Pandemik Covid-19 menyebabkan pelbagai sektor terjejas teruk lebih-lebih lagi sektor pelancongan. Banyak negara yang melakukan sekatan pintu sempadan bagi mengekang pandemik ini. Malah jika ingin ke negara yang dikunjungi, tempoh kuarantin 14 hari adalah perkara yang wajib dilalui serta perlu tinggal di hotel mahupun pusat penempatan sementara.

Kuarantin 14 Hari Di Resort Golf

Terbaru, Thailand menawarkan pengalaman kuarantin yang unik kepada pelancong asing memasuki negara itu, apabila mereka boleh memilih untuk menjalani tempoh kuarantin 14 hari di resort-resort golf.

Dalam usaha meningkatkan semula sektor pelancongan yang merudum akibat COVID-19, kerajaan Thailand telah meluluskan enam resort golf sebagai pusat kuarantin, termasuk tiga di Kanchanaburi dan masing-masing satu di Nakhon Nayok, Phetchaburi dan Chiang Mai.

Dibenarkan Bergerak Bebas

Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) menyatakan, pelancong asing yang menjalani kuarantin di resort golf terbabit, akan dibenarkan untuk bermain golf dan bergerak dengan bebas, berbanding hanya duduk di bilik mereka ketika tempoh dua minggu kuarantin mandatori.

“Thailand kekal sebagai syurga pemain golf, walaupun ketika pandemik COVID-19.

“Dengan jumlah pemain yang kurang, kini lebih mudah untuk membuat tempahan masa bermain, dan rentak permainan yang lebih cepat dari biasa dan kurangnya kerosakan akibat kurang penggunaan sejak tahun lalu,” menurut kenyataan itu.

IKLAN

Tawar Pakej Khas Kuarantin

Menurut kenyataan itu, pelancong asing yang memilih untuk kuarantin golf itu memerlukan visa, sama ada Visa Pelancongan Sekali Masuk atau Visa Pelancongan Khas, insurans perjalanan dan perubatan dan juga sijil kemasukan.

Tambah TAT, padang golf di Thailand juga mengekalkan nilai terbaik untuk wang mereka dan juga tawaran pakej khas kuarantin dengan diskaun yuran padang dan kemudahan khas lain.Kuarantin golf ini adalah usaha terkini bagi menarik pelancong asing ke negara itu, sewaktu pandemik COVID-19.

Tahun lalu, Thailand menawarkan Visa Pelancongan Khas untuk pelancong asing jangka panjang, bagaimanapun ia tidak mendapat sambutan seperti diharapkan.

Pada 2019, Thailand berjaya menarik kira-kira 40 juta pelancong yang membelanjakan 1.91 trillion baht.

IKLAN

Tahun 2020 dari Januari ke November, jumlah pelancong asing hanya 6.7 juta, menurun 81 peratus berbanding 2019, dengan 6.69 juta daripada jumlah itu tiba pada suku pertama tahun itu, sebelum sekatan perjalanan dikenakan pada April.

Bagi tempoh 24 jam lalu, Thailand mencatatkan 271 kes baharu COVID-19, dengan dua lagi kematian, menjadikan jumlah keseluruhan di negara itu kepada 11,262 kes dan 69 kematian.

Daripada 271 kes baharu terbabit, sejumlah 259 membabitkan kes jangkitan tempatan termasuk 181 menerusi aktiviti penyaringan aktif dan 12 kes import.

Dua kematian dilaporkan di negara itu termasuk seorang warganegara British berusia 71 tahun dengan tahap kesihatan rendah dan seorang warga Thai yang menghidapi kencing manis.

IKLAN

Penularan terkini di Thailand sejak pertengahan Disember telah merebak ke 60 wilayah, mencatatkan 7,025 kes dengan sembilan kematian. – BERNAMA

Baca Lagi Di Sini:
Anak POSITIF Covid-19, Ibu Tunggal Ini Sanggup Ambil RISIKO Temankan Anak Hingga SEMBUH

COVID-19: Kes Harian Meningkat 6,000, Kerajaan Jepun Umum DARURAT

MW: Pandemik COVID-19 memang menyebabkan pelbagai sektor terkesan, lebih-lebih lagi sektor perlancongan yang terjejas teruk. Menarik juga usaha kerajaan Thailand dengan menjadikan Resort Golf sebagai Pusat Kuarantin untuk pelancong asing.Semoga usaha yang dilakukan ini dapat membantu memulihkan sektor perlancongan di negara mereka.

Sumber: Bharian

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI