dia tak selesa ada orang asing dalam rumah).
Seminggu lepas procedur tu, doktor ada suruh datang untuk check betul ke dah takde. Aku angkut semua anak-anak dan ahmoi ke klinik. Anak-anak aku bising dalam klinik, ahmoi tolong jaga sementara aku check dengan doktor. Doktor kata dah takde. Aku nangis lagi. Dia kata dia faham. Bukan kali pertama ada wanita datang kata tak ready pregnant sebab anak kecik, suami tak menolong, atau tak mampu. Aku diam je. Dia suruh aku pakai alat pencegah kehamilan. Aku kira-kira duit aku ada lagi. Aku setuju. Aku pakai alat. Doktor kata tahan 5 tahun.
Hal ni 3 tahun lepas. Sekarang anak-anak aku dah besar sikit. Aku pon boleh simpan duit lebih banyak sebab boleh buat lebih banyak kerja. aku berniaga online. Tak harap suami lagi. Dia tau aku berniaga, lagi lah dia jadi kedekut. Aku dengan suami dingin. Aku bosan dengan dia. Hubungan kami atas katil je. Aku tak risau lagi sebab dah pakai alat. Dia tak berubah langsung. Masih ditampuk lama.
Aku sampai sekarang sedih dengan apa aku buat. Rasa dosa. Tapi kalau aku tak buat, aku yang meroyan. Aku hari-hari minta ampun. Semoga Allah ampunkan aku. Aku sayang anak-anak yang aku ada. Biarlah ayah mereka macam tu. Aku nak didik mereka supaya tak jadi macam ayah mereka.
Akhir kata, anak ramai bukan ukuran kelakian atau kesuburan. Tapi tanggungjawab. Tanggungjawab bukan hanya bagi sperma. Tapi membesarkan, didik, nafkah. Isteri pon manusia. Kami bukan kilang anak. Lepas tu harap semua kami buat semua. Aku kadang-kadang rasa benci dengan suami. Tapi aku sabarkan diri dengan alasan sekurang-kurangnya dia tak pukul aku dan anak-anak. Tahan je la selagi nyawa dikandung badan. Aku harap wanita diluar sana lebih bijak. suami tak izinkan pakai pencegah kehamilan tu, lantakkan. Bukan badan mereka yang penat. Pakai je senyap-senyap.
Harap kalian tolong doakan dosa aku diampunkan. Suami aku berubah. Anak-anak aku membesar jadi manusia bertanggungjawab.
– Insan Berdosa
Mingguan Wanita mengharapkan semoga para suami,mendapat pengajaran daripada perkongsian ini. Bantulah isteri yang kepenatan, sama-samalah menguruskan anak-anak dan rumahtangga. Isteri yang berada dalam keadaan sangat kepenatan dan kemurungan mampu bertindak diluar batasan dan akal fikiran. Buat wanita ini, menggugurkan kandungan tetap satu dosa.Apa pun teruslah berdoa dan meminta keampunan daripadaNya.Semoga diberi kekuatan dan ketabahan dan menguruskan keluarga dan anak-anak.
Tak baik pandang serong pada golongan ibu tunggal, dia sendiri tak pernah meminta untuk bertukar status sekelip mata. Tetapi kalau itu satu takdirnya, dia terima dengan redha demi anak-anak.
Sebagai orang luar, kita tak berhak memandang sinis pada golongan ibu tunggal atau janda. Apa lagi bergurau senda tantang statusnya.
Kita sendiri tak tahu apa yang membuatkan dia terpaksa memilih untuk menjadi ibu tunggal a.k.a janda. Untuk lebih dekat, jemput baca perkongsian saudara Firdaus Shakirin tentang ibu tunggal atau janda.
“Hati-hati, dia tu janda…”
“Tengok yang putih duduk kat hujung tu, dia tu janda anak 1… muda lagi dah jadi janda kan…” kata seorang kawan sambil menunjukkan ibu tunggal tu kepada saya.
“So what…?” balas saya…”Tak la, hati-hati la, dia tu kan janda.”
Janda ni orang yang senang dihampiri ke? Janda ni, terdesak sangat nak cinta? Janda ni, tak ada maruah? Tak ada harga diri? Jadi janda itu satu dosa?
Hmm… ini pandangan dan perspektif masyarakat terhadap janda a.k.a ibu tunggal. Kalau dia tahu yang dia akan jadi ibu tunggal, agak-agak dia akan berkahwin tak dengan lelaki yang “menghadiahkan” dia status tu?
Perempuan bergelar ibu tunggal disebabkan lemahnya lelaki dalam menjadi suami.
Dalam rumahtangga, sepatutnya hanya perlu ada siapa? Suami dan isteri… tapi bila lemahnya si suami dalam memerintah, rumah tangganya ada suami, isteri dan mertua. Mertua yang menentukan hala tuju rumah tangga, mertua yang membuat keputusan, mertua yang memastikan rumah tangga anaknya mengikut apa yang dia nak.
Isteri mana yang tahan? “Orang luar” masuk campur dalam urusan rumah tangganya.
Suami jadi bisu, hilang kebebasan untuk bersuara disebabkan tak faham apa maksud perkahwinan, siapa yang bertanggungjawab menentukan hala tuju keluarga itu dan bila sepatutnya “orang luar” itu masuk campur dalam hubungannya dengan isteri.
Suami tak betul-betul jadi suami sebab tak ada ilmu.
Then datang bab suami abai tentang nafkah, culas tentang kewajipan, dah kawin, tapi malas nak kerja. Kerja tak tetap, sekejap stay sekejap tukar dan selalu harap bantuan dan pertolongan dari isteri. Siapa KETUA KELUARGA sekarang ni? Sesebuah hubungan akan pincang bila mana fitrah tu kita tak ikut. Ketetapan dan panduan yang agama dah gariskan.
Suami asyik dengan kawan-kawan, suami addicted to benda terlarang.
Bila dah kawin, buat macam cara dah kawin. Bukan dok rasa diri tu bujang, boleh keluar sesuka hati melepak main game sana sini. Solat tunggang langgang then mula terjebak dengan benda terlarang. Iman tak kuat, senang ikut pengaruh rakan-rakan dan syaitan.
Belum sentuh lagi bab pukul isteri, bab layan isteri macam hamba, bab tak bagi isteri balik jumpa keluarganya dan sebagainya. Berlakunya kes penceraian untuk sesebuah rumah tangga itu adalah disebabkan lemahnya lelaki dalam menjadi suami. Lelaki yang tahu tanggung jawab, ada ilmu, pandai menggunakan akal dengan baik, dia akan jadi suami yang baik dan “perempuan” yang berkahwin dengannya tak dapat title “ibu tunggal”. Dia akan dapat title isteri solehah dan ibu mithali disebabkan suaminya pandai membimbing dan membentuk dirinya.
Menjadi ibu tunggal itu adalah pilihan yang terbaik untuk mereka berdasarkan apa yang mereka hadapi dan apa yang mereka lalui. Jadi siapa kita untuk nak mempersoalkannya?
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Rasanya masih ramai mak ayah yang masih tak sedar keburukan beri anak main gajet lama sangat, dan kali ini pendedahan pengalaman seorang ayah sendiri yang mana dalam tak sedar dia nampak perubahan negatif dalam diri anaknya.
Andai ada mak ayah di luar sana yang masih ambil jalan mudah bagi diamkan anak, jemput renungkan seminit dua perkongsian saudara Syamsul Rijal Jamil dan buatlah pilihan terbaik.
Kesilapan besar saya dalam mendidik anak adalah dengan memberikan dia TABLET (TAB). Ketika itu anak saya Muhammad Jibriel Emand baru berusia setahun setengah. Tujuan awal “kononnya” supaya dia :
1) Mudah mengenal huruf dan belajar melalui software interaktif pintar yang menarik dan menyeronokkan;
2) Emand ini sub-modality nya adalah “kinestetik” iaitu jenis anak sangat sangat lincah, aktif dan memang langsung tak boleh duduk diam. Maka dengan adanya TAB, dunia dilihat menjadi aman seketika kerena dia leka bermain TAB tersebut (terutamanya di meja makan);
Pada usia beliau 3 tahun, dia sudah boleh men “download” game-game yang beliau suka dan dengan jarinya yang kecil itu dia sudah mampu untuk “create new folder” bagi mengisi game baru yang telah dimuatnaik.
Sewaktu umur beliau 4 tahun, dia sudah bermain “Zombie Plant” pada “level” yang tinggi. Beliau akan menjadi “tutor” kepada ibunya bagaimana cara bermain dengan betul. Sebelum bermain dilevel yang lebih tinggi, Emand akan belajar dulu teknik-teknik baru melalui “You Tube” yang kami sendiri pun tak tahu masa bila dan macamana dia boleh tahu tentang “You tube” tu.
Pada usia 6 tahun, beliau mula bermain “strategic war game” yang “complicated” dan tahu sangat banyak terminology gamers yang ada.
Adakah ini suatu pencapaian yang dibanggakan ?
TIDAK !
Suatu malam saya terjaga sekitar jam 2 pagi untuk ke tandas dan sangat terkejut apabila dia begitu asyik bermain gamenya didalam kegelapan bilik tidur !
Selain itu kami juga menyedari perkara-perkara berikut :
1) Dia menjadi sangat tidak sabar bila apa yang diingini tidak kesampaian. Dalam game atau alam maya nak dapat sesuatu cepat dan senang, jadi di alam sebenar juga bagi dia harus begitu.
2) Watak anak yang ceria, aktif dan menghiburkan tiba-tiba berubah menjadi watak pemalu dan tidak suka bergaul. Dia sudah mula masuk dalam dunia game beliau dan terasa kekok bila berdepan dengan manusia lain;
3) Emand menjadi mudah sangat nak merajuk dan terasa hati serta mudah menangis. Anak-anak yang kurang bersentuhan dan berinteraktif dengan orang lain akan terasa seperti dipulau dan tidak disayangi.
4) Wataknya mudah bertukar agresif dan memukul ibunya jika tidak mendapat apa yang dipinta. Kalau ingin menang dalam game, anda harus membunuh musuh atau halangan anda dan mengambil apa yang anda inginkan. MAKA itulah yang dia buat.
5) Ujian mata yang dibuat di sekolah tadika beliau menunjukkan tanda-tanda rabun sedang berlaku.
Melihat kepada perkembangan yang menakutkan ini, kami telah mencuba banyak cara dan apa yang paling jelas adalah, kami MESTI mengurangkan masa yang diambil untuk bermain game-game kesukaanya .
1) Hanya 5 minit siang dan 5 minit malam untuk bermain. Jika dia melanggar lebih dari 5 minit maka dia akan kehilangan masa bermain selama 3 hari. 1 hari tanpa handphone atau tab cukup memberi sengsara bagi hidupnya.
2) Aktiviti luar yang lebih banyak. Emand dibawa lebih kerap untuk berbasikal, melakukan aktiviti luar yang lebih lasak dan dihantar ke program “survival” agar dia kembali berkomunikasi dengan orang lain.
3) Dia dihantar menjalani latihan karate supaya bila badannya letih keinginan nak bermain game itu sedikit berkurangan.
4) Saya gunakan sifatnya yang semulajadi aktif dengan menambah aktiviti yang lebih mencabar seperti berlumba dilitar motocross pada usia beliau 5 tahun sehinggalah sekarang.
5) Beliau juga tahu jika disekolah terdapat sebarang aduan dari guru atau markah peperiksaan beliau jatuh ke gred C, maka beliau akan kehilangan peluang bermain game selama 2 bulan.
6) Kami berikan dia LEGO yang dia suka bagi mengisi masa lapangnya. LEGO adalah gaming yang sangat baik untuk ransangan minda dan kreativiti. Tahap kesukaran LEGO itu saya tambah pada setiap binaan yang telah lengkap.
Alhamdulillah terdapat banyak peningkatan yang berlaku namun apa yang berlaku pada Emand terjadi pada ramai anak-anak kecil yang lain.
Teknologi sepatutnya membawa kemajuan dan peningkatan mutu hidup NAMUN, ia misti dikawal dan digunakan sesuai pada umur dan masa. Jangan diulangi kesilapan saya.
Jangan sammpai anak-anak anda ketagihan bermain TAB dan GADGET hingga menjahanamkan mata, otaknya dan yang paling bahaya adalah jiwanya.
Biarlah dia menangis dimeja makan, biarlah dia berlari di Shopping Mall, biarlah dia menjerit dan meraung sekuat hati didalam kereta sewaktu anda sedang memandu kerana semuanya itu hanya seketika. Itulah masa yang paling manis dan indah ketika dia masih kecil dan akan menjadi saat yang akan dirindui.
Usah kerana inginkan anak itu tenang dan terkawal maka TAB itu dihulurkan, takut- takut nanti kita pulak yang tak akan senang dan gulana sampai ke mati.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bertukar nyawa, niat murni seorang abang selamatkan adik daripada dihanyutkan arus deras berakhir dengan tragedi memilukan apabila dia ditemukan lemas dalam kejadian di Taman Ayer Keroh Heights.