Alasan Cerai Tak Masuk Akal ‘Isteri Suka Basuh Baju Waktu Malam’ ‘Punggung Isteri Menggerutu’, Kenapa Lafaz Mudah Suami Lepaskan

Baru-baru ini di sebuah akhbar mendedahkan punca remeh temeh dan ada yang tidak masuk akal berlakunya perceraian. Antaranya, isteri suka membasuh baju pada waktu malam, punggung isteri menggerutu, suami tidak suka isteri makan dalam kereta, lambat menyediakan makanan dan banyak lagi.

Kenapa institusi kekeluargaan hari ini terlalu longgar? Sehingga begitu senang untuk suami melafazkan cerai? Malah perceraian yang berlaku dalam masyarakat seolah-olah menjadi seperti perkara mainan sahaja.

Menurut Inspirator Psikologi Kejayaan, Puan Saleha Idris, “Kata kunci pada perhubungan rumah tangga adalah KENAL dan FAHAM. Apabila kita sudah kenal dan faham barulah kita dapat berkomunikasi dengan baik.

Membina rumah tangga bukan mudah seperti disangka. Semua alasan yang diberikan untuk meruntuhkan rumah tangga adalah selalunya perkara yang tidak boleh diterima.

Di dalam psikologi, itu hanya dipanggil sebagai proses adaptasi dan akomodasi. Adaptasi adalah proses penyesuaian pasangan dengan alam perkahwinan.

Yang mana apa sahaja berlaku kita perlu mengubah cara fikir dan sudut pandang kita sebelum ini dipanggil akomodasi.”

Contohnya seorang isteri atau suami yang kahwin mereka sudah lama membina cara fikir iaitu atas faktor cara kita dibesarkan, sekolah, budaya dan sebagainya.

 

Alasan Cerai Tak Masuk Akal ‘Isteri Suka Basuh Baju Waktu Malam’ ‘Punggung Isteri Menggerutu’, Kenapa Mudah Suami Melepaskan
Inspirator Psikologi Kejayaan, Puan Saleha Idris

Ini Punca Suami Mudah Melafazkan ‘Cerai’

Jadi dalam perkahwinan kita perlu ada matlamat untuk memulihkan dan membina keseimbangan di dalam personaliti, gaya hidup, komunikasi dan sebagainya.

1. Selalunya penceraian yang tanpa alasan yang tidak konkrit hanyalah kerana emosi negatif yang melebihi logik. Atau ketidakcerdikan dalam melayari rumah tangga.

2. Kolam jiwa yang penuh kelodak keegoan. Masing-masing menuding jari pada pasangan, isteri tidak faham suami dan suami tidak faham isteri.

3. Mungkin bagi sesetengah pihak merasakan perkara ini melucukan tetapi inilah realiti. Ada kalanya mereka memberikan alasan yang tidak munasabah untuk bercerai, adakah kerana masyarakat kita pada hari ini terlalu memikirkan soal yang remeh temeh?

Soal remeh temeh ini adalah disebabkan gaya hidup kita bukan kepada ketuhanan tetapi lebih kepada materialistik.

4. Apabila seorang isteri melihat suaminya lebih rendah dari sudut pendidikan, kewangan, cara hidup dan sebagainya. Mereka mudah memperlekehkan suami dan tidak tahu untuk hormat.

Suami pula dengan keegoan dan kurang kesabaran akan menyebabkan mereka tidak ada kesatuan dan keserasian.

5. Mudahnya mereka ingat lafaz dan akad yang dihasilkan hanya sebagai mainan duniawi bukan sebagai membina hubungan terus kepada Tuhan hingga ukhrawi.

Perkahwinan tiada matlamat yang jelas hanya untuk membina impian penuh tipuan.

6. Setiap fasa perkahwinan ada ujian tersendiri. Jika tak kuat dan tiada ilmu nak harungi setiap fasa dalam perkahwinan : fasa awal, fasa pertengahan dan fasa akhir maka penceraian yang jadi.

IKLAN

7. Faktor diam sendiri dalam menyelesaikan masalah dan tiada perbincangan dengan yang pakar dan pengalaman membuatkan mereka terjerat dalam kasih yang dibina. Keputusannya CERAI.

Antara penyelesaian yang boleh diambil pertama, terus menerus memenuhi diri dengan ilmu. Hanya dengan ilmu dapat membantu kita. Kedua, ada diskusi dengan kaunselor atau yang lebih berpengalaman.

Apabila berjumpa dengan orang yang lebih pakar, nasihat mereka umpama mutiara yang berharga dapat mengubah sedikit sebanyak mindset kita yang tepu dan kurang ilmu.

Ini Kesannya..

1. Pada Anak-anak

Bagi pasangan yang sudah mempunyai anak, anak yang masih kecil itu menjadi mangsa akibat kebodohan keputusan yang dibuat oleh ibu dan ayah yang hanya pentingkan diri sendiri.

Mereka umpama kain putih suci dan murni. Kita yang mencorakkan kesedihan dan keburukan kepada mereka.

Dalam psikologi, keperluan pertama dalam membina personaliti dan watak diri yang baik adalah bermula saat mereka kecil. Apakah keperluan? Iaitu kasih sayang yang baik dari penjaga anak itu.

Semak kembali anak kita.

Adakah mereka dibina dalam ruang persekitaran kasih sayang atau permusuhan. Akan ada perbezaan personaliti keduanya.

I. Anak yang dibina dalam persekitaran kasih sayang dan positif membesar lebih gembira, sihat dan personaliti yang baik.

II. Anak yang dibina dalam persekitaran sebaliknya akan mudah sedih, sakit dan watak diri yang tidak baik.

2. Kewangan Pun Terganggu

Untuk pasangan yang muda pula, kewangan, dan psikologi diri juga akan terganggu. Mungkin mereka lebih berhati atau ada rasa kerisauan dalam membina rumah tangga yang seterusnya.

Suami Isteri Fahamkan Ini

1. Jangan ingat bila seseorang itu berkahwin, ilmu rumah tangga hadir sendiri. Ia perlu dituntut dan diperoleh.

IKLAN

2. Semua pihak terus mengambil langkah untuk membina kerukunan rumah tangga, institusi kerajaan, swasta terus mengambil langkah supaya statistik penceraian tidak berleluasa.

Matlamat membina keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah itu dituntut di dalam al-Quran dan juga agama lain. Lafaz penceraian adalah mudah dan yang dapat mengharungi rumah tangga adalah yang kuat jiwa mental dan emosi.

Dengar Apa Kata Mereka

 

Alasan Cerai Tak Masuk Akal ‘Isteri Suka Basuh Baju Waktu Malam’ ‘Punggung Isteri Menggerutu’, Kenapa Mudah Suami Melepaskan

Suami Jangan Jatuhkan Hukum Membuta Tuli

Punca utama penceraian adalah kerana asas kehidupan yang tidak kuat iaitu pendidikan agama. Ramai yang cetek ilmu agama dan salah guna mengikut keperluan mereka dan bukannya supaya kita dapat kembali ke landasan yang betul.

Bila isteri buat silap dalam agama, wajib sang suami yang perbetulkan. Cari pendekatan supaya teguran diterima oleh isteri.

Bukan cari kesalahan isteri dan seterusnya hukum dengan penceraian. Lelaki kenalah jadi khalifah dalam rumah tangga bukannya jadi hakim yang menjatuhkan hukuman secara membuta tuli.

Tak kurang juga dengan dugaan dekat luar terutamanya di tempat bekerja. Isteri zaman sekarang banyak berkerjaya, nak uruskan rumah tangga, anak-anak dan urusan keluarga yang lain.

Isteri bekerja untuk sama-sama bantu suami, tapi berapa ramai suami yang bila balik kerja sama-sama uruskan urusan rumah?

Kalau perkara asas ini seperti tanggungjawab dan sebagainya dikupas sejak sebelum nikah dan mereka dalaminya, Insya-Allah kes penceraian dapat dibendung dan dikurangkan,” Sharifah Othman

 

Alasan Cerai Tak Masuk Akal ‘Isteri Suka Basuh Baju Waktu Malam’ ‘Punggung Isteri Menggerutu’, Kenapa Mudah Suami Melepaskan

IKLAN

Remeh Pada Orang Luar Tapi Tak Untuk Suami Isteri

Bila seseorang itu belum berkahwin,ia menganggap isu seperti ini remeh untuk dijadikan alasan bercerai.

Walau bagaimana pun, situasi berbeza pada pasangan yang sudah berkahwin. Malah, dalam hubungan suami isteri, kadang-kadang ada perkara yang dianggap remeh oleh orang luar tetapi ia boleh menjadi masalah besar jika sudah hidup bersama.

Oleh itu, kemungkinan alasan tersebut diguna pakai kerana sudah terlalu lama dipendam hingga mendatangkan kesan negatif dalam hubungan perkahwinan tersebut,” Nurul Shamira Rashikin

 

Alasan Cerai Tak Masuk Akal ‘Isteri Suka Basuh Baju Waktu Malam’ ‘Punggung Isteri Menggerutu’, Kenapa Mudah Suami Melepaskan

Jangan Pendam.. Bincanglah Suami Isteri

Tak dinafikan memang wujud alasan-alasan bercerai yang tak munasabah seperti fizikal isteri yang tidak menepati cita rasa suami dan sebagainya.

Bagi saya itu mungkin disebabkan pengaruh media massa terutamanya televisyen. Isteri pun sama juga, sebab suami tak menepati ciri-ciri yang mereka mahukan maka itu dijadikan alasan untuk berpisah setelah berumah tangga.

Namun begitu, kadang-kadang itu hanya sekadar alasan untuk diberikan kepada orang ramai atau hakim ketika proses penceraian berlaku, mungkin ada alasan lain yang tidak dapat dikongsi.

Bukan itu sahaja, bagi saya keadaan ekonomi dan sara hidup yang tinggi pada masa kini juga menyumbang kepada punca penceraian yang tinggi dalam masyarakat hari ini.

Maka komunikasi itu amat penting dalam sesebuah perhubungan. Kalau ada yang tak kena jangan dipendam dan berbincanglah demi kesejahteraan rumah tangga yang dibina,” Mahadi Ibrahim

 

Alasan Cerai Tak Masuk Akal ‘Isteri Suka Basuh Baju Waktu Malam’ ‘Punggung Isteri Menggerutu’, Kenapa Mudah Suami Melepaskan

Jangan Ungkit, Nanti Konflik Pun Terhindar

Tujuan perkahwinan ialah menyusun pergaulan antara lelaki dan wanita supaya diredhai Allah SWT. Oleh yang demikian, setiap pasangan seharusnya saling melengkapi setiap kekurangan pasangan.

Bagi saya antara perkara yang perlu dititik beratkan dalam menjaga keharmonian rumah tangga ialah jangan melihat ke belakang.

Contohnya, asyik mengungkit alasan saat awal perkahwinan, berfikir secara logik kerana konflik boleh mengheret hal lain yang sebetulnya tidak terlibat, lihat kelebihan pasangan dan bukan sebaliknya.

Insya-Allah dengan berbuat demikian rumah tangga yang terbina akan lebih harmoni dan bahagia,” Mohd Azli

Penulis : Norhayati Suboh & Shahrina Azlin Abdullah

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI