Apakah anda pernah merasa cinta tak berbaki lagi dalam hati? Apa puncanya suami dengan tak sengaja marah dan melafazkan ayat yang amat menyakitkan perasaan?
Sampai bergegar Arsy Allah, inikan lagi hati seorang wanita, jika suami tak sengaja lafazkan cerai. Saat suami ancam isteri dengan gelodak emosi yang murka, yang didengari hanya kata syaitan durjana yang mengapi-apikan lidahnya.
Ketika itu isteri berasa amat terhina, hilang segala kemanisan kasih sayang, pupuslah rasa cinta. Bersama kolumnis ruangan Keluarga Sakinah di dalam majalah Mingguan Wanita, Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, yang juga Perunding Undang-Undang Keluarga Islam berkongsi topik ini.
Cinta Hilang
Bila suami memeluk, tidak lagi terasa hangat. Bila dia memujuk, tiada lagi rasa damai. Bila dia menangis meminta ampun sekalipun, hati isteri terkunci mati. Benarkah cinta begitu mudah hilang tiada bekas? Berapa lama anda rasa sebegitu, berhari-hari atau berminggu bahkan bertahun?
Pada kebiasaannya, jiwa yang gelisah akan mencari ketenangan di sisi Tuhan. Tiada lagi tempat yang menjanjikan jalan keluar kecuali meminta tolong kepada Allah kerana Dialah satu-satunya Tuhan Yang Maha Mengurus makhluk dengan sempurna. Saat itu kita cuba membelek kembali nasihat agama, petunjuk al-Quran dan hadis Nabi s.a.w yang memberi panduan dalam setiap ujian kehidupan.
Ads
Beberapa petua dan tip ini diharapkan boleh menjawab persoalan tentang bagaimana cara mengubat luka di jiwa isteri atau suami jika kita berdosa kepadanya?
1. Takutlah Kepada Allah Dan Perbaiki Diri
Dosa kita kepada pasangan sebenarnya berkait rapat dengan dosa kita kepada Allah. Semua perbuatan jahat kita kepada pasangan penyebabnya adalah kerana kita suka bermaksiat kepada Allah. Suami yang leka tak solat, asyik berhibur sampai tak ingat jalan pulang, lupa tanggungjawab kepada isteri dan anak, lebihkan kawan sampai tak tahu nak bezakan halal haram, perangai suami sebeginilah yang merosakkan perkahwinan.
Oleh itu jika mahu memperbaiki hubungan dengan pasangan, kita juga wajib memperbaiki hubungan dengan Allah SWT. Sebagaimana nasihat Rasul s.a.w kepada umatnya: “Bertakwalah (Takutlah) kamu kepada Allah di manapun kamu berada, iringilah keburukan dengan kebaikan nescaya kebaikan itu akan menghapuskan keburukan (dosa). Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang mulia.” (Riwayat Imam at-Tirmizi, hadis hasan sahih)
Ads
Hati siapa yang tak lunak melihat suami bersungguh-sungguh mahu menebus kesilapannya dengan bertaubat, menjadi hamba Allah yang soleh. Jika dulu masanya habis bersama gadjet sekarang kerap bersama al-Quran. Suaranya tidak lagi kasar dan menyakitkan kerana lidahnya kerap beristighfar. Hartanya diserah kepada isteri untuk diurus tidak lagi kedekut memberi sedekah kepada anak sendiri. Kawan-kawannya yang dulu minat bola, judi dan maksiat telah ditinggalkan diganti dengan kawan-kawan yang minat belajar agama, jujur dan berjaya dalam kerjaya. Jika suami seperti ini datang kepada isterinya dan meminta dibukakan pintu maaf, pasti isteri rela melupakan apa yang dulu pernah menyakitkannya.
2. Hati Suka Pada Hadiah
Untuk menyatakan ampun maaf yang ikhlas, suami perlu memberi sesuatu yang boleh menyenangkan hati isteri. Bercutilah, berilah bonus sebagai tanda menghargai jerih payah isteri.
Ada suami yang hartanya banyak tapi takut membelanjakannya, tak terfikir membawa keluarga menikmati harta sehinggalah keluarga itu terpisah. Anak-anak membesar tanpa ditinggalkan kenangan manis. Tak pernah pergi bercuti, tak mahu merai hari-hari penting dalam keluarga, tak ingat hari lahir mereka, tak buat apa-apa majlis untuk menyatakan kesyukuran sebagai sebuah keluarga. Apa yang akan diingat oleh anak-anak dan isteri?
Ads
Ayah mereka yang sibuk mengumpul harta, tapi tak mampu menikmati harta. Kenangan apa yang akan ditinggalkan kepada keluarga kita? Akhirnya si ayah meninggal tanpa sempat menikmati hasil jerih payahnya sendiri. Betapa ruginya melihat anak-anak dewasa tanpa sempat melakar kenangan indah dalam jiwa mereka.
3. Sabar Dan Sentuhlah
Suami yang pernah berdosa kepada isteri perlu bersabar menerima penolakan-penolakan isteri ketika mahu berdamai. Jangan sesekali ancam isteri dengan kata-kata kesat ketika dia enggan melayan atau lambat memberi respons ataupun acuh tak acuh bila dimintai khidmatnya. Suami perlu bersabar, banyak memberi maaf daripada menghukum, belajar semula cara meruntuhkan ego isteri, membuatnya jatuh cinta lagi.
Satu sentuhan yang paling berkesan adalah dekatkan dia pada agama, pergi ke masjid bersama-sama, mendengar ceramah, membaca al-Quran dan hadis-hadis bersama sebelum tidur,tak lokek meminta maaf dan banyak bertanya kepada isteri tentang layanan anda terhadapnya. Semua ini jika diamalkan akan melembutkan hati isteri dan menerima anda kembali seperti dulu.
Inilah antara petua-petua yang dihasilkan dari pengalaman orang-orang yang pernah mengalami konflik dalam rumah tangga. Tiada siapa yang terlepas dari goncangan alam perkahwinan sekalipun Nabi dan Rasul, patah lagi kita manusia biasa. Jika tersilap cepatlah bertaubat, baiki apa yang rosak kerana perkahwinan adalah ibadah yang dilakukan seumur hidup, ia akan menentukan syurga atau nerakakah yang akhirnya menjadi milik kita. Ya Allah berilah pertolongan!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Seorang suami itu memang terkenal dengan sifat egonya. Kecil atau besar, ia tetap ada. Katakan isteri tak faham akan ego suaminya sendiri, konfliklah yang lebih kerap berlaku. Hakikatnya, tak adalah sukar sangat nak kenal ego suami. Untungnya bila isteri dah kenal ego suami, mudah untuk isteri bertoleransi dengan pasangannya itu.
Inilah bukti perkongsian hasil temubual Mingguan Wanita dengan Puan Diyana Tahir, penulis, coach dan pengasas program e-Hati. Kata beliau, “Jika tak ditangani dengan baik, konflik pasangan berpanjangan dan mengundang masalah perhubungan.”
Ini kerana manusia secara psikologinya mempunyai tiga butang emosi yang dipanggil ego. Sifat ego ini bukanlah sesuatu yang buruk. Jika diri tidak menyedarinya, ia jadi memudaratkan.
Apabila sedar kewujudan ego, bertindaklah penuh kesedaran agar ia menjadi alat pemangkin tindakan yang tepat.
Sama ada lelaki mahupun wanita mereka memiliki tiga butang emosi. Pasanganlah yang menentukan, ego siapakah lebih dominan. Apabila sudah mengenali ego pasangan, usah diberikan mereka tekanan. Berilah mengikut kemahuan yang dimahukan.
Paling penting, betulkan niat perkahwinan itu sendiri. Berkahwin itu untuk apa? Ramai yang dilanda derita kerana merasakan perkahwinan itu satu peluang untuk membuktikan kasih sayang ataupun kemampuan dirinya.
Sebab itulah perlunya kesedaran, perkahwinan itu bukan sekadar mahu mendapatkan sesuatu tetapi juga perlunya memberi. Ada give and take. Jangan pula asyik menerima saja, atau memberi saja.
Kena seimbangkan. Tapi sebelum mahu memberi pada pasangan, baik isteri mahupun suami kenalah kenal dulu ‘butang’ emosi pasangan sendiri.
Kenali Ego Suami Mahupun Isteri
Ada Pasangan Yang Ego Mahu Berkuasa
Bukan saja suami, isteri pun ada ego masing-masing. Jenis ego ini, mereka ada keegoan untuk berkuasa. Nak mengatur semua perkara termasuklah berkuasa ke atas pasangannya. Mereka kerap kali marah. Barangkali apa yang mahu diatur tidak dapat dikuasainya.
Seandainya pasangan anda jenis begini, penting untuk anda tanyakan pada pasangan. Kenali dia dari hati ke hati. Konflik berpunca daripada sesuatu yang samar, tidak kenali pasangan. Jika ada pencerahan dan memahami mereka, pasangan mudah untuk berdamai.
Berdasarkan pengalaman Diyana dalam program yang dikendalikan, seorang wanita menemuinya dengan penuh kelukaan hati. Suami yang sama-sama susah dengannya mahu berkahwin lain.
Sejak berbisnes baru, suami tak lagi berkuasa. Dia rasa tidak berfungsi, jadi dia mencari orang lain untuk berkuasa. Ini kerana suaminya suka mengatur.
Selepas sedar akan hal itu, isteri tadi menyerahkan restoran barunya kepada suami. Beberapa bulan selepas itu, suami kembali sibuk dan seronok. Akhirnya suami tadi kembali kepadanya kerana merasakan pasangan keduanya itu pula tidak memahaminya.
Suami Malah Isteri Yang Ego Mahu Disukai
Ada pasangan suka dipuji dan disukai. Jika isteri atau suami membangkang ideanya, dia mula rasa tak diambil tahu. Pasangan begini selalu bersedih dan kerap merajuk.
Penting untuk menyukainya, memuji dan luahkan perasaan sayang padanya. Contoh pasangan begini adalah dari kalangan mereka yang suka keluar bersama rakan-rakan berlainan jantina.
Ini kerana mereka sukakan perhatian. Mereka amat memerlukan suami atau isteri yang fokus padanya, sedari kelebihannya. Jadi selalulah hargai mereka. Berikan kata-kata pujian atau hadiah. Tapi perlulah berpada-pada, jangan sampai berlebihan.
Jenis Pasangan Ego Mahu Selamat
Pasangan jenis ini asyik risau, bimbang takut malah tidak yakin dengan banyak perkara. Begitu berhati-hati dan menjaga kesihatan dan keselamatan dalam rumah tangga.
Misalnya sebelum keluar rumah dia akan pastikan rumah sudah dikunci. Dia juga menyediakan simpanan untuk anak-anak. Usah dicabar keegoannya bimbang dia akan lari daripada perkahwinan atau menjadi pasangan yang tiada perasaan. Justeru, yakinkan diri, beri ruang dan tanggungjawab itu padanya.
Carilah suami atau isteri anda bagaimana egonya. Setelah anda mengenali pasangan anda bagaimana, barulah anda boleh memberi mengikut kesesuaiannya. Dalam masa yang sama, anda juga akan mendapat apa yang anda mahukan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Suami sekarang ramai buat-buat lupa kelebihan memeluk isteri. Satu hal yang cukup mudah, lima minit pun tak sampai tapi payah sungguh nak dilakukan. Lagi-lagi kalau dah berumahtangga lebih 10 tahun atau anak dah besar panjang.
Alasannya, malu kat anak atau tak perlu dah nak peluk-peluk. Yang penting, saya sayang awak! Kasih sayang tu sebenarnya kena diluahkan. Barulah hubungan dua pihak makin akrab dan menjadi lebih mesra.
Masa memeluk isteri, sejenis bahan kimia akan dibebaskan. Itu hormon gembira atau endorfin. Ia bertindak sebagai penahan sakit dan mengurangkan resah gelisah. Nah! bestkan.
Tak payah dah nak makan ubat bagai.
Dalam pada itu, ada lagi hormon yang akan dibebaskan ketika memeluk isteri. Ini dipanggil hormon cinta atau oksitosin. Tak perlu dah nak meliar cari cinta di luar ya para suami. Peluk saja isteri anda dan hormon cinta akan dirembeskan.
Malah daripada riwayat Abu Daud, Rasulullah SAW kebiasaannya setiap hari tak lupa mengunjungi para isteri dan akan menghampiri dan membelai walaupun tak mencampuri mereka. (kerana bukan giliran bermalam untuk isterinya).
Akhlak rasulullah SAW dalam menyantuni para isterinya seharusnya dijadikan contoh.
Bukan mudah pun mahu memeluk isteri. Jangan sampai anda fikir memeluk isteri dah tak relevan. Sebabnya sambil-sambil melihat isteri lalu lalang di rumah tu, cuba-cubalah tarik dan peluk seketika.
Bila Waktu Terbaik Memeluk Isteri
1. Ketika isteri sedang berada di dapur; memasak atau membasuh pinggan mangkuk rangkullah isteri dari belakang dan peluklah dirinya dengan mesra. Sebab dengan cara surprise ini, isteri yang sedang keletihan akan rasa dihargai dan hilang lelah. Biarpun anda tak membantunya, sentuhan mesra itu sudah cukup membahagiakan.
2. Sebelum keluar ke tempat kerja. Cubalah peluk isteri 10 saat sebelum keluar ke tempat kerja. Kalau dapat peluk seminit lagi bagus. Khabarnya boleh panjangkan usia anda dan isteri sama. Tapi jangan lebih dari waktu itu, lain pula jadinya nanti.
3. Semasa menonton televisyen bersama-sama. Dakaplah isteri di sebelah. Jika cerita romantis yang ditonton, pastinya rangkulan itu akan jadi lebih mesra. Kalau cerita seram yang ditengok, boleh tarik isteri letak bawah ketiak. Eh.. eh.. gurau je ni. Yang sebetulnya, dakaplah dan tenteramkanlah dia yang sedang berasa seram di sebelah.
4. Peluk ketika tidur. Tidur di atas lengan suami adalah nikmat yang paling indah sekali. Peluklah pasangan anda agar terbebas hormon cinta dan hormon bahagia itu.
5. Peluk ketika isteri sedang merajuk. Ini salah satu cara terbaik untuk memujuk isteri yang sedang merajuk. Orang perempuan ini bukanlah nakkan wang ringgit sangat, kalau dia sedang merajuk kata-kata mesra dan rangkulan kasih pun dah boleh memujuk hati yang panas.
Ada setengah mak ayah yang tak asingkan tempat tidur dengan anak kecilnya. Sebaliknya mak ayah atau mak saja tidur sekatil dengan anak. Bahaya sebenarnya pilihan amalan sebegini ya mak ayah.
Ini yang Prof Madya Mohamad Aziz Shah Mohamed Arip(Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terang mengenai mak yang trauma untuk mengasingkan tempat tidur dengan anak.
Amalan Mak Tidur Sekatil Dengan Anak, Buat Langkah Keselamatan Ini
Pertama : Letak Katil Bayi Bersebelahan Mak
Sekiranya mak bimbang keselamatan anak tidur berasingan dengannya, mak boleh letakkan katil bayi bersebelahan atau berdekatan dengan katil mak. Letak rapat, jadi mak boleh tengok anak kecilnya dengan lebih kerap.
Kedua : Jangan Sesekali Tidur Bersama Bayi Atas Sofa
Ini paling bahaya sekali. Ruang sofa tidaklah besar mana, risiko nak tertindih anak bila mana ibu tak sedar ‘tidur mati’ amatlah tinggi. Sebaiknya ibu bentang saja tilam nipis atau toto atas lantai. Dan ibu boleh letakkan anak di atasnya. Jarakkan sedikit kedudukan anda dengan anak untuk elakkan kejadian luar sedar anda.
Ketiga : Pastikan Tiada Aksesori Dalam Katil Bayi
Bantal jenis tebal atau permainan bayi tak perlu dimasukkan sekali dalam katil bayi anda. Bimbang, tertimpa atas bayi ketika anda tak sedar atau tertidur. Sebaiknya biarkan saja tilam yang empuk dan bantal nipis untuk keselamatan bayi anda.
Keempat : Letak Bantal Di Antara Mak Dan Bayi Pun Tak Selamat
Jangan ingat, dengan meletakkan bantal sebagai penghalang anda mencederakan anak sendiri adalah langkah selamat. Ia masih mengundang risiko dan berbahaya.
Sedutan Perbincangan Topik ‘Ibu Trauma Asingkan Tempat Tidur Anak’ Dalam Mingguan Wanita Talk Show, 20 September 2018
Sumber/Foto : Prof Madya Mohamad Aziz Shah Mohamed Arip (Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), petikan dari MW Talk Show Mingguan Wanita, 20 September 2018
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Nahas SUV di Bukit Kawah meragut nyawa sepasang bakal pengantin apabila Toyota Fortuner yang dinaiki terjunam ke dalam gaung. Baca kronologi penuh, siasatan polis dan peringatan keselamatan jalan raya.