Sememangnya ayah sepatutnya jadi lelaki pertama di hati anak perempuan, luangkan masa berdua untuk berdating agar hubungan anak perempuan dan ayah menjadi rapat.
Percayalah anak perempuan menjadi bangga apabila dapat menghabiskan masa bersama berdua dengan ayah tanpa orang lain.
Malahan perkara ini akan turut dicemburui jika dia mempunyai adik-beradik perempuan yang lain. Tak perlu selalu, tetapi wujudkan ruang waktu untuk ayah bersama anak perempuan kerana sangat penting untuk dia merasa sentiasa disayangi oleh ayahnya.
Ayah Sepatutnya Jadi Yang Pertama
Ikuti perkongsian Firdaus Mokhtar ini dan fahami sebaiknya mengapa kita perlu berbuat demikian:
Kawan-kawan yang baik, yang ada anak perempuan kalian kena jadi begini;
1. Ayah sepatutnya menjadi lelaki pertama yang hidup dalam hati anak perempuan. Lelaki pertama yang dia belajar untuk mencintai.
2. Lelaki yang menjadi idola kepada anak perempuan. Yang menjadi bahu tempat mereka menangis dan mengadu masalah. Menjadi hero dalam drama kehidupan anak perempuan.
3. Dialah lelaki paling kacak, paling mulut manis, paling pemurah, paling lemah lembut, paling sabar di mata anak.
4. Daripada ayah jugalah anak perempuan mengharapkan pujian. Memberi sokongan kepada apa sahaja yang anak perempuan cuba untuk buat.
Sebab itu kalau nak buat aksi lasak, terjun dalam kolam yang dalam, nak main basikal 2 roda untuk kali pertama, nak cuba turun gelongsor yang tinggi 2 tingkat bangunan, mesti kena ada ayah yang beritahu, “Kakak boleh buat.”
Cukup begitu, dia akan yakin untuk terus terjun.
Anak Perempuan Rasa Disayangi Bila Keluar Berdua
Semua ini yang anak suka nak lihat bila dia keluar berdua dengan kita. Bila ada adik beradik lain, dia tak rasa kita boleh beri perhatian ke dia seorang.
Timbullah perasaan dia tak disayangi. Dia bukan anak yang baik. Dia rasa dirinya tak cantik. Dan dia juga akan rasa tak pandai bercakap.
Hilang keyakinan diri.
Atau sebaliknya lebih teruk, dia sangat perlukan sokongan seorang lelaki, tapi tak dapat daripada ayah dia sendiri. Maka, dia akan cari lelaki lain yang boleh dijadikan sandaran.
Inilah bahaya.
Begitulah.
Oh ya, hari tu siap Ameenah ajak kami pergi hotel. Maksud dia nak ajak pergi bercuti. Tapi dia ajak tu hari Rabu.
“Eh, tak boleh. Esokkan ummi kerja,” saya kata ke dia. Ummi dekat sebelah pun mengangguk.
Tenang dia balas;
“Biarlah Inah pergi dengan walid je berdua.”
Hahaha. Dia ok je kalau pergi bercuti dengan walid saja.
Nampak tak?
MW: Anak perempuan sangat memerlukan sokongan daripada ayahnya, bukan hanya setakat kasih sayang. Jangan sampai anak perempuan selesa mencari lelaki lain di luar sana yang memberi perhatian “lebih” padanya. Itu sangat berbahaya.
Ibu ini, Faoziyah Paru berkongsi tip. Mengapa marah-marah anak akan tarik energi negatif dalam diri mak-mak sebenarnya. Energi negetif itu macam stress, kecewa, salahkan diri sendiri, dendam dan sebagainya.
Kerana setiap anak ragamnya bermacam, ada yang mudah diurus, ada yang bikin mak sakit kepala. Cakap berkali tetap tidak mahu dengar kata. Sudahnya, panjang bebelan mak.. marah-marah dengan setiap tindakan anak.
Malah, dikongsikan juga doa nabi Ibrahim untuk mak ayah bacakan untuk anak-anak yang menguji kesabaran hati itu ya.
Tadi kawan kakg share poll dari group,
“Anak Sepah Apa Hari ini?”
Admin tu tanya, anak nombor berapa paling panjang akal? Majority jawab nombor 2.
Tapi seriuslah, anak kakg, soib paling banyak kerja dan cabaran setakat ni.
Dengan baby dia macam belum boleh terima dia ada adik. Dengan kakak, dia buli je. Mentang-mentang kakak saiz kecik.
Nak jadikan cerita, malam tadi Soib terkencing malam. Kalau ikutkan memang wajar geram atau marah kat dia. Dah tengah malam, baru nak rehat, kencing pula. Gitu lah.
Alhamdulillah Allah izinkan teringat baru je belajar ilmu dalam zoom Aura Rezeki, ayatnya macam ni, “Orang yang hidup pada masa lalu, dia akan stress. Orang yang hidup pada masa depan, dia akan bimbang”
Apa yang kakg faham, anak dah terkencing, tilam dah basah – masa lalu yang tak boleh ubah dah.
Kalau kakg pilih marah, aku pun akan stress. Dok mikir nape anak aku ni macam ni eh? Aku tak pandai ajar anak ke?
Kalau fikir masa akan datang pula, macam mana nak bersihkan toto ni eh? Kalau aku bersihkan nanti, jiran nampak, agak agak malu tak ek kalau jiran tau anak dah dekat 6 tahun masih kencing malam? (emosi bimbang)
Marah tu energy negatif. Dia menarik energy negatif yang lain macam stress, kecewa, salahkan diri sendiri, dendam dan seterusnya.
Beza kalau kita mampu hadapi dengan rileks, akan tarik energy kebahagiaan, ketenangan, kesyukuran,
“Oh, anak aku kencing. Tak pelah, tukar je lah toto dulu. Esok pagi settlekan”
“Oh, anak aku kencing, tak pelah. Nak buat macam mana, marah pun bukan boleh kering semula benda ni”
“Oh anak aku kencing, tak pelah. Syukur dia masih boleh kencing. ada org lain tak dapat macam ni”
Bawak jelah anak pi toilet. Sambil dalam hati banyakkan doa,
“RABBI HABLI MINASSOLIHIN”
رَبِّ هَبْ لِيْ مِنَ الصّٰلِحِيْنَ
” Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!” (QS. As-Saffat 37: Ayat 100)
Kalau time jirus air garam untuk mandikan anak tu pun boleh baca jugalah ayat ni. InshaaAllah molekul air jadi cantik, serap kat tubuh badan anak melalui liang roma dia. InshaaAllah perkara perkara baik yang akan datang nanti.
Ni doa Nabi Ibrahim As, Nabi yang paling ramai keturunannya jadi Nabi dan Rasul. (orang orang soleh)
Daripada marah-marah, baiknya kita doakan. Semoga anak ini jadi anak yang soleh. Banyak cabaran masa jaga dia nak membesar tak pelah. Sabar sikit je.
Orang kata yang jenis masa kecik tak mudah handle, dah besar nanti dialah yang paling membahagiakan.
InshaaAllah.
(Gambar top image dari group Anak Sepah Apa Hari Ni? Jangan lupa mandi garam ye maknya. Hahaha)
Anak korang yang nombor berapa paling panjang akal?
MW :Sungguh, anak-anak itu adalah ujian untuk mak ayah. Semakin bersabar, semakin tenanglah nanti jiwa mak ayah.
Perkongsian mengenai disleksia sudah pasti akan mendapat perhatian ibu bapa yang mempunyai anak bermasalah sebegini. Ini 25 info berkaitan disleksia di Malaysia.
Melalui laman web myhealth.gov.my, maksud disleksia adalah sejenis masalah pembelajaran khusus yang kerap berlaku.
Kanak-kanak Disleksia mempunyai masalah menguasai tugasan sekolah walaupun mereka telah berusaha bersungguh-sungguh. Masalah asasnya adalah perbezaan cara otak berfungsi dalam menghubungkan simbol visual dengan bunyi.
Melalui perkongsian di Facebook oleh Mahfuzah Zainol ini memberi penerangan yang jelas berkaitan disleksia di Malaysia.
Terapis Carakerja yang berkhidmat di Kementerian Pendidikan dan kini dalam tempoh cuti belajar untuk menyambung PhD di Fakulti Sains Kesihatan di UKM ini menulis 25 info mengenai disleksia di Malaysia yang boleh mak ayah beri perhatian.
Beliau menjelaskan dirinya bukan pakar disleksia. Ini adalah perkongsian dirinya sebagai ahli terapi cakakerja untuk murid berkeperluan khas termasuk murid disleksia.
1. Ramai ibu bapa mengesyaki anak mereka ada disleksia selepas melihat anak mereka sering menulis secara terbalik (mirror image).
2. Kanak-kanak disleksia mempunyai tahap kecerdasan IQ yang normal atau ‘average’.
3. Masalah mereka hanya pada kemahiran membaca dan huruf. Dan perkara berkaitan penulisan. Mereka sukar menulis idea secara teratur di atas kertas. Ini perlu dibantu oleh guru.
4. Jika ada murid disleksia yang mempunyai masalah dengan nombor dan matematik. Itu ialah comorbidity disleksia dan discalculia. Untuk kumpulan ini, mereka termasuk dalam geng masalah pembelajaran yang pelbagai.
5. Apa yang pasti, kanak-kanak disleksia perlu menjalani ujian kecerdasan IQ untuk menambah keyakinan diagnosis kepada disleksia. IQ mereka adalah normal. Bukan below average..bukan poor atau lebih bawah daripada itu.
6. Umur yang sesuai untuk melakukan IQ test ialah 6 tahun.
7. Perlu jumpa Clinical Psychologist atau Child Psychiatrist untuk ujian IQ test ya. Bukan occupational therapists atau speech and language therapist. Untuk pengetahuan, guru psikologi dan kaunseling di sekolah tidak sama dengan clinical psychologist ya. Kelayakan profesionalisme mereka berbeza.
8. Diagnostic test atau ujian diagnostik belum mencukupi untuk mengesahkan anak anda ada masalah disleksia.
Ini bermaksud, anda perlu mendapat assessment daripada pelbagai ahli profesion kesihatan seperti terapis carakerja, terapis pertuturan bahasa, psikologis klinikal untuk mendapat pengesahan yang jitu daripada pakar/ specialist dalam development atau sewaktu dengannya. Child Psychiatrist, Developmental Specialist dan etc.
9. Disleksia termasuk dalam kategori Specific Learning Difficulties dalam DSM-V untuk diagnosis.
10. Instrumen Saringan Disleksia (ISD) adalah saringan awal guru untuk mengesan murid Disleksia di sekolah rendah.
11. Ujian saringan disleksia di peringkat KPM iaitu ISD adalah senarai semak sahaja. Bukan assessment untuk IQ test dan ia tidak cukup untuk pengesahan diagnosis disleksia.
12. Kalau selepas buat IQ test, keputusannya below average atau poor. Itu kategori Intellectual Disability (ID). Bukan Dyslexia lagi dah.
13. Murid disleksia mendapat paling banyak kemudahan dalam peperiksaan awam Kementerian Pendidikan Malaysia berbanding kategori diagnosis lain (sila rujuk Panduan Pengurusan Calon Berkeperluan Khas, Lembaga Peperiksaan).
Syarat utama nak dapat kemudahan ini adalah mempunyai surat pengesahan doktor mengatakan murid ini didiagnos dengan disleksia. Lepas tu, boleh inform Setiusaha Peperiksaan di sekolah masing-masing.
14. Murid disleksia mula didiagnos pada umur 7-8 tahun atau kadangkala lebih lewat daripada itu.
15. Antara assessment yang telah dipatenkan untuk disleksia yang terkenal adalah Bangor Dyslexia Test, Dyslexia Early Screening Test, Dyslexia Screening Test-Junior (6-11 tahun) dan Dyslexia Screening Test-Secondary (12-16 tahun)
16. Murid dengan diagnosis disleksia layak memohon kad OKU dan menerima manfaat kad OKU seumur hidup. Elaun bulanan dan pelbagai lagi (boleh rujuk website JKM)
17. Kalau dah tua-tua perasan diri ada disleksia, tak payah lah buat assessment, sebab dah ada coping strategies sendiri untuk survive.
18. Disleksia bukan sejenis penyakit yang memerlukan ubat. Mereka perlu belajar coping strategies.
19. Badan NGO yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan untuk intervensi bagi murid disleksia ialah Persatuan Disleksia Malaysia (PDM). PDM menyediakan kelas 3 bulan untuk intervensi disleksia. Boleh rujuk website mereka. Cawangan PDM ada di seluruh negara.
20. Murid disleksia boleh mendapat pendidikan khas melalui Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Program Pendidikan Inklusif (PPI). Keadaan ini bergantung kepada murid tersebut. Ada kes boleh masuk PPI, ada kes sesuai di PPKI.
Ada kes perlu pembelajaran one to one. Semuanya bergantung kepada individu tersebut yang berbeza-beza walaupun diagnosisnya sama. Maka, di sini guru dan ibu bapa perlu bijak memberi peluang pendidikan kepada mereka.
21. Kalau di sekolah rendah, intervensi untuk murid disleksia lebih kepada untuk boleh membaca dan menulis. Sebab ini kelemahan utama mereka.
22. Kalau di sekolah menengah, murid disleksia perlu diajar coping strategies untuk menjalani kehidupan survive dalam pembelajaran dan kehidupan. Bergantung kepada keperluan mereka.
23. Filem berkaitan murid disleksia yang terkenal ialah Taare Zamen. Amir Khan berlakon. Filem ini kena tengok kalau sapa tak tengok lagi. Hehe.
24. Individu dengan disleksia yang terkenal dan kaya di Malaysia adalah Dato’ Alif Syukri Terlajak Laris. Jangan kecam beliau sangat sebab beliau adalah individu dengan disleksia. Ideanya terlalu banyak sampai tersasul semasa bercakap sampai tersilap dan sering dikecam ramai.
25. Saya bukan pakar disleksia ya. Ini adalah perkongsian saya sebagai ahli terapi carakerja untuk murid berkeperluan khas termasuk murid disleksia.
Ramai sebenarnya yang request perkongsian berkaitan disleksia ini.
Semoga sedikit membantu untuk anda memahami disleksia.
Masa kecil, kita sering dibekalkan dengan makanan yang mak kita masak. Seronok bukan main lagi, pulak tu mak pula yang masak. Bangga. Bukan itu sahaja, duit belanja bolehlah simpan. Kalau boleh tiap-tiap hari nak mak bekalkan makanan untuk kita bawa ke sekolah.
Bila besar dan punyai pekerjaan tetap, bekalan tetap bawa. Tak kira masa masih bujang dan tinggal bersama mak atau sudah berkahwin, isteri pula yang bekalkan makanan. Bukan nak berjimat, tapi itulah air tangan orang yang kita sayang. Tiada langsung perasaan malu, malah rasa bangga lagi.
Betullah apa yang dikongsikan oleh Khairul Hakimin Muhammad tentang apa yang dikatakan iaitu bungkusan yang mak atau isteri sediakan adalah bungkusan hatinya untuk kita bawa bersama dan ingat.
Jika emak kita bungkuskan makanan setiap hari untuk kita pergi sekolah, pergi kerja, ketahuilah dia sedang bungkus hatinya juga bersama.
Begitu juga bila isteri kita siapkan makanan dan pakaian untuk kita setiap hari, ketahuilah dia juga siapkan hati dia untuk kita keluar berusaha.
Jika ayah kita keluar dari rumah cari rezeki untuk keluarga, kena tahu yang dia keluar itu dengan tinggalkan hatinya di rumah. Suruh isterinya jaga baik-baik supaya pulang nanti isterinya sambut dan pulangkan semula hatinya.
Letak baik-baik di dadanya, perlahan-lahan penuh santun dan lemah lembut.
Tetapi apabila kita keluar rumah tanpa siapa pun bekalkan makanan, tanpa siapapun kita tinggalkan di rumah, kena tahu juga yang emak ayah jauh di kampung itu sentiasa melihat pintu dan jendela. Setiap pagi tak pernah jemu memandang anak-anak yang pernah berlari membesar melalui pintu tersebut.
Jika kita dah bawa bungkusan hati itu hari-hari, nanti bawalah pulang kepada emak kepada ayah kepada isteri kepada suami kepada anak kepada semua sebuah baik budi.
Sungguhnya yang dah beri hati menanti mahu lihat kita pulang. Tidaklah kita sampai di pintu rumah dengan dahi penuh kerut, mulut masam selori mangga muda, mata merah seiras udang yang dimasak digoreng garing.
Resahlah hati yang dipulangkan. Diberi dihulur sambil darah menitik-nitik. Hendak ubat tak pandai hendak rawat tak reti.
Ditanya kena marah, ditegur kena herdik. Lalu diamkan sahaja.
Lalu emak, ayah, isteri, suami, anak, diam sahaja. Ajak makan sama-sama, diam belaka di meja yang pagi tadi kita duduk sama-sama. Hati yang dibungkus awal subuh tadi kemas-kemas disimpan dalam peti.
Sampai sejuk, sampai beku. Pagi esok keluarkan lagi. Panaskan dan beri bekal lagi hari-hari. Sampailah satu hari kita sedar yang bekal makanan itu adalah hati yang kita sayang-sayang.
Terus rasa nak pulang. Rasa mahu balik awal, mahu lihat wajah itu semula. Mahu serah balik hati yang diberi, dengan salam, dengan sentuh, dengan cium. Selagi ada nyawa, baliklah. Pulanglah.
Hati yang kita dapat setiap hari kena dihantar semula. Bukan hati kita. Kita hanya dipinjamkan sahaja buat teman takut lupa diri, takut tinggi diri takut-takut jadi sombong jadi bodoh jadi jahat jadi hina.
Itulah pendinding itu juga yang bawa berkat. Suruh rezeki datang mendekat dan sentiasa iring rapat-rapat. Suruh banyak bersyukur dapat pinjaman banyaknya hati setiap pagi. Supaya balik petang malam nanti masih pegang dan dapat pulangkan hati tersebut sampailah kita mati.
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Bekalkan hati pagi.
MW: Tak perlu malu atau segan dengan bekal yang kita bawa sebab itulah bungkusan hati daripada orang yang kita sayangi.