
Pelakon dan usahawan, Wawa Zainal nampak semakin berjaya dalam bisnes namun dari satu sudut dia terpaksa melakukan pengorbanan besar terutama melibatkan masa bersama anak-anak.
Nampak Kehidupan Wawa Zainal Macam Seronok

Ujar Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 34, jadual kerja padat membuatkan dirinya sering pulang lewat malam sehingga jarang berpeluang meluangkan masa bersama keluarga.
Antara sebab saya rasa berat untuk tambah anak lagi kerana dengan anak yang ada pun kadang-kadang rasa bersalah.
“Masa bersama mereka sangat terhad. Kadang-kadang saya balik rumah pukul 12 malam, mereka semua sudah tidur,” katanya.
Tambah bintang filem Budak Pailang itu, situasi tersebut menjadi dilema besar buat dirinya sebagai seorang usahawan, lebih-lebih lagi apabila anak-anak mula merindui kehadirannya di rumah.
“Anak pernah tanya, ‘Mama nak pergi mana?’ Saya jawab nak pergi siaran langsung sekejap. Dia tanya lagi, ‘Lagi? Bila mama ada masa?’
“Malam tadi (semalam) anak kecil saya terjaga pukul 3 pagi bila saya sampai rumah. Dia terus naik bilik sebab terlalu rindu. Sudah beberapa hari tak sempat jumpa,” luahnya.
Lebih menyedihkan kata ibu empat anak itu, ramai melihat kehidupan usahawan sebagai sesuatu menyeronokkan, namun hakikat sebenar tidak semudah disangka.
Masa Dengan Anak Terhad

Malah, dia turut mengakui keletihan memandangkan jadual kerja padat selain perlu memastikan operasi syarikat berjalan lancar.
“Orang nampak kehidupan saya macam seronok, semua ada. Tetapi kadang-kadang saya pula terfikir alangkah seronoknya jadi suri rumah kerana boleh luangkan masa lama dengan anak.
“Setiap orang ada cabaran masing-masing. Cabaran saya ialah masa dan tenaga. Usia saya sudah 30 lebih, tetapi banyak perkara perlu diuruskan untuk bisnes.
“Kadang-kadang memang penat dan tenaga terasa habis tetapi saya tak boleh tunjuk sebab ramai staf bergantung harap kepada kami,” jelasnya.

Isteri kepada Aeril Zafrel itu berkata pasukan operasi syarikatnya kini bekerja secara syif selama 24 jam bagi memenuhi permintaan tinggi menjelang Aidilfitri.
“Staf kami bertungkus-lumus menyiapkan sehingga 10,000 produk sehari. Semua orang penat, termasuk saya dan Aeril.
“Ada masa emosi mereka terganggu sebab terlalu letih. Jadi kami perlu jaga emosi pasukan supaya semuanya berjalan lancar,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, Wawa turut menyambut ulang tahun kelahirannya dengan penuh kesyukuran menerusi majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim serta golongan asnaf, semalam.
Gambar: Wawa Zainal
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!




