Anak menangis jangan terus jerit, suruh diam atau pukul! Mungkin anak hanya ingin perhatian daripada mak ayah.
Kadang-kadang mak ayah terlalu leka dengan urusan harian atau kerja sehingga terlupa anak di depan mata perlu dimanja dan dibelai.
Bayangkan jika mak, ayah dianugerahkan anak-anak syurga atau orang kelainan upaya (OKU) yang tidak mampu menguruskan diri dan hanya harapkan mak ayah untuk uruskan, pasti sukar bukan.
Oleh itu, layanilah anak anugerah Allah ini sebaik mungkin. Waktu kecil anak-anak hanyalah sekejap saja, suatu hari mak ayah pasti akan merindui momen-momen ini seperti mana yang dikongsi oleh Ustaz Firdaus Mokhtar ini.
Mungkin Anak Hanya Ingin Perhatian
Ada satu hari tu saya teman ummi pergi temujanji dengan doktor pakar di Hospital Sungai Buloh. Isteri ada sekali memandangkan sesi dia dengan pesakit sebelah petang.
Sedang menunggu giliran nombor terpapar dekat skrin tergantung atas kaunter, sampai seorang akak ni. Tolak anak dia atas kerusi roda. Berhenti betul-betul sebelah aku.
Aku pandang ke akak tu, dia pun balas pandangan. Dia senyum. Pemurah orangnya ni.
Anak dia mungkin sekitar umur 10 tahun kalau ikut saiz badan. Lelaki dan sedikit berisi. Anak kurang upaya. Tak boleh duduk dengan betul, macam menyandar baring tapi sambil duduk. Ada bantal kecil segi empat sama menahan belah kanan badan adik ni.
Anak Tak Mampu Uruskan Diri
Tangan semua sempurna rupa. Cuma berlipat ke dalam di pergelangan kedua belah tangan. Yang tak boleh diluruskan. Ada gaya seperti tak boleh uruskan diri sendiri.
Di hidung adik ni ada tiub panjang. Dilekat kemas ke arah bawah melalui tepi pipi kanan. Terus panjang tiub tu masuk ke dalam baju dia melepasi leher. Aku tak pasti tiub apa. Macam tiub makanan pun iya.
Akak tadi berbisik ke adik itu dan dia terus ke kaunter bawa kad biru. Kad temujanji. Mungkin baru nak dapatkan nombor giliran.
Melihatkan itu baru aku perasan, rupanya ramai dalam tempat menunggu tu mak ayah dengan anak-anak sekitar umur yang sama.
“Rasanya hari ini memang hari untuk temujanji kes macam anak-anak ni,” tiba-tiba isteri aku menyatakan pendapat. Aku angguk tanda setuju.
Sungguh Ajaib
Akak tadi patah balik ke anak dia. Senyum lebar sungguh ke anak dia. Adik tu merespon. Angguk angguk dan senyum juga.
Ads
“Hmm.. hmm.. hmm..” suara adik tadi bercakap sesuatu. Aku tak faham. Tapi akak tadi bercakap balik dengan dia. Seolah dia mendengar setiap butir cakap adik tadi. Ajaib. Yang aku dengar cuma bunyi orang kemam mulut.
Kadang-kadang nampak akak tu sapukan mulut anak dia dengan kain sapu. Air liur dia meleleh. Berusaha nak bersembang dengan mak dia. Akak tadi masih tersenyum-senyum melayan anak istimewa dia.
Nampak dia terhibur betul berdua tu. Keadaan yang bising dengan perbualan ramai di kawasan menunggu bagai langsung tak dipeduli. Mak dengan anak tu macam di alam lain, bergembira dan sama-sama menanti sesuatu.
Aku perhati sahaja. Leka sekejap. Aku senyum sendiri.
Tenangnya akak ini. Melayan anak yang sudah besar tapi terbatas pergerakan. Mungkin banyak renyahnya sebab semuanya mak yang kena buat. Nak bergerak ke sana sini, mak kena tolak kerusi roda dan mungkin banyak keadaan kena dukung dan angkatkan dia.
Nak makan pun bersuap. Mandikan, basuhkan rambut dan seluruh badan. Berak kencing semua mak itu juga yang bersihkan siang dan malam.
Anak Menangis Jangan Terus Jerit, Suruh Diam
Bukan waktu kecil bayi tu, ini dah 10 tahun. 10 tahun menguruskan anak dengan gaya menjaga bayi besar. Siap boleh bergelak ketawa dengan anak yang tak keluar pun butir kata percakapan dia.
Allahu.
Kawan-kawan, kita Tuhan bagi anak yang sihat dan sempurna. Tak lama mana pun zaman kanak-kanak dia. Sekejap sahaja sudah besar. Dah pandai urus diri. Dah pandai bercakap memberi kita faham kehendak dan apa yang dia nak.
Ads
Memang sifat anak-anak kadang-kadang meragam dan kasar bermain. Baru sikit anak menangis kita dah jeritkan. Kita dah cubit dan pukul suruh diam. Mungkin dia letih. Atau nak perhatian kita.
Teringat pagi hari tu baru marahkan Khalilah. Pagi pagi baru bangun, bergaduh pula dia dengan Abidah. Walidnya geram terus marahkan Khalilah.
Tuhan tunjuk terus depan mata hari ini, orang lain Tuhan uji anak sakit dan tak upaya. Seharian perlukan bantuan bergerak dan upaya daripada seorang mak. Elok je akak tu layan. Kau dah kenapa senang sangat nak marah anak?
Oh Tuhan. Berikanlah kami hati yang tenang dalam membesarkan anak-anak. Dan berilah kesabaran buat semua ibu bapa yang Kau uji dengan anak-anak yang istimewa.
Berikan mereka pahala yang sangat banyak kerana mereka bersungguh menyantuni anak-anak mereka. Ampunkan dosa mereka ya Allah. Berikan mereka syurga-Mu nanti bila mereka kembali kepada-Mu.
Bangkit Wanita Mingguan Wanita
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan https://t.me/bangkitwanitaMW
Boleh huru hara bila suami diam-diam membohongi isterinya. Walaupun isteri itu sendiri tak tahu yang dia sedang dibohongi. Akhirnya Allah tunjukkan kebenaran.
Kisah yang dikongsikan Ustaz Abd Ghani Haron ini ‘simple’ saja. Tentang seorang suami yang nak makan sedap sendirian. Sampai sanggup berbohong pada isteri. Sudahnya, dia dapat pengajaran ketidakjujurannya.
Padah Berbohong Pada Isteri
Pagi kelmarin ketika selesai solat subuh, saya duduk bersembang dengan beberapa jemaah di surau. Seorang bercerita, “Kelmarin aku teringat nak makan mee kuah di Lahar Yooi. Jadi bila makan tengah hari, aku makan sikit sahaja.”
“Selepas solat zohor, aku beri alasan pada orang rumah nak balik ziarah mak. Sedangkan aku sebenarnya nak pi makan mee.”
“Kalau bagitau yang sebenar, tentu dia nak ikut. Jika dia ikut, balik nanti bimbang dia sakit pinggang kerana duduk atas seat motor kapcai buruk agak jauh.”
“Setelah bertolak beberapa lama, aku rasa macam tersesat jalan, sedangkan dah berkali-kali aku pernah pergi ke gerai mee itu.”
“Berpatah balik, minyak motor pula hampir habis. Jadi mencari kedai minyak pula sebelum mencari jalan ke gerai tersebut.”
“Akhirnya sampai juga ke gerai itu. Tetapi alangkah hampanya, gerai itu tutup, tidak berniaga. Akhirnya balik ke rumah membuka tudung saji menghadap saki baki lauk yang tinggal.”
Suami Kongsilah Rezeki Dengan Keluarga, Nikmatinya Bersama
Kami yang diam mendengar dari tadi, gelak berdekah. Seorang berkata, “Padan muka, berbohonglah lagi pada bini.” Disambut hilai tawa yang berderai.
Marilah kita mengambil iktibar sedikit dari kisah ini. Nampak seperti Allah menegur suami ini dengan menyebabkan dia sesat jalan, kehabisan minyak dan akhirnya gerai tidak buka.
Sebagai suami, sebaiknya semua rezeki dikongsi, dinikmati bersama. Jangan fikir perut sendiri sahaja, nafsu dan selera sendiri sahaja.
Sesungguhnya perkahwinan ini satu perkongsian, maka berkongsilah segalanya, baik susah senang, pahit manis, bahagia membahagiakan.
Berbohong Untuk Mendamaikan Hati Isteri..
Memang ada ketika boleh membohongj isteri terutama bagi tujuan baik.
Sabda nabi:
قال النبى صلى الله عليه وسلمكل الكذب يكتب على ابن آدم إلا ثلاث , الرجل يكذب فى الحربِ , فإن الحربَ خدعة , والرجل يكذب على المرأة فيرضيها , والرجل يكذب بين الرجلين ليصلح بينهما
رواه السَنَى : تحذيب أطراف الحديث الصفحة : 22 الجزء الثانى
Semua penipuan akan ditulis atas anak Adam melainkan 3 perkara: Lelaki yang berbohong ketika dalam medan peperangan. Kerana berperang mesti melalui helah atau tipu daya. Lelaki berbohong kepada isteri supaya isteri menyukainya. Lelaki berdusta kerana muslihat di antara dua orang yang bertelingkah atau berkelahi.
Berbohong dalam perkara baik sahaja seperti memuji isteri berpakaian cantik walaupun taklah cantik. Pada hadis lain disebut isteri juga boleh berdusta pada suami juga dengan tujuan baik.
Dari Ummu Kalsum binti Uqbah, ia berkata, aku belum pernah mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memberikan keringanan sedikitpun kepada seseorang untuk berdusta kecuali dalam tiga perkara.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku tidak menganggap berdusta seseorang yang mendamaikan manusia lalu ia mengatakan sesuatu dengan maksud mendamaikan, seseorang yang berbicara dalam (siasat) perang , dan seorang suami yang berbicara kepada istrinya atau istri yang berbicara kepada suaminya” (HR. Abu Dawud).
Suami Boleh Bohongi Isteri, Jika..
Ringkasnya nabi memberi keringanan boleh berdusta suami isteri untuk tujuan:
√ Kebahagiaan Rumahtangga. Bukan untuk tujuan kepentingan diri atau muslihat buruk. Peluang suamj atau isteri keluar rumah jangan disalahgunakan. Manfaatkanlah untuk diri tanpa mengabai mereka yang di rumah. Jika boleh berkongsi bersama itu lebih baik.
Setiap yang berlaku ada hikmahnya bagi yang mahu berfikir. Sesungguhnya Allah tidaklah melepas manusia ke dunia ini bagai melepas haiwan peliharaan di padang, lalu tidak dipedulikan. Tetapi Allah tetap memerhati, memantau, menegur, menguji dan akhirnya menghalau balik ke pangkuanNya.
Kisah di atas satu contoh bagaimana Allah menegur hambanya. Wallahu’alam
Pernah kan berada dalam situasi perlu mendengar perkara berulang dari orang yang sama. Baik suami, emak ayah, anak-anak mahupun orang lain. Dan kadangkala, ianya jadi sedikit menjengkelkan.
Ada cara macam mana nak jadikannya satu hal yang menarik, walau didengar banyak kali. Intan Dzulkefli berkongsi teknik dan seninya.
Kalau Orang Itu Betul-betul Mendengar, Dia Akan Faham
Saya ingat lagi, dulu waktu menonton drama Jepun tentang kisah benar seorang gadis yang ada penyakit saraf. Perlahan-lahan kebolehannya untuk bertutur, berjalan, menulis menjadi semakin sukar.
Ramai kawan-kawan, insan sekeliling mula menunjukkan reaksi jengkel apabila mendengar dia berkata-kata.
Yelah, sebab susah nak faham apa yang dituturkannya. Lalu, dia meluahkan perasaannya kepada doktor yang merawatnya.
Jawapan doktor tersebut amat lekat di hati ini walau sudah 14 tahun berlalu.
“For those people who are really listening, they will definitely understand.”
Kalau orang tu betul-betul mendengar, insyaAllah dia akan faham.
Ibu Suka Ulang Cerita Lama Berkali-kali
Saya merenung kata-kata ini dalam sudut pandang sebagai isteri, anak dan ibu.
Ada waktunya apabila menelefon ibu di kampung, ibu akan selalu bercerita cerita lama yang mungkin sudah berpuluh kali diulang-ulang sejak saya kecil.
Maka, patutkah saya berkata, “ibu ni asyik cerita ni je,” atau berlapang dada dan meraikan sahaja?
Ada waktunya, anak-anak bersemangat bercerita tentang buku yang mereka baca, atau movie yang mereka tonton, atau cerita tentang guru dan kawan-kawan sekelas. Ceritanya asyik berulang-ulang dan nampak seperti begitu lama untuk habis, ibarat takkan ada perenggan terakhir.
Namun, apabila melihat sinar dalam mata mereka yang ceria untuk berkongsi cerita, patutkah saya berkata, “dahlah kakak, bila nak habis cakap ni…” sambil buat muka bosan, atau kita pun sama-sama ‘on’ suis teruja untuk sama-sama ‘menikmati’ cerita tersebut?
Adakah kita pantas membela diri dan mengungkit salah atau kekurangan pasangan atau kita ambil serius teguran dan luahan tersebut untuk pembaikan diri kita sendiri?
Fahamkan Teknik Dan Seni Mendengar
MasyaAllah, rupanya mendengar pun ada teknik dan seninya. Ada beberapa teknik mendengar yang boleh dipraktikkan bersama.
Beri perhatian sepenuhnya. Kalau boleh tatap mata orang sedang bercakap, bercerita, meluah, memberi teguran tersebut.
Elakkan memotong percakapannya walaupun kita tidak bersetuju.
Lebihkan empati dan tunjukkan minat walaupun sedang sangat-sangat sibuk.
Jot down info penting dengan mengulang semula apa yang dikatakan dan bukannya seperti mencurah air di daun keladi.
Contohnya, “Ummi, tadi kan.. Kawan kakak dia pakai beg Elsa Frozen sama macam kakak, beg yang biru ummi beli haritu. Haa sama je macam tu kawan kakak punya…”
“Beg Elsa yang biru yang cantik tu.. Oh.. Kawan kakak pun ada?”
Ia menunjukkan kita ambil perhatian dan ‘care’ dengan apa yang diperkatakan.
Begitulah.
Sederhana sahaja tips-nya pun.
Kadang, kita merasakan bahawa mendengar itu hanya memerlukan telinga, tetapi kita terlupa, untuk benar-benar ‘mendengar’, kita juga memerlukan hati yang hadir sepenuhnya.
Biasanya selalu kita dengar, anak perempuan cukup rapat dengan ayahnya. Itu masa kecil memang ‘sekaki’ dengan ayah.
Tetapi, bila dewasa anak perempuan akan rapat dengan maknya pula untuk berkongsi apa juga masalah hal-hal orang perempuan.
Itulah yang biasa berlaku, mungkin sebab malu untuk berkongsi apa jua masalah dan rasa selesa bila bercerita dengan maknya.
Sebenarnya, jangan hanya anak perempuan rapat dengan ayahnya hanya waktu kecil. Ayah kena biasakan rapat sebab anak akan menganggap ayahnya seorang hero yang tiada gala gantinya.
Inilah yang dikongsikan oleh Siti Suryani Yaakop perihal anak perempuan yang kena rapat dengan ayahnya. Paling penting ayah kena ambil berat tentang anaknya supaya tidak diisi lompong oleh lelaki lain.
Anak Perempuan Rapat Dengan Ayah, Kena Biasakan Dari Kecil
Dulu ada sekali saya pergi ceramah parenting di hospital.
Penceramah lelaki itu kata kalau ayah tak ambik berat tentang anak perempuan, nanti lelaki lain akan isi lompong kosong itu.
Sampai satu masa nanti, anak perempuan ini akan datang perasaan segan dengan ayah. Ada sesetengah perkara yang dia rasa cuma boleh cakap dengan ibu saja.
Selalunya masalah ini lagi kritikal kalau waktu kecilnya ayah jarang luang masa berkualiti dengan anak-anak perempuan dia.
Ada tak bermaksud ada. Tubuh ada. Jiwa tak ada. Asyik dengan handphone. Tak berbual atau tak tanya khabar. Malah tiada peluk cium, tak ajar mengaji dan tidak buat apa-apa aktiviti.
Anak-anak faham kalau ayah memang tak ada di rumah. Tapi kalau ada pun macam takada, memang boleh mengundang bahaya.
Masalah kritikal ini lagi meruncing kalau sudahlah ayah jarang luang masa berkualiti bersama, anak cuma asyik ditegur dan dimarah. Makin anak menjauh hati.
Isi lompong itu.
Biasakan Beraktiviti
Biasakan beraktiviti dengan anak perempuan. Bermain, bersukan. Ajar anak baiki paip atau bawa pergi pasar.
1. Ini supaya dia tak cari aktiviti di luar rumah dengan orang lain. Biasakan memuji anak perempuan.
2. Supaya dia tak termakan pujian lelaki lain.
Biasakan beli keperluan untuk anak perempuan. Tudung. Barang sekolah. Mainan. Barang harian.
3. Supaya dia tak rasa ingin dengan hadiah dari tangan orang lain.
Biasakan pegang tangan anak perempuan masa berjalan. Di pasaraya, masjid, di atas jalanan atau di tempat orang ramai.
4. Supaya tidak lagi rasa perlu untuk dapat perlindungan dari lelaki lain.
Biasakan bergurau dan berpesan pada anak perempuan dengan kata-kata yang baik.
‘Kakak wanita solehah’.
‘Tutuplah aurat elok-elok’.
‘Allah sayang sebab kakak budak baik’.
5. Supaya hatinya sentiasa tak putus diisi dengan tarbiah. Tanda peringatan dari seorang ayah.
Biasakan nasihat anak dengan lembut dan sabar setiap masa yang sesuai.
6. Supaya dia tahu nasihat itu adalah perkara baik. Yang perlu disampaikan baik-baik. Jika berkasar itu bukan lagi nasihat. Jangan biar anak perempuan biasa dijatuhkan air mukanya. Agar dia tahu satu perkara. Dia sangat berharga.
Kenapa ‘biasakan?’.
Sebab kita generasi yang diasuh dan diajar dengan cara lain. Dan anak kita adalah generasi lain. Kalau tak biasa, memang janggal rasanya.
Nampak macam dimanjakan dan tak pandai jaga diri sendiri.
Tapi sebaliknya,
Anak perempuan yang dekat dengan ayah tahu ada seorang lelaki akan sentiasa jadi pelindung dan penyokong paling utama. Dia tak takut. Atau takut-takut.
Letakkan standard yang tinggi sebagai ayah supaya mudah anak membuat pilihan saat satu masa dia bertemu jodoh untuk berumahtangga.
Rasul kata kalau sabar dengan karenah dan susah payahnya menjaga 3 anak perempuan, Allah bagi balasan syurga. Bukan saja 3, 2 anak perempuan boleh juga. Tak payah sampai 2, ada 1 anak perempuan pun Rasul janji yang sama.
Tapi bukan sekadar jaga.
Jaga dengan penuh berjaga-jaga.
MW: Kena biasakan dekat dengan anak perempuan supaya dia rasa ayahlah pelindung dan penyokong utamanya. Moga bermanfaat.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Ibu ayah risau keselamatan di sekolah. Susulan kejadian pagi tadi tiada siapa menyangka hari persekolahan biasa itu akan berakhir dengan tragedi yang meragut nyawa...