nak jodoh kekal ke jannah jom cuba petua ini

Nak jodoh kekal hingga ke hujung nyawa, perlu ada usaha. Bukan hanya berserah pada keadaan saja. Tak ada orang yang impikan perceraian sebagai pengakhir hubungan suami isteri. Tapi apakah daya, jodoh terputus di tengah jalan. Bagaimana hendak kekalkan jodoh hingga ke jannah?

Ikuti tip yang dikongsikan oleh Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-undang Keluarga Islam dan juga penulis ruangan Keluarga Sakinah di dalam majalah Mingguan Wanita.

Berpisah

Kita pernah melihat orang yang gagal dalam percintaan, bahkan putus tunang dengan cara yang kejam dan dalam sekelip mata sahaja. Kita juga mendengar ada sahabat yang bercerai selepas pulang daripada berbulan madu sedangkan inai di tangan pun tak pudar lagi, betapa pedihnya! Ada juga pasangan yang tak tahan cabaran menggalas tanggung jawab, setelah lahir anak-anak yang comel, ‘mati’ pula cinta mereka di tengah jalan.

Orang tua yang dah nak berkedut kulitnya pun tak terlepas daripada ujian dalam rumah tangga, syahwat masih menyala kerana yang segak dan muda menggugat imannya, jadi jangan pernah rasa selesa! Jom amalkan petua kuatkan jodoh anda! Apakah tanda-tanda si dia jodoh dunia akhirat anda?

Allah SWT telah menjawab persoalan itu, malangnya manusia telah meremehkan petunjuk-petunjuk dalam Al-Quran dan hadis Nabi s.a.w.

Nak Jodoh Kekal Ke Jannah, Amalkan Petua Ini!

 Takut Nak Buat Maksiat

Suka memperbaiki diri, nak menerima kelemahan dengan hati yang terbuka dan amat bersemangat menyuntikkan kekuatan baru pada pasangannya. Isteri amat takut melakukan maksiat kerana jika suaminya bersih dan suci akan terlerailah jodoh di antara mereka berdua. Oleh itu isteri akan terus berusaha menjadi baik apabila melihat suaminya jauh lebih baik dan begitu sebaliknya. Perangai kedua-duanya amat sesuai dengan penceritaan dalam Al-Quran:

IKLAN

“Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)…” (Surah al-Nuur ayat: 26).

Wanita yang baik untuk lelaki yang baik maksudnya baik dalam semua aspek bukan hanya baik tutur katanya tapi tak solat, atau baik ibadahnya tapi tubuh badannya tidak bersih dan merangsang keinginan suami. Jika dia bertudung tapi bau badannya menyakitkan hidung suami dan penampilannya menakutkan maka tudungnya itu belum sempurna, imannya masih cacat. Suami yang baik juga amat mementingkan kesempurnaan pada seluruh aspek keperibadiannya. Alangkah kelirunya suami yang tak pernah tinggal solat tapi masih menzalimi isteri, kuat ibadah tapi malas bekerja.

Alangkah romantiknya bila suami isteri suka menyuntikkan motivasi satu sama lain, bertukar-tukar kata-kata perangsang, cerita-cerita menarik tentang insan-insan hebat yang boleh dijadikan inspirasi dalam kehidupan perkahwinan. Jika gagal tidak marah bahkan bangkit dengan lebih ceria. Kalaulah anda dan suami berperangai begitu maka kuatlah jodoh itu dengan izin-Nya.

Anda Dan Suami Telah ‘Ceraikan’ Syaitan

Siapakah yang boleh meleraikan hubungan hamba dengan Tuhannya? Ya, syaitan! Jodoh akan kuat jika anda dan suami berpegang dengan tali Allah dan sebaliknya akan lemah jika melepaskan diri dari ikatan Allah. Hanya hati yang lalai kan tersungkur di kaki syaitan, sungguh perceraian boleh terjadi kerana salah satu dari suami isteri memilih syaitan sebagai orang ketiga dalam rumah tangga mereka.

IKLAN

Jangan rasa selesa jika suami tiada wanita lain, cuba selidiki apakah dia bermesra dengan ajaran dan hasutan syaitan? Jika syaitan menjadi teman setia, segalanya tentang isteri boleh bertukar menjadi hodoh dan bodoh! Hal ini pernah diperingatkan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya:

“Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air (laut) kemudian dia mengutus bala tenteranya. Maka yang paling dekat dengannya adalah yang paling besar fitnahnya. Datanglah salah seorang dari bala tenteranya dan berkata: Aku telah melakukan begini dan begitu. Iblis berkata: Engkau sama sekali tidak melakukan sesuatupun. Kemudian datang yang lain lagi dan berkata: Aku tidak meninggalkannya (untuk digoda) hingga aku berhasil memisahkan antara dia dan isterinya. Maka Iblis pun mendekatinya dan berkata: Sungguh hebat (syaitan) seperti engkau” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Ceraikanlah diri anda daripada syaitan, taatlah kepada Allah agar mendapat pasangan yang suci lagi setia. Jauhkan syaitan daripada makanan, pakaian dan tempat tinggal anda, beringatlah dalam darah daging kita mengalir syaitan, hanya mereka yang kuat bersama Allah akan mengalahkan hasutannya.

Jodoh Itu Rezeki, Nak Kuat Ada Syarat

Rezeki bukan hanya wang ringgit, jodoh juga salah satunya. Allah SWT berfirman: “Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar dan akan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka.” – (Surah Ath-Thalaq ayat: 2-3)

IKLAN

Nak jodoh yang kuat? Allah SWT bagi isyarat, hati kena kuat bertakwa, maknanya takut kepada Allah SWT dalam menguruskan cinta. Takutnya isteri kepada Allah menjadikannya tak senang tidur jika rumah tak sedamai yang diimpikan suami. Takutnya suami kepada Allah dalam urusan isterinya membuat hatinya gelisah jika isteri tak cukup nafkah.

Begitulah susahnya nak menguatkan jodoh sampai ke akhirat, jika di dunia tidak selesai lagi bagaimana cinta kan dibawa mati? Ya Allah, kuatkanlah jodoh kami!

Jangan lupa follow kami di:

Facebook Mingguan Wanita

Instagram Mingguan Wanita

Twitter Mingguan Wanita

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI